15 March 2007

Lagu Rindu di Ruangan Sastera Berita Harian

LAGU Rindu karya Ayu Emelda menghanyutkan pembaca dengan kisah pasangan muda lulusan luar negara yang tersepit dengan ikatan kasih tetapi gagal dileraikan secara harmoni apabila disatukan meskipun hakikatnya hadir perasaan cinta antara mereka.

Puteri Adalea yang menuntut di University of Salford, Manchester, ditakdirkan bertemu dengan jejaka tampan, Tengku Iman Aqmal, ketika meraikan Syawal di Jabatan Pelajar Malaysia di United Kingdom. Pertemuan pertama itu menjalin ikatan perasaan antara mereka meskipun Adalea diingatkan teman-temannya akan khabar angin Aqmal seorang kasanova yang menjadi buruan ramai pelajar wanita.

Keakraban Aqmal dengan pelajar wanita, Sofea dan Tengku Ima Julea, tempat mereka belajar menyebabkan Adalea menyimpan prasangka tak berkesudahan terhadap Aqmal sehingga akhirnya hubungan perasaan mereka terpaksa dileraikan ketika konvokesyen.

Sekembali di Malaysia, Aqmal disambut bapanya manakala Adalea disambut keluarganya dan kebetulan bapa kedua-dua bapa pelajar itu rupa-rupanya pernah bersahabat, lalu menjalin semula hubungan yang pernah terputus.

Aqmal menggunakan kesempatan itu bagi memaklumkan kepada bapanya hasrat ingin memperisterikan Adalea menyebabkan gadis itu yang sudah berpatah arang dengan pemuda terbabit tersepit oleh keadaan.

Kebetulan Adalea juga ditimpa masalah apabila adiknya, Misya akan melangsungkan perkahwinan manakala nenek mereka yang membenci Adalea tidak mahu perkahwinan langkah bendul berlaku bagi mengelakkan Misya menjadi buah mulut orang. Situasi itu memaksa Adalea menerima Aqmal meskipun hakikatnya hatinya begitu raguragu akan keiklhasan pemuda terbabit untuk memperisterikannya memandangkan sikap kasanovanya tidak pernah berubah.

Perkahwinan Adalea dan Aqmal hanya pada nama kerana mereka membawa haluan masing-masing selepas Adalea enggan membuka hatinya untuk suaminya itu kerana dianggap mensia-siakannya dan mendahulukan wanita lain dalam hidupnya. Kunjungan Sofea selepas mereka berkahwin dan kedatangan Julea menetap bersama mereka mengharubirukan lagi kehidupan mereka sehingga terbongkar rahsia yang disimpan bapa Aqmal daripada pengetahui ibunya selama ini.

Siapakah Julea dan Sofea, apakah hubungan Haikal dengan Remu serta mengapakah Aqmal berang melihat Haikal bersama Adalea akan diketahui dengan membaca novel setebal 448 halaman terbitan Alaf 21 Sendirian Berhad berharga RM17 senaskhah.

*Sumber dari Berita Harian, 15 Mac 2007