30 July 2012

Benci! Benci! Benci! di Sinar Harian

Klik gambar untuk berita penuh. TQ :)

Salam Sayang...
♥ Ayu Emelda ♥ 

29 July 2012

Laman mini Mahar Setulus Hati


Jemput singgah ke laman mini novel Nur Mahar Setulus Hati @
http://maharsetulushati.wordpress.com/

Salam Sayang...
♥ Ayu Emelda ♥

27 July 2012

Laman mini Benci! Benci! Benci!


Jom singgah ke laman mini Benci! Benci! Benci! @
http://benci3x.wordpress.com/

Salam Sayang...
♥ Ayu Emelda ♥

09 July 2012

Benci! Benci! Benci!


Benci! Benci! Benci!
Tetapi lelaki itu a.k.a Zarif Arfan juga yang jadi suami. 
Bukan kerana dipaksa, bukan disuruh dan bukan juga desakan sesiapa.
Qisya Ammara sendiri yang rela...

Bab 1Bab 2; Bab 3; Bab 4
Bab 41 ; Bab 53 ; Bab 57 ; Bab 62 & Bab 63 ; Percayalah...

Sinopsis
Tak suka! Tak nak! Tak mahu!” ~ Qisya Ammara.

Tetapi Zarif Amri juga yang jadi suami. Takdir mengatasi segalanya. Hubungan mereka terpateri dengan ijab dan kabul. Bukan kerana dipaksa, bukan disuruh dan bukan juga atas desakan sesiapa, Qisya sendiri yang rela.

Baru semalam bergelar isteri, angannya untuk mengecap bahagia hancur berderai. Menyesal! Sayang, segalanya sudah terlambat. Cinta yang cuma suam-suam kuku semakin haru-biru. Cemburu dan dendam meranapkan segalanya. Setiap kali rasa kasih hadir, ada sahaja yang jadi penghalang. Nama Akim bagaikan satu badi untuk mereka berdua merasai kebahagiaan. Kesannya, jasad dan jiwa Qisya cukup terdera dan terseksa.

Saat berputus asa dengan cinta, Zarif mula sedar bahawa isterinya tidak bersalah. Namun, mampukah sekeping hati yang sudah hancur lebur mengenal erti cinta lagi? Dia akan berjuang untuk memiliki cinta Qisya yang hilang tatkala dirinya kian dibenci.

Tinta Penulis
Assalamualaikum…
Syukur kepada-NYA kerana terus memberi ilham untuk terus berkarya. Dan terima kasih juga kepada insan-insan di sisi yang sentiasa setia di sisi.

Benci! Benci! Benci!
Adalah kisah cinta Adam dan Hawa yang cuba mencari bahagia di alam berumah tangga. Hakikatnya, ‘mendirikan masjid’ memang senang. Tetapi mengekalkan keharmoniannya bukan mudah! Kerana cabaran dan dugaan tidak pernah lupa datang membadai.

CINTA... cukupkah sebagai modal dalam perkahwinan? Bukankah cinta cukup unik dengan maksudnya yang tersendiri?

“You're the one who broke my heart, you're the reason my world fell apart, you're the one who made me cry. But  yet, I'm still in love with you and I don't know why.”

Begitulah pengalaman Qisya dengan cinta. Betapa hati dan perasaannya sebagai seorang isteri dengan mudah diperkecilkan oleh suami. Bagaimana kejujuran dan pengorbanannya telah dipersenda. Namun, setiap kali dia cuba lari, cinta bagai merantai dirinya.

Dan Zarif, adalah seorang lelaki yang terlalu taksub dengan cinta. Sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi memiliki cinta. Tetapi sayang, dia lupa menghargai saat impiannya sudah ada dalam genggaman. Ketika segalanya telah hilang, barulah dirinya tersentak! Namun, perlukah ada kemaafan bila luka yang terlakar terlalu dalam?

Kepada para pembaca, terima kasih atas sokongan kalian. Selamat menghayati kisah Qisya Ammara dan Zarif Amri. Andai ada yang baik dalam nukilan ini, Alhamdulillah...

Kalau ada salah dan silap, hanya ampun dan maaf dipinta. Sesungguhnya, kita hanya manusia yang sentiasa mencari cinta. Dan cinta yang agung hanya milik-NYA. Kerana hanya DIA yang lebih mengetahui setiap ketentuan...

Salam Sayang...

Benci! Benci! Benci! ~ Percayalah...


Qisya yang duduk di sisi katil sekadar memandang dengan ekor mata. Hatinya sedikit terusik. Ada rasa kesal dan bersalah. Salah diri sendiri kerana membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

Beberapa minit keadaan terus dingin. Setelah Qisya menimbang beberapa perkara dan membuang rasa ego yang beraja, perlahan-lahan dia menapak ke arah Zarif, lalu duduk di sofa yang sama.

Dia di hujung sebelah kiri. Lelaki itu pula di hujung sebelah kanan. Anak muda itu nampak ralit dengan bacaannya.

“Awak masih marahkan saya?”

Kaku.

“Maaf... memang salah saya.”

Zarif terus menyepi. Mahu menduga sejauh mana Qisya mahu mengakui kesilapannya. Siapa tidak terasa hati dituduh secara melulu begitu. Tetapi bukannya memberi kesan besar sangat sampai dia perlu berdendam atau marah.

“Saya tak suka terhutang budi sebenarnya,” ujar Qisya perlahan. Tunduk menekur lantai.

“Jadi, awak ingat saya cuba tabur budi?” Sinis suara Zarif.

Qisya tersentap mendengarnya. Marah nampak? Aduh! Susah, susah... Buruklah lelaki merajuk.

“Awak merajuk sebab saya cakap macam tu tadi?” soalnya dengan suara lembut. Adatlah bila memujuk.

Zarif menjongket bahu. Sengaja jual mahal.

“Saya minta maaf...” Suara Qisya antara dengar dan tidak. Berat nak ucap kata maaf. Tapi bila mengenangkan kebaikan yang lelaki itu sudah buat, dia terpaksa mengalah.

Diam. Kata maaf gadis itu bagai tidak memberi kesan di hati Zarif. Sedangkan dia cukup gembira sebenarnya.

“Saya minta maaf... dan saya mahu berterima kasih dengan awak.” Dikuatkan sedikit suaranya kali ini. Manalah tahu, kalau-kalau lelaki itu memang ada masalah pendengaran.

Zarif menoleh. Ditayang wajah tegang. Mata mereka saling bertaut. “Apa maksud awak tak mahu terhutang budi dengan saya? Apa sebenarnya yang awak bimbangkan sangat?”

“Saya... saya...” Qisya hilang kata. Kelu. Digigit bibirnya.

“Saya tak akan minta awak balas budi. Sebab saya pun tak minta bertembung dengan Taufik yang sedang tergolek kesakitan tengah jalan. Bukan manusia namanya kalau saya tinggalkan dia dalam keadaan begitu, atau buat-buat tak nampak semata-mata untuk elakkan awak rasa terhutang budi,” hambur Zarif panjang lebar. Ada nada tegang dalam suaranya.

“Sorry...” Nada Qisya bertukar lebih lembut. Sebak apabila mendengar kata-kata Zarif sebegitu. Mungkin itu juga yang lelaki itu rasakan tadi.

“Saya tahu saya buat silap kerana bertunang dengan Zaura,” rintih Zarif kesal. “Tapi jangan hina kebaikan saya.”

“Zarif...” Qisya memanggil perlahan. Lebih pada memujuk. Tidak mahu kesilapannya bertambah banyak.

Akhbar di tangan diangkat semula. Bagai sedang makan hati saja tingkah Zarif. Tambahan pula dengan wajah kelat dan tegang yang ditunjukkan.

“Saya benci bila awak cuba buat baik. Awak sendiri tahu sejarah kita,” luah Qisya jujur.

Zarif diam seketika. “Sejarah kita yang membuatkan awak membenci saya? Cuma sebab saya budak nakal di sekolah dulu yang tak pernah terlepas dari buku catatan pengawas awak. Begitu?” sindirnya.

Tersentap lagi Qisya. Air liur yang ditelan terasa pijar. Bukan itu sebab utama kenapa dia membenci Zarif. Spontan, nama Najlah kembali berlegar di fikiran.

Cuba diusir prasangka lama. Tapi kerap kali juga ia datang menghantui dirinya. Bagaimana kalau lelaki yang disangka Zarif itu sebenarnya orang lain?

“Kita bukan remaja lagi, Qisya. Masing-masing dah berubah. Kita dah dewasa.”

“Tapi kenapa saya yang awak cuba jadikan teman sejiwa?”

Zarif memandang wajah gadis itu lama. Menghantar rasa hati yang jujur dan ikhlas. Mahu Qisya tahu luahan hatinya lahir daripada perasaan yang tulus. Dia kasihkan Qisya sepenuh hati.

“Saya tak punya apa-apa. Tiada yang menarik dengan seorang insan bernama Qisya Ammara. Malah, hati saya juga sudah diserahkan pada orang lain. Dah menjadi milik lelaki yang saya cintai.”

“Tapi itu tak bererti hati awak tak boleh berubah. Berikan saya kesempatan dan peluang untuk buktikan.”

“Jangan buang masa awak,” tegas Qisya. Dia benar-benar pasti tiada yang boleh menggugat rasa cinta di hatinya.

“Saya akan sentiasa menunggu sampai hati awak terbuka untuk seorang insan bernama Zarif Arfan. Bukan harta atau kemewahan yang saya tawarkan untuk buat awak terhutang budi...”

“Zarif...” potong Qisya.

“Tapi saya punya keikhlasan dan kasih sayang untuk mencintai awak sepenuh hati. Tak mungkin ada lelaki lain yang mampu mencintai awak sebaik saya. Percayalah,” luah Zarif penuh perasaan seakan memateri janji.

Qisya terkedu. Dia hilang kata. Dia tidak sanggup mengambil risiko. Baginya, cinta tidak boleh ditukar ganti dengan mudah.

“Saya bukan Zarif yang dulu. Kesilapan lalu telah banyak mengajar saya menjadi manusia yang lebih baik.”

Kesilapan lalu?! Dada Qisya dihambat debar. Kata-kata pemuda itu bagai mengumpil sebahagian daripada teka-teki yang menjadi iguannya sekian lama.

Mungkinkah dia?

01 July 2012

Kenangan Pesta Buku Selangor '12 @ SACC, Shah Alam ~ 30 Jun 2012







Benci! Benci! Benci! ~ Bab 53

PANDANGAN Qisya dilontar jauh ke depan. Memandang air yang kebiruan di sepanjang Long Wharf Park, New Haven. Tenang... sedangkan hatinya terus bergelora. Kakinya menguis pasir yang halus.

“Qisya...”

Suara serak itu mengganggu ketenangan yang cuba dinikmati. Sebaik berpaling, Qisya melihat sejambak bunga dihulurkan kepadanya.

“Untuk apa?” soalnya lemah. Terusik juga dengan jambangan bunga itu.

“Ketenangan...” jawab Zarif perlahan apabila jambangan bunga itu sudah beralih tangan.

Mereka duduk bersebelahan. Sempat bersapa mata. Kemudian masing-masing membawa pandangan ke lain.

Bunga mawar yang berwarna merah jambu itu dicium sebelum diletakkan di atas pasir.

“Masih ingatkan dia?” soal Zarif perlahan.

Qisya menganggguk lemah.

Zarif memejam mata. Kemudian meraup muka dengan tapak tangan. Sabarlah hati.

“Masih sukar untuk saya terima apa yang berlaku. Dikhianati dua kali. Bukan sesuatu yang remeh, kan?”

Pedih menyentap tangkai hati Zarif. Benarkah dia mengkhianati wanita yang dicintainya?

“Sukar untuk saya percaya bahawa Akim sanggup berpura-pura selama ni. Bukan setahun dua, tapi hampir lapan tahun lamanya.”

Zarif kecewa. Dia suami yang ada di depan mata dan di samping Qisya. Tetapi fikiran Qisya masih tidak pernah sunyi daripada mengingati lelaki itu!

“Hmm... kekasih hati,” cebik Zarif. Sinis. Dia menguis pasir di kaki. Kemudian tangannya mencapai ranting dan mula melakar sesuatu di atas pasir.

“Ini soal hati dan perasaan.”

“Habis... saya apa? Tak ada hati dan tak ada perasaan? Saya suami yang tak tahu cemburu?”

Qisya menggigit bibir.

“Saya di depan awak ni tunggul agaknya,” sindir Zarif dengan bibir tersenyum. Dibuat-buat.

“Jangan terus mendesak saya, Zarif.”

“Jangan sampai terlewat untuk segala-galanya. Jangan menyesal,” ujar Zarif bagai satu amaran.

“Saya pernah merasai erti cinta dengan dia. Bukan semudah itu boleh dilupuskan.”

“Tapi itu bukan cinta. Mana ada istilah cinta kalau dibina daripada dendam dan pembohongan. Terimalah hakikat, Qisya! Berilah peluang pada hubungan kita.”

Bibir Qisya beku untuk mengiakan. Matanya tunak ke pasir. Melihat perkataan yang dilakarkan suaminya.

Sorry...