“TERIMA KASIH daun keladi Jojo... esok-esok kau jemput aku lagi ya,” ucap Harlyna lembut dan manja sambil melambai lagak Miss World yang baru lepas disandang gelaran.
Setelah kereta Perodua Viva hitam Jojo menghilang, dia melangkah ke pintu. Kunci dikeluarkan, lalu tombol pintu ditolak. Namun, pintunya masih juga tidak terbuka. Macam kena paku dari dalam. Berulang kali dicuba. Namun, tetap tidak menunjukkan sebarang hasil.
Rasa gelabah sudah mula bergetar. Dia mundar mandir di situ. Tengok jam tangan. Sudah hampir pukul 12.00 malam. Nak tekan loceng ke tak? Beberapa minit akalnya berlegar laju. Sedang membuat pertimbangan.
Selalunya, time macam ni mamat tu tentu dah berdengkur sakan. Kalau tekan loceng, boleh ke dia dengar? Tapi kalau dia yang bangun bukakan pintu lagilah teruk. Paling tidak kena ceramah motivasi tahap sekolah rendah sampai ke subuh. Naik tuli telinga!
Tapi kalau aku tercongok kat luar begini lagilah seram. Terbayang filem Khurafat yang sempat ditonton dengan Jojo tadi. Serta-merta dia toleh kiri kanan. Tengkuk mula terasa meremang semacam.
Sepantas kilat dikeluarkan telefon bimbit dari beg sandang. Telefon Jojo, akalnya mengarah. Tapi bila terpandang skrin, Harlyna tepuk dahi. Puas punat kecil di sebelah kanan ditekan-tekan tetapi tetap juga sama.
“Aduh! Time-time begini pulak habis bateri.” Wajahnya berkerut seribu. Dan dengan drastik pula pula loceng ditekan. Biarlah apa yang mendatang sekalipun, dia rela serah diri.
Seminit... dua minit... masih juga statik. Pintu yang diharapkan terbuka masih tetap teguh tertutup rapat.
Akhirnya, Harlyna terduduk di depan kereta Emir sambil merenung pintu agar terbuka.
“Ya insing matakaji smaaalom...” Ayat yang pernah ditonton dalam cerita P.Ramlee itu diulang dua kali. Dah putus harapan sangat sampai melalut yang bukan-bukan.
Tidak lama kemudian dia sedar tirai tingkap diselak dari dalam. Terus matanya bercahaya.
“Abanggg... Lynn balik ni. Tolonglah buka pintu sayang...” Kata-kata itu hanya bercanda dalam hati.
Sebaik terpandang wajah serius Emir. Harlyna telan liur. Dia cuba tersenyum. Tapi nampak sangat dibuat-buat. Tangannya melambai. Tapi terasa macam nak tercabut sendi. Gentar juga dengan renungan lelaki itu.
Sudah hampir lima minit dia terus menunggu. Namun, pintu tetap juga tidak terbuka.
Tiba-tiba dia terdengar alarm kereta berbunyi.
“Apa ni? Bukannya aku suruh buka pintu kereta!” gumamnya dengan mulut muncung panjang ke depan. Jari-jemarinya sudah tergaru-garu kepala.
Bila pintu terus tertutup, Harlyna keliru. Tangannya sibuk menampar nyamuk sana sini. Tubuhnya sudah terasa gatal.
Dia termangu. Tongkat dagu. Lalu bangun dan cuba buka pintu kereta. Tidur dalam kereta ke aku malam ni?’
Agaknya dia sengaja tak mahu kasi aku masuk rumah. Marah kot?! Hati Harlyna terasa bengkak.
“Macamlah besar sangat kesalahan. Setakat keluar malam... lepas tu lupa nak minta izin atau bagitau. Ah! Daripada terus berembun lebih baik tidur dalam kereta.” Akhirnya dia sudah tekad dengan keputusan itu.
“Bertuah punya laki! Ada ke patut biarkan isteri tercongok luar rumah malam-malam buta begini?! Adoi la... seram!!! Buatnya kena kidnap betul-betul dengan hantu siapa yang susah?!” omel Harlyna dengan mata terkebil-kebil.
Bantal kusyen dijadikan alas kepala. Suasana malam yang dingin membuatkan tubuhnya mengerekot. Badan dah penat, mata pun dah kuyu. Baru beberapa minit berlalu, dengkuran halusnya sudah mula berirama dalam hening malam yang sepi.
EMIR terlentang di sofa sambil melapik kepala dengan lengan. Bimbang juga membiarkan isterinya tidur dalam kereta.
Tapi bukannya dia sengaja buat begitu. Bukan tak kasih... bukannya tak sayang. Sekadar ingin mengajar. Moralnya jangan marayau lagi malam-malam. Dan paling penting jangan lupa beritahu dia sebagai suami setiap kali Harlyna mahu keluar ke mana-mana.
Puas dia memujuk hati agar redha dengan sikap isterinya. Dimaafkan juga walaupun kesabarannya sudah terasa goyah.
Sesungguhnya seorang isteri yang mengingkari suaminya adalah isteri yang nusyuz.
Dia beristighfar berkali-kali apabila ayat itu melintas di kepala secara spontan. Ampunkan isteriku, ya ALLAH. Dia masih lemah dalam mencari erti hidup yang sebenar, ungkapnya dihati.
Harap-harap lepas ni Harlyna tak ulangi lagi perbuatan yang sama. Suka sangat ikut kepala sendiri! Tak fikir ke perasaan kita yang bimbang menunggu di rumah? Apalah yang seronok sangat dunia di luar tu? Buat benda-benda yang tak ada faedah. Apa yang dia dapat?
Setengah jam berlalu. Emir bangun. Intai di tingkap. Sunyi. Sepi. Lalu dia buka pintu, keluar dan mengintai dalam kereta. Kelihatan gadis itu sudah nyenyak. Siap berdengkur panjang. Dia menggelen.
Dia tenung isterinya. Rambut yang berjuntai di dahi diselak. Kemudian pipinya diusap lembut. “Lynn... Lynn...” Nafas panjang terhela daripada bibir Emir. Sampai bila sikapnya akan berterusan begini?
Tubuh Harlyna terus dikendong. Mak ai! Berat mengalahkan anak gajah. Nampak saja kecil molek, tapi tulang besi, urat dawai gamaknya!
Tangan Harlyna pula spontan memaut tengkuknya. Hisy! Betul-betul tidur ke sedang berlakon ni? Gaya peluk bukan main lagi. Dah macam tengkuk aku ni bantal golek dia!
Tubuh isterinya dibaringkan ke katil. Lalu penghawa dingin dibuka dan selimut tebal ditarik hingga ke dada. Kali ini spontan tangannya mencubit lembut pipi isterinya. Gadis itu bergerak. Tetapi matanya terus terpejam.
Selamat malam sayang, ucapnya sambil mencium ubun-ubun Harlyna. Dan serta-merta dadanya terasa sarat dengan kasih dan cinta. Hanya untuk isteriku...
4 comments:
so sweet...!!!
Salam. Kak Ayu, tahniah atas kelahiran novel terbaru ni! xsabar nak dapatkan novel ni. memang lain daripada yang lain.
Disember... sangat lambat nak tunggu. kat Kuching ni lagi la... after 1month+ baru boleh dapatkan kat MPH & Popular Bookstore. :( Waiting for January...
P/S: kak ayu xde nak buat peraduan ke? mana tau boleh dapat free novel. =]
Like like likeee!
hehehe...sweet la..
Post a Comment