04 March 2012

3 X BENCI ~ Part 2


MAK TON letak telefon dengan nafas berat. Hampir biul kepalanya memikirkan satu-satunya kemahuan anak bujangnya. Belajar sampai ke luar negara, takkan tak ada langsung perempuan yang berkenan di hati. Si Qisya tu jugak yang dia angankan!

Agaknya, Zarif terkena sampuk atau sudah diguna-gunakan. Kalau di Amerika tu ada mandi bunga, boleh juga disuruh Zarif berubat. Buang sial atau apa yang patut. Tapi yang ada cuma mandi spa!

“Tak habis-habis keluarga kau menyusahkan aku, Ari!” gerutu hatinya dengan nafas keras. Wajah lelaki itu terus menjelma di ruangan mata. Membangkitkan amarahnya yang terpendam di dasar hati.

“Kenapa mak bohong dengan abang?” soal Fazura.

“Bohong apa?”

“Kenapa mak beritahu nak hantar rombongan meminang Kak Qisya?” soal Fazura lagi penuh tanda tanya. Pelik memikirkan apa yang diberitahu kepada abangnya walaupun perkara itu tidak berlaku.

“Itu saja caranya untuk buat abang kamu balik ke Malaysia,” beritahunya bersama keluhan panjang. Bila cara lain sudah tidak menampakkan penyelesaian, dia terpaksa guna cara lebih licik.
Rindu kepada anak bujangnya itu sudah tidak tertahan. Dialah madu, dialah racun. Terlalu besar harapan dan impiannya terhadap Zarif.

Sudah empat tahun anaknya merantau ke negara orang. Belum pernah sekalipun dia pulang. Sampai hati Zarif tidak mahu menjejakkan semula kaki ke tanah kelahiran dan tempatnya membesar hanya kerana seorang perempuan.

“Zarif takkan balik selagi pinangan Zarif ditolak Qisya. Malu Zarif mak... malu nak tunjuk muka!”

“Habis kalau pihak di sana tak sudi, mak nak buat macam mana lagi? Takkan nak paksa?”

“Mak carilah jalan. Buatlah apa sekalipun asalkan Qisya jadi isteri Zarif. Kalau tak, biar Zarif bertapa di sini tak balik-balik. Biarlah emak tak jumpa Zarif lagi sampai bila-bila.”

Kata-kata itu membuatkan dia sesak nafas. Tidak dapat dibayangkan kalau dia tidak bertemu lagi dengan anak kesayangannya itu.

Kerana itu juga dia sanggup turutkan apa sahaja permintaan Zarif. Tapi masalahnya, bukan semudah itu mahu mendapatkan apa yang dicita. Hati orang bukannya boleh dijual-beli dengan wang ringgit.

“Minta maaflah Ton, bukannya saya tak sudi kita berbesan, tapi Qisya tu masih belum bersedia nak kahwin.”

“Tapi anak teruna aku tu berhajat benar, Jannah. Qisya juga yang dia mintak untuk dijadikan isteri. Kalau pasal hantaran kau letak berapa pun aku sanggup. Janji kita jadi besan.”

“Entahlah Ton...”

No comments: