AE @ Sinar Harian, 22 Jun 2012
Mengenai Penulis
Gandingan minat dan pendidikan formal dalam bidang penulisan telah mencipta identiti AYU EMELDA.
Ayu Emelda merupakan puteri tunggal daripada lima adik-beradik. Hobi membaca akhirnya mencetuskan naluri untuk berkarya. Ijazah Komunikasi Massa (UiTM) juga banyak membantu. Walaupun sebelum ini pernah menghasilkan beberapa artikel, secara peribadi masih ada sesuatu yang dicari.
Keinginan begitu mendalam untuk mengutip pengalaman yang lebih luas, terutamanya menghasilkan sebuah penulisan yang mempunyai nilai sentimental. Kerana desakan keinginan, lahirlah Lagu Rindu. Namun, menjadi seorang novelis bukannya mudah seperti yang diduga.
Apalagi sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak yang masih kecil. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan masa yang besar. Menulis memerlukan jiwa, perasaan dan penghayatan selain akal serta fikiran.
Watak Puteri Adalea dan Tengku Iman Aqmal tampil dengan kesempurnaan dan kekurangan. Kedua-duanya punya personaliti menarik, baik, penyabar dan punya aura tersendiri. Namun lumrah kehidupan, manusia tidak terlepas dari sifat cemburu, marah dan dendam dalam mencari kebahagiaan.
Lagu Rindu adalah langkah pertama untuk mendekati dunia penulisan kreatif secara lebih dekat. Ternyata masih banyak yang perlu dipelajari. Betapa kekurangan diri telah mencetuskan kesedaran, selagi bumi ini berputar selagi itulah ilmu terus berlegar. Kita hanya perlu berusaha mencari.
Semoga para pembaca sudi untuk menghayati bersama karya ini. Sesungguhnya yang baik itu diilhamkan daripada ALLAH, dan segala kekurangan adalah hakikat kelemahan seorang insan.
Sumber: http://www.alaf21.com.my/penulis/?idWriter=74