09 March 2012

3 X BENCI ~ Part 4

“A
PA KHABAR Mak Nah?” soal Zarif sambil meraih dan tunduk mencium tangan bakal ibu mertuanya itu. Sejak sampai ke kampung, dia tidak senang duduk selagi tidak bertemu dan bertentang mata dengan orang yang amat dirindui.

Gila! Dia memang gila. Tengok siling nampak muka Qisya. Tengok TV pun wajah dia yang tiba-tiba pegang watak heroin. Paling darurat, bila tengok pinggan nasi, muka bujur sirih itu juga yang menjelma. Sampai nak makan pun terasa sayang. Takut nanti dia boleh mati kebulur sebab gila bayang.

Sedikit demi sedikit nafas dihela. Lega. Setelah empat tahun tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman, akhirnya dia kembali. Rasa rindu terubat jua. 

“Sihat Zarif... kenapa datang tak beritahu? Bila kamu balik? Dah lama sampai?” soal Puan Jannah terus-menerus. Dia begitu terkejut menerima kunjungan daripada anak muda itu secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah... sihat Mak Nah.” Kuih bangkit dan kuih sepit yang dibeli di kedai Haji Zakaria sebelum ke mari tadi dihulurkan sebagai buah tangan. Depan bakal ibu mertua kenalah pandai ambil hati. Kalau jadi kahwin dengan anak Mak Nah esok lusa mesti bahagia rumah tangga, hatinya bercanda.

“Terima kasih. Buat susah-susah saja. Bila kamu balik?” soal Puan Jannah sekali lagi sambil memandang Zarif tidak berkelip. Anak muda itu kelihatannya sudah banyak berubah. Penampilan dan perwatakannya semakin matang. Yang pasti wajahnya cukup tenang.

“Semalam,” beritahu Zarif perlahan. Kalau ikutkan, badannya teramat letih. Perjalanan 22 jam dari Los Angeles masih terasa. Segala urat-saraf terasa kejang. Ditambah pula dengan jetlag kerana perubahan masa. Tapi desakan hati yang membuatkan dia sampai ke sini.

“Duduklah Zarif,” pelawa Puan Jannah sambil ikut duduk bertentangan dengan anak muda itu. Hatinya dihuni tanda tanya tentang kedatangannya ke rumah. Sama ada hanya datang berkunjung atau ada kena-mengena dengan pinangan tempoh hari. Mungkin ada sesuatu yang hendak dibincangkan.

“Sunyi jer Mak Nah. Mana yang lain-lain?”

“Afif dengan Taufik keluar. Zaura dengan Qisya ada. Kamu duduklah dulu ya. Mak Nah ke dapur buatkan air.”

Zarif mengangguk.

Kemudian Puan Jannah ke bilik anak daranya. Zaura yang nampak ralit dengan majalah disuruh buatkan minuman untuk anak muda itu. Membaca pulak dia! Tadi bukan main suka bila beritahu Zarif datang. Kemudian dia terus melangkah ke dapur.

 Ketika keluar bilik, Zaura sempat berbalas pandang dengan Zarif. Senyuman manis dihadiahkan. Mahu menegur, tetapi dia hilang suara. Buat seketika dia terpana. Hatinya bergetar. Langsung tidak menyangka lelaki yang melamarnya secara tidak sengaja punya personaliti yang begitu memikat.

“Alang...” laung Puan Jannah dari dapur.

Zaura tersentak. Dalam terpaksa dia melangkah berat.

Zarif hanya tersenyum. Kemudian geleng kepala. Setelah beberapa saat dia mendesah pula. Antara dia dan Zaura tidak mungkin akan bersama. Gadis itu sebaya dengan Fazura. Sudah dipandang seperti adik sejak dulu. Tetapi apa yang berlaku benar-benar diluar kemahuannya.

Teringat apa yang beritahu kepadanya sebaik sampai ke rumahnya. Fazura terus buka cerita walaupun emak menjeling tajam. Terasa mahu meraung pun ada apabila tahu cerita sebenar.

 Kenapa Zaura pula yang dipinang sedangkan dia mahukan Qisya? Sedih, kecewa dan kesal bagai menghentam di dalam dada. Tapi apakan daya, segalanya telah berlaku tanpa pengetahuannya.

“Apa semua ni mak? Kenapa mak bohong dengan Zarif? Kalau tahu ini yang berlaku, tak sanggup Zarif nak jejak kaki ke sini. Zarif takkan balik!” hamburnya dengan rasa sakit hati.


1 comment:

Ai said...

akak~ adakah ini akan diterbitkan untum menjadi novel? kalau ya~ tak sabar gades nak tunggu..hehe zharif dengan qiesya ke? tapi baru 'kenal' zharif tuh mcm mana~ hehe gud work akak~ :)