21 June 2011
Aduhai Isteri ~ Part 2
“BETUL abang sudi terima Lynn sebagai isteri?” soal gadis itu di hujung talian dengan suara perlahan dan lembut. Sedangkan bibirnya sedang menguntum senyuman yang penuh seribu makna. Tapi sayangnya lelaki itu tidak dapat melihat.
Emir mendengar suara Harlyna dengan hati cukup senang. Suara lemak merdu itu sudah mula mencuri perhatiannya. Dia sendiri tertanya. Benarkah Harlyna yang sedang berkata begitu? Kenapa sikapnya begitu tenang dan santun?
“Abang terima Lynn seadanya. Tak perlulah Lynn bimbangkan soal tu,” ujar Emir bersahaja.
“Betul? Bukan sebab papa paksa?” soalnya menagih jawapan jujur dan ikhlas. Sebelum hubungan mereka dipatri. Dia perlu tahu kebenaran. Malah, dia sudah mula membuat andaian bahawa lelaki itu sanggup menikahinya kerana desakan papa atau dia sebenarnya mahu membalas budi yang telah papanya tabur selama ini.
“I’m big enough to decide what I want.”
“Are you sure?” Harlyna masih curiga.
“Tak ada istilah paksaan untuk mengikat perhubungan kita. Abang jujur mahu mengambil Lynn sebagai isteri. Tak ada siapa suruh. Malah, abang juga tak mahu Lynn terima abang kerana desakan sesiapa.”
“Maksud abang?”
“Kalau Lynn rasa abang bukan lelaki yang selayaknya untuk bergelar suami Lynn, kita tak perlu teruskan rancangan ini. Kerana untuk memulakan sesuatu hubungan yang suci, ia perlu lahir dari keyakinan.”
Harlyna terus mendengar tanpa mencelah. Suara lelaki itu yang kedengaran begitu yakin membuatkan dia bertambah cuak.
“A relationship based on trust and faith, Lynn. Kalau ada rasa sangsi walaupun sekelumit cuma boleh mengundang masalah di kemudian hari.”
Terdengar keluhan daripada bibir Harlyna. Emir jadi tertanya sendiri. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran gadis itu? Kenapa kedengaran berat benar desahnya. Mungkinkah dia rasa terpaksa?
“Lynn...”
“Errr... ” Gadis itu bagai tersentak.
“Keputusan di tangan Lynn sekarang. Terima atau tidak abang akan terima dengan hati terbuka. Fikirlah semasak-masaknya.”
“Lynn akan fikirkan. Tapi Lynn juga tak mahu abang buat keputusan terburu-buru dalam hal ini. Abang belum kenal siapa Lynn.” Tutur kata Harlyna bagaikan mencabar dan memberi amaran.
“Abang terima Lynn seadanya. Baik dan buruk. Lagipun kita dah lama kenal. Dan abang tahu siapa gadis yang akan abang nikahi nanti.” Emir tidak tergugat. Malah dia cukup bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja helah bakal isterinya.
Sebaik meletak telefon, Harlyna mengigit bibirnya. Dia mendengus geram. Nampaknya laluannya kali ini lebih sukar. Penuh berliku. Tidak seperti Kamal Efendy atau Hairul. Senang saja mereka ditundukkannya. Tapi dengan Emir, hmmm...
“Macam mana Lynn?” soal Tania dengan kening terjongket. Muka kelat temannya sudah memberi petanda kurang baik.
“Uhh! Payah beb! Payah!” jawab Harlyna sambil meramas rambut lurusnya separas bahu hingga kusut masai. Dia mengangkat kaki ke sofa. Memeluk erat kedua lututnya.
“Apa yang payahnya?” soal Jojo pula sambil memandang temannya dengan rasa ingin tahu yang menebal. Perhatiannya ke kaca TV mula beralih pada gadis itu. Dia mengubah posisi duduk bertentangan dengannya.
“Macam kebal jer yang sorang ni...” Meleret suara Harlyna sambil memandang kedua teman baiknya bersilih ganti. Mulutnya yang muncung sudah ke depan dengan mata terkelip-kelip bagai menahan perasaan. Kemudian keluhan berat dan panjang dilepaskan. Hatinya semakin walang.
“Eh! Kau kan banyak idea-idea pelik selama ni. Takkan kali ni dah mengeluh,” tempelak Jojo sambil mengangkat tangan kanannya. Menyindir. Geli hati bila tengok wajah gentar dan kelat gadis itu.
“Masalahnya... dia ni lain sikit. Tak sama...” kata Harlyna sambil menepuk paha kanan.
“Lain yang macam mana? Apa yang tak sama? Kan lelaki jugak. Pilihan papa kau dan bakal suami kau seperti si Kamal dan Hairul.” Tania sudah mula garu kepala. Keliru dengan reaksi Harlyna.
“Tapi dia lainlah Tania, Jojo... kau orang kan tahu kami dah lama kenal. Sejak kecil lagi. Dia dah tahu siapa aku, perangai aku. Baik dan buruk aku memang ada dalam kocek dia. Kiranya aku memang dah kantoi kali ni. Macam mana nak berlakon? Kau orang ingat senang ke?!”
“Habis tu kau dah mengalah. Kau sanggup kahwin dengan si Emir tu?” Mata Jojo sudah bulat. Mulutnya ternganga. Dia saling toleh-menoleh dengan Tania. Kemudian keduanya nganga.
“Parah aku kalau macam ni!” Keluhan Harlyna kian berat. Jarinya mengurut dagu. Saling tak tumpah gaya seorang panglima tentera sedang mengatur strategi mahu bertempur di medan perang.
Tania tersengeh. “Baru mencabar beb! Buku bertemu ruas. Aku pun dah teruja nak dengar muslihat kau kali ni. Hangat ke hangit,” seloroh Tania sambil menepuk paha temannya yang sedang kegelisahan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment