28 June 2012

Benci! Benci Benci! ~ Bab 62 & 63

~ Bab 62 ~

“DAMN YOU!” amuk Zarif sambil menghentak stereng kereta. Sebaik melihat tubuh isterinya tenggelam dalam dakapan Akim, dia tidak sanggup memandang lagi. Cukuplah dirinya ditipu hidup-hidup.

Enjin kereta dihidupkan dan bergerak tanpa destinasi. Gambaran tadi melekat di kepala. Masing-masing cuba melempiaskan rindu dendam barangkali. Tanpa segan silu.

Ini bukan pertemuan mereka yang pertama. Sudah berulang-ulang kali? Aduh! Maruahnya terasa bagai menyembah bumi. Hatinya bagai disiat-siat. Sakitnya hanya DIA yang tahu.

“Kenapa, Qisya? Kenapa?” Tangan kanannya menghentak-hentak stereng kereta. Bunyi hon yang panjang menyedarkan dirinya. Hampir sahaja keretanya bertembung dengan kereta dari arah depan. Nasib baik dia sempat mengelak.

Dia memarkir kereta sebaik membelok ke kawasan kedai. Beristighfar dia berkali-kali. Dipejamkan mata dan mengurut dada. Kolam mata terasa hangat.

“Ya ALLAH... kuatkanlah kesabaranku. Aku hanyalah hamba-MU yang lemah. Sentiasa khilaf dalam membuat percaturan hidup. Tunjukkanlah kepadaku jalan yang benar. Jalan orang-orang yang ENGKAU redhai,” doanya dalam sendu sambil meraup muka dengan telapak tangan. 

Sakitnya dikhianati insan yang disayangi. Jiwanya kosong dan hilang arah. Disangkakan Qisya sudah melupakan Akim. Lewat waktu ini hubungan mereka mula mesra kembali. Tetapi kehadiran Akim mencipta bala. Bedebah! Segala impiannya sudah hancur!

Mujur segalanya terbongkar sekarang. Walau sakit dan sengsara, dia tetap harus berdepan dengan hakikat. Air matanya terlerai. Setitis melurut di pipi. Panggilan telefon yang diterima daripada Akim terus berputar bagai pita rosak dalam kepala.

“Kami memang selalu jumpa tanpa pengetahuan kau. Kau saja yang bodoh dan tertipu selama ni.” 

Suara Akim terus bergema, membakar kasih sayang dan kebaikan hingga jadi bara.

“Tak usahlah mereka cerita. Aku tak akan terpedaya dengan permainan kau! Rancangan jahat kau!”

Ketawa Akim menggila. “Kalau kau mahukan bukti yang Qisya masih sayangkan aku, jangan lupa datang. Biar mata kau sendiri jadi saksi.”

“Tak! Aku tak akan jatuh ke dalam perangkap kau. Qisya tak mungkin tergamak bertindak begitu.”

“Pengecut!” tempik Akim lantang. 

“Cakaplah apa yang kau mahu. Aku tak akan terpedaya.”

“Kesian kau, Zarif... aku tahu kau takut berdepan dengan kebenaran. Kau takut apa yang aku buktikan nanti membuat kau menderita.” Lelaki itu semakin seronok meranapkan perasaan Zarif. 

Dada Zarif kian berombak.

“Pengecut! Itu sahaja alasan kau. Atau kau boleh buktikan sebaliknya jika kau datang ke sini. Saksikan sendiri bahawa antara aku dan Qisya tak pernah berubah walaupun engkau suaminya.” 

Dan kini, apa yang dilihat tadi benar-benar menyesakkan dada. Sama sekali tak pernah diduga isterinya tergamak berbuat perkara terkutuk di belakangnya. Cukuplah! Dia tidak sanggup terus tertipu. Perkara ini harus diselesaikan dengan segera.

 ~ Bab 63 ~ 

BILA masuk ke rumah, Qisya amat terkejut melihat Zarif di ruang tamu. Belum sempat kakinya memanjat anak tangga, namanya dipanggil. Suara tegang suaminya amat menakutkan.

“Dari mana?”

“Er...” Qisya kelu. Saat matanya bertaut dengan pandangan Zarif yang merah menyala, bibirnya bagai digam.

“Dari mana?” jerkah Zarif.

Terenjut tubuh Qisya kerana terkejut. Dia menunduk. Bimbang dan takut saling mengasak dalam dada. Apa pula kesalahannya kali ini. Besar sangatkah sampai Zarif nampak begitu bengis?

“Jawab bila aku tanya!” “Saya... sa... saya jumpa kawan.” Suara Qisya terketar-ketar. Sedih pun ada apabila dijerkah begitu.

“Siapa kawan kau?” Pandangan Zarif penuh amarah. Menanti dengan nafas panas jawapan isterinya.

Namun, bibir Qisya terus sepi. Apabila suaminya sudah mula menggunakan ‘kau - aku’, dia tahu sesuatu yang buruk bakal berlaku.

“Kau jumpa Akim?”

Qisya memejam mata.

“Jadi, betullah selama ni kau tetap jumpa dengan dia secara sulit di belakang aku?”

Qisya menggelang lemah. Air mata sudah bertakung. Kenapa lelaki itu menuduh tanpa usul periksa?

“Jangan tipu.”

“Jangan fitnah saya.” Mutiara jernih gugur tanpa dapat dikawal lagi. Tuduhan Zarif memilukan hati Qisya. Ini bukan kali pertama. Malah, lelaki itu pernah mengaku dia tersalah langkah. Dan kini Zarif mengulangi kesilapan yang sama?

Tubuh Zarif sudah tegak. Berdiri betul-betul depan Qisya. Jarak mereka hanya dua kaki sahaja. Debaran di dada Qisya semakin kencang.

‘Ya ALLAH... peliharalah hamba-MU ini daripada keburukan. Siramilah hati suamiku dengan rasa kasih dan sayang. Jauhilah hatinya daripada amarah, benci dan bisikan syaitan,’ doanya merintih dalam hati.

“Kau kata aku fitnah? Mata ni sendiri yang jadi saksi tahu tak? Dalam senyap kau berjumpa dengan dia!”

Diam. Mulut Qisya berat. Terasa tidak berdaya mempertahankan diri. Tidak mampu membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Kenapa? Masih tak mahu mengaku? Atau kau sebenarnya terkejut kerana tembelang kau dah pecah?”

Air mata kian hebat gugur. Dilelas berkali-kali. “Memang... memang betul kami berjumpa. Tapi saya cuma tolong Akim. Dia dalam kesusahan... dia perlukan pertolongan saya...”

“Sudah! Kau ingat aku nak percaya pembohongan kau? Dasar perempuan murahan!”

Hancur lumat hati Qisya sebaik ayat itu terlucut daripada bibir suaminya. Bengkak hatinya. Luluh jiwanya. Apabila kesetiaannya diletak di tempat paling bawah, apa lagi yang tinggal?

“Isteri apa kau ni?” Suara Zarif bergema garang.

Tubuh Qisya berasa lemah longlai.

“Jadi, betullah semalam Akim masuk ke rumah ni?”

Qisya mendongak. Benar-benar tidak sangka Zarif tahu kedatangan Akim semalam.

“Jawab Qisya!”

“Dia datang... tapi...” Belum sempat ayat Qisya habis, pipinya sudah terasa pijar. Tamparan Zarif begitu kuat hingga tubuhnya terlentang ke belakang. Sakitnya menular ke setiap sendi. Pandangannya berpinar beberapa saat. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya.

“Perempuan sundal!” Jari telunjuk Zarif menunjal-nunjal kepala isterinya. Amarah sedang menguasai diri. Bisikan syaitan telah meresap ke hati, menyemarakkan api benci dan dendam. 

Tangisan Qisya meledak. Parahnya jiwa. Tiadakah peluang untuk dia membela diri?

Kenapa Zarif menghukum tanpa usul periksa?

“Kau memang perempuan tak ada maruah. Menyesal aku kahwin dengan kau dulu!” Kali ini kepala isterinya ditolak sekuat hati.

Tubuh Qisya terjelepuk ke lantai lagi sekali. Maruahnya sudah tiada harga di mata suami. Inikan pula air mata. Langsung tidak memberi sebarang simpati. Malah, lebih mengundang kemarahan. 

Bagi Zarif, air mata itu hanya satu lakonan. Penuh kepura-puraan. Wajah naif dan polos isterinya selama ini hanya topeng untuk memastikan rancangannya berjalan lancar. Wajah isterinya semakin menyakitkan hati.

“Itu yang awak tahu kan? Menghukum tanpa usul periksa.” Entah dari mana datangnya kekuatan untuk meluahkan perasaan. Mungkin kerana Qisya sudah lali dengan panas baran Zarif.

“Kurang ajar kau!” Zarif mengangkat tangan tinggi.

“Pukullah kalau itu dapat puaskan hati awak. Awak memang dayus. Berani sakiti isteri.”

Darah panas sudah menggelegak. Pipi Qisya ditampar lagi. “Diam! Kau tak layak mempertikaikan aku!”

“Saya tak salah.” Qisya memegang pipi yang pedih.

“Diam! Kau tak layak bersuara. Perempuan macam kau memang patut kena pukul. Dan kau sepatutnya dilaknat dari muka bumi ni.”

Hati Qisya bagai disambar petir. “Awak sebenarnya yang dayus! Awak kejam, Zarif! Kejam!” 

“Hoi!” Pandangan lelaki itu semakin tajam dan bengis.

“Awak takut dengan bayang-bayang sendiri.”

Tangan Zarif lebih pantas. Pipi Qisya ditampar berkali-kali. Ada darah merah yang menyembur. Tidak cukup dengan itu kepala isterinya dihentak ke lantai tanpa belas kasihan.

“Awak... jangan...” Qisya meminta belas simpati.

“Rasakan!” Tempik Zarif yang dirasuk iblis.

“Ya ALLAH...” Hanya kalimah itu yang terucap dari bibir Qisya berkali-kali.

“Aku akan pastikan kau terseksa dan merana!” jerkah Zarif, lantas keluar dari rumah dengan amarah yang menjulang.

Tubuh Qisya benar-benar sakit. Dalam kesakitan dia mengengsot mahu mencapai telefon. Hanya nama Mila yang terlintas. Tangannya terketar-ketar. Nama ALLAH dilaung dalam hati. Bantulah hamba-MU ini. Dia terus merintih berdoa...

1 comment:

Shera Shin said...

nakbacaaaaa