09 July 2012

Benci! Benci! Benci! ~ Percayalah...


Qisya yang duduk di sisi katil sekadar memandang dengan ekor mata. Hatinya sedikit terusik. Ada rasa kesal dan bersalah. Salah diri sendiri kerana membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

Beberapa minit keadaan terus dingin. Setelah Qisya menimbang beberapa perkara dan membuang rasa ego yang beraja, perlahan-lahan dia menapak ke arah Zarif, lalu duduk di sofa yang sama.

Dia di hujung sebelah kiri. Lelaki itu pula di hujung sebelah kanan. Anak muda itu nampak ralit dengan bacaannya.

“Awak masih marahkan saya?”

Kaku.

“Maaf... memang salah saya.”

Zarif terus menyepi. Mahu menduga sejauh mana Qisya mahu mengakui kesilapannya. Siapa tidak terasa hati dituduh secara melulu begitu. Tetapi bukannya memberi kesan besar sangat sampai dia perlu berdendam atau marah.

“Saya tak suka terhutang budi sebenarnya,” ujar Qisya perlahan. Tunduk menekur lantai.

“Jadi, awak ingat saya cuba tabur budi?” Sinis suara Zarif.

Qisya tersentap mendengarnya. Marah nampak? Aduh! Susah, susah... Buruklah lelaki merajuk.

“Awak merajuk sebab saya cakap macam tu tadi?” soalnya dengan suara lembut. Adatlah bila memujuk.

Zarif menjongket bahu. Sengaja jual mahal.

“Saya minta maaf...” Suara Qisya antara dengar dan tidak. Berat nak ucap kata maaf. Tapi bila mengenangkan kebaikan yang lelaki itu sudah buat, dia terpaksa mengalah.

Diam. Kata maaf gadis itu bagai tidak memberi kesan di hati Zarif. Sedangkan dia cukup gembira sebenarnya.

“Saya minta maaf... dan saya mahu berterima kasih dengan awak.” Dikuatkan sedikit suaranya kali ini. Manalah tahu, kalau-kalau lelaki itu memang ada masalah pendengaran.

Zarif menoleh. Ditayang wajah tegang. Mata mereka saling bertaut. “Apa maksud awak tak mahu terhutang budi dengan saya? Apa sebenarnya yang awak bimbangkan sangat?”

“Saya... saya...” Qisya hilang kata. Kelu. Digigit bibirnya.

“Saya tak akan minta awak balas budi. Sebab saya pun tak minta bertembung dengan Taufik yang sedang tergolek kesakitan tengah jalan. Bukan manusia namanya kalau saya tinggalkan dia dalam keadaan begitu, atau buat-buat tak nampak semata-mata untuk elakkan awak rasa terhutang budi,” hambur Zarif panjang lebar. Ada nada tegang dalam suaranya.

“Sorry...” Nada Qisya bertukar lebih lembut. Sebak apabila mendengar kata-kata Zarif sebegitu. Mungkin itu juga yang lelaki itu rasakan tadi.

“Saya tahu saya buat silap kerana bertunang dengan Zaura,” rintih Zarif kesal. “Tapi jangan hina kebaikan saya.”

“Zarif...” Qisya memanggil perlahan. Lebih pada memujuk. Tidak mahu kesilapannya bertambah banyak.

Akhbar di tangan diangkat semula. Bagai sedang makan hati saja tingkah Zarif. Tambahan pula dengan wajah kelat dan tegang yang ditunjukkan.

“Saya benci bila awak cuba buat baik. Awak sendiri tahu sejarah kita,” luah Qisya jujur.

Zarif diam seketika. “Sejarah kita yang membuatkan awak membenci saya? Cuma sebab saya budak nakal di sekolah dulu yang tak pernah terlepas dari buku catatan pengawas awak. Begitu?” sindirnya.

Tersentap lagi Qisya. Air liur yang ditelan terasa pijar. Bukan itu sebab utama kenapa dia membenci Zarif. Spontan, nama Najlah kembali berlegar di fikiran.

Cuba diusir prasangka lama. Tapi kerap kali juga ia datang menghantui dirinya. Bagaimana kalau lelaki yang disangka Zarif itu sebenarnya orang lain?

“Kita bukan remaja lagi, Qisya. Masing-masing dah berubah. Kita dah dewasa.”

“Tapi kenapa saya yang awak cuba jadikan teman sejiwa?”

Zarif memandang wajah gadis itu lama. Menghantar rasa hati yang jujur dan ikhlas. Mahu Qisya tahu luahan hatinya lahir daripada perasaan yang tulus. Dia kasihkan Qisya sepenuh hati.

“Saya tak punya apa-apa. Tiada yang menarik dengan seorang insan bernama Qisya Ammara. Malah, hati saya juga sudah diserahkan pada orang lain. Dah menjadi milik lelaki yang saya cintai.”

“Tapi itu tak bererti hati awak tak boleh berubah. Berikan saya kesempatan dan peluang untuk buktikan.”

“Jangan buang masa awak,” tegas Qisya. Dia benar-benar pasti tiada yang boleh menggugat rasa cinta di hatinya.

“Saya akan sentiasa menunggu sampai hati awak terbuka untuk seorang insan bernama Zarif Arfan. Bukan harta atau kemewahan yang saya tawarkan untuk buat awak terhutang budi...”

“Zarif...” potong Qisya.

“Tapi saya punya keikhlasan dan kasih sayang untuk mencintai awak sepenuh hati. Tak mungkin ada lelaki lain yang mampu mencintai awak sebaik saya. Percayalah,” luah Zarif penuh perasaan seakan memateri janji.

Qisya terkedu. Dia hilang kata. Dia tidak sanggup mengambil risiko. Baginya, cinta tidak boleh ditukar ganti dengan mudah.

“Saya bukan Zarif yang dulu. Kesilapan lalu telah banyak mengajar saya menjadi manusia yang lebih baik.”

Kesilapan lalu?! Dada Qisya dihambat debar. Kata-kata pemuda itu bagai mengumpil sebahagian daripada teka-teki yang menjadi iguannya sekian lama.

Mungkinkah dia?

No comments: