25 June 2012

Benci! Benci! Benci! @ Bab 41


SELEPAS subuh tadi lagi perasaan Qisya tidak enak. Tidak tahu apa tetapi itulah yang dirasakan. Apa yang berlaku antara dirinya dan Zarif begitu mengelirukan. Apa sebenarnya yang lelaki itu mahu daripadanya? Sebagai isteri atau hanya sekadar untuk mengisi ruang-ruang sepinya?

Bihun goreng yang masih berasap disenduk ke pinggan. Baru hendak ke bilik memanggil Zarif, lelaki itu sudah turun. Mereka bersapa dengan mata.

“Err...” Qisya ingin menegur tetapi bibirnya kaku.

Tiada senyuman, lelaki itu terus memakai kasut dan mencapai jaket, lantas berlalu. Tinggallah dia terkesima dengan perasaan berbalam. Dia pergi begitu sahaja? Hatinya sedang dikoyak-koyak. Setelah apa yang mereka lalui bersama semalam, kini lelaki itu kembali dingin. Meninggalkan dirinya tanpa sepatah kata.

Tubuhnya kaku di situ, memandang pintu yang sudah tertutup rapat. Sama seperti hati Zarif barangkali. Tertutup rapat hingga tiada ruang lagi untuk namanya hadir di situ. Rasa sebak bagai menghentikan nafas. Hatinya pedih bagai diselar, luka dan remuk.

“Kenapa jodoh aku dengan lelaki yang hipokrit dan dingin?” Dia mencemuh geram. Namun, dia segera beristighfar.

“Andai suatu hari nanti Qisya bersuami, hormatilah dia sepertimana mak hormatkan abah. Beri kasih dan sayang. Perhatian mak membuatkan abah bahagia, Qisya.”

Kasih sayang... itu yang diharapkan daripada seorang suami. Betapa Zarif perlu menerima penghargaan daripadanya untuk saling membalas.

“Kenapa Zarif tak macam abah? Mungkin kerana aku tak layak untuknya?” gumamnya dengan rasa rendah diri dan kerdil.

Dia mencapai baju sejuk, lalu keluar melalui pintu dapur. Tiada arah dan tujuan. Akhirnya, tersandar lelah di dinding. Angin sejuk mencengkam di segenap tubuh. Badannya menggigil. Nafasnya terasa sesak kerana udara sejuk atau sebenarnya kerana memikirkan arus hidupnya yang tiada haluan.

Matanya memandang kosong padang yang sudah keperangan. Pokok-pokok di sekitarnya hanya tinggal ranting. Gondol tanpa dedaun. Mukanya pula sudah terasa kebas.

Bunyi telefon rumah yang terletak di sebelah pintu dapur memaksa dia melangkah masuk dengan langkah berat.

“Saya tak balik tengah hari nanti.”

Qisya terkejut disapa suara di corong sana secara tiba-tiba.

“Hmm...” Tidak tahu apa yang perlu dijawab.

“Saya tak balik lunch nanti. Tak perlu masak banyak-banyak.

Cukuplah untuk awak seorang.”

“Okey.”

“Hari ni mungkin saya balik lambat. Agaknya malam baru sampai rumah. Banyak kerja.”

“Okey.” Sepatah juga yang keluar dari bibir Qisya.

“Jangan tunggu saya.”

Qisya memejam mata. Hatinya bagai dicarik-carik mendengar suara dingin Zarif. Sepantas itu dia berubah?

“Kenapa...” Belum sempat bersuara, talian di sana sudah diputuskan. Qisya menelan liur. Terasa diri cukup kerdil. Tiada nilai dan harga di mata seorang suami. Dirinya umpama sebiji bola. Boleh diperlakukan apa sahaja di kaki suami.

Perangai Zarif ada pasang surut. Sikap marah-tenang-tegangnya boleh datang dan pergi bila-bila masa. Perasaan dia sahaja yang penting agaknya. Sedangkan orang lain di sisinya tidak dipedulikan. Memang menyakitkan hati betul! Menyampah!

Kenapa dia boleh terperangkap dalam permainan Zarif? Kenapa dia buta melihat taring lelaki itu ketika cuba memikat dulu?
“Akim...” Spontan nama lelaki itu meniti di bibir. Ingatannya melayang. Kenangan manis yang pernah dikecapi hadir tanpa diundang. Ada rasa kesal datang menyapa.

Bagaimana hidupnya jika lelaki itu yang dinikahi? Adakah layanannya seperti Zarif? Sudah tentu tidak. Akim cukup sederhana. Dan hubungan mereka dulu tidak pernah berbunga pertengkaran.

Bahagiakah Akim? Sudah ada penggantikah? Ada cemburu yang terdetik apabila membayangkan lelaki itu di samping wanita lain. Bukan salah dia! Hatinya meningkah. Kerana keadaan mereka putus hubungan. Sudah takdir.

Qisya beristighfar. Kenapa dia teringatkan lelaki lain sedangkan dirinya sudah jadi milik Zarif? Hatinya terus bermuhasabah, menyesali kesilapan diri. Tapi rasa kecewa dengan layanan suaminya begitu meruntun kalbu. Sampai bila lagi dia harus menerima nasib sebegini? Sudah penat berharap. Hakikatnya dia sekadar pengemis cinta yang tidak punya harga.

Setiap kali dia cuba ingin menyayangi lelaki itu, semakin hatinya terluka. Sakitnya bukan kepalang. Mungkin menjauhkan diri adalah jalan terbaik. Membina benteng dan tembok agar hatinya tidak terus disakiti atau dilukai. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi kecewa. Tidak terus berendam air mata.

Dia kian yakin. Itulah yang terbaik. Kasih sayang dan cinta yang mula berputik harus diusir jauh-jauh.

“BERANGAN?” sergah Fatah. Pelik melihat sikap Zarif beberapa hari ini. Perhatian dan tumpuan seakan tergugat.

Zarif tersenyum tawar, lalu meneguk kopi yang masih panas. Sandwic tuna di depannya masih tidak terusik.

“Tell me, bro. What goes wrong?”

Zarif menggeleng.

“Aku tahu kau ada problem.” Fatah mengangkat kening.

Nafas panjang terhela daripada bibir Zarif. Susah! Sukarnya mahu meluahkan apa yang berbuku di dada.

“Come on... Takkan dengan aku pun nak berahsia?”

“Entahlah, Fatah. Susah aku nak cakap.”

Fatah gelak. “Pelik betul kau ni. Dulu, bila balik ke sini dengan isteri, aku tengok kau betul-betul happy. Tapi sekarang lain pulak. Masalah rumah tangga?”

Zarif ikut gelak. Hambar.

“Kau macam ketawa dalam duka. That bad?”

Nafas berat terhela lagi. “Susah aku nak cakap. Apa yang berlaku tak seperti yang aku bayangkan selama ni. Kahwin dengan dia bukan bererti aku benar-benar memiliki dia.”

“Apa masalahnya?”

“Bila depan Qisya, aku tak boleh nak kawal diri.”

“Apa maksud kau?”

“Aku selalu sakiti hati Qisya. Bila pandang dia, aku... aku...” Bibir Zarif terlalu berat.

“Ceritalah... aku ikhlas mendengar. Mana tahu ada yang aku boleh tolong. Aku kan makan garam lagi lama daripada kau.”
Zarif tersengih mencebik. “Apa daa... macam bagus.”

“Lawak-lawak jugak. Tapi jangan risau, rahsia kau selamat dengan aku.” Fatah seolah-olah menarik zip di bibirnya.

“Yalah tu.”

“Betul... Dengan Mila pun aku tak akan cerita.”

“Janji?”

Fatah mengangguk. “Tapi kenapa? Berat sangat ke masalah kau sampai aku kena berjanji?” Keningnya berkerut.

Zarif menghela nafas panjang. “Dia masih tak dapat lupakan Akim. Mereka masih berhubung, Fatah,” beritahunya lirih.

“Jadi... selama ni dia masih tak dapat lupakan Akim?”

“Setahu aku mereka masih berkirim e-mel dan FB.” Zarif memandang sandwich di depannya tanpa selera.

“Kau yakin? Ada bukti?” soal Fatah bagai seorang penyiasat pula lagaknya.

“Aku sendiri pernah baca, Fatah. Mata aku sendiri jadi saksi hubungan mereka berdua.” Suara Zarif tegang.

Kali ini Fatah pula yang mengeluh.

“Sebagai lelaki dan suami, aku rasa tercabar.”

“Sebab tu kau sakiti perasaan Qisya?”

“I can’t control myself. Bila pandang wajah Qisya, spontan aku teringatkan Akim. Kau sendiri tahu sejarah aku dengan Akim.”

“Sabarlah, Zarif. Bawa berbincang. Give her some space and time.”

“Aku dah cuba... tapi...” Berat untuk Zarif meluahkan. Perasaannya sedang berperang di dalam.

“Qisya belum tahu perkara sebenar? Belum tahu tentang Akim?”

Zarif menggeleng.

“It’s not that easy. Antara kami bertiga ada sejarah yang cukup panjang. Complicated. Walaupun dia milik aku sekarang, tapi hakikatnya kami terlalu jauh. Aku rasa tak mampu meyakinkan dia.”

“Tapi dia perlu tahu kebenarannya, Zarif.”

“Tak semudah itu.”

“She has to see it, to believe it.”

Zarif memandang Fatah dengan rasa keliru.

“Bila bukti sudah ada di depan mata, tentu segalanya akan terbongkar. Cuma kau kena cari kesempatan.”

Zarif mengangguk. “Mungkin betul cakap kau.” Mungkin sudah sampai masanya Qisya berdepan dengan rahsia yang tersimpan kukuh selama ini.

No comments: