01 July 2012

Benci! Benci! Benci! ~ Bab 53

PANDANGAN Qisya dilontar jauh ke depan. Memandang air yang kebiruan di sepanjang Long Wharf Park, New Haven. Tenang... sedangkan hatinya terus bergelora. Kakinya menguis pasir yang halus.

“Qisya...”

Suara serak itu mengganggu ketenangan yang cuba dinikmati. Sebaik berpaling, Qisya melihat sejambak bunga dihulurkan kepadanya.

“Untuk apa?” soalnya lemah. Terusik juga dengan jambangan bunga itu.

“Ketenangan...” jawab Zarif perlahan apabila jambangan bunga itu sudah beralih tangan.

Mereka duduk bersebelahan. Sempat bersapa mata. Kemudian masing-masing membawa pandangan ke lain.

Bunga mawar yang berwarna merah jambu itu dicium sebelum diletakkan di atas pasir.

“Masih ingatkan dia?” soal Zarif perlahan.

Qisya menganggguk lemah.

Zarif memejam mata. Kemudian meraup muka dengan tapak tangan. Sabarlah hati.

“Masih sukar untuk saya terima apa yang berlaku. Dikhianati dua kali. Bukan sesuatu yang remeh, kan?”

Pedih menyentap tangkai hati Zarif. Benarkah dia mengkhianati wanita yang dicintainya?

“Sukar untuk saya percaya bahawa Akim sanggup berpura-pura selama ni. Bukan setahun dua, tapi hampir lapan tahun lamanya.”

Zarif kecewa. Dia suami yang ada di depan mata dan di samping Qisya. Tetapi fikiran Qisya masih tidak pernah sunyi daripada mengingati lelaki itu!

“Hmm... kekasih hati,” cebik Zarif. Sinis. Dia menguis pasir di kaki. Kemudian tangannya mencapai ranting dan mula melakar sesuatu di atas pasir.

“Ini soal hati dan perasaan.”

“Habis... saya apa? Tak ada hati dan tak ada perasaan? Saya suami yang tak tahu cemburu?”

Qisya menggigit bibir.

“Saya di depan awak ni tunggul agaknya,” sindir Zarif dengan bibir tersenyum. Dibuat-buat.

“Jangan terus mendesak saya, Zarif.”

“Jangan sampai terlewat untuk segala-galanya. Jangan menyesal,” ujar Zarif bagai satu amaran.

“Saya pernah merasai erti cinta dengan dia. Bukan semudah itu boleh dilupuskan.”

“Tapi itu bukan cinta. Mana ada istilah cinta kalau dibina daripada dendam dan pembohongan. Terimalah hakikat, Qisya! Berilah peluang pada hubungan kita.”

Bibir Qisya beku untuk mengiakan. Matanya tunak ke pasir. Melihat perkataan yang dilakarkan suaminya.

Sorry...

No comments: