21 March 2013

~ SINOPSIS ~ Kalaulah Aku Tahu...



Dipaksa menerima Hardy sebagai suami membuatkan jiwa Keyra Adeela cukup tertekan dan terdera.
"Adik tak mahu jadi isteri dia!"
"Dah terlambat untuk menolak... sebab adik memang dah kahwin pun..."

Kecoh jadinya bila dunia Keyra Adeela berputar enam tahun ke belakang.
Fikirannya diasak dengan seribu satu persoalan.
"Awak suami saya? Betul? Kenapa saya tak ingat?"

Dan dia kian bercelaru...
"Boleh tak saya cuba jadi isteri awak selama tiga bulan saja?"
"Mana cukup... apa kata enam bulan!"
"Tak aci..."
"Aci, tak aci, tak kira!"

Keyra dan Hardy seperti tawar-menawar di pasar malam tentang ikatan pernikahan mereka. Rumah tangga mereka tunggang terbalik sejak Keyra terlupa tentang segala-galanya.

Namun, betapa percaturan takdir cukup mengelirukan. Imran Hafiz, lelaki yang pernah diminati dalam diam dulu muncul semula. Hari demi hari, rasa indah dan bahagia kian bercambah. Di hatinya mula berputik rasa sayang dan cinta.

Siapa sebenarnya yang berakhta di hati Keyra? Segalanya jadi kian rumit dan bercelaru. Mampukah memori yang hilang hadir kembali menyingkap semua rahsia antara dia dan Hardy?

Kalaulah cinta yang pergi boleh datang balik...
Kalaulah cinta yang hilang boleh muncul tiba-tiba...
Aduhai...

~ baca bab awal...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=794&idc=4310#.UUlAnVcer84

16 March 2013

Manuskrip baru...

Kalaulah Aku Tahu...


BIBIR Hardy mengukir senyuman pahit. Bagai terlihat jari wanita yang dikasihinya bergerak perlahan. Namun dia tahu semua itu hanya mainan perasaan. Bukan sekali dua perkara itu terjadi, malah sudah kerap kali. Kata Doktor Steve, mungkin kerana dia terlalu mengharap agar perkara itu berlaku.

Pandangannya menilik sekujur tubuh yang kaku di atas katil. Selama hampir setahun dia setia menanti tanpa jemu.

"Abang tak akan ke mana-mana selagi sayang tak bangun," ucapnya dengan cukup yakin.

Wajah itu sedikit cengkung. Namun tetap menarik pada pandangan matanya. Perlahan bibirnya mengucup pipi putih itu dengan sayu.

Kalau ikutkan rasa hati, dia mahu mencium bibir itu. Meraih dan memeluk tubuhnya. Mahu berkongsi katil yang tidak sebesar mana. Dan mahu sahaja dia kuarantinkan bilik ini agar dia dan insan yang dicintainya itu akan menghabiskan masa-masa indah mereka. Hanya berdua.

Tetapi wajarkah dalam keadaannya begitu? Takut nanti percuma sahaja dia dihalau jururawat. Percuma sahaja dia dilarang terus dari menjejakkan kaki ke bilik itu lagi. Hardy tergelak. Menggeleng kepala dengan angan nakal yang bermain-main dalam fikirannya.

sambungannya...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=794&idc=4172#.UUPbSVcer84