29 June 2012

Benci! Benci! Benci! ~ Bab 57


MENGGELETAR tangan Qisya saat terpandang kiriman e-mel daripada Akim. Bukannya satu, tapi tiga. Sudah hampir seminggu dia tidak menggunakan internet. 

Hati sedang di persimpangan. Sama ada mahu buka atau tidak. Baca atau dibiarkan saja.

Message: Saya sayang awak

“Tak ada salahnya. Setakat baca.” Suara hatinya mengizinkan.
Perlahan-lahan dia membuka e-mel itu. Satu per satu perkata dibaca dengan hati terusik.

David beritahu awak datang ke Washington. Tapi malunya saya apabila tahu awak menyaksikan sesuatu yang tak sepatutnya terjadi.

I’m really sorry for what had happened. Segalanya bukan kehendak hati. Itulah yang pertama kali. Percayalah, Qisya. Saya bersalah dan berdosa. Pada DIA dan pada awak.

Kalau kisah lalu boleh diubah semula, tentu saya akan pastikan perkara itu tak berlaku. And I can only leave it all behind. Because I can’t go back no matter how.

Qisya membaca e-mel yang kedua setelah menarik nafas dalam-dalam.

Message: I’m so sorry

I’m so sorry... hanya itu yang mampu saya ucapkan. Memang salah saya. Saya bodoh. It’s hard to accept, but I can’t change the past.

Sesungguhnya, apa yang berlaku bukannya sengaja. Semuanya terjadi dengan tiba-tiba bila saya mahu buang rasa sakit dan pedih di hati. Sakitnya bila insan yang dicintai kepunyaan orang lain.

Cinta kita yang berakhir secara tiba-tiba membuatkan saya hilang arah. I’ve lost faith in everything that I believe.

Tapi percayalah, saya tak akan lakukan perkara terkutuk itu lagi. Apa yang berlaku adalah satu kesilapan.

Given a chance, people can change. Saya juga. Jadi saya merayu, berilah saya peluang untuk buktikan.

Kali ini Qisya lebih pantas membuka e-mel seterusnya.

Message : Give me a chance

Kalau dalam hati awak pernah menyayangi saya... berilah saya kesempatan untuk betulkan kesilapan. Saya hanya manusia lemah yang tergelincir. Tapi janji, saya akan kembali.

Saya tercari-cari tempat untuk berpaut. Mahu melupakan awak. Tetapi sukar sekali. Rasa kecewa dan patah hati mendesak saya mengambil jalan mudah. Membuat tindakan bodoh.

Membelakangkan agama dan pegangan kita. Akhirnya, memakan diri sendiri.

Kesal dan berdosa. Perasaan itu sedang menghukum saya. Tapi mujurlah saya sedar sebelum terlambat. Betapa ALLAH masih mengasihi saya sebagai hamba-NYA yang lemah.

Maafkan saya. Cuma satu saya pinta, biarlah hubungan kita terus terjalin walaupun hanya sebagai kawan. Hanya satu permintaan saya.

Bolehkah kita berjumpa untuk menjernihkan keadaan? Biar saya jelaskan dengan lebih terperinci apa yang berlaku.

Tanpa sedar, air mata Qisya menitis. Lengan baju dikait, mengelap pipi yang lencun dengan mutiara-mutiara jernih.

Tidak tahu kenapa ada rasa belas yang hadir. Dia jatuh simpati apabila membaca luahan perasaan Akim.

Mungkin dia juga bersalah atas apa yang terjadi. Namun, apabila kisah yang dibongkarkan Zarif melintas di kepala, dia menggigit bibir. Rasa kecewa bersarang. Tapi benarkah?

Selama ini dia mendengar daripada pihak Zarif. Mungkin ada baiknya memberi kesempatan kepada Akim juga untuk menjelaskan segalanya. Tentu lebih adil dengan cara itu.

Butang reply ditekan.

Assalamualaikum...
Harap awak sihat. Jiwa dan perasaan. Begitu juga dengan saya di sini. Fizikal saya sihat. Tapi jiwa... masih belajar menerima apa yang telah berlaku dengan waras. Belajar untuk melupakan... dan memaafkan.

Jika kemaafan dapat membuatkan awak sedar dan insaf, anggaplah saya telah memaafkan. Tetapi untuk merancang pertemuan, rasanya tidak perlu. Cukup sampai di sini saja.

Memikul gelaran isteri bererti saya perlu menghormati seorang lelaki bergelar suami. Zarif suami saya kini. Hubungan kami suci. Terikat dengan satu perjanjian dengan pengertian yang mendalam.

Terimalah, Akim. Antara kita hanya ada noktah. Jangan dipanjangkaan lagi cerita lama. Saya redha menerima ketentuan takdir. Jodoh, ajal dan maut yang tersurat bukan kita yang tentukan.

Kini, saya sayangkan dia. Sepenuh hati. Sudah tiada ruang kosong untuk sesiapa lagi. Bagi saya, dia lelaki yang cukup sempurna. Yang mampu membimbing saya ke ‘sana’ kelak, insya-ALLAH.

Doa saya, semoga ada wanita yang akan mengetuk pintu hati dan membahagiakan awak suatu hari nanti. Berjuanglah demi sebuah kebahagiaan dengan insan yang layak untuk awak.

“Baca e-mel Akim?”

Suara serak Zarif membuatkan Qisya terkejut. Tubuhnya keras, tidak tahu bagaimana mahu menjawab
.
Wajah tegang dan mendung Zarif membuatkan dia dihimpit rasa bersalah. Dia tahu nama lelaki itu pasti membuatkan Zarif kecewa.

“Betul kan?” Zarif bagaikan mendesak.

“Saya cuma baca e-mel yang dia hantar. Maafkan saya sebab tak beritahu dulu,” ujar Qisya lambat-lambat dan perlahan.

“Beritahu saya?”

“Maksud saya...”

“Buatlah apa yang awak rasakan baik untuk diri awak. Tak perlu minta izin saya. Saya bukan sesiapa...” Kata-kata itu terhenti begitu sahaja. Zarif masuk ke bilik bacaan, mengunci pintu dari dalam.

SAKIT! Tapi tangan Qisya terus mengetuk daun pintu.

“Apa?” Terdengar suara keras dari sebelah sana.

“Boleh saya masuk?”

Beberapa ketika berlalu, Zarif masih memencil diri. Qisya mengetuk lagi. Kali ini lebih kuat.

“Jangan ganggu saya boleh tak? Saya sibuk!”

Qisya menggigit bibir. Apabila pintu masih tertutup, dia tidak mahu kalah. Tidak akan berputus asa. Apa nak jadi... jadilah.
Apabila tubuh Zarif terjengul, Qisya mengetuk-ngetuk dada suaminya.

“Opss... sorry.” Dia menekup mulut.

“Nak apa?”

“Awak...”

“What?”

“Awak... saya nak awak...” Melentik jari Qisya di atas dada Zarif dengan mata terkebil-kebil.

“Are you out of your mind?” soal Zarif terpinga-pinga.

Qisya senyum meleret. Dia melangkah masuk, tertinjau-tinjau ke segenap sudut bilik seperti sedang membuat pemantauan.

“Awak buat apa tadi?” soalnya dengan suara lunak sambil duduk di kerusi empuk Zarif.

Zarif mencekak pinggang, memandang isterinya dengan pandangan tajam. Keliru pun ada.

Lebih manis senyuman Qisya.

“Awak nak apa sebenarnya? Cuba cakap terus terang. Jangan ganggu... sebab saya banyak kerja!”

“Hmm...” Qisya memintal-mintal rambutnya dengan jari.

“Jangan main-main boleh tak?”

“Saya nak perhatian... kasih sayang dan cinta dari awak.”

“Nonsense! Jangan merepek.”

“Betullah...” Manja suara Qisya.

“Sudahlah... keluar. Saya ada banyak kerja yang perlu disiapkan! Buang masa layan kerenah awak.”

“Halau nampak...” Suara Qisya meleret, mendayu-dayu. Bibir dimuncung ke depan.

“You make my world upside down. Tolong keluar. Saya perlu siapkan assignment.”

“Okey...” Qisya bangun. Dihadiahkan kucupan lembut di pipi suaminya. Sempat lagi dia mengenyit mata sambil berlenggang keluar.

Zarif terpinga. Terpana! 

2 comments:

hatiku295 said...

LOVE THIS NOVEL..MESTI BELI NI..WAA XSBR BELI..

AEmelda said...

Thanks hatiku295 ;-)

~ AEmelda ~