16 January 2012

Coretan SAYANGKU MERAJUK...


BULAN MADU AIREEN hanya bertahan seketika cuma...
apabila ijab dan kabul seakan termetri tiga purnama saja.
Akhirnya, lima tahun dia ditinggalkan dalam gerhana dan sirna.
Wanita mana tak meradang… hati mana tak sengsara?

Pertemuan semula terjadi tanpa diduga.
Shahir kembali demi memburu sekeping hati sedingin iceberg!
Tetapi sayang, pujukannya hanya dipandang sepi. Langsung tiada erti!

Dendam Aireen bukan satu mainan.
Dia tega mengalihkan cinta pada lelaki lain.
Biar Shahir merana... biar padan dengan muka!

Tapi bagi Shahir cintanya adalah yang pertama dan terakhir.
Walau rajuk Aireen panjang berjela...
walau jelingannya sering saja menggoncang iman di dada.
Dia tak mungkin mengalah!
Apalagi dengan kehadiran Dyra dan Fyra...
sebagai penyambung kasih... bukti cinta.

Namun, bahagia yang dicari sering sahaja dilanda onar.
Kehadiran Madam Anna sering membawa bencana.
Laura pula menjadi penggugat dalam bahtera berumahtangga.

Akibatnya, api cemburu dan benci menyebabkan
insan tidak berdosa menjadi mangsa.
Dan mungkinkah kesabaran seorang suami 
akhirnya akan kecundang jua?
Salam Sayang...
Ayu Emelda ♥ 

Harga: RM 21.00/RM 24.00
ISBN: 978-983-124-648-1
Halaman: ~512
Bahasa: Bahasa Melayu
Berat: 550 gram
Tarikh Terbit: 25 Apr 2011
Kategori: Novel

BAB 1

Bagaikan tidak percaya. Berkali-kali Aireen pejam celikkan mata. Namun pandangannya tetap tidak berubah. Dia pandang lagi. Tenung. Lama. Ditenyeh mata beberapa kali. Fuhhh kiri... fuhhh kanan. Tengok lagi. Memang sah! Wajahnya tetap sama walaupun lima tahun tidak berjumpa. Oh... tidakkk!

Dadanya yang bergelora kian berombak. Semakin tidak keruan. Bertambah kacau! Marah, geram, sakit hati. Bagaikan ramuan yang akan membuatkan dia meletup tidak lama lagi.

Mesranya dia sedang menjamu selera di Restoran McDonalds dengan orang tersayang. Laura! Ya... tentu wanita jelita yang manis bertudung biru jernih yang sedang bersama Shahir itu adalah Laura. Cantik!

“Patutlah Shahir tinggalkan aku...” gumam Aireen. Dia sedang membuat kesimpulan sendiri. Mulutnya herot kiri kanan. Menahan rasa hati yang sedang sakit dan pedih.

Terasa dirinya begitu kerdil. Laura terlalu cantik jika dibandingkan dengan dirinya. Wanita itu punya segala-galanya yang dia tidak miliki. Dan yang paling penting tentu sahaja restu daripada ibu Shahir sendiri.

Aireen menggigit bibir melihat kejelitaan wanita yang menjadi saingannya. Pasti mana-mana lelaki pun akan memuja kecantikan ciptaan TUHAN itu. Dan, Shahir juga pasti sudah jatuh hati.

Siapalah dia kalau nak dibandingkan. Memang dia manis. Apalagi dengan gigi taring yang berlapis dan lesung pipit dalam yang terukir setiap kali dia tersenyum. Tetapi, bila melihat Laura dengan mata kepala sendiri, dia berasa rendah diri. Tidak mungkin dia mampu menandingi apa yang gadis itu miliki. Cukup sempurna!

Paling meremukkan hatinya apabila melihat kemesraan mereka berdua. Bersenda gurau dan bergelak ketawa bagaikan merpati dua sejoli. Sayangnya kebahagiaan itu dibina daripada air mata darahnya saban hari.

Tekak Aireen terasa pahit dan perit hingga dia berasa sukar mahu bernafas. Bagaikan bernafas dalam air kala itu. Kalau terus dipandang, boleh lemas akhirnya. Betapa remuknya hati. Dadanya turun naik dengan pantas. Hanya TUHAN yang tahu betapa jiwanya sedang terseksa saat itu.

“Ya ALLAH, Ya TUHANku... berikanlah hambu-MU ini kekuatan untuk bersabar dan bertahan dengan apa sahaja dugaan,” rintih Aireen dengan fikiran yang bimbang. Dia takut tidak mampu berdepan dengan situasi ini.

Satu-satunya lelaki yang pernah dicintai kini berada di depan mata. Perlukah aku pergi menyapa... bertanya khabar atau memeluknya? Grrr... tentu sekali tidak. Kenapa? Sebab cinta aku pada Shahir hanya tinggal sejarah hitam. Hanya tinggal kubur dan batu nisan.

Kini, perasaan cinta yang pernah bertapa di dalam hatinya suatu waktu dulu sudah terlalu asing. Segalanya sudah hilang ditelan penderitaan yang terpaksa digalas hari demi hari.

Yang ada hanya rasa kecewa dan rasa dikhianati. Marah tidak usah ditanya. Barangkali aku perlu hadiahkan sahaja penampar kepada Shahir. Atau paling tidak pun, biar diketuk kepala lelaki itu dengan kasut tumit tiga inci jenama Bonia yang tersarung kemas di kakinya.

Biar hatinya rasa puas! Mungkin tindakan itu dapat membalas segala penderitaan yang terpaksa diharunginya selama ini. Dapat mengembalikan semula keyakinan yang hampir lebur setelah hati dan perasaannya diperkotak-katikkan sekian lama.

Tapi untuk apa? Semua itu tidak dapat melenyapkan derita yang sakit berbekas di hatinya. Sampai bila-bila pun tidak akan ada ubat yang dapat menyembuhkan parut yang sudah ditoreh.

Bertemu dan berdepan semula dengan lelaki itu hanya membangkitkan luka lama. Parut yang tinggal tentu akan berdenyut kembali. Berdarah. Dan dia juga yang akan terus terseksa.

Aireen tertunduk. Merenung lantai dengan hati yang hiba dan rawan. Suasana hingar-bingar di Subang Parade seolah-olah hilang dan sunyi daripada pandangannya. Dia bagaikan berada dalam dunianya sendiri.

Terasa pergerakan waktu begitu lambat. Dia pejam mata. Panas. Mahu sahaja dia menangis di situ. Tidak! Bukan menangis... tapi rasa mahu meraung! Meluahkan apa yang sarat berbuku-buku di dalam dadanya.

Kenapa pada saat aku sudah belajar untuk melupakan kisah lalu, pertemuan yang tidak di duga ini harus berlaku? Ah, tak sepatutnya dia datang ke sini hari ni. Kalau tidak semua ini pasti tak akan terjadi! omelnya geram dengan gigi sengaja diketap kuat.

Dia harus lupakan kisah lalu. Berpaling dan pergi. Saat itu juga tubuhnya dipusing 180 darjah. Biarkan lelaki itu terus menjadi kenangan.

“Aireen...”

Baru sahaja dia ingin memulakan langkah ke arah Fyra dan Drya yang masih leka bermain, kedengaran namanya dilaung dari jauh.

Jantungnya berdebar kencang. Terasa nafasnya putus-putus. Suara itu... oh TUHAN... tidak mungkin dia dapat melupakan suara yang dulunya kedengaran begitu manis dan romantis. Dia telan liur. Gugup!

Aku tertawan kerana suara itu. Aku tergoda kerana bisikan-bisikan romantis yang pernah diucapkan dengan kalimah yang cukup indah.

“Aireen...”

Aireen buka mata perlahan-lahan. Dia sedar, sudah terlambat untuk dia melarikan diri. Sudah terlambat untuk dia mengelak daripada berdepan dengan Shahir. Lelaki itu sedang menghampirinya.

Dia menarik nafas panjang, lalu dihela perlahan-lahan. Matanya dipejam semula untuk mencari kekuatan agar dia tidak karam dengan air mata di hadapan lelaki itu. Biar sukar sekalipun, dia tidak mahu nampak lemah.

Kuatkan semangat Aireen... jangan terlalu mudah menyerah kalah. Mungkin inilah masanya untuk membalas semua sakit hati yang dia pernah tinggalkan. Biar dia sedar! Suara hatinya berbisik.

“Aireen...” Sudah tiga kali namanya diseru.

Ah, mungkin dia tersalah orang. Di hadapannya sekarang bukan Shahir, tetapi pelanduk dua serupa. Mereka hanya dua insan berbeza tetapi mempunyai wajah yang mirip benar dengan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya.

Atau lelaki itu yang tersilap orang. Nama gadis yang dicarinya mungkin sahaja serupa dengannya, tapi dia sebenarnya sedang mencari orang lain. Ya! Hanya nama mereka sahaja yang sama. Huh! Logik ke tu? Akalnya mencerna sendiri.

Atau dia perlu berlakon? Berpura-pura menjadi orang lain agar Shahir tertipu. Dia bukan Aireen. Dia bukan wanita yang lelaki itu kenali. Dia hanya seorang gadis asing dan mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

Dia sempat berdoa. Biar semua ini hanya satu mimpi ngeri yang akan berakhir tidak lama lagi. Matanya dipejam rapat. Harapannya apabila terjaga nanti, semua itu akan lenyap... amin. Tangan diraup ke muka.

BAB 2

PERLAHAN-LAHAN kelopak matanya dibuka. Sayang seribu kali sayang, semua itu bukan satu mimpi. Betapa dia sedang berdepan dengan sebuah realiti. Wajah itu tetap sama. Dia kelu! Kaku dan kayu! Entah kenapa saat ini tubuhnya rasa tidak berdaya. Lemah seluruh anggota.

Mana sumpah seranah? Kalau tadi sudah terbayang tamparan wanitanya hinggap di pipi Shahir, tapi kini kenapa dia rasa tidak mampu berbuat begitu? Tangannya bagai lumpuh hanya kerana renungan mata sepet itu.

Lelaki itu tersenyum. Manis, kacak, tampan dan menggoda. Memang lima tahun dulu ciri-ciri itu adalah antara penyebab kenapa dia jatuh cinta dengan Shahir sepenuh hati! Separuh mati! Gila bayang setiap hari sampai sanggup di-jadikan isterinya walaupun baru enam bulan usia perkenalan mereka.

Matanya yang bersinar galak begitu menawan. Wajahnya sedikit berisi, tapi lebih kemas dengan janggut nipis yang terjaga rapi. Walaupun Brad Pitt pernah menjadi igauannya ketika remaja dulu, tetapi lelaki di depannya kini lebih menambat hati.

Aduh, Reen... jangan kalah kerana rupa. Jangan terliur kerana luarannya sahaja. Jangan lupa kekejaman yang pernah lelaki itu lakukan dulu. Kau dah banyak merana! Dan jangan lupa setiap titis air mata darah diperah daripada kau. Suara hatinya seakan bergema-gema mengingatkan.

“Aireen... dah lama kita tak jumpa,” sapa Shahir lembut dengan wajah ceria yang bukan dibuat-buat.

Aireen berkerut dahi. “Yes... do I know you?” soalnya penuh kepura-puraan. Kalau dengan hanya lakonan dia dapat melepaskan diri, tidak salah jika mencuba. Untung-untung lakonannya menjadi. Boleh menang anugerah tahun depan.

“Ya... kita cukup kenal. Malah, saling mencintai. Abang takkan terpedaya dengan cara begitu. Sorry... it doesn’t work.”

Aireen menggigit bibir bawah. Aduh! Nampaknya, dia bukan primadona yang mampu menyembunyikan identiti dengan bakat lakonan. Dia hilang kata. Suaranya rasa tersekat di kerongkong. Malah, kolam matanya sudah mula panas. Marah atau menangis? Kedua-duanya saling bertindan.

Sunyi. Sepi. Lama mereka diam membisu. Saling memandang antara satu sama lain. Mata bertentang mata. Lidah kelu untuk berbicara. Dan renungannya... bukan setakat mencairkan hati, tapi boleh membakar diri. Rentung nanti! Suara hatinya mengingatkan.

Jangan pandang Aireen... jangan pandang! Lebih baik jangan berani bermain mata kalau tak mampu menepis!

“Abang... abang...” Shahir ingin meluahkan sesuatu. Betapa pertemuan yang tidak diduga ini amat menggembirakan. Namun, mulutnya berasa berat. Dia mencapai tangan Aireen. Mahu melampiaskan rasa rindu yang ditanggung bertahun lama. Mahu diluahkan semahunya.

“Sudah lima tahun kita tak jumpa... kenapa Aireen sanggup pergi tinggalkan abang?”

Mata Aireen membuntang. “What?” Dia ketap bibir dan matanya kembali mengecil. Merenung geram.

Siapa yang tinggalkan siapa? Sejak bila pulak dia yang tinggalkan Shahir? Bukankah dia yang sebenarnya ditinggalkan. Dan panggilan abang... Huh, memang tak sesuai! Rasa menyampah... nak muntah... uweekkk!

Shahir pandang wajah Aireen yang nampak marah. Tetapi, dia pula sebaliknya. Penuh dengan kasih sayang dan rasa cinta seperti dulu. Walaupun begitu lama mereka terpisah, perasaannya tidak pernah berubah. Tidak sama sekali!

“Sayann...”

“Syhh... please! Don’t call me with that name again! I hate it!” Dia menahan. Jari telunjuk diangkat tinggi. Jelak mendengar panggilan sayang yang bakal diucapkan lelaki itu. Satu waktu dulu mungkin dia rasa cukup bahagia apabila Shahir memanggilnya begitu. Tapi kini, dia benci!

“Say...”

“Syhh...” celahnya lagi sambil mengisyaratkan tangan. Dia tidak mahu mendengar Shahir memanggil namanya lagi. Benci! Benci! Benci!

Shahir mengeluh. Mengangkat kedua-dua belah tangan. Tanda mengalah. Kemudian, dia memeluk tubuh.

“Sejak bila pulak I tinggalkan you?” soal Aireen sinis tiba-tiba. Entah dari mana dia mendapat kekuatan. Yang pasti, tidak ada lagi nama-nama manja yang pernah mereka gunakan suatu waktu dulu.

“Abang minta Reen tunggu. Abang hanya pulang untuk selesaikan masalah keluarga. But I know... that was a big mistake. Kemudian, bila abang balik Aireen dah tak ada. Puas abang cari, tapi tak jumpa,” luah Shahir lambat-lambat.

Aireen terkebil-kebil.

“Kenapa Aireen tak tunggu abang?” Suaranya sayu.

“Tunggu? You nak I terus tunggu you? Apa, you dah lupa? Memang dulu you minta I tunggu. Tapi paling lama cuma lima minggu. Tapi sampai lima bulan... lima bulan I terus menunggu dan berharap agar suami I kembali! Tapi habuk pun takde,” hambur Aireen geram.

Shahir mengeluh lagi. Memang dia bersalah kerana pergi terlalu lama. Tetapi kenapa Aireen tidak terus menunggu hingga dia pulang? Dia pandang wajah wanita itu dengan rasa sesal. Ingin sekali dia memeluknya seperti dulu. Betapa rasa rindu yang sedang ditanggungnya begitu tinggi, tapi dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. Dengan penerimaan Aireen sekarang, dia tahu hati wanita itu sedang terluka.

“Mama... mama...”

Dalam pada suasana yang tegang saat itu, dua anak kecil berkejar-kejaran lantas memeluk Aireen. Aireen tertekan. Dia resah. Bimbang jika Shahir mampu mengagak hubungannya dengan kedua-dua mereka.

Dahi Shahir berkerut. Dia memandang anak-anak kecil itu silih berganti. Sesekali dia menilik wajah Aireen yang nampak serba salah.

“Aireen... ”

Nafas deras terhela daripada bibir Aireen. Buat kesekian kalinya dia memejam mata lagi beberapa detik. Peluhnya sudah merintik. Dia dapat mengagak apa yang Shahir sedang fikir dan rasakan saat itu. Jantungnya terus berdebar. Ya ALLAH... janganlah dia tahu. Doanya di dalam hati.

“Anak kita?” Bibirnya bergetar. Ada rasa terharu yang berdenyut. Andaian itu terus bermain-main di fikiran Shahir. Sedikit demi sedikit, dia mula rasa yakin dengan telahannya sendiri.

Aireen menggeleng laju.

Shahir memandang reaksi Aireen dengan rasa tidak percaya. Tidak! Dia yakin telahannya benar. Matanya terus merenung kedua-dua anak kecil itu dengan rasa tidak percaya. Terbit rasa gembira. Dipanjat rasa syukur yang tidak terhingga walaupun terselit rasa kesal kerana cukup lama mereka terpisah.

“Hai...” sapa Shahir pada kedua kanak-kanak itu. Wajah mereka seiras. Tentu kembar.

“Hai...” Fyra dan Dyra yang memang peramah dan suka berceloteh menjawab serentak. Laju sahaja Fyra dan Dyra menghulur tangan untuk bersalam tanpa ada menaruh rasa curiga.

Shahir merendahkan badan. Duduk melutut dan meraih tubuh mereka ke dalam pelukannya.

Aireen mengetap bibir. Dia tidak sanggup memandang. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia lari dari situ sambil mengheret Fyra dan Dyra. Tapi apakan daya. Tubuhnya terasa lemah tidak berdaya.

Shahir menghantar senyuman paling manis. “Kembar ya?” Dia cuba memancing hati mereka.

Kedua-duanya mengangguk.

“Boleh uncle tahu siapa nama?”

“Kakak nama Dyra... ini adik... Fyra,” beritahu anak kecil yang di sebelah kanan Aireen dengan ramahnya.

“Ooo... cantiknya nama. Macam orangnya jugak... cantik dan comel!” puji Shahir dengan senyuman.

Fyra dan Dyra tersenyum gembira.

“Umur berapa?”

“Empat tahun.” Kali ini Dyra pula yang menjawab.

Shahir tambah girang mendengar jawapan itu. Itulah jawapan yang dapat menamatkan teka-tekinya sebentar tadi. Dia bangun. Berdiri dan bertentang mata dengan Aireen semula.

“Anak kita kan... anak-anak kita,” ujarnya. Kali ini dengan nada cukup yakin. Tiada siapa pun yang dapat menyangkalnya lagi.

Aireen menelan liur. Melihat senyuman gembira di wajah Shahir cukup menyakitkan hati. Senangnya lelaki itu mengaku kewujudan anak-anaknya sedangkan dia yang terpaksa menderita.

Bukan mudah untuk melahirkan kedua-dua bayi itu ke dunia. Apalagi dengan segala susah payah yang terpaksa ditelan sendiri. Tiada suami di sisi untuk memberi kekuatan dan sokongan. Siapa yang tidak sakit hati?

“Tak... mereka bukan anak you.”

Kening Shahir bertaut. Dia keliru kenapa Aireen masih mahu menidakkan sedangkan dia amat pasti. Apatah lagi bila melihat wajah kedua mereka yang ada iras-iras wajahnya.

Mata Fyra dan Dyra lebih sepet sepertinya berbanding dengan Aireen yang bermata bulat. Begitu juga dengan rambut mereka yang lurus melepasi bahu sedangkan rambut Aireen ikal dan berombak.

“Mereka cuma anak I... bukan anak you. Because you have no right to be a father,” luah Aireen sebak.

Shahir mendesah. Dia tahu Aireen menidakkan kebenaran kerana rasa marah yang tidak dapat dibuang dalam sekelip mata.

“Capa ni mama?” soal Fyra dengan mata terkebil-kebil. Begitu juga dengan Dyra. Begitu sukar untuk mereka memahami situasi itu.

Aireen tertunduk. Memandang kedua mereka yang mengharapkan jawapan daripadanya. Dia kehilangan kata. Untuk menerangkan kepada mereka apa yang berlaku ketika itu bukan semudah ABC atau mengajar 123. Hubungan orang dewasa terlalu rumit untuk anak-anak sekecil mereka faham.

“Ini papa... papa Fyra dan Dyra.” Spontan Shahir menghuraikan tanda tanya kedua mereka. Mudah dan senang. Tidak seperti yang Aireen fikirkan.

Mata Aireen sudah membuntang. Pandangannya menikam ke wajah Shahir dengan rasa geram dan marah.

“Ini papa?” Riak ceria terpamer di wajahnya. “Betul ke ni papa? Papa Dyra ngan adik?” Dyra terjerit.

Shahir mengiakan.

“Papa?” Begitu juga dengan Fyra yang berteriak suka.

Shahir mengangguk sambil memeluk dan mencium mereka dengan rasa kasih dan sayang yang membuak-buak.

Fyra dan Dyra pula sudah terjerit-jerit memanggil papanya dengan penuh gembira lagi teruja.

Aireen menepuk dahi. Kenapa semua ini perlu berlaku padanya hari ini? Seolah-olah satu rancangan. Beria-ia Fyra dan Dyra mengajak dia ke Subang Parade hari ini, rupa-rupanya akan bertemu dengan papa mereka.

Memang sejak kebelakangan ini mereka sudah pandai bertanya siapa papa mereka. Sejak mula dihantar ke tadika mereka sudah mula menyedari realiti sebuah keluarga.

“Jom... papa belanja ais krim...”

Aireen tersentak. Dia bagaikan baru tersedar daripada mimpi yang panjang.

“Yeah... papa nak belanja ais krim.” Fyra bersorak sakan. Dyra pula nampak riang sekali. Mata mereka bersinar-sinar.

“Tak... kita kena pergi sekarang. Mak usu tunggu di rumah. Fyra dengan Dyra kan dah janji nak pergi playground dengan mak usu petang nanti.” Aireen segera menyambar tangan kedua-dua anaknya. Dia mahu meninggalkan Shahir dengan segera. Pergi jauh daripada lelaki itu.

“Mama!” jerit kembar serentak. Marah dan geram! Mereka sudah mula memberontak. Dengan wajah kelat dan masam mencuka terpaksa juga mereka melangkah apabila tangan keduanya diheret.

Namun, Aireen tidak peduli. Yang pasti, dia tidak mahu Shahir wujud antara mereka.

Lelaki itu juga terpinga-pinga dengan tindakan Aireen.

“Aireen...”

Namun gadis itu kian jauh meninggalkan dirinya. Shahir melepaskan keluhan berat dan kesal. Dia cuba mengejar. Tetapi apabila teringatkan Laura yang masih berada di McDonalds, dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya.

“Laura... you balik sendiri, okey. I ada hal sikit,” beritahunya dengan tergesa-gesa lantas mematikan talian.

Apa yang penting padanya sekarang adalah mendapatkan kembali cintanya yang hilang lima tahun dulu. Dia tidak sanggup kehilangan lagi.

LAURA memandang telefon bimbit dengan rasa tidak percaya. Dia terpana. Sejak tadi dia hanya menjadi pemerhati drama antara Shahir dan seorang wanita. Dia yakin wanita itu adalah Aireen, isteri Shahir. Kemudian tidak lama selepas itu hadir pula dua orang kanak-kanak di antara mereka.

Dia hanya mampu menahan perasaan. Kemunculan wanita itu bagai membakar impiannya selama ini. Dadanya terasa sesak. Kenapa dia perlu hadir saat ini? Ketika cintanya dirasakan hampir berbalas. Ketika hubungannya dengan lelaki itu kian mesra.

Dia tidak sanggup kehilangan Shahir. Sudah banyak yang dikorbankan. Dia tidak sanggup kehilangan cintanya! Tidak sama sekali!


BAB 3

KETIKA sampai di rumah, Mak Leha sedang memasak. Kedua-dua kembar pula sudah meluru mendapatkan Hanis yang turut membantu Mak Leha di dapur. Bau cucur cempedak yang baru digoreng harum semerbak. Namun entah kenapa selera Aireen mati secara tiba-tiba.

“Fyra dengan Dyra nak ikut mak usu pergi main kat playground depan tu?” soal Hanis sambil mengangkat kening.

“Yeah... nak pegi playground dengan mak ucu!” teriak Fyra. Tubuhnya sudah melenggok 360 darjah. Berjoget senang hati. Dyra pula sudah menarik-narik tangan ibu saudaranya sambil melompat-lompat. Terlalu gembira.

Mak Leha dan Aireen tergelak kecil.

Ketawa Hanis pula sudah terburai. Geli hati. “Ya ALLAH... anak dara siapalah ni?”

Bila tengah senang hati hilang semua rasa malu. Fyra dah nampak macam goyang Inul pun ada. Tapi bersepah-sepah! Maklumlah... amatur. Dyra pula dah macam hantu pocong. Terlompat-lompat macam sudah tidak jejak ke bumi. Hanis menepuk dahi.

“Jom ucu... cepat-cepat,” arah Dyra menarik tangannya.

“Kita minum dan makan dengan Mak Leha dulu... lepas tu baru pergi okey,” pujuk Hanis sambil menggosok kepala kedua-dua mereka.

“Mak Leha nak ikut cama?” soal Fyra dengan petah. Jogetnya sudah berhenti dengan sendiri.

“Tak... Dyra dengan Fyra pergilah ikut mak usu main... Mak Leha nak masak untuk makan malam,” beritahu wanita separuh abad itu sambil tersenyum. Dia terhibur melihat keletah kembar yang cukup comel dan suka berceloteh walaupun baru berusia empat tahun.

“Makan kak...” Hanis meletakkan cucur cempedak yang baru dihulurkan oleh Mak Leha.

Aireen sekadar menghirup seteguk teh O yang sudah terhidang. Seleranya mati.

“Hanis minumlah dulu. Badan akak melekit sangat. Akak nak masuk ke bilik dulu. Nak mandi.” Dia sekadar beralasan. Sedangkan ketika ini dia cuma ingin bersendirian. Fikirannya kusut. Bercelaru!

“Okey...” Hanis menjongket bahu. Melihat wajah tidak bermaya kakaknya, dia sudah dapat mengagak. Tentu ada perkara penting yang sedang Kak Reen fikirkan. Kalau tidak masakan dahinya asyik berkerut. Apa sebenarnya berlaku? Masa keluar tadi okey saja, hati Hanis tertanya sendiri. Tetapi dia sudah tahu bagaimana untuk mencari jawapannya. Cukup mudah dan senang. Bibirnya tersenyum.

Aireen terus masuk ke bilik. Menanggalkan tudung lantas mencapai tuala dan masuk ke bilik mandi. Dia mengunci pintu. Kemudian berdiri sambil memandang cermin. Kolam matanya terasa panas.

Pertemuan semula dengan Shahir benar-benar meruntuhkan kekuatannya selama ini. Perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh ke lantai.

Lima tahun. Masa itu cukup lama hingga dia cukup terseksa. Terseksa menunggu Shahir kembali dalam hidupnya. Tetapi sayang, penantiannya hanya satu mimpi. Dan sejak kehilangan lelaki itu, sesungguhnya dia terpaksa berdepan pengalaman yang cukup getir dan memilukan.

Air mata Aireen yang ditahan sejak tadi gugur jua. Peristiwa lama terlalu sakit dan pedih merobek semula hatinya. Terbayang segala onak duri yang membuatkan dia hampir rebah.

Lima tahun dulu, Shahir pergi dan berjanji untuk kembali ke pangkuannya. Dia setia menunggu. Membilang hari demi hari dengan sabar. Walaupun saban waktu jiwanya menanggung rindu yang begitu parah pada suaminya, dia tetap cuba bertahan dengan harapan segalanya akan kembali pulih.

Hinggalah sampai satu saat, harapan itu hilang. Betapa ketika itu seluruh angannya musnah. Dia telah berputus asa dan yakin lelaki itu tidak akan kembali dan yakin bahawa Shahir bukan lagi miliknya.

“Abang akan kahwin dengan Laura?” Beberapa hari sebelum Shahir berangkat, soalan itulah yang diajukan kepada suaminya.

“Reen... abang belum ada sebarang keputusan. Tapi kalau tiada pilihan, abang terpaksa menikahi Laura juga. Demi agama Reen... demi agama.”

Ketika itu memang hancur luluh jiwa raga Aireen. Langsung tidak diduga perkahwinan yang baru sahaja berusia tiga bulan sudah dilanda badai. Sudah menampakkan tanda-tanda perpisahan!

Dan hari ini, sesungguhnya pertemuan yang terjadi amat menguji kesabarannya. Bertemu semula dengan lelaki berdarah Inggeris dan Cina itu cukup mengejutkan dan memberi kesan yang begitu mendalam terhadap dirinya. Terlakar satu per satu memori lama. Terbayang peristiwa pahit saat ditinggalkan ketika di Australia dulu.

Kalau difikirkan semula, memang dia menyesal dengan keputusan yang dibuat ketika menuntut di sana dulu. Mungkin dia terlalu terburu-buru hendak menamatkan zaman bujang untuk bergelar seorang isteri. Walaupun pada mulanya emak membantah, namun dia terlalu nekad untuk mengubah keputusan.

“Kenapa nak kahwin sekarang? Tak boleh ke tunggu sampai Reen habis belajar dan bekerja dulu?”

“Tak boleh, mak. Reen rasa ini keputusan yang paling baik untuk kami. Reen tak mahu nanti berlaku sesuatu yang lebih buruk.”

Ketika itu, tiada apa yang dapat mengubah pendiriannya. Emak juga tidak mampu memujuk. Tentu dia kecewa.  Tapi bila dia sendiri meyakinkan emak pernikahan mereka adalah untuk menegah sesuatu yang buruk daripada berlaku, akhirnya emak merelakan juga. Memberi restu walaupun hatinya begitu berat.

Bayangkan, mereka terus membuat keputusan sebesar itu setelah baru enam bulan berkenalan. Ketika itu, bagi Aireen hanya pernikahan yang dapat membahagiakan dirinya. Mereka teruskan jua hasrat itu bersama teman-teman yang menjadi saksi. Tapi sayang, hubungan itu tidak berpanjangan.

Apabila ibu Shahir yang masih dengan agama lamanya menyuruh anaknya pulang, detik itulah dunia Aireen mula berubah. Mereka berpisah secara tidak diduga. Kesannya, dia yang terpaksa menanggung seksa.

Ketukan di muka pintu menyentap lamunan Aireen. Dia mengesat air mata dan segera keluar dari bilik mandi.

“Kak Reen... boleh Hanis masuk?”

“Pintu tak kunci.”

Hanis menjengulkan muka. Dia tersenyum lebar.

Sisa-sisa air mata Aireen yang membasahi wajah dilelas dengan hujung jari. Tidak mahu Hanis tahu apa yang telah terjadi.

Gadis itu melangkah masuk ke bilik yang serba merah jambu, warna kegemaran kakaknya.

 Aireen pula berpura-pura tenang sambil membaca novel yang memang sentiasa terselit di bawah bantal. Semoga reaksi begitu tidak menimbulkan curiga di hati adiknya. Jangan sampai Hanis sedar dia baru lepas menangis.

Hanis melabuhkan punggung di sisi katil. Kakaknya pula kelihatan sedang khusyuk membaca dengan lengan kanan bertampal di dahi. Tangan kiri pula pegang buku.

Sekali imbas dia sudah tahu. Kak Reen memang sedang tanggung perasaan. Memang dari dulu kakaknya suka sangat menyimpan masalah sendiri daripada berkongsi dengan sesiapa. Bila didesak baru mahu membuka cerita. Bukankah itu menyusahkan diri sendiri namanya? omel Hanis sendiri.

“Kak...” panggil Hanis lembut. Itu namanya mukadimah. Kalau mahu korek cerita mesti ada peraturan dan adabnya. Bukan boleh main terjah macam rancangan Melodi tu. Takut nanti baru hendak membuka mulut sudah kena halau.

Aireen mengangkat kening. Sekilas dia memandang pada adiknya. Hanis mempamerkan senyuman paling comel.

“Ada apa?”

“Akak jumpa dengan si Shahir tadi?” Spontan soalan itu terbit daripada mulut Hanis secara jelas lagi terang. Tak payah belok-belok. Senang cerita. Lagi cepat boleh dapat maklumat.

Amboi! Cepatnya maklumat sampai ke telinga Hanis. Baru beberapa jam sudah terbongkar! Ini mesti kerja Fyra dangan Dyra. Awal-awal lagi sudah membuat laporan lisan dengan mak usunya.

Aireen mengeluh panjang. Dia mengubah posisi. Dari terlentang sudah mengiring ke arah Hanis.

“Akak jumpa dengan dia?” Sekali lagi adiknya bertanya.

“Akak sendiri pun tak sangka.”

“Jadi, betullah Kak Reen terjumpa dengan dia tadi?” Kali ini Hanis pula yang mengeluh panjang. Macam dia pula yang ditinggalkan suami.

Aireen menggigit bibir.

“Kalau orang jumpa dengan dia... huh, tahulah nasib dia. I don’t think he can survive!” Hanis sudah duduk tegak sambil menggepal penumbuk dengan kasar.

“Amboi! Bukan main lagi adik akak. Kalau Hanis jumpa dia... apa Hanis nak buat?” soal Aireen menduga.

“Orang nak bagi hadiah...”

“Hadiah?”

“Ni!” ujarnya sambil menayang buku lima di depan muka Aireen. Ini bukan sebarang penumbuk, kak... tapi ada semangat Tun Teja!

Aireen hanya pandang tanpa perasaan. Kalau boleh, dia sendiri pun rasa mahu membelasah saja Shahir tadi. Tapi bila lelaki itu sudah ada di depan mata secara tiba-tiba dia menjadi kaku.

Aireen mengeluh lagi. Kali ini lebih deras dan kuat. “Entahlah, Hanis... akak sendiri terkejut. Tapi bila Fyra dengan Dyra gembira sekali tengok papa dia orang... akak jadi serba salah.”

“Apa reaksi dia bila dapat tahu Fyra dengan Dyra anak-anak dia?”

“Dia sendiri boleh agak. Mula-mula memang dia nampak terkejut, tapi lepas tu... dia gembira sangat.”

“Lepas tu?” tanya Hanis tidak sabar ingin tahu.

“Akak tak bagi dia peluang. Lekas-lekas akak tarik kembar pergi dari situ.”

“Eloklah tu, kak. Memang patut pun layan dia macam tu. Lepas apa yang dia buat, orang rasa dia memang tak layak untuk anak-anak akak.”

Aireen mengangguk.

“Kak Reen masih sayang dia?”

Soalan Hanis membuatkan Aireen terkedu. Sayang? Ada lagi ke perasaan itu bila begitu parah rasanya hidup ditinggalkan selama ini? Malah, disebabkan Shahir juga dia turut melukakan hati emak yang sudah banyak berkorban untuk dia dan Hanis.

Jadi apa lagi yang tinggal? Kasih sayang? Tak mungkin dia mampu lupakan kisah duka dalam hidupnya. Saban hari dia kesal dengan tindakannya. Kesal kerana emak terpaksa menanggung beban atas kesilapannya dulu.

“Sabarlah, Kak Reen. Tak guna akak pening kepala fikirkan tentang dia. Abang Zarul kan ada. Dia lelaki yang baik. Orang percaya, dia boleh jaga akak dengan anak-anak. Lupakanlah si Shahir tu.”

Ya... Aireen tahu Zarul telah banyak menolong dia mengharungi kepayahan hidup selama ini. Dia tidak mungkin akan menolak lelaki sebaik itu.

BAB 4

SHAHIR membelok kereta ke Seksyen 8, Shah Alam di mana Aireen tinggal. Dia senang hati. Akhirnya dapat juga bertemu dengan wanita yang dicari-cari selama ini. Sengsara hidupnya apabila berpisah begitu lama.

Hampir lima tahun dulu, puas dijejaki di mana Aireen berada. Namun usahanya hampa. Sekarang, dia tidak akan melepaskan peluang itu lagi. Syukur pada tuhan. Akhirnya, pencariannya selama ini bertemu titik noktah.

Lebih menggembirakan hati apabila dapat tahu dia memiliki sepasang anak kembar. Anaknya! Anak yang lahir daripada zuriatnya sendiri. Cuma dia agak terkilan kerana tidak dapat melihat mereka membesar di depan mata. Empat tahun masa itu dipersia begitu sahaja.

Sebaik bertemu dengan Aireen semalam, dia tekad untuk menjejaki wanita yang amat dirinduinya itu. Sanggup dia mengekori kereta Aireen semata-mata untuk tahu di mana mereka tinggal. Hari ini, pagi-pagi lagi dia sudah sampai. Banyak perkara yang perlu mereka selesaikan.

Shahir memberhentikan kereta agak jauh apabila ada kereta lain yang terparkir di depan pagar rumah Aireen. Malah, ada seorang lelaki sedang bersandar di pintu kereta seolah-olah sedang menunggu salah seorang penghuni rumah itu.

“Teman lelaki Aireen?” Shahir menggumam sendiri. Jantungnya bergetar. Ada rasa cemburu yang melanda.

Dia turun dan menghampiri. Dipandang lelaki itu dari atas ke bawah hinggalah mereka akhirnya bertentang mata.

“Ya?” tanya Zarul keliru apabila ada seorang lelaki yang datang secara tiba-tiba dan memandang padanya gaya seorang perisik.

“Awak siapa?”

“Awak siapa?” balas Zarul pula apabila gaya percakapan lelaki itu agak pelik. Sudahlah datang tidak bersalam. Belum kenalkan diri senang-senang pulak bertanya dia siapa.

“Saya suami Aireen, Shahir.” Dia memperkenalkan diri lantas menghulur salam perkenalan. Apabila melihat riak terkejut dan wajah hampa lelaki itu, Shahir menghadiahkan senyuman manis kepadanya.

“Za... Zarul...” Dia pula memperkenalkan diri. Jadi inilah lelaki yang pernah mendapat tempat di hati wanita pujaannya. Zarul rasa sedikit tercabar. Tambahan pula apabila melihat badan tegap Shahir dengan wajahnya yang agak memikat. Dia rasa tewas daripada segi zahir.

Tapi kenapa baru sekarang dia hadir? Tak... tak mungkin Aireen akan menerima dirinya lagi. Zarul cuba mengumpul kekuatan dalam diam.

Tapi... kenapa Shahir memperkenalkan diri sebagai suami Aireen? Bukankah mereka sudah dikira bercerai? Talak sudah jatuh dan mereka bukan lagi suami isteri? Ah! Agaknya Shahir sudah gila talak!

“Tunggu siapa? Aireen?” soal Shahir bersahaja.

“Ya... saya tunggu Aireen. Kereta dia rosak, jadi dia minta saya tolong hantar ke pejabat pagi ni,” beritahu Zarul sedikit gugup.

Entah kenapa, dia rasa tidak berdaya saat berdepan dengan lelaki itu. Karismanya terlalu kuat. Lagipun, dia benar-benar terkejut dan tidak bersedia berdepan dengan situasi seperti ini.

“Kalau begitu, tak apalah... saya boleh hantarkan Aireen nanti. Terima kasih sahaja kerana sudi membantu.”

“Tapi... tapi...”

“Saya akan beritahu Aireen... saya sendiri akan hantar dia ke pejabat. Sudah menjadi tugas saya sebagai suami.” Dalam halus, dia menyindir. Shahir cuba bertegas dengan pendiriannya.

Zarul mengalah. Dia masuk ke dalam kereta dengan perasaan berbuku. Geram. Cis! Tak guna kau, Shahir! Dia menghempas pintu kereta. Kenapa kau harus muncul saat hubungan aku dan Aireen sudah semakin rapat? hamburnya geram sambil memandang cermin belakang.

KEPALA Aireen sudah terasa mahu pecah. Berdengung dan sakit. Semalaman dia tidak boleh tidur. Hendak ke klinik, kereta pulak buat hal. Nasib baik juga Zarul sudi menumpangkan dia ke pejabat pagi ni.

Apabila teringatkan Zarul, dia mengeluh lagi. Terlupa! Tidak mungkin dia mampu pergi kerja dalam keadaan begini. Mahu bangun pun tidak berdaya. Inikan pula mahu menghadap segala kertas kerja dan laporan yang bertimbun-timbun. Segera dia memanggil Hanis.

“Ada apa, kak?” soal Hanis sambil melihat kakaknya sedang memicit-micit pelipis dengan mata terpejam rapat.

“Abang Zarul dah sampai? Kalau belum... telefon dia cepat. Tolong cakap dengan dia, akak tak pergi pejabat hari ni. Kepala akak sakit sangat.”

Hanis meletakkan tangan di dahi kakaknya. “Akak demamlah, kak. Bukan kes sakit kepala lagi dah...”

“Tak apa. Sikit saja... nanti akak makan ubat. Hanis tolong cakap dengan Abang Zarul dulu. Kesian dia... nanti tertunggu-tunggu pulak.”

“Okeylah... nanti orang cakap dengan dia.”

Hanis masuk ke biliknya dan mengenakan tudung. Lalu dia segera ke ruang ruang tamu membuka pintu.

“Ooo pocong kau!” latahnya spontan. Sebaik buka pintu sudah ada sesusuk tubuh sedang berdiri tegak. Apalagi... dia yang memang semulajadi kuat melatah terus terlompat.

Shahir ketawa. Tapi masih control. Takut ada yang terasa hati. “Assalamualaikum...”

Hanis mengurut dada. “Waalaikumussalam...” Dia memandang penuh tanda tanya pada lelaki itu.

“Ini rumah Aireen?”

Hanis menjawab dengan pandangan mata menikam. Dia menekur wajah lelaki itu dengan begitu rakus tanpa segan-silu. Mata sepet. Macam kacukan. Tentu ini Shahir. Lelaki yang pernah membuatkan hidup kakaknya tunggang-langgang sebelum ini.

Oh! Hensem juga dia. Sekali pandang, sebijik macam Aaron Aziz, salah seorang pelakon pujaannya. Cuma matanya sedikit sepet. Patutlah Kak Reen pernah jatuh hati. Tapi sayang... lelaki itu tidak mampu membahagiakan kakaknya. And never trusted good-looking man. Hatinya meyakinkan.

Macam mana dia boleh tahu rumah ni? Pelik! Atau dari semalam lagi dia memang mengekori Kak Reen?

“Awak siapa?” soalnya dengan kening terangkat. Walaupun sudah mampu mengagak, tetapi lebih baik dapatkan kepastian dulu. Lepas tu baru boleh bertindak tanpa ada rasa waswas.

“Saya Shahir...”

Hanis tersenyum. Sudah lama dia mengidam saat untuk bertemu dengan lelaki itu dan hari ini ternyata impiannya benar-benar termakbul. Amin... amin... akan tertunai juga impiannya.

“Jadi, awaklah Shahir?” Bibir Hanis kian lebar.

Shahir mengangguk lalu membalas senyuman gadis manis dengan ikhlas. Wajah gadis di hadapannya memang mirip dengan Aireen. Cuma gadis ini berkulit hitam manis dan tinggi sedikit.

“Dah lama saya nak jumpa dengan awak.”

“Ya... awak kenal dengan saya?”

“Ya sebab saya nak bagi ini!” bentak Hanis lantas melayangkan tumbukan tepat ke muka Shahir.

“Aduh!”

Lelaki itu terdorong beberapa tapak ke belakang. Dia meraba rahangnya yang terasa perit. Berpinar matanya. Kemudian pandangannya tepat ke wajah manis tadi yang sudah bertukar jelingan.

Rasa keliru menerpa. Kenapa gadis itu bertindak kasar. Apa salahnya? Tiba-tiba serangan muncul tanpa sempat dihidu.

Nampak saja luarannya lembut dan ayu. Tapi... lain benar tingkahnya dengan apa yang disangka. Dahsyat juga penangan gadis ini. Hatinya menggumam sendiri sambil menggosok mukanya yang terasa sakit.

Tentu dia adik Aireen. Daripada sambutan yang diterima dia tahu dia telah melukan hati kakak kesayangannya. Dan keluarganya turut terasa. Akhirnya, dia juga yang terima habuan!

Shahir memandang Hanis yang masih tegak berdiri di ambang pintu sambil berpeluk tubuh dan tersenyum sinis.

“Itu baru sikit... tapi apa yang kau buat pada kakak aku lebih teruk. Sekarang, kau masih berani cari dia lagi?” sindir gadis itu tajam.

Keluhan deras terhela panjang daripada bibir Shahir. Dia melangkah dua tapak ke hadapan.

“Aireen masih merajuk dengan abang?”

Merajuk?! Adus! Bengong betul! Merajuk apa ke bendanya? Dah separuh mati Kak Reen merana... boleh dia kata merajuk? Akai ada ka?

“Mana ada merajuk...”

Kata-kata itu membuat kepala Shahir tegak. Ini bererti masih ada harapan untuknya. Bibirnya sudah melebar.

“Kakak saya tu bukan merajuk lagi namanya... tapi dah tahap marah gila tau tak? Nasib baik dia waras lagi. Kalau tidak, kau ni dah lama kena kejar dengan parang. Tau!” Mata Hanis terjegil dengan gigi diketap kuat.

“Hisy... mana ada marah pulak. Kalau benci tapi sayang... itu maknanya merajuk. Kalau abang pujuk mesti okey punyalah...”

Hanis sudah menggaru kepala. Confuse. Aduh! Susah betul bila dia lagi pandai putar belit fakta.

“Boleh abang jumpa dengan Aireen. Masih ada perkara yang perlu kami bincangkan, please...” rayunya dengan mata terkebil-kebil. Tunjuk muka simpati. Mahu redah masuk memang tidak berani. Taubat! Tadi sudah berasa pukulan gadis itu. Tidak sanggup hendak rasa kali kedua.

“Mahu ke dia jumpa dengan kau?” Bahasa Hanis cukup kasar. Memang sengaja dia mahu menyakiti bekas abang iparnya. Huh! Masih ada hati bahasakan diri dia abang. Tak kuasa aku ada abang ipar macam ni! Memang tak boleh pakai!

Ada isteri yang cun macam Kak Reen tu pun masih lagi ditinggalkan. Dia sendiri sering memuji kecantikan asli kakaknya. Ada iras Maya Karin, selebriti terkenal tu. Cuma Kak Reen lebih manis dengan lesung pipit yang terserlah di wajahnya. Jadi wanita bagaimana lagi yang lelaki macam si Shahir ni cari? Memang tak tahu bersyukur!

“Abang perlu jumpa dengan isteri abang.” Suara Shahir sehabis manis. Kalau masih ditolak juga, dia memang sudah habis modal.

“Apa? Isteri? Kan ke kau dengan dia dah berpisah... hmm... maksudnya bercerai. Macam mana pulak Kak Reen masih lagi isteri kau?” soal Hanis dengan cukup garang. Geram pulak kalau ada orang buat main-main dengan soal nikah kahwin ni. Sorang kata ya... sorang kata tidak. Mana satu yang betul ni?

“Capa tu mak cu?” soal Fyra yang datang tiba-tiba. Tubuh ibu saudaranya ditolak sedikit untuk mencelah di muka pintu.

Belum sempat Hanis menjawab, anak kecil itu sudah tegak berdiri bersebelahan dengannya. Kenapalah Fyra mencelah time ni jugak. Mak usu baru nak investigate papa kamu, gerutu Hanis dengan muka cemberut.

“Ooo... papa! Yeah... papa datang... papa datang...” Fyra sudah meluru memeluk Shahir.

Hanis ternganga. Reaksi Fyra seolah-olah sudah lama kenal dengan ayahnya. Sedangkan baru semalam mereka berjumpa. Hanis jadi kaku serta-merta. Rasa terharu melihat drama jejak kasih di depan mata.

“Dah lama papa datang? Napa tak macuk umah?” soal Fyra dengan pelat dan  ramah sekali. Matanya bersinar.

“Boleh ke papa masuk?” soal Shahir sambil menjeling sekilas pada Hanis yang masih merenung tajam. Jangankan mahu menjemput masuk ke dalam rumah, malahan sambutannya cukup ‘keras’.

“Macuk la papa... jom... jom...” pelawanya sambil menarik tangan Shahir. “Tapi kan... mama sakit,” beritahu anak kecil itu dengan lancar walaupun percakapannya masih pelat.

“Mama sakit? Mama sakit apa?”

Sebab kaulah bodoh! Kalau dia tak jumpa dengan kau semalam tentu kakak aku tak jadi begini, kutuk Hanis di dalam hati. Benci betul dia melihat wajah lelaki yang telah menghancurkan hidup kakaknya.

Fyra sudah menarik tangan papanya masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke bilik.

Hanis membuka mulut mahu menghalang. Tapi tiada suara yang keluar. Akhirnya, dia juga turut masuk ke bilik kakaknya.

Dyra sedang memicit dahi mamanya yang kelihatan sedang tidur. Sebaik terpandang wajah Shahir, mulutnya terus ternganga dengan matanya yang bulat bersinar-sinar.

Lekas-lekas Shahir letak jari telunjuk ke bibir. Isyarat agar Dyra tidak membuat bising.

Hanis duduk di sisi katil sambil menyentuh dahi kakaknya sekali lagi. “Panasnya! Kak... kita ke klinik,” pujuk Hanis perlahan. Walaupun mata Aireen masih tertutup namun dia tahu kakaknya masih belum tidur.

Aireen menggeleng perlahan. Kepalanya terasa berat sekali. Seluruh tubuh terasa sengal.

Hanis mengeluh. Begitu juga dengan Shahir. Kedua-dua mereka memang maklum benar dengan sikap Aireen yang takut untuk ke klinik atau hospital. Makan ubat pun sudah nampak terseksa, inikan pula kalau menerima suntikan!

“Jom pergi klinik... abang boleh tolong hantar,” pelawa Shahir ikhlas. Dia tahu kereta Aireen rosak. Takkan suruh orang sakit pergi klinik dengan teksi.

Hanis mengerut wajah sebelum terdiam sebentar. Dia sedang membuat pertimbangan. Kalau ikutkan rasa hati memang ‘pantang’ nak mintak tolong daripada lelaki itu. Tapi apabila memikirkan kesihatan kakaknya, mungkin dia terpaksa membuang egonya seketika.

Kalau demam Kak Reen makin teruk macam mana? Manalah tahu kena denggi ke.... demam kepialu ke. Hisy! Susah... susah. Tapi kalau Kak Reen tahu dia terima bantuan Shahir macam mana? Lagi naya!

“Tapi akak tak mahu. Bukan senang nak pujuk dia pergi klinik... payah!” beritahu Hanis dengan keluhan kuat. Ketika itu rasa bimbang lebih mengatasi rasa marah pada Shahir.

“Tahu...”

Ya tak ta jugak! Mereka kan pernah bersama, jadi suami isteri. Mestilah dia pun tahu perangai akak yang memang macam budak kecik bila sakit.

Hanis mengangkat kening. Habis tu nak buat apa?’

“Memang dia tak mahu. Tapi kita boleh paksa.”

“Macam mana?”

Shahir mencampakkan kunci kereta. Hanis sambut.

“Pergi buka pintu kereta.” Dia memberi arahan sambil menuju ke katil dan mencempung tubuh Aireen.

Dyra dan Fyra saling berpandangan. “Papa...” Serentak mereka berbisik keras dengan mulut terlopong dan mata membuntang.

“Jom... cepat!” arah Shahir sekali lagi apabila melihat Hanis masih kaku. Ternganga.

“O... okey...” Buru-buru dia mendahului sambil diekori oleh Fyra dan Dyra dari belakang.

BAB 5

BARU 30 minit, tapi terasa bagaikan sudah lima enam jam tercongok di sini. Hanis terus tenung jarum jam yang bergerak di dinding putih Klinik Doktor Ramlee.

Nasib baik ada klinik yang sudah buka seawal jam 8.00 pagi dan kebetulan jarak klinik dari rumah cuma sepuluh minit.

Sesekali dia sempat menjeling pada orang di sebelahnya. Nampak panik! Menggelabah! Sudah berpuluh-puluh kali dia dengar lelaki itu mengeluh. Mendesah. Mengalahkan sedang menunggu isteri bersalin lagaknya.

Itulah... dulu masa Kak Reen bersalinkan Fyra dengan Dyra, kau tak ada. Hilang thrill menunggu anak sendiri lahir ke dunia. Tempelak Hanis hanya bergema di dalam dada.

“Kak Reen tak ada apa-apa... janganlah risau sangat,” ujar Hanis tanpa menoleh.

“Hmm...” Shahir macam orang mamai apabila Hanis menegurnya secara tiba-tiba.

“Jangan risau... Kak Reen cuma pengsan.”

“Oh... ya... ya...” Shahir tergaru-garu kepala. Tapi dia tetap tidak mampu mengusir perasaan bimbang.

Itulah... pandai-pandai dukung Kak Reen ke klinik tanpa kebenaran. Bila Kak Reen sedar dia di klinik, tambah pulak Abang Shahir yang sedang mendukung dirinya... terus dia pengsan. Tak tahulah sama ada pengsan sebab takut dibawa ke klinik atau terkejut sebab terpandang muka Abang Shahir.

“Aireen!”

Mendengar jeritan Abang Shahir, dia juga terkejut sakan. Fyra dan Dyra ikut menjerit sama walaupun mereka sendiri tidak tahu-menahu puncanya. Buru-buru mereka membawa Kak Reen masuk ke bilik doktor.

Tetapi yang paling geli hati apabila mendengar soalan tidak bersalah doktor kepada Abang Shahir.

“Isteri awak mengandung?”

Abang Shahir pulak terkulat-kulat memandang kepadanya mengharapkan jawapan. Ya ampun! Masa tu terasa mahu luku saja kepala dia. Kurang bijak atau dah hilang ingatan? Sudah bertahun-tahun mereka tidak jumpa. Macam mana pulak Kak Reen boleh mengandung? Sendiri mau ingatlah... takkan itu pun nak kena ajar?

Aku yang tak kahwin lagi ni pun boleh faham soalan doktor tu. Bukannya susah sangat pun! Bila aku menggeleng kepala terus Abang Shahir buat confirmation dengan Dr. Ramlee.

“Tak... isteri saya tak mengandung.”

Masa tu memang aku rasa nak bantai gelak gila-gila bila tengok muka dia yang masih blur! Rasa nak guling-guling atas lantai. Kelakar gila!

Sejak itu, entah kenapa secara automatis pandangan jahat atau rasa meluat pada lelaki itu kian terhakis. Malah panggilan pada lelaki itu juga turut sama berubah dengan sendiri. Dia nampak kebaikan dan keikhlasannya. Malah, tindakannya tadi telah membuktikan sesuatu. Lelaki itu bukannya jahat.

Hanis rasa simpati. Tak sangka sampai begitu sekali abang iparnya mengambil berat terhadap kakaknya. Dari pengamatannya, lelaki itu cukup semuanya. Dia juga nampak amat mengambil berat dan bertanggungjawab. Tapi apa sebenarnya yang berlaku antara mereka dulu? Masakan dia sanggup pergi meninggalkan kakaknya begitu sahaja lima tahun dulu?

“Saya Hanis... adik Kak Reen.”   

“Aaa...” Shahir masih di awang-awangan. Yang ada dalam kepalanya cuma keadaan isterinya.

 “Apa tadi? Abang tak dengar...” Pandangannya dari tadi jatuh pada Fyra yang sedang tidur di ribanya. Dyra pula dipangku gadis di sebelahnya.

Memang Mat Jenin betullah mamat ni... suka berangan. Nasib baik abang ipar aku. Kalau tak dah lama kena luku. Orang tengah bercakap, dia pula terus layan perasaan, gumam Hanis dalam hati.

“Saya adik Kak Reen, Hanis. Satu ayah satu ibu...” Dengan ramahnya tiba-tiba Hanis rasa mahu memperkenalkan diri.

“Hanis...” Shahir mengulang kembali nama gadis itu perlahan. Bibirnya senget sebelah. Tersenyum simpul. Hmm... harapkan nama saja lembut dan ayu. Tapi orangnya... menakutkan. Confirm tak ada teman lelaki. Shahir mencongak dalam diam.

“Aireen pun pernah cerita pasal Hanis.”

“Ya?” Mata Hanis bulat. “Cerita pasal apa? Yang baik-baik belaka atau yang sedang-sedang saja...”

Ketawa Shahir terbabas. Hilang gundah di jiwa. Kelakar juga adik ipar aku. Memang tidak sangka.

Hanis juga ikut ketawa. Tetapi ada sesuatu yang mengganggu akalnya kala itu. Tertanya-tanya sejarah mereka berdua.

“Kenapa abang tinggalkan Kak Reen dulu?” Entah kenapa soalan itu terus meluncur laju tanpa sempat memikirkan risiko dan kesannya.

“Haa...” Sekali lagi lelaki itu nampak blur!

Kali ini Hanis pula yang mendesah. Abang Shahir macam tengah berangan. Entah ke mana fikirannya merewang!

“Orang tanya... kenapa abang tinggalkan Kak Reen lima tahun dulu?” ulangnya sekali lagi dengan nada lebih kuat.

Shahir menoleh ke muka adik iparnya serta-merta. Angin tak ada... ribut tak ada, tiba-tiba boleh keluar soalan maut begitu. Memang lazer sungguh budak ni! Bila menyoal tidak pernah tapis-tapis. Main terjah saja! Kasar pulak tu. Insiden tadi pun masih buat rahangnya terasa longgar. Ini kalau salah jawab agaknya memang makan buku lima lagi ni. Memang serik!

“Helo... helo...” Hanis petik jari di depan muka Shahir. Kalau dibiarkan boleh sampai sempadan Siam agaknya.

“Ya... ya... abang dengar.”

“Ingatkan mengelamun tadi,” tempelak Hanis.

Shahir mengeluh. “Abang tak sengaja tinggalkan Kak Reen. That’s where I went wrong. Tapi itu semua hanya salah faham. Kami berpisah kerana takdir. Abang sendiri tak sangka... benda dah nak jadi.”

“Takdir?” Hanis tidak puas hati mendengar jawapan abang iparnya. Kalau ya pun... can you please give me a better reason! Balik-balik takdir juga yang salah. Kenapa tak mahu mengaku apa yang berlaku memang salah diri sendiri?

Shahir nampak pandangan gadis itu begitu tajam. Menikam. Sedikit sebanyak gentar juga iman lelakinya.

“Senangnya... bila buat salah terus salahkan takdir?” sindir Hanis dengan kening terjongket sebelah.

“Kalau abang tahu begini kesudahannya tak mungkin abang akan pergi lima tahun dulu. I didn’t mean it.”

“Habis tu kenapa pergi?” celah Hanis.

“Abang cuma pergi sekejap... and seriously, I never meant to leave her. Tapi bila abang kembali, she wasn’t there. Dia tak tunggu abang. Dan kalau abang tahu dia mengandungkan anak-anak abang, tak mungkin abang sanggup biarkan kami terpisah. I do regret what was happened in the past,” tekan Shahir bersungguh-sungguh.

“Tapi kan talak dah jatuh... abang dengan Kak Reen dah tak ada ikatan lagi. Kenapa abang beria-ia nak datang semula? Gila talak ke?”

Shahir telan liur mendengar soalan Hanis. Amboi! Sedapnya mulut... bisa sungguh. Pertanyaan Hanis terlalu telus. Kalau aku masih lagi bergelar suami, mana boleh gila talak!

“Talak tak pernah jatuh... Hanis. Abang masih lagi suami kepada Aireen,” tegas Shahir bersungguh-sungguh.

Hanis sudah mula keliru. Mana satu yang betul ni? Sedangkan Kak Reen cakap dia sudah menjanda sejak ditinggalkan lagi. Kepalanya digaru. Sampai senget tudung. Confuse betul. Susahnya nak faham masalah Kak Reen ni.

“Betul ke ni? This is serious. Abang jangan nak main-main soal nikah kahwin. Cepat cakap terus terang.”

“Betul... bukannya abang tipu. Hubungan kami masih lagi terikat. Dan abang berani sumpah... I’m always her husband.”

 “Jadi... jadi...” Aduh! Kalau ikutkan dia memang patut percaya pada Kak Reen. Tapi bila tengok muka Abang Shahir, dia terus terpengaruh dengan apa yang baru diberitahu tadi.

Nasib baik Kak Reen belum terima lamaran Abang Zarul. Kalau tak memang kerja gila namanya. Kalau emak tahu lagilah naya!

“Are you sure?” Dah macam penyiasat dari jabatan agama Islam pulak gaya Hanis bersoal jawab.

Shahir hanya mengangguk.

“Habis tu... kenapa abang perlu pergi walaupun abang tak ada niat nak tinggalkan Kak Reen?”

Soalan itu membuatkan Shahir terdiam. Dia menyebak rambut yang berjuntai di dahi ke belakang. “Panjang ceritanya, Hanis. Satu hari nanti Hanis akan tahu juga,” ujar Shahir lambat-lambat.

Melihat muka keruh abang iparnya, Hanis tidak jadi mahu mendesak. Ya... satu hari nanti dia akan tahu juga.

“Jadi bila dah jumpa dengan mereka... what is in your mind now?” soal Hanis gaya pakar perunding keluarga pula.

“Abang nak tebus balik masa lalu. I’ll make it up. Dengan Aireen... dengan Fyra dan Dyra. Banyak yang perlu abang lakukan. ”

“Tahu tak apa,” sindir Hanis dengan senyuman sinis.

“Abang harap Hanis sendiri boleh bagi abang peluang untuk betulkan kesilapan lalu. I just need a chance... one more chance.”

Hanis tenung lama wajah Shahir. Baru beberapa jam mengenali lelali itu, dia sudah meletakkan kepercayaan kepadanya. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang membuatkan dia ‘sejuk hati’. It was hard to trust a stranger. Tapi dia tidak mampu menafikan bahawa dia sudah mula mempercayai lelaki itu. Susah nak diterangkan kenapa. Jauh di dasar hati, dia yakin lelaki itu tidak bersalah.

“Tapi ingat...” Jari telunjuknya sudah diangkat tinggi.

Shahir menjadi kaget tiba-tiba.

“Don’t you dare hurt her feeling again. Dia dah banyak menderita. Apa yang telah dia harungi selama ini sudah terlalu berat. Tolong jangan tambah lagi rasa beban itu.”

Shahir tertunduk dengan rasa bersalah. Dia meraup muka dengan kedua tapak tangan.

“Kalau abang buat lagi, buruk padahnya.” Kata-kata akhir Hanis berupa amaran. Dia memang tidak sanggup lagi melihat kesedihan kakaknya. Lebih berisiko kali ini apabila turut melibatkan perasaaan Fyra dan Dyra.

“Abang janji... kali ni abang takkan kecewakan Aireen lagi. I swear, I’ll be the best husband in the world if she give me a second chance. Malah, abang akan melindungi anak-anak abang juga.” Spontan Shahir mematri janji.

Dia mengurut-urut rambut Fyra yang masih nyenyak di ribanya. Begitu juga dengan Dyra. Silih berganti matanya memandang kedua-dua mereka. Rasa tanggungjawab dan naluri seorang bapa terus berkembang sejak pertama kali bertemu dengan mereka.

5 comments:

e.s.p.r.i.t said...

novel ni best,,thniah akak

Norhasniza Khalid said...

saya sedang membaca novel ni, belum penghujung lagi.. x sabar nak abiskan..

AE said...

slmt membaca Norhasniza :D

AE said...

Terima kasih e.s.p.r.i.t :D

alif danial said...

mane nak cari lagi ye novel ni 2015? T.T