12 November 2011

CINTA KEPALA BATU

PELIKNYA bila suami isteri jadi seteru...

SYAIRA; dengan sikap keras kepala...
ADAM; egonya tinggi melangit

walaupun...

NADIA jadi pendamai...
NICKY pula suka bikin ribut...


PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada. Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.

Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.

Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.

Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanannya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora. Akhirnya, dia pasrah pada setiap kehilangan... dan ketentuan... 

05 November 2011

KASIH DANIA = SAYANG BUDREEZ + CINTA DANIA

KISAHNYA BERMULA...

DYRA DANIA terkedu. Sama sekali dia tidak menduga lelaki yang menjadi teman rapat selama hampir tujuh tahun sudi melamar dirinya. Namun ironinya, lamaran itu tidak diungkap dengan rasa cinta.

“Kahwinlah dengan aku, Danny. Aku betul-betul buntu. Ini saja jalan yang ada untuk aku tolak permintaan umi. Aku tak nak kahwin dengan Maria,” rayu Budreez dengan muka belas. Sejak tadi hanya raut sugul yang terbingkai di wajahnya.



BUDREEZ TERUS MENGHARAP...

Mata galak Budreez merenung Dania penuh mengharap. Dia sanggup berkahwin dengan gadis itu walaupun gaya tomboynya tak pernah berubah. Bukan isteri mithali yang dia harapkan untuk menggantikan Maria.

... DAN DANIA KIAN TERSEPIT...

“Tapi... jangan lupa janji kau pada aku dulu, Danny. Kau sanggup lakukan apa saja untuk aku walaupun terpaksa gadaikan nyawa. Aku bukan nak mengungkit, tapi bila aku dalam masalah macam ni, takkanlah kau tak boleh tolong?” desak Budreez merintih. Suaranya semakin dalam dan serak.

Dania tergamam. Kelu. Dirasakan kata-kata Budreez satu sindirin yang cukup menyesakkan akalnya. Seolah-olah dia tidak tahu mengenang budi. Lupa pada janji yang dia sendiri pernah lafazkan. Ikrar itu kembali mengusik perasaannya.



BAB 1
DYRA DANIA terkedu mendengar permintaan pelik Amir Budreez. Kelu lidahnya. Nafas berat menyesakkan dada. Degup jantung gadis itu juga berirama tidak menentu. Sama sekali dia tidak menduga lelaki yang menjadi teman rapat selama hampir tujuh tahun sudi melamar dirinya. Namun ironinya, lamaran itu tidak diungkap dengan rasa cinta.
“Kahwinlah dengan aku, Danny. Aku betul-betul buntu. Ini saja jalan yang ada untuk aku tolak permintaan umi. Aku tak nak kahwin dengan Maria,” rayu Budreez dengan muka belas. Sejak tadi hanya raut sugul yang terbingkai di wajahnya.
Dania memejam mata rapat-rapat. Berlegar segala macam bayangan yang mungkin berlaku sekiranya menjadi isteri Budreez, lelaki yang telah dianggap teman paling akrab. Seakan tidak tergambar untuk hidup bersama Budreez dalam satu ikatan yang termeteri secara sah.
“Reez, aku minta maaf... tapi aku tak boleh nak beri kata putus sekarang. And please don’t make it more difficult for me,“ ujar Dania lembut untuk mententeramkan perasaan Budreez.
Hatinya ternyata cukup berat untuk membantu menguraikan kekusutan ini. Tak mungkin aku mampu menjadi suri dalam hidup mana-mana lelaki. Menjalin hubungan yang serius. Hah... tak mungkin! Hatinya berkeras.
Akalnya menolak keras rancangan Budreez. Walau apa yang berlaku sekalipun, dia akan cuba menghindarkan diri daripada masalah ini. Bukannya tidak bersimpati, tapi mengotakan permintaan temannya itu ibaratkan melakukan kerja gila.
“Apa salahnya dengan pilihan umi kau, Reez?” soal John. Dia sedar kenapa Budreez bermati-matian menolak hasrat ibunya untuk bermenantukan seorang gadis yang disifatkan lengkap dengan ciri-ciri wanita sejati.
Budreez punya kenangan silam yang cukup melukakan bersama gadis itu. Namun bagi John, inilah masanya untuk Budreez cuba mengatasi ketakutan yang membelenggu dirinya. Berdepan dengan gadis itu semula barangkali mampu mengikis sikap fobia yang dimiliki.
“Kahwin dengan perempuan macam tu? Aku tak sanggup! Hanya ALLAH yang tahu betapa sengsaranya aku sejak kenal dia. Aku rela membujang sampai ke tua daripada ambil dia jadi isteri!” tegasnya penuh emosi sambil pandangannya masih singgah ke wajah Dania, mengharapkan temannya itu sudi menolong.  
“Mana tahu kalau dia dah berubah? Manusia Reez... sentiasa berubah dan bertambah matang. Lagipun umi kau sendiri dah cakap, Maria tu seorang wanita yang lengkap semua segi. I expect she is a different person now,” celah Raff.
“Lebih baik kau kenal dulu orangnya, kenali hati budi dia. Aku yakin Maria sekarang bukan seperti apa yang kau fikir. Kisah semalam tak akan sama dengan hari esok, Reez...“ tambah Dania lagi.
Dia berhasrat mahu mengubah pendirian Budreez agar menerima sahaja jodoh yang ditetapkan. Selebihnya, dia sekadar membantu dirinya daripada terjebak dengan rancangan gila Budreez.
Sementara itu, Dania sempat melihat John mengangkat kening tanda memahami maksud bicaranya tadi. Cuba melepaskan diri daripada masalah. Senyuman John juga tercetus tiba-tiba. Namun, mereka cuba bersikap selamba untuk menyembunyikan reaksi secara fizikal itu daripada dikesan oleh Budreez.
“Aku setuju dengan Danny... Reez. Kau sepatutnya jumpa dulu dengan Maria. Than you would know her better. Lepas tu baru buat keputusan. Aku percaya Maria dah berubah,” tekan Raff bersungguh-sungguh.
Namun, nasihat teman-temannya itu sedikit pun tidak mengusir kebimbangan yang menggunung di jiwa Budreez. Mukanya sudah seperti ayam berak kapur. Resah gelisah tidak menentu.
Sejak umi beria-ia ingin menjodohkannya dengan Maria, hidupnya serba tidak kena. Dia tidak boleh menolak hajat umi. Faham benar hati umi kesayangannya itu, mudah tersentuh dan berkecil hati. Masih terbayang wajah uminya ketika soal kahwin dibangkitkan.
“Umur dah lanjut, Reez. 29 tahun tu bukannya muda lagi! Bila lagi kau nak kahwin? Takkan nak tunggu pihak perempuan sendiri yang datang meminang?“ Suara umi serak dan dalam. Kerutan di dahinya jelas menggambarkan betapa dia ingin melihat anak bujangnya berumah tangga.
Bagi Budreez, inilah klise budaya masyarakat  Melayu. Dia tak mampu berkata-kata setiap kali mendengar kalimah itu. Kini, dia boleh bayangkan perasaan pak uda setiap kali nenek usulkan soal kahwin. Mulut bapa saudaranya bagaikan terkunci. Hanya keluhan yang mampu mengulas perasaan adik umi ketika itu.
Dan sekarang, dia sendiri dibelenggu dengan hal yang sama. Rumitnya perasaan yang bergolak di dalam. Melihat wajah umi yang terlalu mengharap, semakin tebal rasa serba salah yang ditanggung.
“Emak Maria berhajat betul nak jodohkan kamu berdua. Anak dia bukannya calang-calang perempuan. Berkerjaya besar, berpendidikan dan kuat agama. Tiap kali dia balik kampung, umi tengok tudung pun tak pernah lekang kat kepala dia. Dah tu pandai pulak hormatkan orang tua.”
Sebelum ini, Budreez masih boleh mengelak dengan alasan tiada calon. Namun, bila umi sendiri telah memilih gadis untuk dijadikan isteri, dia hilang punca. Alasan belum bersedia, umi tolak mentah-mentah.
Salah diri sendiri juga kerana pernah menyerahkan pada umi soal mencari calon isteri. Dan bila Maria yang umi bisikkan, Budreez mula gigit jari. Terlalu banyak kenangan bersama gadis itu yang ingin diusir lupus daripada memorinya.
“Bulan depan jugak umi dan abah cadang nak pergi meminang. Kau fikirlah, Reez. Apa yang umi nak, Reez hidup bahagia. Sesuai benar Maria dengan kau.” Umi cuba meyakinkan dirinya.
“Mungkin dia bukan lagi Maria yang kau kenal dulu. Entah-entah sekarang ni dia dah jadi wanita mithali. Siapa tahu!”
Hilang wajah umi daripada fikirannya apabila kata-kata John mengusik perhatian.
“Aku tak berani nak ambil risiko, John. Cukuplah pengalaman lalu bersama Maria jadi kenangan. Sekarang, aku tak mahu cipta sebarang hubungan dengan dia! She’s not even close to be my type!” sentak Budreez. Cemas jiwanya mengenangkan jika bertentang mata dengan Maria semula.
Wajah Maria terlayar di matanya dengan lirikan yang cukup sinis. Pantas Budreez meraup muka. Keluh-kesahnya jelas menggambarkan perasaan yang bercelaru. Dia benar-benar tidak sanggup berdepan dengan gadis itu semula. Dialah yang telah membuatkan aku hanyut dengan fobia. Tak mungkin aku boleh terima dia dalam hidup!
“Tapi takkan tak ada cara lain, Reez? Tak semestinya ini saja pilihan yang kau ada!” usul Dania tiba-tiba. Dia sendiri mati akal sebenarnya. Tapi dia tidak akan menerima desakan Budreez begitu sahaja.
“Apa lagi Danny... apa lagi yang mampu aku buat? Apa lagi pilihan yang aku ada? Aku dah tak punya alasan lain untuk batalkan hasrat umi. I’m so desperate,” keluh Budreez lemah. Tidak berdaya lagi dia memikirkan kemungkinan besar yang akan berlaku. Resahnya semakin tidak tertahan.
“Jadi kau dah nekad nak kenalkan Danny sebagai teman wanita? Kau pulak macam mana Danny... setuju ke nak kahwin dengan Reez?”
Soalan John itu membuatkan Dania telan liur. Pahit. Tiga pasang mata sedang memaku padanya. Betapa tidak pernah terlintas Budreez sanggup memujuk dan merayu agar mereka berkahwin. Dan permintaan itu sungguh berat untuk dia fikirkan, inikan pula mahu mengangguk setuju.
Pertama kali menerima lamaran Budreez, hati Dania kental mahu menolak, tapi bila teringatkan budi Budreez yang amat besar, dia mula membayangkan sesuatu yang dianggap mustahil bakal berlaku. Lelaki itulah yang pernah menyelamatkan nyawa dan maruahnya satu ketika dulu!
“Tolonglah Danny... kau saja harapan terakhir aku untuk keluar daripada masalah ni. Kalau ada apa-apa yang aku boleh buat agar kau setuju, aku sanggup asalkan perkahwinan itu terjadi.” Budreez masih tidak berputus asa merayu. Meminta belas pada gadis itu.
Sementara itu, John dan Raff saling berpandangan. Kasihan juga melihat temannya.
Mata galak Budreez merenung Dania penuh mengharap. Dia sanggup berkahwin dengan gadis itu walaupun gaya tomboynya tak pernah berubah. Bukan isteri mithali yang dia harapkan untuk menggantikan Maria. Cukuplah setakat menikah di atas kertas. Dia tak mahu hidupnya terkongkong kerana wanita.
Aku tetap akan merayu kau, Danny. Aku lebih rela ambil risiko untuk nikah dengan kau berbanding Maria. Dia merenung temannya dari atas ke bawah. Tak ada bentuk langsung! Hatinya membuat kesimpulan.
Sudahlah pakai T-shirt dengan jean. Berjaket kulit mengalahkan aku. Siapa yang tak kenal dengan Danny pasti tak akan tahu dia seorang wanita. Bukannya tak ada wajah perempuan, cuma asyik terlindung dengan topi Nike lusuh sepanjang masa. Dalam diam, Budreez menilai Dania.
Tapi, nasib baik juga sikapnya yang begitu membuatkan dia selesa. Kalau diikutkan, dia memang elegi dengan mana-mana perempuan. Selain keluarga, hanya dengan gadis itu dia mampu tenung atau berbalas pandang.
Dengan gadis lain, dia ‘gagal’. Kulit wajahnya terasa bagaikan terbakar dan darah merah spontan menyerbu ke muka. Dirasakan peluh seakan menyimbah takkala mana-mana wanita cuba menegur atau berbual dengannya. Hampir seluruh tubuhnya terasa seram.
Kadangkala Budreez malu juga setiap kali John atau Raff mengatakan dia takut dengan wanita. Hakikat itu terlalu pedih menjolok pundaknya. Gagalkah dia menjadi lelaki sejati kerana gentar berdepan dengan mereka? Ini semua berlaku hanya kerana dia, wanita yang umi inginkan sebagai menantu!
Take it easy, take it slow, Reez. Ini masalah besar, melibatkan hidup aku... masa depan aku. Biarlah aku fikirkan dulu. Kau ingat benda kahwin ni kerja senang ke?” balas Dania geram sambil merenung Budreez. Walaupun lelaki ini punya wajah dan fizikal yang sempurna, namun semua itu tidak pernah menggetarkan naluri wanitanya.
Bagi Dania, Budreez tidak lebih daripada seorang teman, sama seperti John dan Raff. Mereka berempat memang saling mengenali sejak berlatih dalam gelanggang yang sama. Dan boleh dikatakan hampir setiap malam minggu, warung mamak menjadi tempat rutin mereka bertemu.
Dan Dania juga lebih senang menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Padanya, mendampingi golongan Adam membuatkan dia lebih kental dan tabah. Tidak seperti kaum Hawa yang murah dengan air mata. Sesungguhnya, tujuh tahun lalu telah banyak mengubah dirinya menjadi Danny yang baru!
“Tapi... jangan lupa janji kau pada aku dulu, Danny. Kau sanggup lakukan apa saja untuk aku walaupun terpaksa gadaikan nyawa. Aku bukan nak mengungkit, tapi bila aku dalam masalah macam ni, takkanlah kau tak boleh tolong?” desak Budreez merintih. Suaranya semakin dalam dan serak.
Dania tergamam. Kelu. Dirasakan kata-kata Budreez satu sindirin yang cukup menyesakkan akalnya. Seolah-olah dia tidak tahu mengenang budi. Lupa pada janji yang dia sendiri pernah lafazkan. Ikrar itu kembali mengusik perasaannya.
Dania ketap bibir. Akalnya merentas masa. Mengingati semula sejarah tiga tahun lalu. Peristiwa yang telah membuatkan hubungannya dengan Budreez tersulam akrab. Sesungguhnya, lelaki itu telah menyelamatkan nyawa dan maruahnya daripada tergadai.
“Aku berhutang budi dengan kau, Reez!” luah Dania. Pandangannya tepat ke wajah lelaki yang sedang terlantar lemah di katil hospital.
“Apa ni Danny... aku tolong sebab kau kawan aku. Lagipun waktu tu aku tak terfikir apa-apa. Aku tak harapkan balasan.”
Dania melepas nafas lemah. Budreez nampak ihklas dengan apa yang diucapkan. “Tapi aku janji Reez... bila kau perlukan pertolongan aku nanti, cakaplah apa saja, aku sudi tunaikan selagi hayat dikandung badan. Aku janji Reez... aku janji!” tekan Dania bersungguh-sungguh sambil menggenggam erat tangan Budreez. Ihklaskah dia memateri kata?


BAB 2
FIKIRAN Dania dibalut dengan pelbagai perasaan. Antara keliru dan celaru. Bertambah terharu apabila simpati turut menongkah rasa di jiwa. Lama dia duduk berteleku di sofa. Otaknya ligat memikirkan pelbagai persoalan yang bakal mendatang. Selagi belum ada keputusan, hatinya tidak akan tenang.
Dia mengeluh deras setiap kali mengenangkan rayuan Budreez. Seakan sinis menuntut janjinya dulu. Kononnya, tidak berharap budi dibalas. Namun, dalam halus dan berkias, persoalan itulah yang membuatkan dia lemas dan rimas.
“Aku tak berniat nak mengungkit. Apa lagi berharap budi aku dulu kau balas, Danny. Cuma aku rayu belas ihsan kau, sebagai seorang kawan. Hanya untuk kali ini, Danny...” Ayat itu seakan menunjal-nunjal kepalanya.
Pandai betul lelaki itu berhelah. Tidak sedarkah Budreez dia sebenarnya sedang memaksa agar aku menurut rancangan gilanya itu? Dia memang tengah psycho sekarang. Dah pandai ‘mengayat’ pulak tu!
Dania memejam mata rapat-rapat. Rancangan Budreez memang karut! Kerja gila! Gerutu hatinya kasar. Namun, tiada siapa yang dapat memahami gelodak jiwanya. Nak diharapkan Raff, nampaknya dia sekarang dah mula berat sebelah.
“Apa susah Danny? Setakat nikah aje. Lepas tu selesai. Bukannya kau kena jadi isteri Budreez betul-betul. Dia tak akan berani apa-apakan kau. Soal itu aku berani jamin!” Lancang betul mulut Raff berkata-kata.
Macamlah dia yang nak tanggung semua tu! Setakat cakap pakai air liur memanglah senang! John pulak dua kali lima. Bila ditanya, jawapannya cuma no komen. Apa... dah tak ada perasaan agaknya lelaki ini!
Hati Dania kian walang. Dia bimbang. Jika permintaan Budreez ditolak, mungkin persahabatan mereka akan terjejas. Dan setiap kali dia mencari jawapan, kesimpulan yang sama juga diputuskan. Pernikahan ini tak mungkin akan terjadi.
Namun, wajarkah dia menolak hasrat temannya? Sedangkan lelaki itu telah banyak menabur budi. Apa lagi dia juga sudah terlajak kata. Manusia perlu berpegang pada janji, itu prinsipnya. Tapi kini, dia sendiri tertekan untuk mengotakan janji yang telah dilafazkan.
“Atau kau dah ada kekasih hati, Danny?”
Fikiran Dania kembali terusik dengan soalan bodoh Budreez beberapa hari lalu. Pertanyaan itu membuatkan Dania seperti hendak ketawa. Tetapi melihat wajah Budreez yang dungu memaksa dia mematikan hasrat.
Entah apa yang difikirkan lelaki itu hingga terlontar soalan yang dia sendiri sudah ada jawapannya. Bukannya Budreez tak kenal aku. Masakan aku ada kekasih hati. Lelaki sekarang semuanya nak pilih yang cantik-cantik belaka. Ketegori macam aku ni dah kira tolak ke tepi.
“Kau dah gila ke, Reez! Selama ni pernah ke kau tengok aku berkepit dengan mana-mana lelaki? Cuma kau orang bertiga saja kawan rapat aku.”
“Habis tu kenapa kau tak boleh tolong aku?” Bergetar suara Budreez. Mungkin sedar akan kebodohannya atau cuak. Takut rancangannya tidak menjadi. Dan akibatnya, dia terpaksa berdepan dengan perjalanan yang penuh ranjau.
Sudah lelah dia beritahu Budreez alasan yang sama. Tapi sengaja lelaki itu pura-pura tak mahu faham.
“Kahwin tu kan satu tanggungjawab yang besar. Bukannya macam petik jari. Hari ni plan, esok dah boleh jalan...”
“Itu aku tahu. Tapi kan kita kahwin setakat nak tutup masalah yang ada. Yang lainnya tetap akan berlaku seperti biasa. Nothing will change. Kehidupan kita tetap berjalan seperti sekarang.”
Suara Budreez membendung segala rasa resah. Matanya nampak merah. Kurang tidur atau lelaki ini karam dengan air mata? Dania cuba membuat telahan.
Dia semakin terkejut dengan perubahan Budreez. Sejak pertemuan di Restoran Dawood tempoh hari, tiba-tiba sahaja Budreez muncul di depan pintu rumahnya. Dia tidak jemu memujuk dan merayu. Begitu terdesak Budreez menyuarakan hasrat untuk mengahwininya.
Lelaki itu juga bagaikan hilang arah. Kadangkala dia diam membisu tanpa suara. Termenung dan bermuram durja. Adakalanya pula begitu petah menyusun kata mencairkan kedegilannya menentang percaturan itu.
“Tolonglah kahwin dengan aku, Danny.” Rayuan Budreez masih ngilu di gegendang telinganya.
Apa lagi pilihan yang dia ada? Menjadi isteri lelaki itu seakan memikul beban yang paling berat pernah dilakukan dalam hidupnya. Bukan untuk sehari dua. Tetapi bertahun-tahun. Dan mungkin juga hingga ke akhir hayat. Memikirkan itu saja boleh membuatkan dia sesak nafas.
Untuk menolak permintaan Budreez juga dia tidak mampu. Persahabatan yang telah terjalin begitu erat selama ini akan terlerai begitu sahaja. Mampukah Budreez terus menjadi sahabat yang setia andai permintaannya tak mampu ditunaikan?
Dalam sibuk Dania melayani perasaan, telefon bimbitnya bergetar kuat. Lemah telefon Nokia 7610 silver miliknya dicapai. Tanpa melihat nama pemanggil, terus sahaja dia menekan punat menjawab talian.
“Helo...”
“Danny... Danny, ini aku.” Suara yang tidak asing itu terlalu sayu. Sejak tadi otaknya memikirkan lelaki itu. Kini suaranya sudah menjerit-jerit di talian. Ternyata Budreez bagaikan cacing kepanasan. Selagi belum ada keputusan, selagi itu juga dia akan terus didesak.
“Apa keputusan kau, Danny?”
Dania menghela nafas panjang. Beberapa ketika dia mengumpul kekuatan untuk meluahkan ketetapan yang sudah terencana di mindanya.
“Macam mana kalau aku cakap... aku tak boleh tolong kau, Reez?” soal Dania perlahan dan lambat-lambat. Dia memejam matanya erat.
Di dalam hati kecilnya, dia tidak mahu Budreez kecewa. Sudah lama mereka berkawan. Sudah banyak juga dia tahu tentang hati budi lelaki itu. Budreez menggalas harapan yang besar buat dirinya. Tapi apakan daya, hatinya mengatakan tidak. Dia tidak sanggup!
Budreez mengetap bibir. “How could you do this to me, Danny?” rintihnya lemah. Nadanya bergetar.
Dia benar-benar bergantung harap agar Dania mampu mengotakan janji. Baginya itu saja pilihan yang dia ada agar tidak digandingkan dengan Maria sebagai pasangan hidup. Dia tidak dapat menerima kenyataan permintaannya ditolak.
“I’m really sorry. Aku terpaksa. Aku tak sanggup.” Dania meluahkan pendiriannya sekali lagi.
Budreez sebak.
“Ini ke janji yang sanggup kau lakukan untuk aku? Bukan ke dulu kau jugak yang beria sanggup pertaruhkan apa saja... walau nyawa sekalipun untuk aku? Don’t you forget that...” Nada Budreez jelas kecewa. Hatinya bagai menyalahkan Dania kerana tidak mahu membantu.
Dania telan liur. Mampukah dia memujuk agar Budreez faham akan perasaannya ketika ini? Sebaik sahaja memberikan jawapan, Dania dihimpit serba-salah. Mungkinkah persahabatannya dengan Budreez akan terkubur begitu sahaja?
Selama ini mereka telah banyak menempuh suka duka dan pahit maung bersama. Malah, tidak ada apa yang boleh melangkaui persahabatan mereka yang begitu erat. Tetapi kini, dia rasa benar-benar tidak berdaya.
“I’m not the right person, Reez...” Suara Dania lirih. Dia cuba menerangkan kesulitan yang dihadapi.
“Apa maksud kau?” soal Budreez sedikit terjerit. Dia sudah hilang sabar untuk memujuk. Resahnya semakin menjadi-jadi.
Keluhan Dania semakin berat. Aku bukan sahaja terpaksa berlakon sebagai isteri kau... tapi aku juga terpaksa berlakon untuk tidak menjadi diri aku sendiri. Tak mungkin aku mampu lakukan itu.”
“Don’t give me that reason! Itu bukan perkara besar untuk kau tolak harapan aku. Kalau tak mahu tolong cakap saja terus terang. Tak perlulah kau nak berdalih, Danny,” sinis Budreez tajam.
“Tapi bagi aku ini perkara penting. Kenyataannya aku wanita, tapi realitinya aku bukan begitu! Kau sendiri tahu tentang tu! Tak mungkin aku boleh tolong kau, Reez!” ungkap Dania senafas.
 “Selama ini aku tak pernah meragui kau, Danny. Apa saja aku sanggup demi persahabatan kita. Dan ini ke balasan yang aku dapat? I don’t deserved this!” bentak lelaki itu lagi. Menghamburkan hatinya yang lara.
Dania dibungkam serba salah. Mungkinkah dia telah melukakan hati Budreez? “Maafkan aku sekali lagi, Reez...”
“Besar sangat ke permintaan aku, berat sangat ke pengorbanan yang perlu kau lakukan.”
Dania terdiam. Air liur yang ditelan terasa perit. Dia gigit bibir.
“Danny... aku betul-betul perlukan kau ketika ini. Dah tak ada tempat lain aku meminta. I cannot handle this problem alone...”
“Aku minta maaf,” luah Dania lagi. Simpatinya semakin tidak tertanggung. Sungguh! Dia tak dapat membantu dalam hal ini.
“Bukannya aku tak terfikirkan untuk membantu... tapi aku tak mampu!” ujarnya kesal.
Rasa belas terhadap temannya semakin tak bertepi apabila terkenangkan cerita Budreez tentang wanita pilihan ibunya. Nama Maria seakan mimpi ngeri baginya. Inikan pula menjadi calon isteri.  Tentu Budreez sekarang sedang dihimpit dengan kenangan lalu yang cukup mengecewakan. Kasihan Budreez!
“Keputusan kau dah muktamad, Danny? Betul kau tak sanggup kahwin dengan aku?” Dalam dan sebak Budreez bertanya.
Dania terkesima. Hatinya dipalu rasa serba salah. Inikah penamat pada persahabatan mereka?
“Bukannya aku tak mahu tolong. Tapi, aku memang tak layak nak tolong kau.”
“Maksud kau?” soal Budreez terkilan.
“Takkan kau nak kenalkan aku sebagai Danny... dengan personaliti yang begini dengan keluarga kau. Takkan mereka boleh terima aku?”
“Itu aku tahu. Tak perlu kau bangkitkan soal itu sebagai masalah. Persoalannya sekarang sama ada kau setuju atau tidak dengan rancangan aku? Itu saja yang aku perlu tahu.”
Budreez sedar hati Dania mula cair dengan rayuannya. Sesungguhnya, dia akan lakukan apa saja untuk meraih persetujuan gadis itu. Dan dia juga sudah merancang sesuatu untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Doanya tak pernah padam!


BAB 3
ZALIA mengamati wajah adiknya dalam-dalam. Sejujurnya, dia terkejut dengan keputusan Dania yang begitu cepat dan drastik. Satu perubahan besar yang akan menentukan perjalanan hidup dan masa depannya.
“Kau dah fikir masak-masak, Danny? Ini bukan mainan Danny. Walau apa sekalipun, Danny tetap ada komitmen dengan hidup Budreez kelak. Danny betul-betul bersedia?” soal Zalia.
Dia mahu melihat sejauh mana kesungguhan Dania. Tambahan pula adiknya bersetuju dengan perkahwinan tanpa cinta. Hanya pengorbanan terhadap seorang teman semata-mata. Dia tidak mahu adiknya tersilap membuat perhitungan, apa lagi menyesal di kemudian hari.
Sepanjang Dania menjalinkan persahabatan dengan Budreez, selama itu juga dia mengenali lelaki itu. Bagi Zalia, Budreez seorang yang bertanggungjawab. Jauh di sudut hati, dia juga mengakui lelaki itu punya daya tarikan yang tersendiri.
Kulit sawo matang dan wajah melayu sejati, Budreez ternyata menyerlahkan personalitinya. Tampak gagah. Apalagi jika beraksi dalam gelanggang, dialah yang pasti menjadi tumpuan setiap wanita.
Walaupun usia Budreez lebih setahun daripadanya, dia tetap selesa memanggil dirinya dengan panggilan kakak. Zalia sendiri tidak tahu kenapa. Mungkin juga kerana dia terikut-ikut Danny atau dia sememangnya lebih selesa berdepan dengan wanita yang dikenali sebagai kakak.
Zalia tidak sangka Budreez sanggup memilih adiknya sebagai pengganti. Walaupun pernikahan ini satu rancangan, namun Zalia bersyukur, sekurang-kurangnya Dania sudah mengubah pendirian.
Kalau dulu adiknya beria-ia benar tidak mahu menamatkan zaman bujang. Dan lebih merisaukan apabila tingkahnya semakin kasar. Kini, sekurang-kurang dia sudah punya seseorang yang akan berada di sisinya.
Zalia masih ingat bagimana adiknya boleh berubah sedemikian rupa. Sejak putus cinta dengan Bryan semasa belajar di universiti dulu, Dania mula berubah laku. Kerana terluka dengan lelaki, Dania tinggalkan kehidupannya di sana.
Dalam usia yang baru menginjak 19 tahun ketika itu, tentu saja dia tidak dapat menangani kegagalan itu. Kelembutan dan keayuan seorang wanita bagaikan hilang ditelan kekecewaan. Dia cuba mengubah azali dirinya.
Kekecewaan yang dialami setelah berpisah dengan Bryan begitu ketara. Pada mulanya, dia lebih banyak mendiamkan diri. Zalia sendiri tidak tahu kenapa hubungan itu berakhir. Bila ditanya, Dania sekadar menggeleng tidak tahu.
“Betul kau nekad nak kahwin dengan Reez?”
Dania mengangguk lagi. Sudah beberapa kali kakaknya bertanya soalan yang sama. Pada mulanya, dia resah juga jika kakaknya tidak setuju, namun apa yang diharapkan nampaknya berjalan dengan lancar.
Bukan mudah baginya menerima desakan Budreez. Berminggu-minggu otaknya ligat berfikir. Menjelajah dan mencongak sebarang kemungkinan yang bakal merumitkan hidupnya.
Kesimpulannya, dia nekad! Budi yang dihulur terpaksa dibalas. Itu lebih baik daripada terus menanggung perasaan, menggalas kesal kerana tak mampu mengotakan janji.
“Kakak pun tahu kan, Danny betul-betul terhutang budi dengan Reez. How do I resist him? Danny rela kalau pengorbanan ini mampu selesaikan masalah Reez.”
Zalia mengeluh lemah. Saat itu wajahnya berubah.
“Kakak tak kisah?” soalnya cuba mentafsir raut kakaknya yang kegelisahan.
Zalia tersenyum tawar. Ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Perkara ini bukan sahaja melibatkan mereka berdua, malah seseorang yang punya pertalian darah. Dia juga berhak tahu.
“Tapi bagaimana dengan mummy?”
“Danny tak nak mummy tahu. Dan dia takkan tahu selagi tak ada sesiapa yang sampaikan. Selama ini pun, dia tak pernah peduli tentang kita. Sejak kahwin dengan lelaki asing tu... kita ni dah macam terbuang, kak.” Nadanya sebak.
Zalia juga tersentuh.
“Pernah ke dia cuba hubungi kita selama ini? Kita dah macam tak ada ibu, kak. We have to learn to live with it. Dia dah cukup bahagia di sana agaknya.”
“Tapi dia tetap ibu kita, Danny. Buruk macam mana pun dia, kita kena terima. Sebagai anak kita masih perlu hormatkan dia. Dan keputusan yang kau buat ni perlu restu daripada mummy. Dia yang lahirkan kita ke dunia ini, Danny...” pujuk Zalia.
Teguran kakaknya membuatkan Dania mengeluh lemah. “Tapi mummy di US, kak. Jarak tu dah cukup untuk sembunyikan perkahwinan Danny daripada pengetahuan mummy. Danny tak mahu dia tahu tentang pernikahan ni. Dia memang tak akan setuju.”
Zalia mengeluh. Hampa dengan jawapan adiknya. Bagi Zalia, Dania masih marah setelah mummy berkahwin dengan lelaki yang boleh mereka panggil abang. Belum pun setahun daddy meninggal, mummy sudah mencari pengganti baru.
Itulah yang membuatkan Dania berkecil hati, lantas menjauhkan diri. Setelah mummy berkahwin lagi, dia terus pulang semula ke Malaysia. Tujuh tahun masa berlalu, namun marahnya masih belum reda. Hatinya terguris dengan sikap mummy yang dirasa terlalu mementingkan diri.
“Kakak tahu mummy telah buat kesilapan dengan menikahi Patrick. Tapi itu bukan bererti kita mesti memutuskan ikatan dengannya. Sampai bila-bila pun dia tetap ibu kita, Danny.”
“Hmm… buat apa lagi kita nak melukut pada insan yang tidak pernah sudi untuk mencurahkan kasih sayang pada anak-anaknya?” soal Dania kesal.
“Kenapa Danny cakap begitu?”
Pertanyaan Zalia buatkan Dania ketawa sinis. Betapa hatinya terguris setiap kali mengenangkan sikap mummy. Sesungguhnya wanita itu terlalu alpa dalam mengisi kehidupannya. Dia hanya melihat keseronokan sebagai satu kesempurnaan dalam hidup. Sedangkan kewajipannya terabai.
Setelah daddy meninggal, mummy bertemu dengan Patrick, seorang lelaki yang lebih muda sepuluh tahun berbanding dirinya. Kononnya lelaki itu dapat menghilangkan kesunyian dan kerinduannya dengan ketiadaan daddy.
“Betul Danny tak mahu mummy tahu?” ulang kakaknya sekali lagi.
Dania tertunduk. Baginya tidak ada sebab yang munasabah untuk memberitahu mummy tentang berita pernikahannya. Lagipun perkahwinan ini hanya satu sandiwara.
“Danny tak rindu pada mummy?”
Hatinya tersentuh dengan soalan itu. Jiwa ini sememangnya amat dahaga perhatian daripada seorang wanita yang bergelar ibu. Tapi apakan daya. Kasih sayang yang amat diinginkan itu tidak pernah hadir. Dia hanya mampu berharap.
Hinggalah pada satu ketika, harapan itu telah hancur. Tidak mungkin dapat dilupakan. Ketika dia amat memerlukan seseorang setelah kecewa dengan Bryan dulu, mummy berpaling dari menjadi tempat dia menyandarkan kegetiran emosi. Wanita itu tidak pernah mahu mengerti kedukaannya. Dan dia sedar, kehadiran dirinya dan Zalia tidak pernah memberi sebarang makna buat mummy.
Tiada gunanya lagi mendamba sesuatu yang bukan miliknya. Mummy tidak mungkin berubah. Apalagi kini dia semakin bebas tanpa tanggungjawab. Agaknya dia sedang mengecapi kebahagiaan di samping Patrick. Jadi biarlah hubungan mereka terus jauh jika itu yang mummy impikan.


BAB 4
KENAPA kau nak jumpa dengan aku kat sini? Dah tak ada tempat lain? Please pick a better place next time!” marah Dania ketika terpandang bibir Budreez tersungging dengan senyuman.
Dia memang tidak gemar mengunjungi tempat-tempat yang sibuk dan sesak. Tambahan pula Jalan Tunku Abdul Rahman tak pernah surut dengan manusia setiap kali hujung minggu.
“Kalau ya pun, kita pergi minum dulu. Ada hal penting aku nak cakap dengan kau,” ujar Budreez apabila melihat wajah tegang temannya. 
“APA hal yang mustahak sangat? What’s the big deal?” soal Dania setelah meneguk minuman sejuk di depannya.
Budreez tidak terus menjawab bahkan merenung wajah gadis yang bakal dinikahinya. Penampilan Dania masih tidak berubah. Topi itu jarang ditanggalkan. Belum pernah sekali pun Budreez berpeluang melihat rambut Dania dibiarkan lepas.
“Kau ni datang jumpa bakal suami pun pakai T-shirt dengan jean meleret-leret.  Dah tak ada baju lain ke kau nak pakai? Patutlah selama ini tak ada buah hati. Aku pun tak sanggup nak pikat kau,” ujar Budreez menyindir.
Membulat biji mata Dania mendengar teguran Budreez. Belum apa-apa dah kena sindir. Dia memang tidak gemar dengan sikap Budreez yang lepas cakap. Tidak tahu mengambil kira perasaan orang lain. Mungkin juga kebanyakan lelaki bersikap begitu sesama mereka. Dan dia terpaksa menerima cara mereka yang tersendiri.
“Does it matter? Sebelum ni bertahun-tahun kenal tak pernah kau ambil pusing. Kenapa sekarang baru nak sibuk?” bentak Dania dengan lirikan tajam. Geram juga mendengar leteran Budreez.
“Betullah tu. Tak lama lagi kau nak jadi isteri aku. Sekaranglah masanya aku perlu tegur mana yang patut. Lagipun minggu depan kau dah janji nak ikut aku balik kampung, berkenalan dengan keluarga aku. Takkan nak pakai macam ni? Umi boleh pengsan bila tengok engkau nanti!”
Dania tergelak. “Habis... nak suruh aku pakai macam mana... baju kurung? Bertudung?” soal Dania sambil mengekek. Terasa lucu dengan kenyataan itu.
Namun, apabila melihat wajah Budreez yang serius, ketawanya semakin mengecil. Kecut perutnya saat itu. Lututnya mula menggigil dengan sendiri. Betul ke kau bersungguh-sungguh ni, Reez. Alah... Ini yang aku lemah ni! Dah tolong satu hal, nak kena tukar style pulak! Bisiknya sendirian.
“Sebab itu aku perlu sangat-sangat jumpa kau hari ni. Kita kena buat make-over. Ubah sikit apa yang patut. Barulah boleh jadi isteri aku.” Budreez mengenyitkan mata pada Dania membuatkan gadis itu kian lara.
Budreez teringat perbualannya dengan umi melalui telefon semalam. Puas umi mengucap panjang apabila dia batalkan hasrat meminang Maria minggu depan. Alasannya, dia sudah punya pilihan sendiri. Dan minggu depan juga Danny akan dikenalkan sebagai bakal isteri.
“Betul ke Reez atau saja kamu nak buat alasan?” soal umi kurang percaya dengan khabar itu.
“Betullah, umi. Kalau tak percaya minggu depan Reez kenalkan dia dengan umi dan abah.”
 “Apa lagi yang nak kena ubahnya Reez aku okey apa? Tak seksi pun.”
Perbualannya dengan umi semalam hilang ditelan suara Dania.
Budreez merenung gadis di depannya. Dia cuba membayangkan rupa gadis itu apabila disolek dan dikenakan baju kurung. Agaknya pasti ramai lelaki yang datang melutut.
Tapi, bila terbayangkan cara Dania berjalan tak ubah macam Mawi World, Budreez akhirnya tersenyum sendiri. Bukan setakat langkahnya keras, malah tak ada lenggok wanita langsung. Sumbang!
“Hei... soalan aku kau tak jawab, tapi kau tenung aku macam tu pulak. Macamlah kita baru kenal. Apa kena kau ni, Reez? Dah kemaruk sangat nak kahwin ke?” tanya Dania sambil mendengus.
“Tak adalah... aku cuma suka hati. Sekurang-kurangnya dah terlepas satu bala. Terima kasih Danny. Sudi jugak kau kahwin dengan aku. Tapi ada beberapa perkara penting yang kau perlu tahu.” Segera Budreez mengubah perhatian Dania. Dia tidak mahu renungannya tadi diungkit semula atau disalah erti.
“Hisy... apa halnya lagi ni? Sudahlah aku kena paksa kahwin ini ada benda lagi kau nak suruh aku buat. Apa ni, Reez?” tekan Dania panjang. Dia mula tidak senang dengan pelbagai arahan Budreez.
Lelaki itu ketap bibir mendengar ayat yang meluncur keluar daripada mulut Dania. Entah kenapa hatinya tiba-tiba tersentuh. Terasa dirinya sedang mengemis belas ehsan seseorang.
“Jadi kau tolong aku tak ikhlas ya, Danny?” soal Budreez. Ada nada rajuk dalam suaranya.
Perasaan Dania mula terdera. ‘Alah dah kecik hati pulak. Cakap sikit pun nak terasa.’
“Kalau kau rasa terpaksa, aku tak nak kita teruskan. It’s not gonna work kalau kau tak ikhlas. Perkara ni bukannya benda kecik, bagi aku. Aku tak akan susahkan kau kalau aku sendiri tak terdesak.” Perlahan bicara Budreez.
“Bukan macam tu, Reez. Aku ikhlas nak tolong. Tapi aku juga fikirkan kemungkinan yang bakal kita tanggung. Kau sendiri pun cakap soal nikah bukan perkara mudah. Kau bayangkan nanti bila kita terpaksa berlakon depan keluarga kau. Aku rasa tak yakin mampu buat semua tu,” ujarnya menerangkan kerunsingan yang mengusik perasaannya ketika itu.
“Bila masa pulak aku cakap kau kena berlakon?”
Ayat itu membuatkan Dania kian bercelaru. “Hold on a moment... habis tu takkan nak beritahu keluarga kau hal sebenar? Yang aku ni hanya pengganti supaya kau tak dipaksa kahwin dengan Maria.” Hati Dania dihuni tanda tanya. Apa sebenarnya yang dirancang oleh Budreez?
“Itu cuma bohong sunat. Walau apa pun yang berlaku antara kita, kenyataannya kita tetap sah sebagai suami isteri. Bukannya nikah olok-olok, kita nikah betul apa...”
“Iyalah tu. Dua-dua pun sama daa...” tekan Dania dengan muka mencuka lantas tangannya menghentak geram permukaan meja.
Terjojol bijik mata Budreez. Terkulat-kulat dia meninjau ke kiri dan kanan. Bimbang kalau tingkah temannya menjadi perhatian pelanggan lain. Setelah yakin tidak ada sesiapa yang ambil pusing, Budreez lepas tawa.
“Ni apa hal pulak gelakkan aku?” Wajah Dania kian menunjukkan tanda-tanda tidak puas hati dengan tingkah Budreez.
“Macam manalah aku boleh terfikir nak jadikan kau isteri, ya? Macam ni punya perangai!” Ketawanya masih berpanjangan. Geli hati pulak bila teringat kena bersanding dengan Dania. Buatnya dia melatah buka langkah masa tu, tak ke gamat jadinya.
“Kau jangan buat pasal, Reez... nanti aku batalkan projek ni baru tahu!” marah Dania sambil menunjal jari telunjuknya ke muka Budreez.
“Opss... aku berguraulah. Lagipun betul apa aku cakap. Ubahlah cara kau tu sikit. Jalan tu biar ada irama, biar bertingkah macam perempuan. Satu lagi... bahasa kau tu kasar sangat. Aku takut silap-silap hari bulan umi reject kau. Aku jugak yang sengsara.”
“Perkara tu kau jangan risau. Tahulah aku bila berdepan dengan keluarga kau nanti. Lagipun Kak Zalia dah banyak tolong. Dalam minggu ni jugak aku practise,” yakin Dania sambil meletup-letupkan jari.
“Biar betul, Danny! Jangan kantoi pulak nanti. Aku betul-betul bergantung harap pada kau ni.”
“Kau pulak ingat baik-baik janji yang aku buat tu... jangan nak mungkir!”

SETELAH keluar dari restoran, Budreez menarik tangan Dania masuk ke sebuah butik. Yang dipamerkan hanya pakaian-pakaian yang lebih feminin dengan pelbagai jenis tudung dan selendang.
“Kau nak beli hadiah untuk umi ke untuk adik kau?” soal Dania dalam keriuhan orang ramai yang bersesak-sesak di dalam butik itu.
Budreez berpaling mendengar pertanyaan Dania. Dipandang gadis itu dengan penuh harapan. “Aku belum pernah tengok kau pakai baju kurung dengan tudung. Dan aku yakin kau memang tak ada semua ni.”
“So?”
“Itulah maksud aku. Kita perlu make-over penampilan kau. Kau perlu tahu pemikiran umi tebal dengan prinsip ketimuran. Jadi aku nak kau jadi menantu yang umi angankan.” Melebar senyuman Budreez kala itu.
“Tak bolehlah Reez… aku bukannya reti pakai baju-baju macam ni,” ujar Dania dengan tergagap-gagap. Wajahnya sudah bertukar keruh.
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Sebab aku tak biasa.” Spontan jawapannya.
“Ha…. Sebab tulah kau kena belajar. Biar umi dengan abah tahu bakal menantu mereka nanti adalah seorang wanita yang cukup sempurna seperti yang aku beritahu.”
“Apa yang kau dah cakap pada mereka tentang aku?” soal Dania semakin kehairanan.
Budreez tersenyum penuh makna. “Ish… kau ni, takkanlah aku nak cakap perkara yang buruk-buruk pulak. Tentulah aku puji bakal isteri aku. Dan sebab itulah kau kena tampil dengan apa yang aku dah bayangkan pada umi. Aku nak kau pakai baju kurung atau kebaya bila temankan aku balik kampung nanti. Engkau akan jadi wanita yang cukup sempurna pada pandangan mata mereka,” beritahu budreez lancar.
“Walaupun pada zahirnya aku perlu berpura-pura?” Dania ketap bibir. Baginya, perubahan yang dituntut oleh Budreez terlalu besar. Dia tidak biasa dengan cara hidup yang digambarkan. Membesar di negara barat sejak lahir tidak mendedahkan dirinya dengan cara hidup begitu. Segala-galanya berbeza lagi bercanggah.
“Tapi aku harapkan lebih daripada itu. Aku nak kau terima perubahan ini dengan seadanya. Bukan terpaksa kerana umi.” Mendayu dan menyentuh perasaan kata-kata Budreez, menjalar ke jiwa Dania.
Hatinya tercuit tiba-tiba. Menyelinap satu naluri halus. Sukar untuk ditafsirkan. Memandang wajah Budreez yang nampak begitu mengharap membuatkan Dania setuju tanpa sedar. Perlahan dia mengangguk sambil membalas pandangan Budreez.
“Sekarang aku nak kau pilih tudung dan baju yang sesuai untuk kau pakai masa balik kampung minggu depan,” ujar Budreez sambil menghulurkan sepasang baju kurung hijau lembut dan kebaya kuning labuh bercorak batik. Dia mengulum senyuman. Berjaya juga dia menundukkan Dania dengan taktik begitu.
Dania mengikut rentak Budreez. Dia tiada pilihan lain, kata putus sudah diberi. Lagipun dia sendiri yang bersedia untuk menerima Budreez dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya dia mampu membalas budi lelaki itu.


BAB 5
KEDINGINAN pagi seakan tidak langsung mencuri tumpuan Budreez yang galak merenung gadis ayu di depannya. Sejak sepuluh minit lalu, dia berdiri memeluk tubuh untuk menghilangkan bayu pagi daripada menggigit tubuhnya, namun kini ketidakselesaan itu seakan diusir pergi. 
Dia terpegun ketika melihat penampilan baru Dania. Seolah-olah yang berdiri di depannya sekarang adalah gadis yang pertama kali ditemui. Cantik, manis dan penuh dengan kelembutan. Dia meneliti sebujur wajah yang putih dan semula jadi dengan secalit gincu nipis di bibir.
Dengan berkebaya dan bertudung kuning air yang dibelinya buat gadis itu minggu lalu telah merubah penampilan temannya. Dia nampak cukup memukau kini. Mata budreez tidak lepas dari  memandang gadis itu dari atas ke bawah berkali-kali. Mungkinkah dia tertipu dengan pandangannya? Fikirnya sendiri.
Gadis itu melangkah dengan penuh lenggok dan gaya. Budreez semakin terkesima. Diakah gadis yang sama yang aku kenali selama ini? Dania bukan sahaja berubah menjadi wanita yang dia bayangkan, malah gadais itu kelihatan cukup sempurna.
Betulkah dia Dania? Sejak bila dia cantik? Selama ini, Danny menidakkan kebenaran itu rupanya. Apalah kau ni Danny... rupa ada, tapi tak tahu nak menghargai. Kalau John dengan Raff tengok, mesti mata mereka pun sama terbeliak.
“Dah lama aku berdiri di sini, kau tak nak bukakan pintu?”
Pertanyaan Dania menyentak Budreez. Dia malu sendiri. Kagumnya dia dengan perubahan gadis itu.
“Kan akak dah cakap... Reez pun boleh betul-betul tersangkut bila pandang Danny hari ni. Tengok tu... ternganga mulut dia,” ujar Zalia sambil tersenyum sinis.
Dalam diam dia mengharapkan perkahwinan Dania dan Budreez kelak bukan sekadar satu perjanjian. Semoga ALLAH bukakan pintu hati mereka untuk bersatu dengan rasa cinta.
Budreez tergelak sambil membukakan pintu kereta. Memang betul cakap Kak Zalia. Tak sangka Danny boleh buat aku terbeliak biji mata. Cantiknya dia bila jadi perempuan betul-betul. Kan elok kalau begini, seru hatinya.
“Bawak kereta tu hati-hati sikit, Reez. Jangan melencong ke tempat lain pulak ya.” Zalia tersenyum mengusik.
“Eh, tak adalah kak. Kami balik terus ke kampung. Dah janji dengan umi dengan abah sampai tengah hari ni jugak. Kak Zalia jangan risau, malam nanti saya pulangkan Danny ke rumah dengan selamat, insya-ALLAH..” balas Budreez berlucu.
Zalia mengangguk sambil tersenyum. Dia mula melambai ketika pergerakan kereta mula membelok keluar dari pekarangan rumah. Rasa terharu bernaung di hatinya kerana Dania sudah mula keluar daripada identiti palsu ciptaannya.
Dia tidak pernah lupa berdoa agar adiknya berubah. Zalia tidak mahu Dania terus terperangkap dengan sikap kasar dan keras lelaki. Kembalikanlah dirinya yang dulu, ucap hatinya.
ENTAH kenapa ketika berdua-duaan di dalam kereta, Budreez hilang bicara. Kalau dulu mereka berdua boleh rancak berbual tidak mengira masa atau topik, tapi kini mulutnya seakan terkunci. Terasa dirinya tidak lagi berada bersama Danny yang dikenalinya dulu.
Baju kebaya dan tudung kuning lembut yang melekat di kepala Danny terlalu asing. Berbeza sekali jika dibandingkan dengan gadis tomboy yang sering memperagakan  T-shirt dan jean. Penampilan gadis itu membuatkan dia berasa kekok.
“Kenapa senyap saja ni, Reez? Rimas aku! Dahlah kena pakai macam ni... kau pulak dari tadi tak nak bercakap. You drive me crazy!” bentak Dania tiba-tiba.
Dia juga turut merasai apa yang bermain di jiwa Budreez. Pandangan dan renungan itu membuatkan jantungnya berdegup pantas. Pertama kali dia melihat lelaki itu melongo memandang dirinya.
“Kau nampak lain sangat. Aku terkejut dengan penampilan kau sekarang. Tak sangka ya, cantik jugak gadis bernama Dyra Dania ni.”
Dania terdiam. Inilah pertama kali Budreez memanggil dirinya dengan nama itu. Perasaan halus itu menyelinap lagi. Naluri kewanitaannya kerap tersentuh setiap kali di samping Budreez sejak pertemuan di Jalan TAR tempoh hari. Namun, perasaan itu terlalu asing. Sukar juga untuk memahami apa sebenarnya yang dirasa.
“Kau dah betul-betul bersedia?” soal Budreez.
“I’m getting a lot of preasure. Aku takut keluarga kau tak dapat terima aku,” balas Dania sambil melepaskan sebuah keluhan lemah.
“Itu tak perlu risau. Aku pasti adik perempuan aku, Sarah boleh terima kau. Abah pulak sebelum ini memang tak pernah masuk campur atau memaksa dalam hal hidup aku. Cuma dengan umi mungkin ada masalah sikit.“
Dania mengetap bibir. Bab masalah yang aku tak sedap hati ni. Ingatkan semua boleh beres, getar hatinya.
“Kau pun tahu dia dah terpikat dengan Maria. Jadi aku harap kau mampu rebut hati umi.”
“Orang macam aku ni nak pikat hati umi kau, Reez? Huh... jauh panggang daripada api. Kalau dibandingkan aku dengan Maria macam langit dengan bumi agaknya.” Dania ketawa dalam debaran.
“Tapi kau kena ingat... pilihan aku adalah Dania bukannya Maria. Kahwin free pun aku tak sudi kalau dengan Maria, tahu!”
“Bertekad benar kau tolak daripada dijodohkan dengan Maria. Teruk sangat ke dia?”
Soalan Dania tidak dijawab. Malah, dia mengeluh kecil sambil merenung tepat ke hadapan. Ada sesuatu yang sedang bermain-main di sanubarinya. Ada kenangan yang mengusik hati.
“Reez... kau yakin keputusan kau ni tepat?” soal Dania bimbang. Dia takut suatu hari nanti Budreez berubah hati. Dan dia pasti akan terperangkap dalam kemelut yang lebih besar kelak.
Mereka sudah bersetuju untuk berkahwin hanya di atas kertas, zahirnya masing-masing bebas untuk memilih cara hidup sendiri. Dan mungkin juga hubungan itu akan terus kekal asalkan salah seorang daripada mereka tidak bercadang untuk mencari teman hidup lain.
PANCARAN matahari terasa silau mengganggu pandangan. Perlahan-lahan Dania membuka mata. Kini dia sedar dirinya tidak berada di rumah seperti yang dimimpikan tadi. Terasa tangannya disentuh lembut.
“Kita dah sampai Danny.”
Mendengar suara Budreez membuatkan jantung Dania berlari pantas. Tersedar kembali bahawa dia kini sudah berada di Alor Gajah, rumah bakal mertua yang belum tentu akan menerima dirinya sebagai menantu.
Dia menggosok perlahan kelopak mata. Membetulkan tudung yang sudah tidak tentu arah. Namun, resah yang menghambat dalam dirinya semakin kalut.
“Aku takut Reez,” ujar Dania tiba-tiba.
“Apa yang kau nak takut? Jangan nak semakkan otak kau fikirkan benda yang bukan-bukan. Aku yakin segala rancangan kita akan berjalan dengan lancar,” yakin Budreez.
Dania telan liur. Kalau diikutkan rasa hatinya ketika ini, sudah lama dia berpatah arah. Tidak sanggup rasanya bersandiwara di hadapan ibubapa Budreez. Jantungnya terasa bagai disentap-sentap. Mampukah dia berdepan mereka sebagai bakal menantu?
Melihat wajah temannya yang tegang dan berpeluh, Budreez menggenggam erat tangan Dania. Mesra dan kemas.
“Aku berterima kasih pada kau Danny sebab sanggup berkorban untuk aku. Dan aku tak akan biarkan kau hadapi seorang diri.” Kata-kata Budreez menyuntik semangat untuk Dania. Dia lebih yakin dengan keputusan yang kini sudah berada di depan mata.
“Satu perkara lagi yang aku nak ingatkan. Kita perlu bahasakan diri dengan panggilan yang lebih mesra. Aku akan panggil kau Dania dan kau boleh panggil aku abang. Lagipun beza umur kita empat tahun. Sepatutnya dari dulu lagi kau biasakan diri dengan panggilan macam ni.”
Dania menelan liur. Inilah permulaan yang bakal merencanakan segala-galanya. Biarlah apa yang dirancang berjalan dengan lancar. Berat perasaan yang merantai jiwanya ketika ini, berat juga kaki yang cuba mengatur langkah.
Salam yang dihulur Budreez disambut dengan satu suara halus yang cukup mengocak hebat perasaan Dania. Peluh dingin mula menitis. Debaran semakin menggoyah janji yang telah dia lafazkan. Serasa tidak berdaya untuk menghadapi situasi ini.
KERLINGAN Hajah Khadijah cukup untuk menyampaikan maksud hatinya. Dania mula gelisah, sedar dirinya bukan pilihan yang layak untuk dijadikan menantu. Sejak bersalaman tadi, tingkah Hajah Khadijah seolah-olah menghantar makna pertemuan mereka tidak seharusnya terjadi.
Sementara Haji Badar lebih tenang dan murah dengan senyuman. Ramah juga dia bertanya itu ini. Malah, dia rasa selesa dengan layanan dan sikap Haji Badar yang bersahaja.
Haji Badar menghela nafas lega kini. Gadis dihadapannya kelihatan tertib dan sopan. Bahkan hatinya memuji sikap gadis itu yang pandai membawa diri. Pandai juga Budreez mencari bakal isteri.
“Dania ni dah lama ke kenal dengan Budreez?” soalnya ramah.
 “Lama jugak pak cik. Dah hampir tujuh tahun. Sejak pulang dari luar negara, dialah antara kawan rapat saya,” ujar Dania bersahaja walaupun di dalam hati ALLAH saja yang tahu betapa resahnya dia.
“Pandai betul Reez simpan rahsia. Selama ni puas kami mendesak, tapi tak pernah pulak dia ceritakan tentang Dania.”
Haji Badar merenung Dania dengan perasaan gembira. Sekurang-kurangnya jodoh Budreez sudah di depan mata walaupun mereka belum dilangsungkan. Bertudung dan nampak lemah lembut orangnya. Dalam hatinya terdetik bahawa Dania adalah seorang gadis yang sesuai untuk dijadikan menantu.
“Sebelum ni kami sekadar berkawan, abah. Lagipun jodoh belum sampai agaknya,” celah Budreez spontan. Tidak mahu perkenalan mereka dipanjangkan.
Dalam pada itu, dia amat terkejut dengan reaksi Dania. Tiba-tiba gadis ini dilihat cukup sempurna ciri-ciri kewanitaannya. Penuh kelembutan dan tertib dengan tingkah dan kesantunan wanita melayu. Pandai pulak kau berlakon ya Danny, bisik hati kecil Budreez kelucuan.
Manakala jiwa Dania dipagut rasa bersalah. Apa agaknya reaksi mereka jika tahu hal yang sebenar? Aku bukannya gadis yang dicintai Budreez, tapi aku sekadar menjadi pengganti untuk menghalang dia bersatu dengan Maria. Hatinya merintih mengenangkan dia juga bersubahat dalam hal ini.
“Apalah abang ni, ada kekasih cantik macam ni pun nak sorok. Kalau Sarah jadi abang, awal-awal lagi Sarah dah canang dengan orang kampung. Tak adalah Mak Cik Naimah tu berharap sangat nak jadikan abang menantu dia,” sampuk adik perempuan Budreez secara spontan.
“Hisy... kau ni Sarah, bila orang tua berbual cuba jangan masuk campur. Anak dara tak elok buat perangai macam tu,” tegur Hajah Khadijah pada anak gadisnya.
“Betul tu, umi. Sibuk dengan hal abang... kahwinkan dia sekali baru tau. Entah- entah di kampus dah ada buah hati tak, umi?” Sengaja Budreez mengusik Sarah.
Wajah adiknya berubah mendengar leteran uminya. Dan kata-kata Budreez pula semakin menambahkan geramnya. Pantas, dia menyiku lengan Budreez di sebelah.
“Dahlah tu... jangan nak bergaduh kat sini. Pergi ke dapur tu buatkan air lagi. Ada jugak faedahnya,” arah Hajah Khadijah.
Dengan malas, Sarah bangun dan berlalu. Namun, matanya tidak lepas menjeling pada Budreez. Dania pula tertunduk malu. Merona wajahnya mendengar komen Sarah tadi. Betul ke aku ni cantik? Sebelum ni tak pernah ada sesiapa pun puji aku macam tu kecuali Kak Zalia.
Soalan demi soalan membuatkan Dania dibungkam rasa rimas dan bersalah. Ada antara jawapan yang diberikan hanyalah rekaan semata-mata. Sejak dalam perjalanan lagi Budreez sudah berpesan agar berhati-hati apabila berbual dengan orang tuanya. Takut rahsia mereka terbongkar.
“Aku tak kisah macam mana kau nak tangani jawapan umi dengan abah asalkan mereka tak tahu hubungan kita yang sebenar. Pandai-pandailah kau, Danny.
Mengingatkan kata-kata itu juga membuatkan Dania cukup berhati-hati. Dia sedar jika silap langkah, bukan hanya Budreez yang akan menanggung padah, malah dia juga akan terheret sama kerana telah bersubahat dalam perkara ini.
Hajah Khadijah merenung Dania dalam-dalam. Betul kata Sarah, Dania seorang gadis yang cukup cantik. Kalau itu pilihan anaknya, dia akan terima. Walaupun hajatnya bermenantukan Maria tak kesampaian, dia terpaksa reda dengan ketentuan jodoh.
Namun, dia terkilan apabila mengenangkan persahabatannya dengan Naimah sudah menampakkan tanda-tanda renggang. Dialah teman sejak remaja. Hubungan mereka terjalin erat walaupun masing-masing telah berkeluarga.
Dan hingga ke hari ini, mereka sentiasa berkongsi suka duka bersama walaupun Naimah pernah mengikut suaminya berpindah ke negeri lain. Masih terbayang wajah kecewa Naimah dua hari lalu.
“Tak jadilah kita nak berbesan, Jah? Aku tak sangka rancangan kita selama ni boleh terlerai macam tu saja,“ luah Naimah perlahan.
“Aku mintak maaf, Imah... nak buat macam mana kalau Reez sendiri tak mahu. Takkan kita nak paksa dia. Aku sendiri pun tak pernah sangka dia dah ada pilihan hati. Selama ini, dia memang tak pernah beritahu... itulah sebabnya aku cadangkan Reez disatukan dengan Maria.“
“Mungkin anak aku tu tak cukup baik untuk Reez agaknya...“ keluh Naimah hampa.
Sejak hari itu, temannya seakan cuba melarikan diri daripada bertemu. Semasa lalu di depan rumahnya pagi tadi, Naimah tidak menoleh. Masih marahkah dia kerana apa yang mereka rancangkan tidak berlaku?
Hajah Khadijah menguatkan tekad untuk memujuk temannya agar tidak berkecil hati. Dan kini apabila Dania di depan mata, dia sedar kenapa anak bujangnya telah terpaut hati. Gadis ini tak kurang cantik dan baik budi. Pandai pulak Reez pilih bakal isteri, detik hati kecilnya.
Perbualan hampir dua jam telah memberi peluang kepada Hajah Khadijah untuk mengenali bakal menantunya dengan lebih dekat. Tersentuh hatinya apabila mengetahui gadis itu adalah anak yatim piatu.
Pernikahan yang bakal berlangsung juga tidak melalui proses merisik atau meminang seperti kebiasaan. Segala urusan mas kahwin juga Dania serahkan kepada keluarganya untuk menentukan.
Rasa simpati hadir terhadap Dania. Setahunya, gadis ini hanya punya seorang kakak yang telah menjadi ibu tunggal kepada anak kecil berusia tiga tahun. Ditinggalkan suami dalam usia yang begitu muda, dibiarkan anak dan isteri mengadu nasib sendirian. Semoga dia tabah diuji begitu. Hatinya berdoa.
SETELAH selesai minum petang, Budreez meminta izin untuk menghantar Dania pulang. Kesian dia melihat temannya itu terpaksa menjawab segala soalan daripada kedua orang tuanya. Namun, Dania nampak tenang. Tidak seperti ketika sampai tadi.
Budreez sudah mampu menarik nafas lega. Semua yang dirancang menjadi nampaknya. Umi pun macam dah boleh terima Dania. Walaupun pada mulanya sikap umi acuh tak acuh, namun setelah mereka berbual dengan agak panjang, dia melihat raut wajah umi mula berubah ceria apabila ketetapan perkahwinan antara dia dan Dania diputuskan.
Manakala abah pula memberi respons yang cukup baik. Malah ramah sekali dia berbual dengan Dania. Seolah mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Begitu juga dengan Sarah yang nampaknya sudah mengalu-alukan kehadiran Dania sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.
Segalanya sudah selesai tanpa halangan.  Dalam masa beberapa bulan lagi majlis pernikahan akan berlangsung. Kenduri hanya akan diadakan di rumahnya memandangkan Dania tidak punya sesiapa untuk menguruskan majlis di pihak perempuan.


BAB 6
SETIAP detik menggalas waktu. Masa yang berlalu tidak akan berganti. Empat bulan berakhir dengan begitu pantas. Hari ini, majlis pernikahan dan kenduri dibuat secara serentak. Lafaz ijab dan kabul sudah termeterai. Dania sudah sah menjadi isteri Budreez.
Besar-besaran juga kenduri yang berlangsung. Macam jemput satu kampung. Siap dengan majlis berinai, berzanji, ada pula kumpulan kompang dan pencak silat juga tidak ketinggalan.
Dania tidak menyangka kenduri di kampung lebih meriah berbanding majlis yang pernah dihadirinya di Kuala Lumpur terutamanya di hotel-hotel. Di sini semua kerja dilakukan secara bergotong-royong. Tidak ada persiapan yang ditempah. Baik dari segi hiasan, mendirikan khemah atau memasak, semuanya dibuat sendiri.
Dia terharu diraikan dalam majlis yang cukup sempurna itu. Tidak pernah terbayang dirinya akan bergelar seorang isteri. Inikan pula dengan penuh adat-istiadat. Kak Zalia juga terpegun dengan keramaian yang begitu berbeza dengan majlis yang pernah disertai sebelum ini. Dan kepulangannya ke Kuala Lumpur petang tadi masih mengundang hiba dibenak Dania.
“Tak sangka Danny dah jadi isteri orang.”
“Akak dah tak boleh panggil Danny lagi tau... sekarang dah jadi Dania,” bisiknya perlahan. Mereka saling berbalas pelukan sambil menitiskan air mata. Rasa terharu tak dapat ditahan.
“Kakak gembira dengan perubahan adik kakak sekarang. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat, Dania...” ucap Zalia dengan rasa gembira.
Dania tersenyum sambil menggenggam erat tangan kakaknya.
“Agaknya memang sengaja ALLAH tunjukkan jalan agar Budreez memilih Dania sebagai suri. You were meant to be dan kakak rasa ada hikmah yang berlaku dengan pernikahan ini,“ bisik Zalia ke telinga adiknya.
“It’s not what you think. Kakak sendiri tahu segalanya tidak seperti apa yang orang lain sangka. Kami dah lama berkawan, tapi tak pernah rasa apa-apa. Nikah pun bersebab... tak lebih dari tu,“ balasnya mengawal nada. Jangan sampai tersebar ke telinga sesiapa.
Jawapan Dania hanya dibalas dengan segaris senyuman di bibir Zalia. Di wajahnya terungkap sesuatu. Namun, dia sekadar ketawa kecil ketika Dania terus mendesak.
“Dah lama mak ngah tengok Dania termenung, kenapa?”
Khayalan Dania terbang. Dia tidak sedar sejak bila Mak Ngah Aisah memerhatikan dirinya. Dia hanya mampu tersenyum membalas.
“Apa yang difikirkan lagi, Dania? Dah selesai semuanya. Tetamu pun dah tak ada yang tinggal.“
“Tak ada apa-apalah, mak ngah. Dania cuma letih sikit.“
“Mak ngah menjenguk ni pun sebab nak mintak diri dulu. Bila senang-senang datanglah ke rumah dengan Reez. Rumah mak ngak tak jauh, jalan kaki pun tak terasa,” ujarnya panjang lebar sambil menghulurkan tangan.
“Insya-allah mak ngah. Nanti Dania beritahu  abang,” jawabnya cuba beramah lantas menyambut tangan ibu saudara suaminya. Setahunya, mak ngah adalah adik ipar bapa mertuanya.
Ketika mak ngah melangkah keluar dari pintu bilik, muncul Budreez. Tersenyum berseri wajahnya. Dia pantas menutup pintu. Anak matanya menjamah ke wajah gadis yang baru dinikahinya. Selamat hidup aku! Nasib baik semuanya berjalan dengan lancar.
Gugup Dania apabila pandangan mereka saling bersabung. Dia terasa seakan bermimpi. Benarkah dirinya sudah bergelar isteri kepada Budreez? Lelaki yang sama-sama berlatih seni karate di gelanggang dan lelaki yang sering menghabiskan masa santai bersama meneguk teh tarik hampir setiap malam minggu.
“Takkan kau nak pakai tudung tu sepanjang malam? Dah lewat malam, tak ada sesiapa lagi dah. Semua tetamu dah lama balik,” kata Budreez sambil melangkah lemah lalu menghempaskan tubuhnya ke katil. Terasa tegang urat sarafnya setelah seharian terpaksa melayan tetamu yang datang.
Sejak dua hari lalu tidurnya terganggu. Menguruskan majlis perkahwinan memerlukan banyak keringat. Paling tidak dapat dilupakan ketika melafazkan akad nikah, dia tidak sedikit pun rasa gementar atau gelisah. Segalanya berjalan dengan begitu sempurna.
Entahlah... agaknya kerana pernikahan ini bukan seperti yang aku pernah saksikan atau impikan. Ketika tangannya digoncang oleh pak imam tadi, spontan sahaja dia melontarkan akad dalam satu nafas. Jangankan kata gelabah, hatinya bagaikan tidak terusik sedikit pun.
Dania terasa berdebar-debar. Dia serba salah duduk berdua-duaan dengan Budreez dalam kamar pengantin yang terhias indah. Alas cadar katil berwarna keemasan tampak berseri. Ditambah pula hiasan bunga-bunga segar di setiap penjuru bilik.
Dia semakin gelisah untuk membuka tudung yang tersarung di kepalanya. Selama ini rambutnya yang panjang melepasi bahu sering disorokkan daripada perhatian sesiapa. Dia memang mahu orang mengenalinya dengan cara kasar dan bersifat lelaki. Namun, dalam dirinya tersimpan rahsia yang tersendiri. Tiada siapa yang tahu!
“Tak sangka Danny... cara jalan kau boleh bertukar dengan senang. Sekarang dah tak keras lagi. Dah betul-betul jadi perempuan, ya?” soal Budreez seakan menyindir. Dia sudah tersandar di kepala katil.
Dania melangkah ke meja solek. “Habis... kau ingat aku ni kasar macam jantan betul?” tanyanya tanpa memandang pada Budreez. Dia memang sudah maklum dengan sikap lelaki ini yang lepas cakap. Adakalanya kata-kata Budreez menyentuh perasaan.
“Yalah... selama ni dah banyak kali aku merasa sepak terajang kau masa latihan. Sekarang tak sangka wanita lasak tu dah jadi isteri aku. Terasa macam mimpi, Danny,” balas Budreez dalam tawa.
Dania sekadar mencebik. Dia pantas melonggarkan tudung dan membukanya perlahan-lahan. Terserlah rambutnya yang kehitaman lurus melepasi bahu.
Budreez mencuri pandang ke arah Dania melalui cermin. Inilah pertama kali dia dapat menatap wajah gadis itu dalam keadaan begitu. Tak sangka gadis seperti Dania punya paras rupa secantik ini. Kelu Budreez buat seketika.
Nampaknya temannya itu cantik dari semua segi. Punya bentuk tubuh yang cantik dan menggoda. Apalagi dengan wajah cerah dan rambut lurus itu, cukup menyerlahkan kejelitaannya. Betapa Budreez terpesona. 
Dia tertarik untuk terus memandang dan menilai kecantikan temannya. Hatinya mula membisikkan sesuatu yang asing. Gadis itu sudah dinikahi dan dia punya hak yang mutlak terhadapnya. Tetapi bukankah ikatan mereka hanya satu rancangan? Akal Budreez terus mengingatkan.
Nafas panjang terhela tanpa sedar. Getaran yang melanda dirinya saat itu cuba ditepis. Dia cuba mengingatkan dirinya bahawa gadis itu hanya sekadar teman. Dan dia tidak sepatutnya terjerumus dengan mainan perasaan.
Namun hati Budreez terus meyakinkan bahawa Danny lebih sempurna sebagai Dania. Dia punya segala-galanya yang lelaki inginkan. Tapi kenapa selama ini dia sembunyikan semua tu? Rupa-rupanya masih banyak lagi yang aku belum tahu tentang gadis ini.
“Apa pandang-pandang? Sebelum ni kau tak pernah tengok aku ke?” sentak Dania sambil mencuit kaki Budreez.
“Entahlah... aku rasa macam kahwin dengan dua orang wanita pulak. Sorang Danny... sorang lagi Dania. Apa kata kau insaf dengan perangai tomboy kau tu?” ujar Budreez dengan gelak yang tertahan-tahan.
“Ooo... sekarang pandai pulak kau cakap besar. Dulu siapa yang merayu-rayu suruh aku kahwin dengan kau? Bila masalah kau dengan Maria dah selesai, tak tahu nak berterima kasih pada aku ya!” bentak Dania sambil duduk di sebelah Budreez.
“Alah... Danny. Takkan aku boleh lupa budi kau. Sampai mati pun aku ingat. Aku bergurau saja. Janganlah marah.”
“Marah tu taklah... cuma geram,” balas Dania mengetap bibir sambil mencubit paha Budreez.
“Aduh!” Lelaki itu terlompat kesakitan. Dia menjauhkan sedikit tubuhnya daripada Dania.
“Aku ingatkan kau hanya tahu tayang penumbuk dengan angkat kaki, rupanya ketam batu pun kau tahu, Danny?” Budreez menggosok pahanya yang terasa pedih. Mengecil kelopak matanya menahan sakit.
Dania tergelak mendengar kata-kata Budreez.
“Malang betul aku... terlepas dari kandang buaya masuk pulak ke mulut harimau.”
“Baru padan muka kau!” tempelak Dania. Dia tersenyum mengejek. Namun, seketika kedua-duanya kembali menyepi. Dania duduk di sisi Budreez. Ada kekalutan di jiwanya saat itu.
“Sampai bila kita nak macam ni, Reez?” soal Dania mula bernada serius.
“Maksud kau perkahwinan kita?”
Gadis itu mengangguk.
“Entahlah. Rasanya kita ikut saja apa yang kita rancangkan dulu. Selagi kita belum bertemu jodoh dengan orang yang kita betul-betul harapkan sebagai pasangan hidup, biarlah kita teruskan.“
Dania mendengar penuh teliti.
“Tapi buat masa sekarang, kita tangguhkan dulu soal tu. Yang penting aku dah terlepas daripada bala besar. Lagipun esok kita akan bertolak balik KL. Sekarang, aku nak rest okey,” ujar Budreez sambil merendahkan badan lalu memejamkan mata yang sudah terasa berat.
Hello my dear... tempat kau kat bawah sana. Kat atas katil ni tempat aku. Ni bantal dengan selimut. Permaidani kat bawah tu pun dah sedia tunggu kau.” Dania memukul badan Budreez dengan bantal.
“Sorry sayang. Aku tak sanggup nak tidur di bawah. Badan ni dah sakit semacam. Apa salahnya kita berkongsi katil? Don’t worry my friend... bukannya luak. Takkanlah kau tak percayakan aku, Danny?” ujarnya tersenyum mengejek.
“Memang pun aku tak percayakan kau. Nampak saja alim, kalau dah nama lelaki... semua sama!” leter Dania sedikit tinggi.
“Syy... perlahankan sikit suara kau tu. Buatnya umi dengan abah dengar, baru tahu! Jangan banyak songehlah, Danny! Aku dah penat sangat ni. Tidur sajalah. It’ll only take one night. Esok nak bangun awal. Kau tak nak balik ke?” Budreez terus menekup mukanya dengan bantal.
“Reez... Reez...” 
Panggilan Dania langsung tidak dipedulikan. Dan dia sudah tidak punya pilihan lain melainkan berkongsi katil dengan Budreez. Namun dia tahu, tak mungkin tidurnya akan nyenyak malam ini. Dania resah sendirian.