20 June 2011

Aduhai Isteri ~ Part 1

“RESTUILAH along untuk berkahwin dengan dia, umi,” pintanya lembut dan perlahan. Penuh mengharap. Sudah dapat diduganya reaksi umi sebentar tadi yang begitu terkejut dengan permintaannya. Dan lebih menekan perasaannya kerana tahu umi pasti terluka dengan keputusan itu.

Emir memandang wajah uminya dengan dada yang penuh bergetar. Mungkinkah dia telah menghancurkan harapan wanita itu? Mungkinkah umi akan berasa hati dengan keputusannya? Ampunkah Emir umi, hatinya merintih.

Hajah Latifah mengeluh lemah. Majalah MIDI yang dibelek sejak tadi sudah tidak menarik perhatian lagi.

Sejak Emir menyuarakan hasrat mahu menyunting Harlyna sebagai isteri, terasa dadanya bagai dipalu. Kenapa? Langsung tidak pernah diduga anak lelakinya akan meminta sesuatu yang cukup berat untuk ditunaikan. Sesuatu yang tidak pernah terfikir selama ini.

Bukankah selama ini Emir begitu bijak untuk menentukan setiap keputusan dalam hidupnya? Kenapa sekarang dia sanggup membuat pilihan sebesar itu? Baginya, menikahi Harlyna adalah sesuatu yang tidak sepatutnya Emir lakukan. Tidak sanggup dibayangkan gadis itu menjadi menantunya kelak.

“Tapi macam mana dengan Intan? Sebelum ni along sendiri sudah setuju untuk jadikan Intan sebagai calon isteri. Kenapa sekarang ubah keputusan? Cuba berterus-terang dengan umi.” Hajah Latifah memandang wajah anaknya dalam. Mahu mencari sebab atas permintaannya.

Kemudian, anak matanya mendarat pula ke arah Haji Lukman. Suaminya sedang tersandar lesu di sofa. Kelihatan sedang termenung jauh. Tetap tenang. Nampak tidak terusik dengan keputusan anak sulong mereka itu.

Kata-kata umi membuatkan Emir tertunduk beberapa saat. Rasa bersalah usah ditanya. Sudah berbongkah-bongkah sedang menghimpit di dalam dada. Tetapi hasratnya untuk menikahi Harlyna begitu kuat.

“Mungkin jodoh Emir bukan dengan Intan,” ucapnya tenang. Sedangkan kerongkongnya terasa begitu perit.

Bukannya Intan tidak cukup baik dirinya. Malah, gadis itu cukup sempurna pada pandangan matanya sebagai seorang lelaki. Cantik, tinggi lampai dan menarik. Bahkan mempunyai pengetahuan yang serba lengkap dalam hal agama. Gadis lulusan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan itu punya pakej lengkap yang seharusnya menjadi ukuran untuk dijadikan calon isteri.

Tetapi bagi Emir, hatinya telah terdorong untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Yang lebih bererti. Sepotong hadis yang dibaca semalam terus berlegar-legar di minda.

“Sesungguhnya dunia itu semuanya adalah kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia ialah memiliki wanita solehah.”

Bait-bait yang dibaca minggu lalu terus mengusik hatinya. Ya! Dia mahu seorang isteri yang solehah. Yang elok dan cantik zahir dan batin pada pandangan matanya. Dan dia yakin mampu menjadi seorang suami yang dapat memberikan sesuatu yang layak untuk seorang isteri miliki.

Halangannya sekarang cuma persetujuan umi. Tetapi dia yakin. Walau kebal dan kental bagaimana sekalipun, hati seorang ibu akan cair dengan keinginan anaknya. Pasti umi akan mengalah jua.

“Umi dah pernah bertanyakan tentang Intan pada Mak Ngah Shimah kamu. Dia pun seperti tiada halangan,” ujar Hajah Latifah bergetar.

Nanti apa pula kata dua pupunya itu? Sedangkan dia awal-awal lagi bagai memberi harapan dan gambaran untuk menyatukan Emir dan Intan walaupun tidak diluahkan secara terbuka.

“Umi dah berjanji dengan mak ngah?”

“Belumlah sampai berjanji. Cuma hati umi sendiri dah terpaut pada Intan. Elok sangat untuk Emir pada pandangan mata umi,” luahnya dengan suara dalam dan serak. Terkilan.

Zety dan Kamelia, dua orang lagi anak Hajah Latifah dan Haji Lukman hanya diam menikus. Mereka sekadar pasang telinga. Tidak betah menyampuk. Namun, hati kedua mereka begitu tertanya-tanya kenapa abang mereka begitu beria-ia memujuk umi menerima Harlyna sebagai menantu.

Zety cuit peha Kamelia. “Kenapa dengan along tu? Tak ada orang lain ke nak buat bini?” soal Zety sambil berbisik dengan bibir muncung dan mata mencerun. Dia memang tidak setuju kalau Harlyna yang bakal menjadi kakak iparnya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibangkang secara terang-terangan macam dalam sidang parlimen.

Apalah yang elok pada Kak Lynn tu? Berbeza betul dengan along. Macam langit dengan bumi. Zety membuat perkiraan sendiri. Kalau Kak Lynn + along = pinang kena gelek lori balak. Memang hancur! Tak ada chemistry langsung. Mana ada persamaan! Kalau bersatu juga memang kecoh rumah tangga mereka nanti. Hati Zety sedang membuat rumusan sendiri.

“Tak sesuai langsung!”

“Syyy...” Kamelia meningkah.

“Tak kuasalah! Mintak-mintak janganlah dia jadi keluarga kita...” komen Zety lagi ke telinga kakaknya.

Segera Kamelia meletakkan jari telunjuknya di bibirnya. Isyarat agar adiknya diam. Khabar yang along bawa memang boleh buat sesiapa sahaja tersentap. Tak ada angin, tak ada ribut... tiba-tiba pokok bergoyang. Siapa yang tak terkejut besar? Namun, dia yakin along ada alasan yang cukup kuat...

♥ Ayu Emelda ♥

2 comments:

Cik Syira said...

Kak Ayu.. ni novel baru ke?? :)

DLa said...

kak Ayu...hmmm menarik2..bla bleh publish nih...