26 December 2011

Mahar Setulus Hati (Aduhai Isteri) ~ Part 10

SEBAIK pintu bilik dibuka, mata Emir terbelalak. Dia beristighfar berkali-kali. Sakit mata melihat pakaian bersepah-sepah di atas lantai. Majalah berterabur tidak bersusun. Mengalahkan bilik anak teruna. 

“Aduh! Lynn... Lynn... bila lagi nak sedar diri? Lynn dah besar panjang. Sudah jadi isteri abang tapi masih malas macam dulu juga,” leter Emir sendirian sambil tepuk dahi.

Pandangannya terus terpaku ke atas katil. Sudah dinihari tapi tuan puteri masih enak beradu atas tilam empuk. Kalau Hamdi atau Aril tahu apa yang berlaku dengan rumah tangganya, mesti dah lama dia kena bantai gelak.

Itulah padahnya kalau kahwin dengan gadis manja yang belum matang. Bukan hanya tak pandai melayan suami, semua kerja-kerja rumah pun tak tahu buat. Balik-balik dia juga yang perlu uruskan semuanya.

Baik memasak, mengemas atau membasuh pakaian, semuanya dia sediakan. Isterinya hanya jadi tuan puteri. Tak perlu bersusah payah atau pening kepala. Segala-galanya telah tersedia.

Puas mengeluh sambil mengutip pakaian dan mengemas apa yang patut, Emir menghempas punggungnya ke sebelah Harlyna. Lama dipandang tubuh kaku yang masih berbungkus selimut tebal.


Nak menyesal pun tak guna. Dia sendiri yang rela. Sekarang perlu redha dan tahan dengan kerenah gadis itu. Malas bagaimanapun, Harlyna tetap dah jadi isteri. Dia yang perlu mengubah sikap manjanya.

“Masa untuk bangun tuan puteri,” ucap Emir sambil menggoyang sekujur tubuh di bawah selimut.

Tidak berkutik. 

“Lyynnn... baaangunnn...” laungnya sambil merentap selimut Harlyna dengan kasar. Terserlah tubuhnya yang hanya bersalut baju tidur nipis separas lutut. Emir cuba alih anak mata ke lain.

‘Tak salah Mir... tak berdosa pun. Halal di sisi agama.’ Ada suara yang mula mengasut naluri lelakinya.

Ya... memang dia berhak ke atas Harlyna. Tapi sebagai suami yang ingin dihormati, itu bukanlah cara yang paling baik memenangi hati isteri. Dia mahu kasih sayang dan rasa hormat-menghormati menjadi pegangan dalam rumah tangga mereka tanpa dipaksa-paksa. 

Dan kerana itu juga setiap malam sebelum tidur dia sentiasa cuba memaafkan apa sahaja kekhilafan Harlyna sepanjang bergelar isterinya. Malah, dipohon kepada-NYA agar sentiasa melindungi hubungan mereka berdua hingga ke hujung nyawa. 

Apabila tubuh gadis itu masih mengeras, Emir baring di sebelah. Wajah polos itu ditenung lama. Kemudian bibirnya mengucup dahi isterinya.

Harlyna berpisat-pisat. Perlahan-lahan matanya dibuka. Sebaik melihat wajah Emir begitu hampir, sedang merenung padanya, tubuhnya terus tegak.

Emir hadiahkan senyuman gula tebu. Kalau dipandang setiap hari tentu sahaja hati gadis itu boleh cair.

“Eh, helo! Tak ada kerja ke?”

“Adaaa...” Panjang jawapan Emir.

“Hisy! Tak senang orang nak tidur,” omel Harlyna sambil menyental pelupuk mata dan membetulkan rambut kusutnya dengan jari. Malu juga bila diserang hendap dalam keadaan begitu.

“Tidur apa lagi... dah tengah hari. Cuba buka mata luas-luas. Tengok jam dah pukul berapa.”

“Ah! Tak kisahlah pukul berapa pun!” bentak Harlyna kasar. Geram betul, setiap kali cuti hujung minggu ada sahaja yang mengganggu tidur. Tak aman!

“Kenapa bilik bersepah sangat? Lynn bukannya budak kecik lagi. Takkan nak uruskan barang sendiri pun tak tahu.”

Harlyna mengeliat sambil menutup mulutnya yang ternganga-nganga menahan kantuk. Kemudian matanya meliar ke segenap sudut bilik.

“Mana ada sepah. Kan kemas tu...” ujarnya selamba sambil tersengih.

“Ooo... pandai menjawab.” Emir tarik hidung isterinya hingga Harlyna mengaduh sakit. 

“Hitler!”

“Sekarang memanglah dah kemas. Masa abang masuk tadi macam tongkang pecah.”

“Itu salah awak jugak sebab tak mahu ambil orang gaji. Leceh tahu... nak mengemas.” Lancar sahaja gadis itu membalas.

Wajah Emir tetap tenang. “Dah besar panjang tapi masih buat hal macam budak tadika. Abang baru ingat nak cari kereta baru untuk Lynn. Tapi nampaknya terpaksalah cancel. Takut esok-esok kereta pun tak tahan dengan tuannya yang pengotor.”

Serta-merta mata Harlyna membuntang. Dia pandang wajah suaminya dengan rasa tidak percaya. “Ke... kereta? Awak nak bagi kereta?” soalnya dengan nada teruja dan seolah tidak percaya.

“Maaf... tak jadi.” Tegas nada Emir. Dia terus bangun.

Wajah Harlyna sudah jadi kecut. Dia tahu lelaki itu tidak bersungguh sebenarnya. Masakan dia sanggup menghabiskan wang untuk membeli kereta baru. Teringat kata-kata Tania dan Kyle semalam buatkan hatinya panas.

“Bangun mandi. Kita sarapan. Lepas tu buat kerja rumah sama-sama. Basuh baju, kemas rumah dan sambung kelas memasak Lynn yang masih belum lulus tu,” luah Emir sedikit membebel.

“Awak saja yang layak buat kerja tu.”

Emir tersentak. Kaki Emir yang baru mahu melangkah keluar terhenti. Dia berpusing mangadap gadis itu.

Harlyna jongket kening dengan wajah sinis. “Kenapa... terasa?” bidasnya tanpa ada rasa bersalah.

“Apa maksud Lynn?” soal Emir, masih mengawal dadanya yang sudah bergetar. Masakan hatinya tidak terasa apa-apa setiap kali menerima sindiran sebegitu. Betapa dia juga punya perasaan.

Gadis itu mencebir.

“Sebagai suami abang cuma mahu kita saling bantu-membantu dalam hal rumah tangga.”

“Ah! Would you stop it! Bingit tau! Pagi-pagi dah kena leter. Dah tak ada kerja lain ke?” hambur Harlyna dengan hati radang. “Syuh... syuhhh... keluarlah!” suaranya sudah mula melengking.


Emir pejam mata. Berkali-kali dia beristighfar. Teguhkanlah kesabaranku ya ALLAH, serunya bersungguh-sungguh.

“Dasar tak sedar diri!” Lancar sekali ayat itu meluncur keluar dari bibir Harlyna. Bersama rasa hati yang mula tertipu dengan bisikan syaitan. ‘Memang patut Emir dihina! biar dia tahu asal-usulnya.’ Suara itu terus menghasut.

“Lynn...” Sayu dan bergetar suara Emir. Dia berdiri tegak dengan tangan digenggam erat. Giginya diketap kuat dengan mata terpejam. Sepotong doa dari surah al-Baqarah diulang di dalam hati berkali-kali. Semoga kesabaran takkan goyah. Dia sedikit tercabar dengan penghinaan isterinya itu.

“Sedarlah diri tu sikit. Jangan senang-senang nak kawal hidup orang. Kalau tak kerana papa, agaknya dah lama engkau sekeluarga merempat,” hambur Harlyna lagi. Biar puas rasa hati.

Buat seketika Emir tertunduk. Hatinya terguris, dihina dan diherdik isteri sendiri. Terasa bergeger tubuhnya menahan perasaan. 

“Kenapa diam? Why does that not surprise you? Memang kenyataannya, kan!” tempelak Harlyna lagi.

Emir pandang wajah isterinya dengan rasa terluka. Namun, dalam dada sudah beristighfar. Cuba menyabarkan hati yang sakit. Kenapa kelembutan dan keayuannya tidak seindah kata-kata yang dilafazkan?

He has done so much for me. Abang tak pernah lupa. Kerana itu juga abang sanggup lakukan apa sahaja untuk membalas jasa papa selama ini.”

“Huh! Tahu pun.”

“Abang juga percaya papa ikhlas membantu selama ini. He give without any expectation of anything at all in return.

Harlyna mencebek. Meluat!

“Dan abang percaya papa juga telah banyak berkorban untuk anaknya. Menanti kelahirannya dengan penuh kegembiraan lantas membesarkan dengan memberi segala kesempurnaan pada seoarang anak. Semua itu bukanlah satu tanggungjawab yang ringan.” Buat beberapa saat Emir berhenti. Menarik nafas dalam.

Mata Harlyna sudah mengecil. Wajah lelaki itu dipandang tepat. Hatinya kurang enak dengan bicaranya.

“Dan sebagai anak jangan sekali-kali kita lupa untuk membalas pengorbanan seorang bapa selama ini. Jangan sampai jadi anak derhaka.”

“Hey!!!” Suara Harlyna bergema. Tahu dia sedang disindir. Sakit hatinya semakin menyala-nyala. 

Siapa Emir untuk berkata begitu. Dia tidak layak untuk mempertikaikan tindakannya selama ini. Dia cuma orang luar yang tidak tahu apa-apa. Memang senang membuat kesimpulan, tetapi bukan hatinya yang disakiti. Bukan jiwanya yang terluka selama ini!

“Abang harap Lynn juga sedar siapa Lynn sebenarnya. Harta dan pangkat tak akan menjadikan kita manusia yang istimewa atau disanjung. Lynn juga patut sedar diri. Sedar betapa kita manusia perlu tahu menghargai orang lain.”

Harlyna gigit bibir. 

“Malah, kita juga perlu taat kepada DIA... yang telah memberi kita nyawa dan hidup di bumi yang indah ini.” Tenang kata-kata itu diucapkan biarpun bibirnya sudah bergetar.

“Hey! Kalau tak menyakitkan hati orang boleh tak?” Suara Harlyna kian melengking. Dia sudah penat ditarbiah sepanjang masa. Tidak ada satu pun pada dirinya yang nampak elok di mata Emir. Hatinya jadi sakit sekali.

The truth hurts more than a lie. Tetapi kita tidak seharusnnya lari dari kenyataan.”

“Diam! Keluar! Keluar!!!” Jeritan Harlyna sudah meledak.

Emir berpaling. Dia melangkah keluar dengan hati retak seribu. Sampai bila benteng kesabarannya akan terus diuji dengan kata-kata yang begitu menghiris kalbu? Sesungghunya dia hanya manusia biasa yang lemah. Hanya pada-NYA tempat dia memohon kekuatan.

2 comments:

Anonymous said...

farydah hee: makin hebat jalan crita..tak sabar nak baca..k.ayu da trima ke pembayaran saya?tak dapat pn balasan email..

ayuemelda said...

ada bank-in? mmg ada money trans ke mb2u, cuma x trima emel, x tau siapa n xde alamat. boleh x anta segera... pg ni gak akak pos...