21 December 2009

Akhirnya... CINTA KEPALA BATU

Setelah hampir 2 tahun, akhirnya lahirlah, Cinta Kepala Batu. Terima kasih kpd yg tidak jemu bertanya dan sudi menantikan kelahirannya. AE harap pembaca dpt menerima Cinta Kepala Batu seadanya dan jika ada kekurangan AE akan cuba perbaiki pada masa akan datang...

Salam Sayang... 
♥ Ayu Emelda ♥

Sinopsis
PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada. Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.

Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.

Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.

Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanan nya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora.

Akhirnya, dia pasrah pada setiap kehilangan... dan ketentuan...


Harga: RM 19.90
ISBN: 978-983-124-473-9
Halaman: ~512
Bahasa: Bahasa Melayu
Tarikh Terbit: 24 Dis 2009
Kategori: Novel

Cinta Kepala Batu ~ Bab Satu
Hati  tersayat. Jiwa melara. Tiada siapa yang dapat mengubatinya. Malah, tiada siapa dapat mengagak suratan takdir. Hujan air mata Syairah masih banjir tidak dapat ditadah. Ada irama sendu yang bersenandung hebat di luar kawalannya. Dalam seumur hidupnya, inilah peristiwa paling buruk yang pernah dilaluinya.

Kakak Selina dah tak ada. Abang Imran juga dah pergi selamanya. Itulah hakikat. Itu juga adalah kenyataan yang harus ditelan. Mereka telah pergi dan tak akan kembali lagi. Sedih rasa berbuku di dada tidak dapat ditahan. Segalanya berlaku di luar dugaan.

Dan Syaira terus hanyut dengan kepiluan yang tidak tertanggung. Kenangan bersama kedua-dua insan yang disayangi terus berlegar di fikirannya. Terlalu banyak memori manis yang bermain di mindanya hingga Syaira merasa terlalu kehilangan.

Kenapa perlu ada kesedihan kala segala-galanya nampak terlalu sempurna? Terlalu banyak rintangan yang kedua mereka harungi dan kini setelah kebahagiaan yang dikecapi, mereka pergi meninggalkan semua yang ada di muka bumi ini. Meninggalkan dia terkapai-kapai sendiri.

“Jauhnya awak mengelamun Aira, dah lama saya berdiri di sini tapi awak sikitpun tak perasan,” tegur Adam sambil menyilangkan tangan dan bersandar di pintu dapur.

Sudah lama dia memandang gelagat Syaira. Hanya jasadnya berada di sini sedangkan akalnya sudah melayang jauh entah ke mana. Garis duka terserlah tanpa dapat diselindungkan dari riaknya. Malah dari hari ke hari bibir gadis itu kian payah untuk bersuara. Sarat sangatkah fikirannya menghitung perjalanan hari yang bakal mendatang?

Kata-kata lelaki itu menyentak lamunan Syaira. Pandangan mereka bertembung. Ah! Kenapa aku perlu berdepan dengan Adam saat ini. Aku tak mahu dia nampak kelemahan yang cuba aku sembunyikan. Tak sanggup rasanya kalau Adam nampak aku menangis.

Namun Syaira menyedari ada perubahan pada riak wajah Adam. Terserlah jambang dan kumis nipis yang tumbuh meliar. Sedangkan lelaki ini selalunya tampil kemas dengan keyakinan diri yang tersendiri hingga Syaira sering tafsirkan sebagai lagak riak dan angkuh.

Redup benar matanya. Bagaikan dibayangai mendung yang tak mahu berlalu. Tidak seceria dulu yang petah dengan kias dan sinis. Hubungan mereka tidak pernah seperti orang lain. Sudah berbelas tahun mengenali satu sama lain namun jarak waktu itu tidak pernah menemukan perdamaian.

Sesungguhnya lelaki ini telah banyak membuat onar dalam hidup Syaira. Sejak bertemu mereka tidak pernah sekufu. Ada saja yang akan didebatkan. Ada sahaja pertengkaran yang meletus. Dan akhirnya, rasa benci sering bertunjang dalam hatinya terhadap adik ipar kakaknya itu.

“Aira…” Meniti nama itu di bibir Adam. Bergetar berat dan perlahan. Dia boleh menduga apa yang Syaira menungkan. Matanya yang berkaca dan merah sudah cukup untuk menerangkan perasaannya di dalam. Kalau di luar sudah terserlah garis duka, apalagi lubuk hatinya. Sudah nanar barangkali.

Hatinya turut terpukul melihat gadis di hadapannya diarak pilu. Mahu saja diluahkan kata-kata semangat untuk mengusir kesedihan yang seakan tidak tertanggung olehnya walaupun dia sendiri lemah menerima hakikat kehilangan insan-insan yang amat dikasihinya.

Namun, tiada bahasa yang mampu dizahirkan. Tiada pujukan yang mampu dia suarakan untuk menutup kegusaran Syaira. Mulutnya terasa terkunci. Lindahnya kelu untuk meluahkan walau sebaris ayat sekalipun. Dia hanya mampu menatap wajah di hadapannya dengan rasa sedih, simpati dan pilu yang bertaut menjadi satu.

‘Tabahkan hati, Aira… sesungguhnya ALLAH sedang menguji kekuatan iman hamba-NYA,’ ungkap Adam di dalam hati.

Dan Syaira juga membalas pandangan Adam yang sirna seperti mana dirinya. Rasa benci pada lelaki itu tidak berbekas ketika itu, kerana ada perasaan lain yang lebih menyesakkan dada. Dia membuang pandang ke arah lain dari menatap sebujur wajah Adam. Perasaannya ketika ini telah mengusutkan fikiran. Seolah-olah hilang pertimbangan!

Dia walang. Risau memikirkan perjalanan hari esok yang bakal dilalui.  Peristiwa yang baru berlaku dalam hidupnya ketika ini terlalu mendadak dan pastinya akan ada perubahan besar yang bakal berlaku. Dia tidak boleh menjadi Syaira yang dahulu lagi kerana ada amanah yang tergalas di bahunya kini.

Detik bisu antara mereka terus berlalu membuatkan Syaira tidak senang. Lantas kakinya melangkah lemah membiarkan lelaki itu dengan emosinya sendiri. Dan pandangan Adam tidak berganjak memandang dan merelakan gadis itu berlalu dengan duka yang berpanjangan.

Sebaik tiba di ruang tamu, Syaira cuba menenangkan hati dan memaniskan muka dengan bersalaman dan bersapa dengan tetamu yang masih ada setelah selesai bacaan tahlil dan surah yassin tadi. Masuk hari ini sudah masuk hari ketujuh kenduri arwah untuk Kakak Selina dan Abang iparnya, Imran.

Ramai yang hadir menghulurkan takziah dan simpati. Bukan sahaja saudara dan jiran terdekat malah teman-teman yang tinggal jauh juga sanggup datang. Dia begitu berterima kasih dengan kehadiran mereka namun jiwanya bagaikan terpaksa untuk berdepan dengan sesiapa ketika ini.

Ada saja soalan yang diajukan tentang tragedi yang meragut nyawa kedua arwah. Bukan sekali dua, malah sudah penat mulutnya apabila terpaksa menjelaskan  kejadian yang berlaku berulang-ulang. Sesungguhnya situasi inilah yang ingin dielakkan.

Dan setiap kata-kata simpati dan ucapan takziah yang mereka hulurkan juga membuatkan hatinya kian rawan. Yang getir semakin terasa dan yang pedih semakin mencengkam. Sesak dadanya menahan getaran. Betapa kekuatannya tidak seteguh mana.

Tidak tertanggung rasanya perasaan. Dan kerana itu juga air matanya mula berjuraian tanpa segan silu. Syaira tidak dapat menahan rasa hati. Pantas dia berlari menuju ke bilik meninggalkan semua yang ada. Bukan mahu bersikap kurang sopan, tetapi jiwanya tidak cukup kental untuk melawan pilu. Tidak cukup bersedia untuk menangani situasi sebegitu.

Air mata Syaira masih tidak mahu berhenti. Malah, terus berjuraian di pipi. Esakannya kian sarat. Karam dengan tangis yang tiada penghujung. Sungguh dia tidak mampu menahan lara dengan kehilangan mendadak yang begitu membebankan jiwanya.

“Sudahlah tu Aira… banyakkan bersabar. Lebih baik sedekahkan doa dan banyakkan mengaji untuk arwah kakak. Emak pun sedih juga, tapi kita kena ingat takdir tuhan. Semua yang hidup akan kembali juga pada-NYA satu hari nanti. Jangan diratapi pemergian kakak begitu. Tak baik...” nasihat Puan Umirah dalam suara yang penuh sendu.

Hati ibu mana yang tidak pilu apabila anaknya sendiri pergi terlebih dahulu darinya. Namun, siapalah dia untuk meragui kehendak yang ESA. Hanya pasrah menjadi perisainya daripada terikut-ikut dengan kesedihan hati. Imannya masih bersama bagi menghadapi musibah ini.

Tetapi tidak bagi Syaira. Betapa sukar memujuk hatinya yang terdera dengan peristiwa pahit ini. Malah kehadiran tetamu yang masih belum pulang tidak mampu dihiraukan lagi. Sudah lama dia memerap di bilik, dari petang hinggalah sinar mentari kian tenggelam, masih tetap sukar menghambat gelora rasa yang ada. Terlalu payah!

Telinganya pula seakan terngiang-ngiang dengan wasiat yang dibaca semalam. Tidak terbayang rasanya untuk dia memikul amanah yang telah ditinggalkan padanya. Seakan peristiwa yang berlaku kini sudah lama dirancang. Perpisahan dengan kedua arwah minggu lalu seakan petanda bahawa mereka pergi dan tidak akan kembali lagi.

“Sudahlah Aira… bawak mengucap. Jangan diturutkan sangat kata hati. Cuba buang kesedihan tu dengan perkara yang lebih baik, bukannya dengan air mata. Jangan dilayan sangat rasa murung. Apatah lagi depan budak-budak berdua tu. Aira kena kuat… kena tabah…”

Hanya itu yang mampu Puan Umirah bisikkan bagi mengurangkan kesulitan hati anak keduanya. Sedikit semangat yang masih menjadi nadinya dikongsi bersama agar mereka mampu meneruskan kehidupan. Dan paling penting adalah Nicky dan Nadia. Jika dia terasa kehilangan, apatah lagi kedua mereka yang masih memerlukan kasih sayang kedua ibubapa.

Syaira tersentak. Bibirnya bergetar apabila mengenangkan nasib Nicky dan Nadia. Dan hatinya lebih galau apaila mengenangkan kedua-dua anak saudaranya itu diamanahkan padanya. Mampukah dia menjalankan tanggungjawab. Sedangkan dirinya sendiri belum mampu bertahan dengan hakikat ini.

Sisa-sisa air mata yang masih berbaki diseka perlahan sambil menatap sayu ke wajah tua dihadapannya yang terlakar kesedihan walau setabah mana yang cuba emak pamerkan. Dan raut sayu itu begitu melunturkan ketabahan yang Syaira cuba bina. Sekuat manapun emak sembunyikan kesedihannya, dia tetap mampu membaca hati tua yang selama ini telah banyak berkorban demi kebahagiaan anak-anaknya.

Dipaksakan juga diri agar meminjam secebis kekuatan yang ditunjukkan emak. Dia perlu berusaha untuk menjadi lebih cekal. Andai sukar untuk bertahan, harus digagahkan juga untuk berdiri. Sesungguhnya dia harus lebih tabah kerana ada insan lain yang lebih memerlukan dirinya sebagai sandaran. Emosi mereka terlalu rapuh untuk dugaan sehebat ini.

Mahu tak mahu Syaira terpaksa juga melangkah keluar. Lantas diseru seluruh khudrat untuk melangkah. Biarpun hayunannya tidak cukup teguh, namun sudah memadai daripada dia terus rebah. Nafas berat dilepaskan perlahan-lahan. Cuba dibisikkan sedikit ketabahan dihati agar dirinya tidak terus tenggelam dalam kepiluan.

Sempat dia memanjatkan doa agar imannya tidak goyah berdepan dengan hakikat kehidupan. Sesungguhnya pada ketika ini dia memerlukan setiap ketabahan untuk menerima ujian ini dengan redha. Tambahan pula apabila berdepan dengan anak-anak saudaranya. Getirnya dugaan ini!

Cinta Kepala Batu ~ Bab Dua
”Sudahlah tu, Aira. Cukup-cukuplah buang air mata tu. Macam mana kau menangis sekalipun, yang pergi tetap pergi... takkan kembali. Keadaan tetap tetap tak akan berubah,” pujuk Norah pada teman yang ketika ini seolah-olah hilang terus semangat hidup.

“Entahlah Norah… aku masih tak dapat terima hakikat bahawa Kak Selina dan Abang Imran dah tak ada di dunia ni. Baru minggu lepas aku hantar mereka ke airport. Patutlah mereka berdua beriya-iya nak tunaikan umrah. Dan hari tu berkali-kali dia minta aku jagakan anak-anaknya elok-elok. Bahkan macam-macam pesan yang dia tinggalkan. Rupanya mereka nak tinggalkan kami buat selama-lamanya,” esak Syaira dalam sendu.

“Dah… jangan kau meratap begini. Macam mana arwah Kak Selina dan Abang Imran nak pergi dengan tenang. Sekarang ni kau mesti tabah. Kau perlu kuat untuk menghadapi dugaan ini,” nasihat Norah penuh hemah. Tak sanggup dia melihat mata sembab, hidung berair dan muka merah temannya.

“Aku tak mampu, Norah,” celah Syaira dalam linangan air mata. Belakang tangannya tidak henti-henti megelap juraian air mata yang tidak mahu berhenti mengalir.

”Aira...” nada suara Norah kedengaran lebih tegas. Rimas, geram pun ada dengan sikap temannya yang terlalu ikutkan perasaan. Sedih pun biarlah bertempat. Tapi kalau asyik menangis dan meratap macam budak kecik, nak pujuk pun dah malas.

”Aku tak boleh...” sendu Syaira terus berlagu. Bertambah deras esakannya yang syahdu. Semakin dia cuba berhenti, semakin deras pula air matanya gugur.

“Engkau dah mengalah sebelum berusaha namanya,“ ujar Norah geram. Banyak benar perubahan sikap Syaira sekarang. Kalau dulu dialah gadis paling tegar yang dikenali, tapi entah kenapa kini jiwa temannya itu bagai terlalu rapuh kini. Hanyut tanpa arah haluan.

Bukan sehari dua mereka bersahabat, malah sejak di bangku sekolah lagi. Kedegilan Syaira… ketabahan Syaira dan semangatnya yang tidak pernah goyah sudah sebati dalam dirinya, tetapi kenapa peristiwa ini seolah meragut semuanya. Dia menjadi insan lemah dalam sekelip mata.

Syaira terus leka dengan kesedihannya hanya kerana perpisahan yang tidak dibayangkan akan berlaku padanya. Mungkin juga kerana Syaira terlalu menyusun hidupnya dengan rancangan masa depan yang tersendiri.

Hanya dengan satu kehilangan ini, dia bagaikan tersungkur terus. Entah bagaimana lagi perlu dia ucapkan untuk membangkitkan semula kekuatan dalam diri gadis di hadapannya. Bangunlah Syaira… jangan terus tenggelam dalam episod duka!

“Aku tahu kau boleh lalui kepayahan ni. Dan sebagai kawan aku sentiasa akan temankan kau harungi pahit getir ini bersama.” Jujur kata-kata Norah.

“Tetapi amanat yang tergalas di bahu aku sekarang ni berat. Terlalu berat! Now I’m responsible for everything. Aku takut tak mampu nak laksanakan tanggungjawab yang selama ini tidak pernah langsung terlintas di fikiran yang suatu hari nanti aku akan pikul. I cannot take it, Norah,” keluh Syaira lagi tangis yang masih tidak berpenghujung.

Norah menghela nafas perlahan-lahan. “Hish… kau ni, kenapa tiba-tiba jadi lembik!”

Herdikan Norah secara spontan cukup membuatkan Syaira terpana. Bulat matanya merenung teman yang tiba-tiba berubah angin. Salah ke kalau aku menangis sebab bersedih. Sejak bila pulak menjadi satu kesalahan untuk aku menagis?

“Ini namanya dugaan… tahu tak! Whether you agree or not, just accept it!” tegas Norah lagi dalam nada yang cukup keras. Mode baik tadi sukar bertukar ke mode garang.

Syaira pula mengangguk bagaikan anak kecil baru belajar. Dia terkejut dengan perubahan Norah. Kalau tadi lembut bahasanya memujuk bagai seorang ibu mithali tetapi tiba-tiba rentaknya berubah semerta. Kini Syaira seolah melihat seorang guru disiplin dengan pandangan mata yang begitu tajam dan bengis. Menggerunkan!

 “Sudah! Sapu air mata kau tu! Jangan hanya nak bersimpati dengan diri sendiri. Buat rugi jer tau. Lebih baik kau merancang sesuatu untuk berdepan dengan hal yang mendatang.” Kata-kata Norah lebih berupa arahan.

Perintah itu Syaira patuhi tanpa bantahan. Gentar jugak dia apabila melihat kening Norah sudah meninggi sebelah. Matanya yang mencerun sudah cukup menggentarkan.

“Ini bukan masanya nak menangis. You have to look at the fact and deal with it. Ini realiti hidup. Kau sepatutnya redha. Sejak bila kau jadi lembik macam ni?” sergahnya lagi.

“Apa ni Norah… yang kau marah aku kenapa? Terlebih sudah!” Diluahkan rasa sangsi dan tidak puas hati dengan tindakan temannya.

“Memang aku marah! Dalam keadaan sekarang jangan nak pentingkan diri sendiri. Umur kau tu dah 26 tahun. Kalau ya pun bersedih… janganlah sampai memakan diri sendiri!”

Sengaja Norah cuba bertegas kali ini. Kalau dipujuk-pujuk tak jalan, kira dah kena cari pendekatan lain. Lebih baik gunakan sedikit kekerasan kalau cara halus dan lembut tidak langsung memberi kesan. Apa yang dia buat sekarang sebenarnya senario nyata yang pernah dilihat sendiri.

Beginilah caranya Syaira memujuk Intan dulu bila tunangnya meninggal dunia dalam kemalangan. Dan tidak salah rasanya kalau dia tiru apa yang perlu sekadar mahu menyedarkan teman yang karam di lautan duka lagaknya. Krisis emosi di tahap kritikal! Mengalahkan anak yatim kematian ibubapa. Sedangkan Nicky dan Nadia pun tidak meratap sedemikian rupa.

“Mana kau dapat ilham yang aku pentingkan diri sendiri? Salah ke kalau aku bersedih sebab kehilangan orang yang aku sayang?” Syaira masih mahu mempertahankan pendapatnya walaupun sedikit gentar.

“Memang salah… sebab dah seminggu kau meratap begini. Apa… kau dah lupa pada Nicky dan Nadia? Bukan ke mereka berdua sekarang perlukan kau? Mereka masih muda… masih mentah untuk hadapi semua ini. Kau pula macam tak hiraukan mereka berdua. Yang tahu cuma bazirkan air mata. Menangis tahap tak ingat dunia. Kau ingat mereka berdua tak sedih… tak rasa kehilangan?” Meluap-luap rasa geram Norah. Semuanya di luahkan satu persatu.

“Itu aku tahu…”

“Habis… kalau dah tahu, tak reti-reti nak fikirkan perasaan mereka berdua. Kau sepatutnya jadi contoh, tunjukkan ketabahan kau pada Nicky dan Nadia… bukannya buat kerja tak berfaedah begini. Menangis tak akan selesaikan masalah, Aira!”

“Tapi aku tak boleh…”

”Tengok... ini yang aku nak marah ni. Boleh tak kau buangkan sikap negatif tu. Asyik menangis. You’re such a baby. Kalau kau belum cuba mana kau tahu tak boleh?” Tak teragak-agak Norah menghamburkan ketidakpuasan hatinya.

”Aku... aku...”

“Kau bukannya tak boleh… cuma tak mahu. Mana perginya Syaira yang aku kenal dulu? Ke mana menghilangnya Syaira yang dulunya cukup kental dan tabah… yang keras hati… yang tak tahu mengalah dan kecewa?” hambur Norah lagi tidak teragak-agak.

“Aku takut, Norah. Aku takut,” luah Syaira persis anak kecil yang belum mengenal erti hidup. Dia menggogoi tanpa rasa malu.

Norah menggeleng-geleng kepala. “Dah sampai masanya untuk kau bangun, pikul amanat yang diserahkan. Itu tanggungjawab yang mesti kau pegang. Hanya pada kau yang menjadi sandaran buat mereka sekarang. Kalau bukan kau siapa lagi, Aira? Hanya kau yang boleh melindungi anak-anak saudara kau. Mereka perlukan tempat  untuk berlindung dan mengharungi masa depan dengan kasih sayang dan perhatian.”

“Tapi aku takut tak mampu. Umur aku baru 26 tahun. Aku belum bersedia untuk menjadi ibu pada mereka berdua. Aku tak tahu bagaimana untuk mainkan peranan tu,” luah Syaira lelah.

”Tahu pun dah 26 tahun. Bukannya muda lagi. Jari kaki dengan tangan pun dah tak cukup nak kira. Tahu?! Mak aku dulu dah anak lima masa umur tu. Bukan umur yang menjadi penghalang, tapi sejauh mana kemahuan kita untuk memikul tanggungjawab.“

”Eh! Adik-beradik kau bukan empat orang saja ke?” Syaira jadi sangsi. Bercakap mengalahkan orang dah kahwin. Macamlah dia sendiri dah pernah jadi ibu dan rasakan sendiri pengalamannya.
Norah garu kepala. ”Betul jugak... sorry, aku salah dialog tadi.” Dia tersenyum sumbing. Macam mana boleh salah tersalah kira adik-beradik sendiri?!

Mereka sama-sama tersenyum.

Norah menepuk bahu temannya. ”Dahlah tu. Memanglah aku cuma tahu bercakap sebab aku pun belum kahwin,” ujar Norah seakan dapat membaca hati temannya.

Syaira mengangguk setuju.

”Tapi aku hanya nak kau tahu, walau betapa susah pun dugaan yang kau alami sekarang, masih ada insan lain yang lebih teruk diuji. Dan aku akan tolong kau hadapi semua ini. Apa saja yang terdaya akan aku cuba lakukan. Lagipun Adam pun ada. Dia juga sebahagian daripada wasiat tu… takkan kau dah lupa.”

Tiba-tiba suara Norah kembali perlahan dan memujuk. Dah tukar mode pulak! Namun Syaira gigit bibir apabila teringatkan Adam. Kenapa nama lelaki itu turut dimasukkan sebagai penjaga pada anak-anak saudaranya. Dan lelaki itu juga turut berkongsi tanggungjawab.

“Hentikan tangisan tu. Kesat air mata kau. Sekarang apa kata kau pergi tengok Nicky. Dari tadi aku sedar dia asyik mengelamun. Mungkin dia terlalu sedih agaknya. Kehilangan ini terlalu besar untuk gadis yang seusia dia terima dengan tenang.”

Syaira menurut. Perlahan-lahan Norah menarik tangan temannya bangun. Mereka beriringan melangkah menuju ke bilik Nicky. Namun, langkah mereka terhenti apabila terdengar esakan halus gadis itu.

Syaira dan Norah berpandangan lalu memasang telinga.

“Kenapa mummy dengan daddy tinggalkan kami papa? Adik pun masih kecil lagi. Nicky sendiri perlukan mereka ketika ini. Siapa yang nak tengokkan kami nanti?” esaknya penuh hiba.

Syaira ketap bibir mendengar bait-bait yang terlalu menghiris kalbunya ketika itu. Dari celah pintu dia melihat Adam memeluk bahu Nicky sambil menyeka air mata di pipi anak saudaranya dengan sayu.

“Kan Mama Aira akan jaga Nicky dengan adik. Nicky tak keseorangan. Kami sentiasa ada. Papa pun ada. Apa saja yang Nicky perlu, cakap saja dengan papa,” pujuk Adam perlahan dengan nada suara serak.

Tentu lelaki itu juga dipagut pilu. Suaranya sendiri kedengaran tenggelam timbul. Bukan sahaja perlu memujuk anak saudaranya, tetapi hatinya sendiri tentu tersentuh dengan apa yang berlaku.

Syaira telan liur. Pahit. Perasaan bersalah bersulam duka. Benar kata Norah, dia pentingkan diri sendiri. Seharusnya dia lebih peka tentang perasaan Nicky dan Nadia yang lebih memerlukan perhatian.

Syaira pejam mata sementara tangannya erat digenggam Norah. Air matanya gugur buat kesekian kalinya. Dia mengetap bibir dan akhirnya melangkah lemah berlalu dari situ. Dia tidak mampu terus mendengar rintihan Nicky. Hatinya semakin tersayat.

Dengan perasaan yang tidak keruan Syaira masuk ke bilik kakaknya. Matanya berkaca memandang ruang bilik yang kini sepi. Terlalu banyak kenangan tersimpan di sini. Terlalu banyak keriangan yang telah mereka rasai bersama. Dan kini semua kegembiraan itu diragut pergi secara tiba.

Pandangannya terhenti pada sebuah potret yang tergantung di kepala katil. Betapa indahnya senyuman Kak Selina di samping Abang Imran dan dikelilingi oleh anak-anak mereka yang comel. Hilang sudah sebuah keluarga bahagia dan sempurna.

Kini segalanya telah berubah. Hanya kepiluan yang menyelebungi mereka kala ini. Dia memandang hiba ke arah Nadia yang terlena di atas katil. Kasihan anak kecil itu yang sudah kehilangan ibu.

Belumpun umurnya lima tahun sudah kehilangan kasih sayang kedua ibubapanya. Semakin bergetar hati Syaira. Terusik mengenangkan masa depan mereka yang bakal diharungi dengan penuh liku. Mampukah dia manjadi pengganti.

Emak masuk ke bilik kala itu. Lalu duduk bertentangan dengan Syaira sambil mengelus lembut tangan anaknya seakan mengalirkan kekuatan untuk mereka sama-sama berdepan dengan masa depan.

“Kita akan hadapi apa yang berlaku bersama-sama Aira. Susah senang biarlah kita sekeluarga tempuhinya.” Seakan memahami apa yang tersimpan dilubuk hati anaknya, Puan Umirah bersuara perlahan-lahan.

 Syaira mengangguk dalam getar.

“Apa keputusan Aira kini? Macam mana dengan rancangan untuk sambung belajar?” tanya Puan Umirah perlahan. Dia tahu sudah sekian lama Syaira idamkan saat-saat untuk menyambung pelajaran ke universiti yang diimpikannya sejak kecil. Tapi dulu kesempitan hidup tidak mengizinkan. Dan kini apabila segala-galanya sudah ada dihadapan mata, ada pula dugaan yang menimpa.

“Aira terpaksa padamkan dulu niat tu mak. Dalam keadaan macam ni rasanya biarlah Aira berkorban. Aira akan terus bekerja macam biasa. Biarlah cita-cita tu tertangguh dulu.”

Puan Umirah menghela perlahan. “Eloklah tu Aira. Emak pun fikir macam tu jugak. Apa yang lebih penting sekarang budak-budak tu. Hanya kita yang mereka ada.”

“Mereka dah jadi tanggungjawab kita sekarang.” Ujar Encik Kamal yang muncul tiba-tiba bersama Syafik, adik bongsunya pula tercegak berdiri di belakang.

Syaira memandang wajah ayahnya dengan mata yang suram. Air matanya diseka perlahan dengan hujung lengan baju.

“Awak pun temankan Aira menangis jugak, Umirah? Sudah-sudahlah tu… abang kalau tengok awak menangis, boleh gerhana hati saya ni seminggu,” gurau abah seperti selalu lantas mencit pipi isterinya.

“Ish… abang ni ada-ada sajalah. Dalam keadaan macam ni pun masih sempat nak bergurau,” ujar Puan Umirah tersenyum.

Memang begitu sikap suaminya, sering sahaja ceria dan menghiburkan. Dia tahu suaminya sekadar mahu mengalih suasana muram yang menyelubungi keluarganya kini.

“Eh… mana pulak bergurau. Abang memang sayang awak tau! Hancur luluh hati saya kalau tengok awak bersedih lagi,” ujar Encik Kamal sambil memeluk bahu isterinya.

Syafik tergelak kecil dan Syaira pula sudah mampu tersenyum. Hubungan emak dan abah memang dari dulu lagi tidak pernah berubah. Beruntung emak mendapat suami yang cukup penyayang dan pandai memujuk. Sikap abah yang suka mengusik dan suka berjenaka mampu merawat sedikit kesediham dan suasana muram mereka sekeluarga.

Cinta Kepala Batu ~ Bab Tiga
Dia berat hati untuk meluahkan apa yang bersarang di mindanya. Namun, keputusan telah dibuat.

“Maafkan saya Encik Amri… saya harap permohonan untuk menyambung pelajaran dapat digantikan dengan orang lain,” ujar Syaira dengan tekad yang sudah bulat. Hanya itu sahaja jalan penyelesaian yang dia ada.

“Are you sure? You tak menyesal ke Syaira? Ini peluang keemasan. Bukan senang nak dapat peluang ni. Segala perbelanjaan you semuanya ditanggung oleh syarikat,” duga lelaki itu untuk melihat sejauh mana ketetapan yang telah diputuskan oleh pekerjanya.

“Maafkan saya Encik Amri. Tapi buat masa ini saya betul-betul terpaksa. Dah tak ada pilihan lain lagi. This is the only choice that i have,” Terang dan jelas keputusan Syaira. Dia tidak boleh berganjak lagi. Apa yang dilakukannya adalah demi kepentingan keluarga.

Encik Amri terdiam. Apa lagi yang mampu  dia lakukan kalau kata putus sudah dibuat.

Sememangnya dia amat memahami kerumitan yang dihadapi Syaira. Tidak tergambar betapa dia simpati dengan nasib yang telah merubah hidup gadis itu secara tiba-tiba.

Dan sebagai pihak atasan, dia hanya mampu menghulurkan simpati dan memahami situasi yang dihadapi Syaira walaupun penolakan itu adalah amat merugikan kepada syarikat.

Malah kematian Imran juga adalah berita yang amat mengejutkan buat dirinya. Sudah lama hubungan mereka sebagai rakan perniagaan terjalin. Lelaki itu cukup dikagumi dari segi ketabahan dan semangat juangnya dalam perniagaan. Apalagi dengan etika kerja yang begitu tinggi. Dan mereka sering juga berkerjasama dalam beberapa projek.

“Baiklah… kalau itu keputusan muktamat awak. I can do nothing. Tapi saya akan tangguhkan pemergian awak ke sana untuk beberapa bulan lagi. Mana tahu masa tu problem yang awak hadapi boleh diselesaikan,” ujar Encik Amri masih berharap gadis itu masih memikirkan tentang kemungkinan yang bukannya selalu datang.

Syaira sekadar mengangguk lemah. Dia juga berharap keungkinan itu akan berlaku. Tapi apakan daya!

“Peluang untuk ke sana masih lagi terbuka. You deserve this. Lagipun syarikat memang memerlukan pekerja yang mempunya potensi meningkatkaan pengetahuan seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang. Dan awak adalah calon yang paling sesuai.”

Gadis itu hanya mampu mengucapkan terima kasih dan berasa lega kerana cuti tanpa gaji yang dipohon selama sebulan telah diluluskan. Dia perlukan perancangan baru untuk menguruskan hidupnya nanti. Masih banyak yang perlu difikirkan dalam pada mencari ketenangan serta mengembalikan semula semangat mereka sekeluarga.

Betapa dia amat memerlukan ruang untuk bangun semula dari kesedihan ini dan mengatur semula hidup anak-anak saudara yang berubah secara tiba-tiba. Dia amat berterima kasih kepada Encik Amri yang amat  memahami dan bertolak ansur dengannya sebagai pekerja bawahannya.

PULANG dari kerja petang itu Syaira terus mendapatkan kedua-dua anak saudaranya. Ada sesuatau yang ingin dikhabarkan pada mereka.

“Ada apa mama mahu jumpa dengan kami tergesa-gesa ni?” soal Nadia kehairanan. Matanya bulat merenung Syaira menantikan jawapan.

“Kita akan balik kampung esok. Jadi mama nak adik dengan Nicky kemas barang dan baju dalam beg. Awal pagi esok kita akan berangkat ke rumah nenek dan atuk di kampung.”

Mendengar sahaja kata-kata itu, Nadia bertepuk tangan dan menjerit gembira. Wajahnya kelihatan berseri-seri. Dipeluk dan dikucup pipi ibu saudaranya. Jelas dia gembira dengan berita itu.

Sementara itu lain pula dengan wajah Nicky yang sudah menunjukkan tanda-tanda kurang senang. Mencuka sahaja riaknya dengan bibir yang sudah muncung ke depan, lagak memprotes.

“Tak nak lah. Nicky tak mahu balik kampung. Boringlah tinggal disana,” bentaknya kasar sambil menghentak kaki. Bibirnya menceber.

“Nicky… tak baik cakap macam tu. Kita kan nak balik kampung. Patutnya Nicky suka sebab dapat berjumpa dengan nenek dengan atuk. Ini kenapa nak tarik muka kelat pulak,” tegur Syaira secara berlembut.

Dia tahu sejak kecil Nicky tidak pernah suka dengan suasana kampung. Banyak nyamuk dan tak ada aktiviti menarik katanya. Apalagi dia telah dibesarkan dibandar dalam serba kemewahan.

“Yalah… kan seronok boleh jumpa nenek dengan atuk. Adik suka bila nenek masak kuih macam-macam. Atuk pulak suka bawak adik jalan-jalan naik motorsikal.” Petah bibir Nadia meluahkan kegirangannya.

Terlalu banyak perbezaan antara mereka berdua. Nadia lebih lembut dan memahami walaupun usianya baru lima tahun. Malah dia juga senang menerima teguran berbanding dengan Nicky yang sudah remaja. Kemahuannya tidak boleh ditolak, ada sahaja rungutnya nanti.

“Nicky tak mahu balik kampung. Boringlah di kampung, bukannya Nicky ada benda nak buat. Kawan-kawan pun tak ada. Kalau boleh Nicky lebih suka tinggal di rumah nenek Hanum.”

Syaira panas hati dengan sikap Nicky yang suka membantah dan memberontak. Ada saja yang tidak kena padanya. Kemahuannya sering saja perlu dituruti. Kalau tidak merajuknya akan menjadi-jadi.

Degil dan keras kepala budak ni. Kalau ikutkan hati mahu saja dia biarkan Nicky tinggal dengan Puan Hanum, tetapi memikirkan ini adalah wasiat kakaknya yang mahu dia menjadi mereka berdua berdua, terpaksalah dia belajar untuk bersabar.

“Nicky… apa salahnya kita balik ke Ipoh, di sana kan Nicky boleh main dengan Yana dan Jehan,” pujuk Syaira lagi cuba berlembut.

“Tak nak… Nicky tak nak balik kampung!” bentaknya tanpa memperdulikan pujukan ibu saudaranya. Baginya kampung bukan memberi ketenangan tapi terlalu kosong dan sepi. Dia cepat bosan tinggal di sana.

“Kenapa Nicky suka sangat buat hal? Boleh tak dengar cakap mama dan jangan membantah!” Suara Syaira sudah mula meninggi. Kesabarannya semakin tipis.

Wajah Nicky pula mencuka dengan jelingan yang begitu tajam. Cukup untuk menggambarkan perasaannya yang sedang memberontak.

Sukarnya Syaira memahami kemahuan anak gadis itu.  Memang sejak dulu lagi hubungan kedua mereka tidak akrab. Tidak pernah ada persefahaman. Dan dia tidak pernah senang dengan kemanjaan anak gadis itu.

“Tidak Nicky. Mama nak Nicky ikut cakap mama. Sekarang pergi kemas semua barang.”

“Kenapa mama suka memaksa? Nicky tak mahu balik kampung.”

“Sekarang mama yang buat keputusan. Jadi mama mahu Nicky patuh pada setiap arahan mama. Cepat! Masuk bilik berkemas!” tiada lagi kompromi. Kali ini Syaira sudah bertegas.

 “So the drama!” marah Nicky lalu berlari ke biliknya dengan wajah berang.

Bibik tolong tengokkan dia. Kemaskan sekali barang Nadia ya…” pinta Syaira pada Bibik Sulika. Pembantu rumah yang cukup setia bekerja dengan kakaknya sebelum ini. Sudah hampir lima tahun dia menabur bakti.

Dan kini pembantu rumah itu juga yang menjadi sandaran untuk membantunya menguruskan Nicky dan Nadia. Kalau dihitung dari segi pengalaman, tentu sahaja dia tidak mampu bersaing dengan wanita dari medan itu yang lebih tahu tentang keperluan anak-anak saudaranya.

Syaira mengeluh lemah. Dia sudah mula merasakan kepayahan untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Inilah yang dibimbangkan selama ini. Bagaimana harus dia menangani kemahuan Nicky yang terlalu dimanjakan. Sedangkan dia cukup bertegas dalam semua perkara. Mampukah sikap gadis itu dilenturkan mengikut kemahuannya?

Tetapi mungkin juga Nicky perlukan ruang. Sedangkan dia sendiri perlukan masa untuk mengakui hakikat kehilangan Kakak Selina dan Abang Imran. Mungkin kali ini dia perlu lebih memahami dan berlembut menangani sikap Nicky.

Niatnya untuk memujuk anak saudaranya digagahnya dengan memaksa kaki menuruti Nicky ke biliknya. Apabila pintu dibuka Syaira dapat mendengar luahan Nicky melalui telefon pada Adam.

Lagi-lagi lelaki itu yang dicarinya. Hanya pada Adam Nicky sering meluahkan rasa hati sedangkan haknya sebagai pemegang amanah mereka seolah dipinggirkan. Dia sedikit tersentuh. Teruk sangatkah dirinya sehingga Nicky tidak pernah cuba faham?

“Nicky… Nicky bercakap dengan siapa di telefon?” tegurnya berpura-pura tidak tahu sedangkan sudah beberapa kali dia mendengar nama Adam meniti dari mulut Nicky. Krisis antara mereka tadi juga sudah diadukan pada Adam.

Gadis itu hanya menoleh sekilas dengan pandangan yang cukup meluat. Kemudian Syaira melihat gadis itu mengangguk-angguk kepala lantas menyerahkan gagang padanya.

Tergamam Syaira ketika itu. Perlahan-lahan tangannya menyambar juga gagang dari Nicky dan melihat anak saudaranya berlalu dengan kerlingan yang seringkali menggoyah kesabarannya.
“Aira…” panggil suara di hujung sana seakan cuba mengawal nada.

“Hmmm…” jawabnya perlahan-lahan bagaikan mati kata. Perlukah dia berbicara dengan Adam sedangkan pasti ada pertengkaran yang akan meletus nanti. Dan ketika itu juga satu keluhan nipis melewati pendengarannya.

“Boleh tak awak jangan bertegas sangat dengan Nicky? Could you please do that for once?”

Soalan itu bagaikan pisau yang mencantas hatinya. Cukup pedih dan berbisa. Bukan niatnya untuk bertegas tanpa sebab, tapi Nicky perlu diajar cara untuk hormat orang tua. Apalagi kini dia yang perlu menjadi penjaga kepada mereka. Dia ada pendirian yang tersendiri.

Seharusnya dia patut belajar untuk menjadi gadis yang lebih matang dan dewasa. Usia empat belas tahun itu sudah selayaknya untuk dia belajar berfikir dan bercakap dengan mengambil kira perasaan orang lain bukannya terikut-ikut dengan keinginan dan kehendak sendiri.

“Apa yang dia adukan pada awak?” soal Syaira tanpa menjawab pertanyaan Adam.

“Dia cakap you marahkan dia sebab tak mahu balik kampung,” ujar Adam perlahan.

“Saya tak marah, cuma saya tak mahu layan kerenah Nicky yang kebudak-budakkan. Dia sepatutnya tahu menilai baik dan buruk. Sekarang bukan masanya untuk dia pentingkan keinginan sendiri.
Kehilangan Kak Selina sepatutnya mengubah dia supaya lebih berdikari. Bukannya terus dengan perangai manjanya tu.”

Adam mengeluh di hujung sana. “Tapi dia perlukan masa, Aira. Apa yang berlaku terlalu mendadak.”

“Kenapa Nicky tak boleh sedangkan Nadia boleh?” bangkangnya. “Sedangkan Nadia yang lebih muda mahu mendengar kata kenapa pulak Nicky tak boleh bersikap seperti Nadia. Dan awak… boleh tak kalau awak berikan saya ruang untuk handle sendiri perkara ni. Tolong jangan masuk campur boleh tak?” ujar Syaira geram. Dia ketap bibir. Tidak bersetuju dengan pendapat Adam.

“Bukan saya yang telefon… tapi Nicky. Kalau awak tak boleh faham perasaannya, tentu dia cari orang yang lebih memahami dan dapat rasa apa yang dia rasa.” Suara Adam ketika itu cukup sinis. Terlalu dalam maksud yang cuba disampaikan.

Syaira mencebik. Geram mendengar kata-kata Adam. Sudah diduga, pasti perbualan mereka akan menjurus pada perselisihan pendapat.

“Boleh tak ketepikan sikap keras kepala awak tu dan belajar untuk selami perasaan remaja yang baru nak meningkat dewasa macam Nicky? Sepatutnya awak yang lebih rapat dengan dia, sebab awak perempuan. Hati dia terlalu sensitif dan amat rapuh, Aira,” tekan Adam dengan suara yang agak keras.

Syaira mendengus. “Sudahlah Adam… saya dah malas nak bertekak dengan awak. Ada saja yang tak kena dengan cara saya. Sejak dulu lagi awak memang tak pernah setuju dengan apa yang saya buat.”
“Tapi bukan kita yang menjadi persoalannya sekarang,” potong lelaki itu lagi.

“Saya tahu macam mana nak mengajar anak-anak saudara saya. Saya tak mahu awak masuk campur,” bentak Syaira sambil memutuskan talian. Semakin dilayan semakin berkocak kesabarannya. Jadi biarlah suara Adam tidak terus menyakiti hatinya.

Cinta Kepala Batu ~ Bab Empat


Sejak tiba di kampung Nicky lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik. Malah diajak makan tak mahu. Akhirnya, kerana bimbang cucunya kelaparan, emak terpaksa menghantar makanan ke bilik. Itupun setelah puas abah memujuk barulah Nicky setuju untuk makan.

Syaira hanya mampu menahan hati. Hendak ditegur, abah melarang. Nasib baik Nadia tidak berperangai seperti Nicky. Kalau tak tentu kepala aku  lagi pening. Banyak yang perlu difikirkan. Bukan setakat perancangan untuk hari esok, malah dalam jangka panjang. 

Susah rasanya mahu membahagikan masa memandangkan kerjanya sebagai Grafik Designer memerlukan komitmen yang tinggi. Boleh dikatakan tiap-tiap hari dia terpaksa pulang lewat ke rumah. Bukan itu sahaja, bagaimana pulak nanti bila dia terpaksa keluar daerah. Siapa pulak yang boleh diharapkan untuk menjaga Nadia dan Nicky. Terasa berat otaknya memikirkan itu semua.

Ditambah pulak dengan sikap Nicky sekarang. Bukannya mudah untuk bertolak ansur. Yang dia tahu cuma keinginan dan kehendaknya saja. Ditegur pun salah, kalau dibiarkan lagilah menjadi-jadi nanti. Sampai bilapun anak gadis itu tak akan berubah.

Dah tak tahu lagi bagaimana caranya menghadapi kerenah anak saudaranya itu. Kalau diikutkan, kesabaran aku rasanya dah ditahap maksimum, tapi kerana teringatkan nasihat abah supaya beri Nicky masa dan peluang yang buat aku beralah.

”Biarkan dulu. Abah rasa dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Janganlah terus memaksa, kita nasihatkan dia perlahan-lahan.” Emak pulak sependapat dengan abah.

Memang susah nak lenturkan buluh kalau dah setengah keras macam tu. Semuanya kerana Nicky terlalu dimanjakan dengan kemewahan. Apa sahaja yang dia nak tak pernah ditolak. Masalahnya bukan Abang Imran atau Kak Selina yang spoilkan dia, tapi Puan Hanum.

Sejak dulu lagi ibu mertua kakaknya itu terlalu manjakan Nicky dengan wang ringgit dan kemewahan. Sebutlah apa sahaja yang dia nak, pasti ditunaikan dengan mudah.

Dia tidak bersetuju dengan cara Nicky dididik oleh wanita itu. Malah, Kakak Selina juga sukar untuk masuk campur walaupun anak sendiri. Puan Hanum sentiasa memenangkan cucunya yang satu itu. Bila Nicky buat salah dibiarkan sahaja. Kononnya sebab masih kecil. Habis tu kalau sejak muda lagi tak diberi tunjuk ajar, macam mana budak tu nak membesar dengan baik.

“Kenapa mengeluh ni Aira?” Teguran Puan Umirah mencantas lamunan Syaira. 

Sejak bila pulak aku mengeluh ni. Tak sedar rupa-rupanya dah ke mana aku berkhayal.

“Mengeluh? Tak adalah mak… mana ada Aira mengeluh,” nafi Syaira bersungguh-sungguh.

“Janganlah kamu nak sorokkan lagi… emak tahu apa yang ada di kepala kamu tu.”

Syaira cuma mampu tersenyum kelat. 

“Jangan difikirkan soal Nicky. Buat masa sekarang kita berikan dia masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan ini. Bukannya senang dia nak terima semua ni secara mendadak, Aira.”

“Itu Aira faham mak, cuma kadang-kala sikap Nicky tu buat Aira hilang sabar. Dalam keadaan macam ni pun dia masih nak pentingkan kemahuan dia sendiri. Sepatutnya dia berubah, hidup dia bukan lagi seperti dulu,” keluh Syaira lemah.

Puan Umirah juga turut sama mengeluh. “Sabar… itu sahaja yang emak boleh cakap sekarang. Banyakkan berdoa. Kita ubah sikap dia perlahan-lahan. Cara berhikmah lebih berkesan daripada terlalu berkeras dan mendesak,” nasihat emak penuh kelembutan. 

“Yalah…” balasku perlahan. Sedangkan di hati seperti tidak mengiyakan apa yang terluah.

“Sudah… jangan difikirkan sangat sampai anak-anak cili yang emak suruh kamu petik belumpun segenggam,” balas emak sambil tersenyum.

Patutlah emak sedar fikiran aku tengah melayang tadi. Kantoi! Lain yang emak suruh buat, lain pulak yang aku buat.

Dia segera menyambung semula kerjanya tadi. Banyak betul anak-anak cili yang sudah kemerah-merahan. Rajin benar emak berkebun di tepi rumah dengan sedikit tanah kosong yang ada. Hanya itu yang sering dilakukan untuk menghabiskan masa senggangnya.

Sekurang-kurangnya minat emak mendatangkan hasil. Bukan sahaja cili malah timun dan pucuk-pucuk ulam juga tumbuh dengan subur sekali. Apabila sudah menampakkan hasil, tuaiannya akan dihantar ke pasar. Lepas juga belanja dapur.

Syaira memandang wajah ibunya yang mula asyik dengan kerja-kerja membaja batas-batas pokok ulam yang berbunga. Namun, dia tahu ada sesuatu yang sedang bermain-main di minda wanita yang sudah melangkaui usia lima puluh tahun itu.

Walaupun emak sering nampak tenang, namun Syaira tahu wajah tenang itu menyembunyikan kesedihan yang bukan sedikit. Malah, saban waktu dia dapat mendengar esakan halus emak dalam doanya yang panjang. Sungguh menusuk kalbu.

Emak merintih dalam doanya. Dalam subuh yang sunyi dan hening tentu sahaja doa emak yang hiba mampu menampan telinga. Dia juga turut sama diulit pilu mendengar bisikan emak memohon pada ALLAH agar dipermudahkan jalan dan berikan petunjuk agar kami mampu redha dengan khadak dan khadar.

Ibu mana yang tidak bersedih apabila kehilangan anak. Namun begitu emak tetap cuba bersikap tenang di hadapannya. Apatah lagi ketika berdepan dengan cucunya.

Dalam ralit dia menekur wajah emak, bunyi enjin kereta yang berhenti di laman mengusik pendengaran. Dia menoleh ke arah kereta Hyundai Sonata yang berhenti betul-betul di belakang keretanya, Myvi merah. Hmm... itu saja yang mampu. Bila digandingkan dengan kereta mewah itu terasa kerdil pulak aku!

Ah! Dia lagi. Kenapalah hidup aku sering sangat melibatkan dia? Tak dijemput… tak diundang pandai-pandai saja datang rumah orang. Muka tembok agaknya? Kenapalah suka sangat ganggu ketenangan hidup aku! Hati Syaira gelisah dengan gerangan tetamu yang tidak dipinta itu. 

Sebidang tubuh yang amat dikenali melangkah turun lantas bersalaman dengan abah yang sedang duduk minum kopi di beranda rumah. Nampak aje sopan santun lagaknya, tapi perangai meyakitkan hati!

“Apa khabar pakcik?” sapa Adam ramah.

Sajalah tu nak tujuk baik. Dah tahu datang tak dijemput pandailah nak memaniskan mulut. Apa sebenarnya tujuan dia ke mari? Entah kenapa setiap tindakan Adam sering menimbulkan keraguan di hatinya.

“Alahamdulillah… Adam. Eh… kamu ni dari mana? Kenapalah tak beritahu dulu nak datang?“
“Dari rumah, pakcik. Memang niat nak ke sini menjenguk budak-budak tu. Kalau pakcik tak keberatan, boleh tak saya nak minta tumpang bermalam di sini beberapa hari?” soal Adam merendah diri.

“Ala kamu ni Adam… apa pulak nak minta izin. Bila-bila masa kamu datang pun pakcik tak akan tolak. Apa salahnya.” 

Abah ni... kenapalah baik sangat jemput si Adam menumpang di rumah. Beberapa hari pulak tu, buatnya sampai seminggu memang naya aku kena mengadap muka dia hari-hari. Suruh sajalah dia cari mana-mana hotel kat pekan tu. Menyemak betullah! Bentak Syaira sendiri.

Adam tersenyum senang dan kemudian berjalan ke arah emak lantas bersalaman.

“Makcik apa khabar?” soalnya tersenyum senang.

“Baik Adam. Kalau cakap nak datang kan senang? Boleh jugak makcik masakkan apa yang patut. Ini kamu datang mengejut, tak dapatlah makcik nak masak special untuk tetamu.”

“Saja makcik… nak buat surprise. Lagipun tak mahu susah-sudahkan makcik,” jawabnya selamba sambil pandangannya melirik kea rah Syaira.

Dan ketika itu pandangan mata mereka bertaut. Syaira sudah tidak senang duduk melihat panahan mata Adam. Hatinya bagaikan dijentik. Dan ketika itu juga kelihatan Nicky berlari memeluk bapa saudaranya.

“Papa… papa tidur sini ke?” soal Nicky gembira.

Syaira rasa meluat melihat kemesraan mereka. Sejak dulu lagi dia memang kurang senang dengan panggilan papa pada Adam. Sebabnya hanya kerana dia yang terpaksa menjadi mama. Ini semua berpunca daripada Nicky juga.

Sejak umur Nicky empat tahun lagi panggilan itu terpaksa diterimanya walaupun umurnya ketika itu baru enam belas tahun. Apabila kembali dari Australia, Nicky memang tidak tahu berbahasa melayu langsung. Maklumlah, dia dilahirkan di negeri orang putih.

Dan bila disuruh memanggil dirinya mak ngah, yang keluar dari mulut Nicky pulak manyah. Hampir pitam aku masa tu. Tak pasal-pasal bertukar taraf. Dah macam mak nyah pulak aku dengar. Terkekek-kekek semua orang ketawa. 

Dan kerana itu juga panggilan mama tercipta. Lebih mudah untuk Nicky sebut. Aku pasti kes Adam juga serupa. Kenapa tak biar aje Nicky panggil dia pak nyah. Memang sesuai! Baru padan dengan muka! 

Ramah pulak mulut Nicky sekarang bertanyakan itu ini sedangkan tadi asyik berkurung saja dalam bilik. Merajuk. Dari laman lagi hinggalah ke ruang tamu, tak putus-putus mereka berbual. Bila Adam datang mood Nicky boleh elok pulak tiba-tiba. 

Hati Syaira semakin racau ketika ini. Kehadiran Adam tentu akan buat Nicky ada pembela. Dan masalahnya akan lebih berat untuk berdepan dengan anak gadis itu. Keadaan akan jadi lebih sukar kerana keadiran Adam akan buat Nicky lebih mengada-ngada.

Dan dia tidak tahu kenapa Adam terus-terusan mahu masuk campur dalam hal ini. Bukankah amanat sudah diputuskan bahawa hak jagaan anak-anak saudaranya adalah di bawah tanggungannya.
Tetapi bila akalnya dapat berfikir dengan waras, Syaira telan liur. 

Bukankah Adam punya hak untuk melawat bila-bila masa sahaja, hatinya berbisik sendiri. Andainya dia tidak mampu menjaga Nicky dan Nadia bermakna amanah itu akan jatuh ke bahu Adam. Syaira kelu.

Cinta Kepala Batu ~ Bab Lima
Rancak betul mereka berbual. Dari satu topik ke satu topik, berselang-seli pulak dengan gelak ketawa. Abah memang peramah orangnya, kaya dengan celoteh. Kalau dilayan semakin seronok dia bercerita. Tak pernah habis. Sampaikan cerita masa aku kecik pun keluar sekali, rajuk Syaira dalam hati. Buat malu saja!

Dari dalam bilik Syaira sekadar pasang telinga mendengar setiap perbualan Adam dengan abah. Mereka seolah-olah saling mengenali antara satu sama dengan rapat. Ternyata Adam pandai mengambil hati dan mudah bergaul dengan semua orang. Terlebih ramah!

Cuma dengan aku saja yang dia suka buat musuh. Bila bercakap tak tahu berlapik. Bila menegur tak pernah berhemah. Yang tahu salahkan aku, agaknya dia saja yang betul dalam dunia ni. Syaira geram sendiri. 

Entah sampai bila lagi dia perlu bersua dengan musuh dalam selimut seperti Adam. Secara mata kasarnya nampak baik, tapi kenyataannya tindakan lelaki itu sering saja menyakitkan hati.

Syaira terus menjadi pengintip setia. Setiap perbualan abah dan Adam mencuri tumpuannya hinggalah timbul isu Nicky dan Nadia. Dia menjadi lebih tertarik untuk terus menjadi pengintip. 

“Kalau ada apa-apa masalah beritahu saya. Saya pun bertanggungjawab ke atas budak-budak tu, pakcik. Lagipun sejak kecil lagi mereka membesar di depan mata. Tak sangka pulak perkara ini boleh jadi begini.” Suara Adam kedengaran begitu serak.

“Itulah dugaan namanya, Adam. Untuk kita yang masih hidup di dunia ini. Dah takdir tuhan begitu. Kita perlu redha dalam hal ini. Pakcik pun nak ucapkan terima kasih kerana Adam sudi mahu memikul amanah ini sama-sama. Kalau ada apa-apa nanti memang pakcik akan sampaikan,” beritahu abah lirih.

“Senang hati saya dengar pakcik cakap begitu.”

‘Wah! Nak pikul amanah sama-sama konon... nak menyibuk adalah! Tak ada siapa pun minta dia susah-susahkan diri campur tangan,’ cemuh Syaira tidak puas hati.

“Tak sangka ya… zaman sekarang pun masih ada anak-anak muda yang bertanggungjawab macam Adam. Bertuah siapa yang jadi isteri,” gurau Encik Kamal sambil ketawa.

‘Yalah tu abah… jangan percaya sangat dengan lelaki macam Adam. Agaknya kebaikannya tu ada udang balik batu. Entah-entah dah memang ada perancangan nak ambil Nicky dan Nadia daripada aku.’ Firasat Syaira masih terus meragui keikhlasan hati Adam.

“Ishh… janganlah puji saya begitu sekali pakcik, saya cuma jalankan tanggungjawab. Anak Abang Imran pun dah seperti anak saya jugak,” ujar Adam malu-malu. Segan pula dia dipuji begitu.
‘Pandai betul mamat ni tunjuk baik depan abah. Hey! Bebulu telinga aku dengar drama dia.’ Bijak sungguh dia mengaburi mata abah sedangkan selama ini lelaki itu sering saja memperkecilkan tindakannya. Egonya tinggi melangit. Angkuh! Dia saja yang betul.

“Adam dah ada kekasih hati ke belum?” tanya Encik kamal tiba-tiba dan disambut dengan gelak kecil Adam.

“Sebenaranya saya ni dah bertunang, pakcik,” beritahunya tanpa berselindung.

“Ooo… tunang orang rupanya. Eloklah tu. Tak lama lagi rasanya dah nak langsunglah ya… tak ada harapanlah pakcik nak buat menantu,” ujar Encik Kamal bergurau.

’Ya ALLAH, abah... janganlah berangan nak jadikan lelaki macam tu sebagai menantu. Disogok dengan duit sejuta ringgit sekalipun dia tak akan sanggup! Simpang malaikat empat puluh empat!’
“Insya-ALLAH pakcik. Itupun pilihan emak saya sendiri. Saya memang tak pandai kalau soal perempuan. Tak tahu nak tackle hati dia orang.”

Syaira mendengar Encik Kamal tergelak. Dia juga ikut sama ketawa. Kalau bab itu dia setuju. Adam tu manalah tahu nak ambil tahu perasaan orang perempuan… yang dia pandai cuma menyakitkan hati.

Lelaki macam tu memang tak laku. Sebab tulah harapkan emak untuk carikan calon isteri. Malang betul siapa yang dapat suami seperti Adam. Belum sampai sebulan agaknya dah boleh hancur rumahtangga.

“Jadi calon isteri Adam memang pilihan ibulah,ya?”

”Begitulah pakcik.”

”Baguslah begitu, restu emak bapak ni penting untuk membina keluarga. Kata orang biar berkat. Pakcik dengan makcik kahwin dulu pun pilihan keluarga. Alhamdulillah sampai sekarang berpanjangan.”

”Saya pun harap antara kami ada keserasian. Masih dalam proses mengenali satu sama lain.”

”Perlahan-lahanlah. Dah bertunang… eloklah tu. Inilah masanya nak kenali hati budi sebelum bernikah.”

“Yalah… pakcik. Sekurang-kurangnya saya tahu baik buruk bakal isteri saya kelak. Nanti bila kahwin taklah susah, senang sikit saya nak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.”

Tanggungjawab!? Rasa jelek Syaira mendengar pengakuan Adam. ‘Cara bercakap macam nak jadi suami mithali, tapi kalau tengok perangai tak ada tokoh langsung nak memimpin keluarga. Setakat harapkan kuasa veto untuk memimpin isteri... huh! Takde maknanya!’

Masih terbayang di ruang mata Syaira tunangan Adam. Orangnya tak kurang peramah. Memang Adleena ada rupa paras yang memikat. Ditambah pula dengan dirinya yang pandai bergaya. Agaknya kerana kecantikan Adam terpikat. Maklumlah lelaki sekarang letakkan rupa paras di tangga teratas. Kononnya sejuk mata memandang. Lepas tu barulah datangnya cinta.

‘Nasiblah kau Adleena, dapat pulak lelaki macam Adam. Takut esok bila dah kahwin nanti, asyik makan hati memanjang. Sampai bila Adleena boleh  bertahan dengan lelaki yang hanya pentingkan egonya saja, angkuh! Perasaan orang lain bukannya diambil peduli.

Dari dulu lagi dia tidak suka kerenah Adam yang sentiasa mahu orang lain mengikut telunjuknya. Asyik-asyik dia yang betul. Semua kena ikut cara dia, telunjuk dia, cara dia, macamlah dia seorang saja yang sempurna. Tak pernah lakukan kesalahan.

Entah kenapa saat itu Syaira amat bersimpati dengan wanita bernama Adleena. Tentu wanita itu akan terkongkong setelah dirinya sudah sah menjadi milik Adam kelak. Segala tidak-tanduknya akan sentiasa dikawal.

“Eh… kita berbual panjang-panjang ni air pun tak ada.” Suara Encik Kamal kembali mencecah pendengaran Syaira. Dia mula resah.

Dan ketika itu juga dia mendengar namanya dilaungkan. Masuk kali ketiga namanya dipanggil barulah dia mengalah. Dengan lambat dia melangkah ke ruang tamu. Itupun kerana terpaksa.
“Tolong buatkan air. Buat kopi. Kalau ada kuih ke, biskut ke bawaklah ke sini.”

Sempat dia menatap wajah Adam yang sedang tersenyum nipis. Namun dia mentafsirkan senyuman itu terlalu sinis sekali. 

Kopi yang masih panas akhirnya dihidangkan, namun tiba-tiba abah angkat punggung. 

“Oh… punya berbual tak sedar pulak pakcik. Ada ceramah agama petang ni di surau. Kalau macam tu Syaira tolong temankan Adam minum. Pakcik pergi dulu ya Adam,” beritahu Encik Kamal dan berlalu pergi.

“Yalah Pakcik.”

Syaira gigit bibir dan tercegat berdiri di hadapan tetamu itu. Langsung dia tidak menduga terpaksa pula melayan lelaki itu berbual. Sudahlah di suruh buat air, nak kena temankan minum pulak? Tak kuasalah aku! 

“Kalau ya pun duduklah dulu. Alang-alang dah buat air dua cawan, minumlah sekali. Takkan saya nak minum sorang,” pinta Adam dengan senyuman tersimpul di bibirnya apabila melihat Syaira masih tegak berdiri. Lagipun ada perkara yang perlu mereka bincangkan.

Dalam terpaksa, digagahkan juga melabuhkan tubuhnya di situ. 

“Apa perancangan Aira nanti? Nak tinggal di mana?” tanya Adam spontan.

Syaira ketap bibir. Malas rasanya untuk menjawab pertanyaan Adam, apalagi mahu berbual dengannya. Tetapi dia masih tahu menjaga adab melayani tetamu. 

“Rasanya tinggal di rumah Kak Selina ajelah. Lagipun tempat kerja saya di Seri Kembangan tu tak jauh dari Putrajaya.”

“Habis budak-budak tu akan bersekolah di sekolah lama?”

Ketika itu dia terpempan. Barulah dia sedar selama ini akalnya tidak pernah terjangkau akan perkara itu. Tentang persekolahan anak-anak saudaranya. Cuti sekolah akan tamat beberapa minggu lagi sedangkan tidak pernah terlintas di akalnya untuk membuat sebarang persiapan sekolah untuk Nicky.

‘Ya ALLAH… macam manalah aku boleh lupa.’ Hatinya runsing di dalam.

“Saya dah fikir nak teruskan persekolah mereka seperti biasa.” Entah kenapa ayat itu terbit dari mulutnya tiba-tiba.

Adam kelihatan mengangguk.

“Eloklah tu… tapi kalau awak perlukan apa-apa bantuan jangan lupa beritahu saya.”

“Tak usahlah awak sudah-susah Adam. Saya tahu apa nak buat. Saya tahu nak selesaikan masalah budak-budak tu sendiri.”

Ketika itu juga renungan Adam tajam menembusi anak mata Syaira. “Degil!” bisiknya perlahan namun mampu singgah di pendengaran gadis di hadapannya.

“Apa awak cakap?” soal gadis itu agak keras.

“Saya tahu awak ragui keikhlasan saya kan! Boleh tak kita bersikap dewasa dalam soal ni. Bukan hal awak… atau soal saya yang kita perkatakan, tapi Nadia dan Nicky yang perlu diselesaikan.“

“How sweet. But no, thanks. Sebab saya rasa kebaikan yang cuba awak hulurkan tu ada niat lain,” hamburnya geram.

“Saya ikhlas… tak pernah ada sebarang niat yang terselindung. Tapi kalau awak rasa tak sanggup dan tak mampu untuk jaga mereka, saya boleh ambil alih,” sambung Adam lagi.

Syaira rasa tercabar. Kemampuannya terasa diperkecilkan. “Ha… kan betul! Awak memang ada niat lain. Awak ingat saya apa… boleh lepas tangan macam tu saja? Mereka tu darah daging saya,” tempelak Syaira kasar. Api-api kemarahan mula menyala.

“Darah daging saya juga,” celah Adam serta-merta. Tidak mahu mengalah.

Mata Syaira sudah mula mengecil. Geramnya meluap-luap setiap kali berhadapan dengan Adam.
“Memang betul awak ni keras kepala. Saya ni bukannya apa, sekadar nak tolong mana yang perlu. Tak lebih dari itu. Lagipun mereka juga tanggungjawab saya.”

Syaira sekadar mencebek.

Dan akhirnya mereka terdiam. Seperti biasa perbualan mereka sering tersesat ke arah pertengkaran. Pantas Syaira bangun dan berlalu. Lebih lama dia berdepan dengan Adam, lagi panas hatinya.
Emak yang baru muncul dari dapur hanya menggeleng kepala. Namun Syaira tidak peduli dengan kehadiran Puan Umirah.

“Jangan ambil hati Adam. Memang Aira begitu, dari kecil hingga besar dia memang jenis yang tegas. Suka berdikari dan tak suka mengharapkan pertolongan orang. Hatinya keras! Kalau putih katanya putihlah jadinya,” terang Puan Umirah agar Adam faham sikap anaknya.

Segalanya bermula ketika Selina mula melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sikap Syaira yang terlalu bergantung pada kakaknya ketika itu mula berubah. Sebulan dia bersedih tetapi akhirnya dapat juga dia bangun dan belajar berdikari.

Sejak itu Syaira berubah menjadi matang dan lebih dewasa. Sikap manjanya yang dulu terus lenyap. Dia belajar untuk menangani semua masalahnya sendiri, terutamanya hal sekolah. Dan mulai dari saat itu juga anaknya amat tegas dengan setiap pendapat dan prinsip hidupnya.

”Makcik harap Adam faham,” ujar Puan Umirah lagi. 

Adam mengangguk. Dia hanya mampu tersenyum tawar. Nampaknya hubungan mereka semakin meruncing. Sampai bila hubungan mereka yang keruh dapat dipulihkan. Keadaann begini tidak akan menguntungkan sesiapa. Dia tidak mahu kemelut antara mereka berdua menyebabkan Nicky dan Nadia menjadi mangsa keadaan.

 Cinta Kepala Batu ~ Bab Enam

Syaira sebak. Dia merintih dalam doa yang panjang. Kenapa susah benar baginya untuk menerima hakikat kehilangan kakaknya, Selina. Hanya pada-NYA dia menadah tangan. Memohon diberikan secebis kekuatan dan dipermudahkan tanggungjawabnya untuk membesarkan Nicky dan Nadia yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Selesai mengaminkan doa, mindanya berlegar lagi. Meniti kenangan lalu yang tidak pernah lupus diingatan. Senyuman dan wajah kakaknya yang manis sentiasa menari-nari ditubir mata. Rindu rasanya untuk merasai kembali kenangan itu. Namun, masakan waktu dapat berputar kembali? Percaturan alam tidak pernah berhenti atau berulang.

Wanita yang amat dikagumi dan sering menjadi teman mengadu telah pergi meninggalkan dirinya. Betapa payah dia memujuk hati bahawa itu ketetapan takdir. Dan berkat nasihat emak dan abah akhirnya dia cuba pasrah pada kehendak ILLAHI.

Kakak Selina pergi seolah-olah sudah tahu dirinya telah dipanggil untuk ke alam sana. Segalanya terancang rapi. Dia masih ingat ketika wasiat dibaca. Bagaimana Encik Fauzi menuturkan satu persatu-persatu kata-kata yang membuatkan dia tergamam. 

“Hak penjagaan kedua-dua anak arwah diserahkan pada Cik Syaira, manakala Encik Adam pula akan memikul amanah ini andai di pihak Cik Syaira menolak,” terang Encik Fauzi buat kali kedua setelah Syaira bagaikan sukar mempercayai apa yang disampaikan padanya.

“Kalau Syaira terima amanah ini maksudnya kami tidak ada hak langsung ke atas mereka?” soal Adam pula seakan tidak bersetuju.

“Tidak… Encik Adam masih ada hak untuk datang melawat atau menjenguk mereka, cuma penjagaan mutlak sahaja dipertanggungjawab serta diamanahkan kepada Cik Syaira.

Lelaki itu akhirnya mengangguk faham. Ada tanda kelegaan di wajahnya. Namun lain pula dengan riak wajah Puan Hanum. Nyata dia tidak bersetuju dengan wasiat yang tertulis.

“Saya tak percaya Imran buat wasiat begitu,” bantahnya terang-terang. Suaranya keras. Matanya sudah merah menyala menahan perasaan.

Kata-kata itu menyebabkan Encik Fauzi tersenyum nipis. Dan sebagai seorang peguam yang cukup berpengalaman, dia bijak menangani situasi itu tanpa mengusutkan lagi keadaan.

“Ini amanah kedua arwah, Puan Hanum. Kalaupun ada yang tidak bersetuju, permintaan mereka harus kita tunaikan. Dalam hal ini saya tidak membela atau menyebelahi sesiapa. Saya hanya menjalankan tugas.”

“Sabarlah umi. Kita ikut sahaja permintaan arwah Abang Imran dan Kak Selina,” pujuk Adam pula. 

”Kami hanya mampu membantu sementara ada, Aira. Tapi yang penting Aira sendiri perlu belajar memikul amanah.” Emak pula meyakinkan.

“Abah tahu Aira mampu.”

“Jangan anggap ini semua sebagai satu beban Aira… tapi apa yang bakal Aira lakukan ini adalah satu amanah dan kerja yang paling mulia. Banyak pahalanya jika kita membantu anak yatim. Lagipun mereka juga darah daging kita.” Pilu benar suara emak.

Syaira hanya cuba menerima kebenarannya dengan redha dan tabah. Dia juga masih belum lupa akan pandangan Adam padanya ketika itu. Kalau boleh dia tidak mahu bertemu dengan lelaki itu. Tetapi takdir seringkali menyimpang dengan kehendak.

Kini ternyata wasiat itu akan membuatkan mereka sentiasa bertemu muka. Tiba-tiba lamunan Syaira terbang dengan tangisan Nadia dari katil. Terus dia bergegas mendapatkan anak kecil itu. Namun tangisan Nadia kian kuat. Belum sempat kain telekung yang dipakainya ditanggalkan. Dia terus memeluk dan membelai rambut anak saudaranya.

Katika itu dapat dirasakan suhu badan Nadia yang panas. Dan lebih menggetarkan nalurinya apabila bibir si kecil itu meracau memanggil mummy dan daddynya. 

“Ya ALLAH…” Rasa sebak mula menjalar dalam sanubarinya. Mungkin Nadia tak mampu menanggung perubahan drastik ini. Kalau luarannya dia melihat Nadia seakan tidak faham dan ceria dengan mulutnya yang sentiasa petah, namun kini barulah Syaira sedar apa yang dialami dalam hati kanak-kanak kecil ini.

Pasti dia menanggung rindu yang sarat. Barangkali dia mendambakan kebahagiaan lalu. Menginginkan kasih sayang Kakak Selina dan Abang Imran yang telah tiada.

Sudah beberapa kali juga Nadia bertanya ke mana kedua ibubapanya pergi? Jawapan yang mampu dia berikan, mereka terpaksa bekerja di luar negara. Itu sahaja yang mampu difikirkan ketika hari kedua berita ketiadaan kedua arwah kuterima. Emak dan abah pula hanya mengiyakan. 

Kemurungan yang mereka sekuarga rasai tentu disedari Nadia. Atau mungkin juga anak kecil itu sudah dapat meneka apa yang sebenarnya berlaku walaupun kebenarannya cuba dirahsiakan?

“Mummy… daddy…” Bibir Nadia meluahkan rasa rindunya tanpa sedar. Semakin lama semakin kuat.

Syaira menelan air liur yang terasa payah. Kalbunya mula diulit sendu. Bersediakah dirinya untuk berhadapan dengan anak kecil ini. Persoalan ini perlu dihuraikan juga. 

Perlahan dia membelai wajah mulus Nadia dengan penuh kasih sayang bercampur dengan simpati yang menggunung. Kolam matanya sudah terasa panas. Pandangannya berbalam.

“Nadia… mama ada disini sayang… shhh…” Perlahan dan tersekat-sekat suaranya.

Ketika itu juga pintu bilik terkuat. Muncul wajah emak dan abah.

“Kenapa Aira?” soal abah cemas sambil menghampiri.

“Entahlah abah… badan Nadia panas,” ujarnya lirih dan cuba dikawal sebak yang berbuku.
Ketika itu juga matanya singgah pada sesusuk tubuh Adam yang berdiri di muka pintu. Abah turut sama merasa suhu badan cucunya yang panas secara tiba-tiba.

“Panas budak ni. Ada baiknya bawa ke klinik. Kalau dibiarkan takut melarat pulak nanti,” usul Encik Kamal agak cemas.

“Demam panas ke budak ni, bang?” soal Puan Umirah bimbang sambil mengelus pipi cucunya.

Nadia masih meracau dan menangis. Sesekali bibir kecil itu terus menyeru kedua ibubapanya.
Puan Umirah pula sudah menekup mulut. Betapa hatinya dirundung sebak saat itu. Gugur juga air mata kesedihan yang sering dipertahankan daripada tumpah di hadapan Syaira. Walau cuba digagahkan sekuat mana sekalipun, emosinya tetap tidak berdaya melawan gelodak rasa.

Melihat Nadia yang masih kecil merintih hiba begitu meruntuhkan  ketabahannya. Belumpun dua minggu tidak menatap wajah ibubapanya, Nadia sudah menanggung perasaan. Bagaimana agaknya jika dia diberitahu kasih sayang yang membesarkan dirinya kini sudah tiada?

Tanpa Syaira duga, ketabahan emak lebur jua di hadapannya. Tentu emak tidak berdaya mengawal kesedihan melihat wajah anak kecil yang sudah bergelar anak yatim sedangkan  dia sendiri belum mengenal dugaan dan cabaran hidup di muka bumi TUHAN ini.

Cinta Kepala Batu ~ Bab Tujuh
Sepi. Adam membisu. Syaira pula kelu. Bukan tidak ada apa yang ingin diperkatakan. Tapi suasana ketika itu dirasakan tegang. Masing-masing memendam pendapat yang sama. Perbualan hanya akan membawa pertengkaran. Itulah hakikat. Mereka tidak pernah serasi bersama.

Banyak benar soalan yang berlegar di minda Adam. Ingin diluahkan. Tetapi jiwanya menahan. Mungkin masanya kurang sesuai, hatinya mengingatkan. Tapi sampai bila semua itu harus ternanti tanpa jawapan? Baginya jika menunggu lebih lama, lebih rumit keadaan antara mereka.

Sekilas matanya melirik pada Nadia yang masih terlena di pangkuan Syaira. Mujurlah hanya demam biasa. Cuma doktor menasihatkan agar anak kecil itu diberi perhatian yang lebih kerana emosinya terganggu akibat rindukan ibu bapanya. Malah, keadaan mungkin akan lebih sulit jika kesihatan Nadia terus merosot. Dia masih belum dapat menerima perubahan dalam hidupnya.

Syaira pula semakin tertekan dengan kesunyian antara mereka. Rasa terperangkap. Kalau tadi abah yang bawa Nadia ke klinik, tentu tidak begini jadinya. Tak adalah aku seresah ini. Duduk berdua dengan musuh paling utama dalam hidup aku. Boleh hangin satu badan. 

Serba tak kena saja tingkahnya. Kekok! Pandang ke kiri terasa gelisah. Toleh ke kanan pun rasa salah. Nanti ada pulak yang cakap aku cuba merenungnya. Huh! Nak kata hensem pun sikit jer... bukannya banyak sangat. Tapi sebab kedekut sangat dengan senyuman sebab tu yang buat tu hilang.  

“Pakcik kurang selesa memandu malam-malam begini. Mata pun dah semakin kabur. Boleh Adam tolong bawak Nadia ke klinik? Biar Syaira tunjukkan jalan. Pakcik dengan makcik jaga Nicky di rumah.” 

Kata-kata abah tadi buat aku hampir terduduk. Air liur pun dah terasa berpasir semacam.  Dia berharap benar agar Adam menolak. Tetapi sebaliknya. Senang sahaja dia mengiyakan tanpa banyak soal.

”Yelah... elok kita segera bawak Nadia jumpa doktor. Saya boleh tolong hantaran.”

Lelaki itu hanya menurut. Abah pulak macamlah tak tahu aku memang tak ngam dengan Adam, ada ke patut buat saranan begitu. Nak membantah tak sesuai pulak memandangkan panas badan Nadia juga agak tinggi. 

Dan dalam suasana dingin begitu, tiba-tiba sahaja bibir Nadia sekali lagi memanggil nama ibubapanya. Serta-merta mata Syaira dan Adam saling bertaut. Pandangan kedua mereka nampak gusar. Hal-hal peribadi yang berlegar di fikiran masing-masing tadi terus terbang. Kini, soal Nadia yang lebih meresahkan kedua mereka.

“Saya risau keadaan Nadia.” Terlepas juga suara Adam. Dia mengalah pada keadaan. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang bermain di fikirannya saat itu. Tentang masa depan dan tentang kebahagiaan. 

Syaira tidak mampu berkata-kata. Tangannya terus membelai ubun-ubun anak kecil itu dengan perlahan. Rasa simpati dan kasih pada Nadia saling bertindan. Kalau diikutkan perasaan, mahu sahaja air panas dari kelopak matanya gugur. Tapi itulah, ego tetap ego! Jangan sesekali tumpah di depan lelaki bernama Adam. Tidak mahu dirinya dilabel sebagai wanita yang lemah.

Kenapa dia perlu berdepan dengan saat ini? Kenapa anak sekecil Nadia perlu mengalami dugaan sebesar ini? Sungguh dia tidak menduga bibir anak saudaranya yang petah berkata-kata itu sebenarnya menyimpan duka. Seolah-olah kesedihannya dipendam sendiri. 

Sejak Kakak Selina dan Abang Imran tiada, Nadia tidak pernah menunjukkan kesedihan. Malah, keletahnya sentiasa mencuit hati. Walaupun dia pernah bertanyakan tentang kedua mereka, namun bila diberitahu ibubapanya berkerja, alasan itu diterima tanpa bersoal jawab. Belum pernah dia mempertikaikan kewajaran itu.

Tapi siapa tahu, anak kecil itu sebenarnya sedang menanggung duka. Mungkin Nadia mampu membaca reaksi sedih orang-arang disekeliling lantas dia mampu membuat kesimpulan sendiri bahawa ibubapanya sudah pergi selama-lamanya.

Jiwa Syaira semakin dibungkam hiba. Namun cuba ditahan dengan sepenuh hati. Dia ketap bibir. Dibacakan istigfar berkali-kali dalam diam. Tabah.  Itu sahaja azimatnya untuk berdepan dengan dugaan ini. Dia berdoa agar diberi kekuatan untuk terus berpegang pada iman dan akal yang waras.
Setelah beberapa minit berlalu barulah Nadia kembali tidur dengan lena. 

“Aira… awak yakin mampu hadapi semua ini? Awak sanggup untuk menjadi ibu dan ayah pada mereka berdua?” Tiba-tiba Adam bertanya dengan suara perlahan dan serak. Namun maknanya begitu mendalam.

“Saya akan cuba selagi termampu. Lagipun emak dan abah akan bantu. Cukuplah dengan semangat dan sokongan mereka sekalipun.”

Adam mengangguk. Dia diam seketika sebelum meluahkan apa yang bermain di benaknya. “Banyak yang awak  perlu hadapi. Apa yang bakal awak lalui bukan semudah yang disangka.”

“Saya tahu,“ jawab Syaira ringkas. Namun dari kata-kata Adam dia seakan dapat menangkap ada maksud yang tersirat. Seakan meragui kemampuannya. Dan telinganya dapat mendengar keluhan lemah dari bibir Adam. Apa sebenarnya yang lelaki ini sedang rencanakan?

“Saya sanggup jaga mereka kalau awak tak ada kekuatan itu.” 

Nah! Apa yang dia sangkakan menjadi nyata. Sejak wasiat dibaca lagi, itulah kebimbangan yang bertunjang di sanubarinya. Semerta anak mata Syaira merenung Adam dengan mata mengecil.
Ternyata tepat kerisauannya selama ini. Lelaki itu sentiasa ada muslihat. Kedatangan Adam ke rumahnya sudah memberi satu petanda. Pasti ada sebab yang mengheret lelaki itu ke mari.

“Saya bukan selemah yang awak sangka,” tuturnya tegas namun nada suaranya masih terkawal. “Tak mungkin saya akan berpaling dari memikul tanggungjawab ini. Saya bukan selemah yang awak sangkakan.”

“Tapi tanggungjawab ini berat. Mampukah awak pikul seorang diri. Tambah esok lusa bagaimana pula kalau Aira berkahwin kelak. Masalah ini akan menjadi lebih rumit. Nampak mudah tetapi kebenarannya tidak seperti apa yang kita bayangkan.”

“Apa maksud awak?” soal Syaira kurang senang dengan perbualan mereka.

Adam diam seketika. Segugus keluhan terhela perlahan. Dia sedang mencerna ayat yang sesuai.
“Awak kena fikir hal ini dengan lebih mendalam dan jauh, Aira. Bagaimana kalau awak berkahwin nanti… mampukah bakal suami awak terima Nicky dan Nadia seadanya. Mampukah dia menyayangi mereka berdua seperti anak sendiri. Saya tak mahu mereka berdua menjadi mangsa keadaan.”

Gadis itu tersentap mendengar luahan Adam. Jauhnya pemikiran Adam. Dia sudah merancang masa depan dengan lebih baik. Aku sendiri tak terjangkau tentang perkara tu! Macam mana ni? Gulp! Air liur ditelan terasa kesat. 

“Mungkin bagi pihak Aira tak ada masalah. Tapi bagi lelaki, sukar untuk mereka menerima anak orang lain seperti darah daging sendiri. Tambah pula dengan masalah Nicky. Dari pemerhatian saya hubungan Aira dengan dia semakin kusut,” tambah Adam lagi.

Bukannya dia mahu merendahkan kemampuan Syaira. Tapi melihat hubungan tegang gadis itu dan Nicky, bimbangnya tidak pernah surut. Tentu banyak masalah yang akan timbul kelak. Dan sepatutnya mereka sudah memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Itu awak jangan risau. Saya tahu apa nak buat. Dia cuma perlukan masa. Lama kelamaan kami akan belajar memahami dan menerima antara satu sama lain,” ujar Syaira lancar sekadar menutup ketegangan hubungannya dengan Nicky.

Adam tersenyum sinis. Mudahnya Syaira membuat keputusan dan andaian. Tidak semua perkara boleh disusun-atur sebegitu mudah. Perasaan orang lain juga perlu diambil kira.

Syaira pula geram melihat reaksi Adam begitu. Seolah mempersenda kemampuan dan keyakinannya.

“Cakap memang senang Aira, tetapi nak melakukannya bukan semudah itu. Nicky dah empat belas tahun. Dia membesar dengan cara yang amat bertentangan dengan apa yang awak cuba tekankan sekarang.” Adam sempat melirik pada gadis di sebelahnya sambil menyelak rambutnya ke belakang.

”Jadi...” celah Syaira.

”Jadi jangan cuba ubah remaja seperti Nicky secara mendadak. Jangan suruh dia berubah dalam waktu yang singkat. Dia perlukan ruang dan masa. Ketegasan awak kadangkala buat saya tak setuju.”
”Terpulang... tapi awak tak berhak untuk menilai cara saya.”

”Pendekatan yang awak guna terlalu keras, kalah Hitler,” bisik Adam perlahan namun mampu mencecah gegendang telinga Syaira.

”Apa awak cakap?”

Adam sekadar menjongketkan bahu.

“Sudahlah Adam, saya malas nak cakap dengan awak lagi. Balik-balik awak yang betul. Yang silap, saya jugak. Jangan nak mulakan pertengkaran dalam waktu-waktu begini. Saya tak mahu berbalah. Saya dah tak kuasa lagi,” tegas Syaira geram walaupun dalam nada perlahan.

“Awak tak suka dengan kebenarannya kan…” sindir Adam. 

Dan setelah beberapa saat berlalu, Syaira masih mematungkan diri. Adam mengulangi semula kata-katanya tadi. Namun Syaira tetap dengan keputusannya tidak mahu memanjangkan perbualan mereka. Fikirannya sudah terbeban dengan pelbagai masalah. Jangan ditambah lagi masalah baru.
Adam tersenyum. 

“Kehilangan Abang Imran dan Kak Selina turut beri kesan yang mendalam pada saya, Aira. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Kenangan dan memori saya. Begitu juga dengan budak-budak berdua tu. Bila saya tahu mereka dah tak ada di dunia ini, separuh dari semangat saya seakan diragut pergi. Dan saya tak mahu kehilangan Nicky dan Nadia juga.”

Syaira hanya mendengar dengan perasaan terusik. Betapa dia juga merasakan kesan yang sama. Satu kehilangan yang amat besar hingga mampu melemahkan hampir sebahagian kekuatan yang menjadi nadinya selama ini. Sebahagian jiwanya seakan-akan lumpuh. Dan kini dia masih lagi belajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru tanpa mereka.

“Merakalah tempat saya menumpang kasih dan bermanja. Tambah pula bila awak yang menjadi pewaris Nicky dan Nadia, saya terkilan. Apa lagi ibu saya. Namun permintaan itu saya hormati. Barangkali ada rahmat disebaliknya. Jadi saya harap awak akan pikul amanat ini dengan sebaik mungkin,” luah Adam perlahan dan serak. 

Cinta Kepala Batu ~ Bab Lapan
Ketika bersarapan, mata Syaira kelihatan bengkak. Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa sepanjang malam dia karam dengan air  mata. Masakan dia dapat memujuk hatinya yang begitu remuk apabila bibir mungil Nadia sering meracau memanggil mummy dan daddynya. Malah, air mata anak kecil itu berlinangan dalam tidur.

Sesungguhnya Nadia sedang menanggung rindu yang terlalu dalam. Tak terluah dalam jaga, tapi tidurnya terganggu menanggung rasa. Segala yang dipendamkan terzahir di luar kawalan. Bagaimana agaknya kesedihan yang dirasai Nadia? Mampukah dia terus berdepan dengan hari-hari mendatang?

“Bagaimana dengan Nadia? Dah kurang panas badannya?” soal Encik Kamal bimbang. Semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan tentang kesihatan Nadia. Apalagi hatinya walang bila melihat wajah basah isterinya yang tidak mampu menahan sebak.

“Dah elok sikit abah. Panas badannya sudah hilang. Tapi dia nampak tak bermaya. Lepas makan ubat tadi, Aira dah tidurkan dia semula. Biarlah dia terus berehat.”

Abah melepaskan keluhan berat. 

Sementara itu Nicky muncul dari bilik. Dengan kasar dia menarik kerusi lalu duduk tanpa menegur sesiapa. Dan bila Nicky menyuap nasi lemak ke mulutnya tanpa mempelawa sesiapa makan, Syaira mula kurang senang dengan tingkah laku gadis itu.

Sedangkan dia yang sudah lama duduk di situ belum menjamah apa-apa kerana menunggu seisi rumah bersarapan bersama, Nicky pula tidak memperdulikan sesiapa.

“Nicky… sabar dulu kalau iya pun.”

Teguran Syaira dibalas dengan jelingan oleh anak saudaranya. Mulutnya masih tetap menyuap nasi. 

“Tak apalah… Nicky makan saja dulu. Biarlah Aira… agaknya dia dah lapar benar,” bela abah.

“Ala bah… apa salahnya dia tunggu, emak pun belum duduk. Jangan dimanjakan sangat dia macam tu,” protes Syaira tidak bersetuju.

”So the drama,” sindir Nicky sinis dan perlahan sambil menjeling tajam, sudah cukup untuk menggegarkan perasaan ibu saudaranya.

Encik Kamal menggeleng kepala. Dia tahu kemanjaan Nicky. Bukannya dia bersetuju tetapi dia mahu memberikan ruang kepada Nicky untuk menerima hakikat ketiadaan ibubapanya dulu. Mungkin secara perlahan-lahan sikap cucunya itu mampu berubah.

Tetapi susahnya apabila Syaira pula terlalu mengharapkan Nicky menerima caranya. Terlalu tegas dan penuh dengan prinsipnya yang tersendiri. Entahlah… dia sendiri sukar untuk menentukan jalan mana yang lebih baik buat mereka. 

Selang beberapa ketika Adam dan Puan Umirah duduk di meja makan. Adam dapat melihat ketegangan di wajah Nicky dan Syaira. Encik Kamal pula nampak serba salah dalam suasana dingin itu..

Entah apa lagi isu kali ini. Dia percaya ada sesuatu yang sedang berlaku antara mereka. Kalau tidak masakan wajah Nicky mencuka dan riak Syaira pula seperti sedang menahan rasa geram.

“Petang ni papa nak bawa Nicky dengan Nadia keluar jalan-jalan.” Suara Adam tiba-tiba memecah kesunyian. Dia mahu menjernih ketegangan itu. Jangan dibiar berlarutan. Takut kesudahannya lebih merumitkan keadaan.

Nicky memandang ke arah bapa saudaranya dengan pandangan ceria dan gembira. Bibir kelat tadi sudah berubah kepada senyuman lebar. Matanya mula bercahaya.

“Nicky nak pergi. Bila papa? Bila kita nak keluar, sekarang… lepas makan?” soalnya keriangan.
“Dah tak sabar cucu nenek nak jalan dengan papa ya,” tegur puan Umirah yang juga terkejut dengan reaksi cucunya. Kalau tadi masam mencuka kini tiba-tiba dah tersenyum gembira.

“Petang nantilah Nicky. Lepas Asar nanti kita pergi.” Tujuan Adam sebenarnya hanya satu. Dia mahu membeli persiapan persekolahan anak saudaranya sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Biarlah dia membantu apa yang termampu. Dia sendiri simpati dan tahu Syaira masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya ini. Masih banyak yang gadis itu perlu belajar tentang tanggungjawab menjaga sebuah keluarga.
  
BAGI Syaira anak saudaranya yang seorang ini sikapnya memang lain. Tak makan saman! Semakin ditegur, semakin menjadi-jadi dengan sikap degilnya. Selagi Nicky tahu apa sahaja yang dibenci olehnya, itu juga yang paling seronok hendak dibuat. Suka sangat kalau dapat menyakitkan hatinya barangkali.

Petang itu Nicky sudah bersiap-sedia untuk keluar bersama dengan Adam dengan hanya mengenakan seluar separas lutut dengan t-shirt sendat. Nampak terlalu ranggi dan moden.

Hati Syaira bagai digaru. Macam mana dia mampu bersabar dengan tingkah laku gadis yang kian meningkat dewasa begini. Dia hanya menggeleng kepala dan apabila Nicky lalu di hadapannya, satu jelingan maut dilempiaskan padanya membuatkan hati Syaira kian membara.

Syaira mengetap bibir mahu menahan perasaaan. Perlukah dia membiarkan Nicky dengan cara dan kerenahnya yang tersendiri. Tapi jika tidak dibetulkan sampai bila akan ada perubahan?

“Nicky, boleh tak pakai pakaian yang sesuai sikit?” tegurnya. 

Ringan sahaja mulutnya ketika itu melancarkan kata-kata yang pasti akan membangkitkan bahang antara kedua mereka. Walaupun rendah dan halus bahasanya, namun dia sedar gadis dihadapannya terlalu keras hati untuk menerima sebarang teguran.

Sejak dulu lagi puas kakaknya beri nasihat. Namun tegurannya bagai semilir yang datang menyapa dan berlalu pergi. Semuanya kerana Puan Hanum  yang sering menjadi pembela.

“Nicky… dengar tak apa yang mama cakap tadi?” tegurannya kali ini dengan nada yang lebih keras bila tiada respon daripada gadis itu. 

Kali ini pandangan bertembung pula dengan Adam yang baru turun dari tangga.

“Apa salahnya Nicky pakai begini? Kolot sangatlah mama ni. Perkara kecik macam ni nak sibuk. So the drama!” Seperti biasa ayat keramat itu sudah sebati dengan dirinya. 

“Alah kakak ni… betul apa yang mama tegur tu. Apa salahnya pakai baju yang elok sikit, bukannya susah. Inikan kampung… bukannya bandar. Dulupun mummy selalu tegur, tak elok pakai baju tu. Bukannya cantik sangat… tak senonoh adalah!” Nadia mencebik. Demamnya sudah surut. Malah bersemangat benar Nadia mahu keluar bersama dengan bapa saudaranya. 

“Yang adik sibuk tu kenapa? Suka hati akaklah nak pakai baju apa pun!” bentaknya membela diri.
”Sebab akak seorang nanti tak pasal-pasal adik pun tak boleh keluar. Cepatlah pergi tukar baju,” arah Nadia seolah dia pula yang lebih tua daripada Nicky.

“Sudahlah tu Nicky… Nadia. Jangan nak bertelagah pulak. Kita kan nak keluar ni,” tegur Adam meleraikan pertengkaran yang kian panas. Dia mencari jalan perdamaian. Melihat jelingan tajam Nicky dan Syaira ketap bibir, dia bimbang perang saudara meletus lagi.

Namun hati Syaira tetap kurang senang melihat penampilan anak saudaranya. Selagi dibiarkan, mana mungkin gadis itu akan berubah. Kalau mahu melentur biarlah dari muda. Walaupun dia sendiri menyedari waktunya agak terlambat kerana gadis itu sedang meniti usia remaja tetapi dia tetap bertanggungjwab membetulkan.

Syaira tidak berputus asa untuk mencuba. Tambah pula amanah itu terletak dibahunya. Takkanlah dia perlu berserah sahaja agar satu hari nanti sampai seru baru nak berubah. Tapi dari mana pulak akan datangnya seruan kalau pengetahuan tentang halal dan haram tidak didedahkan atau diambil serius.

“Nicky salin pakaian dulu. Kalau nak pakai seluar pun biarlah sampai kebawah. Jangan separuh jalan. Kalau tidak, mama tak izinkan Nicky pergi.” Kali ini suara Syaira lebih tegas dan bernada amaran.
Biarlah dia dikatakan zalim macam Hitler sekalipun, tak apa! Asalkan yang salah dibetulkan. Umur Nicky yang sudah menjangkau lima belas tahun memang sudah layak dididik dengan halal dan haram. Antara aurat wanita yang perlu dijaga dan dipelihara.

“Mama memang selalu macam tu… apa saja yang Nicky buat semua tak kena. Ada saja yang salah.” Suara Nicky sudah mula melengking. Marahnya mula menjadi-jadi.

“Nicky…” tegur Syaira agar Nicky sedar dia sudah mula bersikap biadab dengan meninggikan suara padanya. 

“Mama bukannya ibu Nicky… nak tetapkan mana yang betul mana yang salah. Nicky tak suka bila mama memandai-mandai tetapkan arah hidup Nicky. Nicky dah besar… dah tahu buat keputuan sendiri,” hamburnya lagi dengan suara yang bergetar.

“Kalau dah besar… Nicky tak akan selalu buat perangai yang orang lain tak suka. Cuba belajar jadi dewasa dan matang. Ini tidak!” Syaira juga tidak mahu mengalah kali ini.

Adam menarik nafas panjang. Sudah diduga perkara ini akan berpanjangan. Perkara yang kecil sudah meleret menjadi besar. Kini suasana yang menyelubungi mereka semakin genting.

“Nicky tak suka mama masuk campur urusan hidup Nicky,” jerkahnya kasar tanda tidak menghormati ketetapan Syaira. Dia sudah jelak dimarah. Kini jiwanya semakin memberontak.

“Nicky… tak baik tinggikan suara begitu,” ujar Adam lantas menarik anak saudaranya itu menjauhi Syaira. Kalau tidak dileraikan dengan segera tentu sahaja perang besar akan meletus. 

”Nicky... Nicky...” Terketar-ketar bibir Syaira menahan amarah.

“Apa salahnya Nicky naik atas sekejap dan tukar pakaian. Tak ada salahnya kan,” pujuk Adam lembut dan tenang.

Sebaris ayat itu sahaja mampu melembutkan hati Nicky. Bergegas dia ke atas mendengar permintaan Adam. 

Keluhan keras terlepas dari Syaira. Huh! Entah ilmu apa Adam pakai, senang pulak Nicky mengikut rentaknya. Kalau kata-kata Adam boleh pulak didengarnya. Syaira kian bimbang!
 
 Cinta Kepala Batu ~ Bab Sembilan
 Adam termenung sendirian. Jiwanya kelam-kabut memikirkan hubungan Nicky dan Syaira. Semakin hari kian meruncing. Dua-dua kepala batu. Sikap Nicky saling tak tumpah seperti ibu saudaranya itu. Namun sebagai orang yang lebih dewasa, seharusnya Syaira lebih mengalah dan menggunakan cara yang lebih halus untuk melembutkan hati Nicky.
 
Namun apakan daya. Wanita itu terlalu degil. Nampaknya sikap keras kepala yang dimilikinya kian menjadi-jadi seiring dengan usia yang kian menginjak. Semakin tua, semakin liat agaknya!

Sejak dulu lagi memang dia faham sangat dengan sikap Syaira yang tidak pernah mahu mengalah. Malah dia begitu tegas dengan pendiriannya. Adam teringat ketika pertama kali bersua dengan Syaira. Ketika itu dia baru di tingkatan empat.

Masakan dia lupa tentang tegurannya terhadap pakaian Syaira dibalas dengan tengkingan yang cukup menggetarkan jiwa lelakinya. 

”Jangan sibuklah. Suka hati saya nak pakai apapun. Bukannya menyusahkan awak.” Pedas dan berapi jawapan gadis itu.

Dia terpana. Kelu dan tidak terduga langsung reaksi itu yang akan diterima oleh seorang gadis yang dirasakan cukup sopan dan lemah lembut. Namun telahannya silap, yang lembut jangan disangka lemah.

Adam terkejut besar dengan suara Syaira yang melengking sedangkan ketika itu tegurannya ikhlas. Masakan sesuai Syaira memakai baju kurung sedangkan dia dan Abang Imran sekeluarga mahu bertolak untuk berkhemah di kawasan peranginan air terjun.

Dan semakin hari, dia mula memahami sikap gadis itu dengan lebih jelas, kepala batu! Tapi siapa tahu kerana sikap itu juga dia seronok untuk menjolok sarang tebuan. Dia cukup terhibur kalau dapat membangkitkan kemarahan Syaira. Tambah pula apabila cabarannya disahut. 

Tanpa sedar dia mula teruja mahu melihat wajah gadis itu yang merah. Marah ditahap kritikal barangkali. Apalagi kalau mulutnya muncung bagaikan landak setiap kali angin Katrinanya sampai.

Ditambah pula dengan dengan jelingan maut yang mampu membuat jantungnya terhenti.
Kalau dulu memang ngeri jugak dilibas dengan pandangan sebegitu, tetapi lama-lama dia mula tergoda. Pandangan itu seakan jelingan manja yang menawan. Adam senyum sorang-sorang. 

Dan ketika fikirannya menjelajah jauh, deringan telefon bimbit dengan lagu I’m Yours menampan pendengarannya. Segera punat hijau ditekan.

“Hai sayang… di mana sekarang ni?” Lemak merdu sekali suara yang menyapa di sana.
“Assalamualaikum…” ucap Adam semerta.

“Sorry… sebab rindu sangat pada you, I jadi lupa,” balas Adleena menahan rasa malu kerana terasa disindir. Bukannya dia tidak tahu akan sikap Adam yang amat mementingkan semua itu.

“You ada di mana sekarang?” soalnya kembali setelah menjawab salam perlahan.

“Di kampung lagi.”

“Masih di sana?” tanya Adleena dalam nada terkejut. “Kenapa lama sangat? Takkan nak berkampung terus?” Adleena dilanda curiga. 

Hanya ketawa kecil yang kedengaran meniti di cuping telinganya.

“You pergi melawat anak saudara ke pergi melawat emak saudaranya sekali?” Soalannya mula menjurus ke arah cemburu. Siapa tidak menaruh curiga apabila tunangnya dekat dengan gadis cantik lain.

Adam terus mengulum senyuman. Bahagia apabila Adleena menaruh cemburu. Bukankah cemburu itu tandanya sayang. 

“You kan tahu apa yang berlaku. Dalam keadaan sekarang mereka memerlukan I,” ujar Adam apabila agak lama Adleena mendiamkan diri.

“Itu I tahu… tapi kenapa lama sangat. I dah rindu tahu.” Kali ini suaranya lebih bernada lembut dan manja. 

“Tak lama lagi I balik. Mungkin dua tiga hari lagi. Masih ada hal yang belum selesai.”

Adleena mendiamkan diri seketika. Hati perempuannya tetap bimbang apabila Adam menghabiskan masa dekat dengan Syaira. Takut hati tunangnya mula beralih arah. Dia juga yang merana. Sejak dulu lagi dia memang tidak suka mereka dekat. Perasaannya tidak pernah tenteram kerana baginya Syaira adalah saingan yang terlalu hebat.

Siapa yang tidak cemburu pada gadis manis berlesung pipit di pipinya itu. Bahkan, dia sering saja terasa tidak mampu menandingi kejelitaan Syaira. Alis matanya sering membuatkan dia sendiri terasa mahu terus memandang. Ditambah pula dengan kening tajam semulajadi yang terbentuk kemas. 

Bukan seperti dirinya yang terpaksa ke spa sepanjang masa untuk merapi dan memanjakan diri. Kalau tidak jangan haraplah nak dapat kulit muka licin dan putih seperti sekarang. Perlu berhabis duit duhulu untuk mendapat hasilnya. Tapi dia sanggup asalkan pelaburan itu berbaloi dengan hasilnya.

Dia mahu kelihatan sentiasa cantik. Mahu lebih bergaya agar dapat mengatasi kesempurnaan Syaira. Gadis itu sentiasa ayu dipandang. Kalau dia sebagai wanita sudah terpesona, inikan pula lelaki. Masakan hati Adam tidak pernah terusik melihat gadis secantik Syaira.

Dia sendiri sebenarnya keliru kenapa tunangnya tidak pernah terpaut hati pada gadis itu. Mungkin juga kerana sudah lama mereka saling mengenali antara satu sama lain hingga perasaan kasih dan sayang hanya seperti saudara memandangkan pertalian yang terjalin antara keluarga.

Adam juga selalu mengeluh tentang sikap Syaira yang tidak disukai. Malah, perbalahan mereka tidak pernah ada penyelesaian. Kerana itu juga dia boleh menarik nafas lega. Namun rasa bimbang bahawa hati Adam mungkin berubah tetap ada. Dia takut andai rasa benci akan bertukar menjadi rasa cinta. Siapa tahu!

SETELAH meletakkan telefon dari panggilan orang tersayang, Adam keluar apabila melihat Syaira duduk di buaian di luar rumah. Baginya perbincangan dengan Syaira masih belum tamat. Hal Nicky perlu diselesaikan dengan segera, jika tidak hal ini akan semakin rumit. Tambahan pula masih ada satu wasiat yang belum dia selesaikan dengan gadis itu.

“Boleh saya duduk di sini?” soal Adam sambil melabuhkan punggungnya di buaian yang sama.
“Dah duduk baru awak nak tanya. Undang-undang mana awak pakai?” sinis tutur Syaira.

Adam sekadar tersenyum sumbing. Sekali lagi dia dilibas dengan pandangan Syaira. Tidak perlu rasanya dia memanjangkan soalan gadis itu kerana dia dapat meneka ke mana destinasi perbualan itu akan hanyut. Buat masa ini ada perkara lain yang lebih memerlukan perhatian.

“Ada hal yang saya perlu bincang dengan awak,” beritahunya lambat-lambat.

Syaira sudah dapat menduga isu perbualan mereka. Pasti perkara yang sama. Kenapa Adam sering saja menjadi orang tengah dan pembela. 

“Saya tahu awak dengan Nicky dari dulu lagi seperti musuh. Dan ada satu perkara yang saya nak usulkan  pada awak. Tentu masalah akan selesaikan.” Dengan mukhadimah yang begitu mesra dan tersusun kemas dia memberi cadangan.

“Apa?” soal Syaira mendadak.

“Apa kata kalau saya saja yang jaga kedua mereka.” Ringkas dan padat jawapannya.
Kata-kata Adam membuatkan renungan tajam Syaira ternoktah ke wajah lelaki itu. Matanya sudah mengecil. Geram. Kalau itu penyelesaiannya... baik tak payah cakap! Buang masa aku saja!

“Berapa kali lagi saya nak tegaskan… wasiat tu untuk saya. Dan awak akan cuma menjadi galang-ganti andai saya menolak. Tapi dah terang-terang lagi saya dah jelaskan, tanggungjawab itu akan tetap saya pikul. Awak masih tak faham?” Syaira menekan sedikit suaranya. 

“Dengar dulu apa yang saya nak cakap.”

“Tak perlu… sebab saya sudah bertegas dengan keputusan yang sama. Macam mana awak cuba sekalipun, jawapannya tetap tidak. Saya tidak akan sekali-kali ubah keputusan, faham?!”

“Awak dah fikir masak-masak tanggungjawab yang akan dipikul? Bukan sehari dua… tetapi selama-lamanya.”

”Ya... saya dah fikir. Esok ke... bulan depan ke... tahun depan ke... jawapannya tetap sama. Saya tak akan berganjak.”

”Tapi macam mana kalau esok lusa awak akan berkahwin. Bagaimana dengan mereka? Bagaimana pula dengan bakal suami awak. Itupun kalau ada...” celah Adam sinis.

”Kalau saya kahwin pun apa masalahnya? Tak menyusahkan hidup awak pun.”

”Saya tak fikir ada lelaki yang sanggup terima dua orang anak sekaligus apabila melafazkan akad. Bukan setakad dapat isteri, tapi dapat pekej!” luah Adam menyindir.

Cuping telinga Syaira mula panas. “Buat masa sekarang saya memang belum terfikir sampai ke situ. Lagipun saya belum ada sesiapa. Lainlah awak sekarang dah jadi tunangan orang, tak lama lagi dah nak kahwin. Saya juga tak rasa perempuan seperti Adleena sanggup terima mereka,” balas Syaira menyindir. 

Nadia sendiri sering mengadu padanya bahawa dia kurang berkenan pada buah hati Adam. Orangnya memang cantik, tapi sayang tak tahu mengambil hati anak kecil seperti Nadia.

“Awak belum ada calon? Betul jugak ya… mana ada lelaki yang nak perempuan kepala batu macam awak. Semua lelaki takut dengan perempuan yang suka queen control,” bisik Adam.

“Apa awak cakap?” melengking suara Syaira. 

Dia ingat aku ni tak laku sangat? Bukannya tak ada yang datang melutut. Yang merayu dengan ayat-ayat berkarat pun berdozen, cuma dia saja yang tak mahu terikat dengan cinta. Belum terbuka hati untuk tenggelam dengan perasaan begitu. Atau lebih tepat dia sebenarnya tidak percaya dengan perasaan itu.

“Ah… tak ada apa-apalah.” Sengaja Adam menafikannya. Macam manalah mulut aku boleh terlepas cakap tadi. Dah elok-elok nak berbincang nanti berperang pulak. Kutuknya dalam hati.

“Jangan nak pura-pura. Awak ingat saya tak dengar apa yang awak cakap tadi?”

“Kan senang kalau kita berdua yang kahwin.”

Kenyataan secara tiba-tiba daripada Adam membuatkan dia terasa mahu pitam. Kenapa ke situ pulak dia melalut? Dah hilang akal agaknya dia. Kalau dulu mereka tidak pernah serasi inikan pula nak membina mahligai bersama. 

Takkan nak biarkan rumah tangga bergolak. Tiap-tiap hari berperang. Hari ni baling pinggan, esok pulak kuali melayang, anak-anak berterabur tak terjaga. Alamat hidup dalam daruratlah mereka. Gila!
Dan ketika itu dia melihat senyuman melebar di bibir Adam. 

“Ah, malaslah nak layan orang tak betul macam awak. Dah hilang akal agaknya.” Segera Syaira bangun mahu melangkah pergi.

“Eh… awak nak ke mana pulak tu? Ada hal lagi yang kita perlu bincang. Duduklah dulu,” pinta Adam.

Namun permintaannya tidak dipedulikan Syaira.

Ala… belumpun masuk topik utama dia dah lari pulak! Orang bergurau sikit pun tak boleh. Kalau begini sampai bila nak selesai! Adam geleng kepala. Sudah diduga reaksi Syaira begitu. Tanpa sebarang kata dia hanya mampu melihat tubuh kecil molek itu hilang di depan mata tanpa kesudahan.





8 comments:

[Fadilah Diyana] said...

tahniah akak...sinopsis yg menarik,insyaAllah next month saya beli...skang ni tinggal duit untuk makan jer...ehehe...good luck!!!hope jualan novel ni masyuk...amin...

3 Baiduri 2010 said...

x pe fadilah... isi perut dulu...nanti baru layan CKB... akak doakan adik berjaya dlm pelajaran...

euni said...

saya dh bace novel ni.
tak rugi membaca.smoge ada kisah yang lagi menarik di masa hadapan

nur azatull said...
This comment has been removed by the author.
nur azatull said...
This comment has been removed by the author.
nur azatull said...

salam..
tahniah akk..
krya akk yg b'tjuk cinta kepala batu mndpt smbtn yg baik..
sye hrp nvl akk mndpt smbtn yg t'hgt d'psrn..:-)
amin..

MirraMustaffa said...

salam writter !! saya dah baca novel ni.. memang syok habis.. sampai meleleh air mata.. (malu nak ngaku) great job writter !!

Unknown said...

Dekat mna boleh cari novel nie