16 February 2012

3 X BENCI ~ Part 1

“KENAPA Mak Ton datang ibu?” soal Qisya sebaik turun dari motorsikal yang dibonceng.

Matanya terus memandang lenggang Mak Ton yang bertubuh rendang itu dengan anak daranya, Fazura. Jalan macam tak cukup tanah menuju ke kereta Audi A7 yang terpakir di simpang masuk ke rumahnya.

Adiknya, Alif yang sedang menongkat motor juga ikut memandang. Buka helmet lalu membetulkan rambutnya yang sudah penyet.

Puan Jannah mengeluh. Kemudian sambung menyapu daun-daun kering yang di laman.
“Ibu, Mak Ton datang rumah buat apa?” soal Qisya sekali lagi.

“Takkan kak long tak tahu. Mak Ton tu kan dah kemaruk sangat nak jadikan kak long menantu,” sampuk Taufik sebelum Puan Jannah buka mulut.

Adik bongsu Qisya tersengeh sambil tangannya masih menabur dedak untuk ayam-ayam yang mereka ternak.

Qisya kerut dahi. Pelik. Apa lagi kali ini? Takkan khabar yang sama? Kalau dah tahu orang tak nak, takkan lah mahu desak juga?! Hati Qisya menggumam sendiri, geram dengan orang yang tak faham bahasa.


“Mak Ton datang bertanya kak long lagi?” soal Alif.

Puan Jannah mengangguk.

“Tak faham bahasa betul orang tua tu. Si Zarif pun sama. Masuk ni dah tiga kali,” gerutu Alif sambil melabuhkan punggung di pangkin bawah pokok jambu yang rendang berbuah.

Kalau pinangan dia yang kena reject, jangankan tiga kali, sekali pun dah rasa muka tebal berkepuk-kepuk. Tak tahu macam mana nak berdepan dengan orang kampung. Agaknya, sudah lama dia menyorok di Gunung Ledang. Bertapa di sana sampai tujuh keturunan.

“Kempunanlah Mak Ton. Abang Zarif pulak dah gigit jari agaknya,” seloroh Taufik sambil ketawa mengekek.

“Habis… ibu cakap apa?” soal Qisya dalam debar.

“Kalau kak long tak mahu, macam mana ibu boleh setuju?” ujar Puan Jannah mendatar.

Zaura yang sejak tadi berdiri di ambang pintu menjeling tajam ke arah kakaknya. Mencebik bibir.

Qisya mengucap syukur dalam hati. Nasib baik ibu memang sporting. Tak ada lagi istilah kahwin paksa.

“Kak Long memang… suka tolak rezeki. Kalau keluarga kita berbesan dengan Mak Ton tu kan kita boleh tumpang senang.”

Siapa tak kenal Mak Ton... taukeh emas Kampung Tanjung Kuala. Dalam kampung ni dialah yang paling berharta. Ada beberapa cawangan kedai emas di pekan. Lima keturunan pun makan tak habis.

“Engkau yang sibuk sangat tu kenapa? Suka hati kak longlah nak terima atau tak. Kahwin bukannya sebab nak cari laki kaya,” bidas Alif pada Zaura. Amat tidak setuju dengan pendapat kurang matang adik perempuannya.

Itulah kebanyakan perempuan zaman sekarang. Harta sahaja yang dicari. Ada duit adik sayang, tak ada duit abang melayang.

Zaura tayang muncung. Protes!

“Mana boleh kahwin kalau hati tak cinta,” celah Taufik sambil tersengeh-sengeh. Baru tingkatan lima sudah pandai cakap soal hati dan perasaan. Cuba tanya soalan sejarah, mesti tergagap-gagap nak jawab.

“Betullah alang cakap. Kalau kak long jadi isteri Abang Zarif kan boleh hidup senang...”

“Apa yang senangnya?” celah Alif sebelum Zaura sempat menghabiskan ayatnya lagi. Siap tenung macam nak telan orang.

“Mak Ton tu kan kaya. Lombong emas.”

“Harta dia orang tak ada kena mengena dengan kita.”

“Kan senang bila jadi menantu Mak Ton. Tak payahlah susah-susah kak long nak kerja lagi. Boleh duduk rumah goyang kaki pun tak mahu! Memang tolak rezeki namanya tu.”

“Lebih baik berdiri atas kaki sendiri daripada minta ehsan orang lain untuk hidup!” bangkang Alif.

“Tapi setakat gaji kerani tu apalah sangat!” gumam Zaura perlahan sambil mencemuh. Geram kerana kakaknya tidak tahu mengambil peluang yang terbentang di depan mata.

Malah, sikap kakaknya membuatkan Zaura sakit hati. Bodoh! Dia sebenarnya sudah terbayang mahu tumpang kesenangan Mak Ton kalau kakaknya jadi menantu keluarga itu.

Puan Jannah mengeluh lagi. Lalu duduk di sebelah Alif. “Sudahlah tu... kalau kak long tak mahu Mak Ton datang sepuluh kali pun ibu tetap jawab tidak. Biarlah kita tak berduit asal kita ada maruah,” ulas Puan Jannah sekadar mahu menghentikan pertelingkahan anak-anaknya.

Qisya yang mahu masuk ke rumah berpatah balik. Duduk di sebelah ibunya. Kepalanya disandar ke bahu Puan Jannah. Dia bersyukur kerana ibu begitu memahami. Tiada paksaan dalam soal jodoh.

Tidak dapat dinafikan tanggungjawabnya kini berat. Sebagai anak sulung, dia perlu memikul amanah yang abah tinggalkan kepadanya. Dengan tulang empat kerat yang dimiliki, dia sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk keluarga. Sekali-kali tidak akan mengeluh atau berputus asa.

Dengan gajinya sebagai kerani memanglah tak banyak. Tapi tetap cukup untuk mereka sekeluarga. Yang penting, kena pandai berjimat-cermat. Dia tetap bersyukur dengan rezaki pemberian ALLAH.

Biarlah pelajarannya sekerat jalan, asalkan adik-adik boleh habiskan pengajian. Kalau ada rezeki, esok lusa dia akan tetap genggam ijazah juga. Biarlah lambat asalkan cita-citanya tetap membara.

“Kak long tunggu Abang Akim, ya?”

Soalan Taufik hanya dibalas keluhan panjang. Entah ada jodoh atau tidak antara mereka. Susah nak cakap.

Dari dulu sampai sekarang masih juga tak berubah. Balik-balik...

“Saya sayang awak. Awak sayang saya.”

Sejak dari mereka sekolah menengah sehinggalah belajar ke pusat pengajian tinggi, Akim terus mengikat janji atas angin. Atau lebih tepat setakat berjanji pakai air liur.

3 comments:

byna.hasan said...

saya suka karya kak ayu emelda.saya bercita-cita untuk menjadi novelist dan sudah mula menulis.tapi saya rasa takut untuk melangkah ke hadapan.maklumlah terpaksa compete dengan novelist yang dah terkenal.apa pun saya sangat menjadikan kak ayu idola saya.bak kata kak ayu dalam sayangku merajuk WRITE WHAT YOU LIKE TO WRITE...HOPEFULLY one day saya akan jumpa kak ayu:)

fnaMaya said...

novel baru ke kak ? :)

e.s.p.r.i.t said...

novel ap ni kak??