25 August 2011

Salam Lebaran...


Salam Lebaran buat semua. Ampun dan maaf dipinta. 
Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hati di jln raya. 
Smoga hari raya meriah dlm kesederhanaan...
♥ AE ♥

23 August 2011

SELAMBA ~ Hidup biar selamba, janji gempak!

Selamba ~ Ayu Emelda @ Laman Web Buku Prima

Kisah SELAMBA, santai dan sempoi tapi penuh drama...

Alhamdulillah! Yang dinanti-nantikan muncul juga. Syukur sesangat. 
Percubaan pertama AE utk nvl remaja. 

Sinopsis:
Tiga orang gadis berlainan prinsip dan tingkah laku disatukan dalam satu misi. Apabila menerima amanat Puan Pengetua, Khay, Juju dan Lolly bimbang. Tetapi mereka tidak punya pilihan, Misi BRAVO perlu diteruskan. Mereka bergerak dalam rahsia.

Efwan, jejaka tampan idaman jelitawan menjadi teraju. Mereka sering berbincang dan bertukar pendapat. Akhirnya, dugaan dan cabaran melaksanakan tugas membuatkan mereka mula menjalinkan hubungan persahabatan. Tapi sayang, empat dara vouge a.k.a GORGEOUS iri hati. Namun mereka tidak berasa gentar.

Perjalanan misi BRAVO cukup mendebarkan.

Ada pahit manis serta aksi-aksi hangat dan hangit. Persoalannya, mampukah mereka melaksanakan tugas ini?


RM 14.00
ISBN: 978-967-0184-91-3
~240 hlm
Bahasa Melayu

19 August 2011

ADUHAI ISTERI ~ PART 7

DARI American Next Top Model, Emir mula layan saluran Astro Ceria 104. Filem Syurga Cinta menarik perhatiannya. Muka kelat dan dahi berlapis isterinya tidak dipedulikan.

“Huh! Bosanlah... apa yang menarik sangat cerita ni?” Harlyna mendesah kuat. Siap hantar jelingan sembilan puluh darjah.

Dari duduk bersandar, tubuh Emir sudah tegak. Nampak berminat sangat. “Filem ni biasa jer... tapi tulah. Heroinnya tu. Siapa nama?” soal Emir sambil tangannya bermain dengan janggut sejemput di dagunya yang terjaga rapi.

Heroin yang ditengok?! Mukanya kian cemberut.

“Heliza... yes Heliza,” ujar Emir dengan mata bersinar sambil petik jari. “Cantik ya Heliza tu. Manis!” puji Emir dengan senyum lebar. Matanya tidak berkelip menatap skrin TV.

Huh! Apalah yang cantik sangat. “Cantik ke?”

“Tentu bertuah lelaki yang dapat kahwin dengan dia. Hmm... kalaulah abang yang jadi lelaki bertuah tu...”

Oh! Jadi abang ni kira malanglah dapat kahwin dengan Lynn? Hatinya sedang menjerit di dalam. Tahu terasa bila lelaki itu memuji wanita lain. Ada hati pulak tu nak jadikan artis sebagai isteri. Mimpi ke apa?! Muka Harlyna kelam. Hilang seri tanpa bulan dan bintang.


Dalam hati Emir terasa bagai digeletek. Geli hati dengan wajah kecut isterinya. Tahu juga marah kalau dia komen lebih-lebih tentang wanita lain. Tapi Lynn... sebagai suami cinta abang hanya satu. Hanya kepada isteri tersayang. Lynn yang pertama dan terakhir. Takkan ada yang lain sebagai pengganti.

Tiba-tiba telefon bimbit Harlyna menjerit minta diangkat. Dia capai telefon atas meja kopi lalu duduk di sofa bersebelahan.

“Ya Jojo... ada apa?”

Emir hanya mendengar. Sesekali sempat kerling ke arah isterinya yang sudah mula tersenyum ceria.

“Keluar? Hmm... kau bukan tak tahu kaki aku dah kena rantai sekarang.” Suaranya dikawal agar perlahan.

Dalam diam Emir tersenyum.

“Pergi mana? Zouk? Huh! Kelasss ... datang ambil aku, boleh? Aku tunggu kau...”

Namun belum sempat berbuat apa-apa telefonnya sudah dirampas.

Harlyna terpinga-pinga. Dia cuba mengambil semula tetapi tubuh tegap Emir membuatkan dia tewas.

“Sorry Jojo... malam ni Lynn ada tazkirah. Tak boleh keluar. Sorry okey... kalau Jojo nak join pun boleh jugak. Tak ada masalah. Lagi ramai lebih meriah. Boleh sama-sama kongsi pahala.”

Hati Harlyna menggerutu sendiri. Makan hati dengan sikap suaminya yang terlalu mengongkong. Hatinya memberontak sendiri.

Sebaik memberi salam dan mematikan talian, dengan selamba telefon diserahkan semula kepada tuan punya badan.

Menderu nafas keras dari mulut dan rongga hidung Harlyna. Pandangannya cukup tajam. Ini dah kira melanggar privacy.

Namun, Emir balas dengan senyuman manis. Dia kenyit mata. “Marah?” soalnya sambil mencuit hidung isterinya.

“Tak... suka... kalau abang buat selalu pun tak apa,” sindirnya lembut tetapi penuh makna.

“Iya?” soal Emir sinis.

“Tapi tak berdosa ke menipu begitu?”

“Siapa cakap abang tipu? Memang betul abang nak bagi tazkirah dengan Lynn. Malam ni kita discuss tentang tanggungjawab, boleh?”

Harlyna diam. Dalam kepala dah runsing semacam. Kalau Emir betul-betul maksudkan apa yang dia cakap macam mana? Sanggup ke dia tadah telinga? Dan dia sudah telan liur apabila lelaki itu menekan punat off TV lalu mengubah posisi bertentangan dengannya.

“Sebelum tu abang nak tahu satu perkara.”

Mata mereka saling berlaga. Emir tersenyum. Dicapai tangan isterinya lalu disulam erat. Dalam hatinya berbisik sesuatu. 'Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan,dosa-dosa akan keluar dari celah-celah jari mereka.' Tapi ikhlaskah isterinya diperlakukan begitu?

“Apa?”

“Boleh abang tahu hubungan Lynn dengan papa? Dulu Lynn kan anak manja dia. Tapi kenapa sekarang...”

Belum sempat menghabiskan ayat, gadis itu sudah bangun. Dia angkat tangan. Tanda tidak berminat untuk mendengar apa-apa.

“Abang cuma nak tahu...”

Harlyna menggeleng. Lalu mengatur langkah. Topik itu terlalu sensitif untuk dibincangkan. Apalagi dengan lelaki berlagak Hitler lagi diktator di zaman millenium ini. Hanya tahu menyakitkan hati!

14 August 2011

ADUHAI ISTERI ~ PART 6

“TANGAN tu dah okey ke?” tanya Emir bersahaja sambil duduk di sebelah Harlyna. Mata ditala ke skrin TV. Rancangan American Tops Model. Antara rancangan yang memang dia tak boleh nak join langsung. Lalu matanya dialih ke arah isterinya yang nampak penuh minat menonton rancangan itu sejak tadi.

Apalah yang menarik sangat rancangan begitu. Sekadar menonton wanita-wanita Amerika yang didandan cantik kemudian diarah posing depan kamera. Atau disuruh catwalk di pentas runaway.

Perhatian Harlyna masih tidak terjejas.

“Lynn...” Suara Emir naik satu tone.

“Aaa... apa?”

“Abang tanya tangan tu dah okey ke? Tak sakit lagi?”

Harlyna mengangguk. Tapi matanya masih tidak berganjak dengan rancangan kegemarannya.

“Itulah... lain kali bila belajar memasak jangan berangan. Kalau fikiran ke lain macam mana nak cepat pandai?”

“Bila masa pulak Lynn berangan. Jangan main tuduh tau. Itu dah kira berdosa,” bidasnya tidak mengaku kalah.

“Habis... abang suruh potong sayur, tapi yang pergi potong jari tu kenapa? Hah, sekarang siapa yang susah? Abang jugak,” leter Emir panjang lebar hingga mulut Harlyna sudah senget sebelah.

Bila teringat semula kelas masakan mereka tadi, Emir tergelak. Suruh potong bawang tapi dicincang sampai lunyai. Itu belum kira masa disuruh menumis. Ada ke patut tuang minyak sampai separuh kuali. Nak deep fry bawang tu! Kalau ya pun tak tahu masak agak-agak la sikit.


Lebih pening kepala, bila nasi yang dimasak jadi bubur! Lainlah kalau masak atas api dapur, tapi ini guna rice cooker. Uh! Kalau macam ni? Sepuluh tahun belajar pun belum tentu khatam.

Macam mana nak bawak balik kampung tunjuk depan umi. Mahu kena bantai gelak dek Zety dan Kamelia nanti.

Tapi ada yang mencuit hatinya ketika memandang wajah naif Harlyna ketika di dapur. Walaupun tak tahu, tetapi dia tidak membantah atau banyak songel walaupun segala arahannya dilakukan dengan wajah ketat lagi kelat.

Paling kelakar, bila suruh ambil serbuk kunyit gadis lalu hulurkan serbuk kari. Diminta daun bawang dihulurnya daun sup. Kan lain benar rupanya. Masih juga tak tahu. Agaknya gula dengan garam pun tak reti nak beza.

“Apa yang Lynn dah belajar tadi jangan lupa pulak. Kalau dipraktiskan selalu lama-lama nanti tentu mahir,” ujarnya dengan bibir melebar.

Senyuman Emir mengundang rasa geram Harlyna bersama dengan pandangan dari ekor mata. Nak balas rasa tak semangat pulak! Dari layan Emir membebel, lebih baik layan American Next Top Model. Kalau tak sampai subuh esok pun belum tentu habis. Bila berceramah tak tahu penat, luahnya di dalam hati.

Emir ikut diam bila gadis itu membisu. Matanya turut ditala ke kaca TV. Kalau seminit dua bolehlah dia duduk diam. Tapi lama-kelamanaan bosan tahap kronik sudah mula menyerang.

“Bak sini remote tu,” pintanya lembut.

Harlyna kerling. Ni apa hal nak ambil alih kuasa. Dari tadi orang sedap-sedap layan... senang-senang dia nak tukar rancangan lain.

“Mesti ada rancangan lain yang lebih menarik.”

“Tak boleh!”

“Ala... boring ya amat show ni, Lynn. Abang tak minat. Kita tengok cerita lain boleh tak?” soalnya cuba bertolak ansur. Memujuk. Suara pun sudah berubah romantis. Kalah Rosyam Nor. Shah Rukh Khan pun tak boleh challenge.

Keras tubuh Harlyna. Kata-kata Emir tidak langsung menggugat apa yang sedang dilakukan. Tidak dilayan langsung.

“Lynn... tukar le channel tu...”

“Nope...” Gadis itu geleng kepala. Lalu alat kawalan jauh diletakkan di bawah punggungnya.

Mata Emir sudah buntang. “Apa... kalau letak kat situ ingat abang tak berani ambil ke?”

“Cubalah kalau berani.”

“Lynn jangan ugut abang...” Emir memberi amaran. Kelakiannya sudah rasa tercabar.

Uh! Tak adanya dia berani. Dengan mulut terjuih dan kening terjongket, sedikitpun hatinya tidak tercuit dengan amaran lelaki itu. Dia duduk bersilang tangan. Senyuman simpul sudah menghiasi bibir. Bagai meraikan kemenangan.

Wajah Emir didekatkan dengan Harlyna. Hembus nafasnya yang panas menampar pipi isterinya.

Dada Harlyna terasa dipalu. Berdebar tidak terkata. Pipinya terasa bahang dek hembus nafas panas Emir. Namun kerana ego punya pasal. Dia kuatkan semangat dan cekalkan hati.

“Betul? Tak menyesal?”

Soalan lembut dan romantis itu buatkan Harlyna panas punggung. Tetapi dia tetap tidak mahu mengalah.

“Lynn...” Kali ini suara Emir sudah berubah mendatar.

Harlyna tetap tak layan.

“Lynn!” Dan lebih kasar.

Betapa kala itu hatinya sudah terasa pelik semacam. Kenapa begitu mudah lelaki itu berubah mood.

“Jangan bergerak...” Suara Emir lain bunyinya.

Perlahan-lahan Harlyna toleh ke arah lelaki itu. Mukanya begitu serius.

“Tu... rambut Lynn...”

“Kenapa?” Rasa pelik tidak dapat disembunyikan lagi.

“Ada labah-labah...”

Sebaik perkataan itu melantun keluar, terus Harlyna melompat ke atas riba Emir sambil menjerit. Dia pejam mata. Kuat. Malah tanpa segan silu lagi tangannya enak sahaja memaut ketat tengkuk suaminya. Pipi mereka saling berlaga.

“Err... err... dah ke?” soalnya terketar-ketar. Terasa seluruh semangatnya terbang. Segala tekad yang bulat tadi hancur lebur. Apabila terasa tangan Emir mengusap-usap rambutnya barulah dia berani buka mata perlahan-lahan.

“Tahulah abang hensem. Mesti Lynn sayang abang sangat-sangat sampai sanggup peluk kuat-kuat macam ni.”


Mata Harlyna terbuka luas. Dia melihat Emir sedang membelai rambutnya dan sebelah tangan lagi sudah memegang alat kawalan jauh. Ceh! Bedebah! Main kotor rupanya.

Tangan lelaki itu ditepis kuat. Kedudukannya dialih ke tempat asal. Terasa sakit hati! Tambah pula bila dengar ketawa kecil Emir. Seronoklah tu. Mana aci menang curi. Main tipu!

20 July 2011

ADUHAI ISTERI ~ Part 5

PANAS desah nafas yang terhela dari rongga hidung Harlyna. Dia berjalan sambil membentak kaki. Lantas menghempas punggung ke sofa. Bedebuk bunyinya! Macam anak gajah jatuh terduduk. Nasib baik sofa tak patah.

Emir ikut duduk di sebelah. Pandang-tersenyum-geli hati.

“Kalau setakat pergi Putrajaya... itu bukan namanya honeymoon,” bentaknya dengan bibir terjuih ke depan. Boleh kalah bibir tebal Angelina Jolie lagaknya. Sakit betul hati aku!

Walaupun dipaksa berbulan madu, tapi kalau boleh makan angin percuma seronok juga rasanya. Semalam sudah terbayang di depan mata keindahan Paris. Atau paling tidak pun kota metropolitan Rome atau bumi permaisuri London. Tapi alih-alih ajak honeymoon dalam rumah. Lepas tu sekadar jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur?

Malang betul jadi isteri Emir. Kalau tak romantik... sah-sah tangkai jering. Tahulah anak driver. Tapi gaji dia dengan Intra Holding bukannya calang-calang. Masalahnya cuma satu... kedekut yang amat!

“Jadi Lynn lebih suka pergi honeymoon jauh-jauh dengan abang?” soal Emir dengan kening terangkat sebelah. Nakal dan gatal!

Semakin masam dan kelat wajah gadis itu. Uhhh! Buat sakit hati saja kalau semakin dilayan.

“Nak pergi ke tak?” Soal Emir selamba. Wajah polos yang sedang kemerah-merahan menahan geram di hadapannya ditatap dengan tenang dan senang. Saban hari wajah itu kian mendapat tempat di hatinya.

Harlyna balas dengan jelingan tajam lagi menikam. “Kalau tak pergi boleh?” soalnya keras.

Emir jongket bahu. “Well... up to you. But then I can safely presume our deal is off?”

Membuntang mata Harlyna.

“I could say that you don’t need the card,” tambah lelaki itu lagi dengan nada bersahaja.

Semakin keras Harlyna mendesah. “Oh well... in that case what choice do I have then?” sindirnya dengan gigi berlaga.

“Okey, kalau macam tu cepat siap. Abang tunggu dalam kereta,” Emir bangun mencapai kunci kereta dengan hati berbunga-bunga.

“Dah siap pun.” Gadis itu ikut berdiri lalu mencapai handbag.

Emir berhenti melangkah. Pusing dan memandang tubuh Harlyna dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Tidak berkelip matanya. Begitu juga dengan nafasnya. Ditahan dengan dada bergoncang. Mukanya ketat. Lama wajah isteri ditenung. Dan akhirnya dia mengeluh panjang. Menghambur segala rasa keliru yang bukan sedikit.

“Lynn... Lynn dah siap?” soalnya dengan bibir bergetar. Kalau umi tengok pakaian menantunya saat ini boleh tersembul bijik mata agaknya.

Zety pula tentu akan buat ulasan seperti selalu. “Kak Lynn tu peliklah along... tak sesuai.”

Dan dia boleh bayangkan Kamelia dengan kepala tergeleng-geleng bersama senyuman senget.

Tanpa rasa bersalah, Harlyna berlenggang kangkung ke kereta. Begitu selesa dengan penampilannya.

Emir ikut dari belakang. Tapi dalam hatinya sudah berguni-guni dia beristighfar. Matanya tidak lepas dari terus merenung pakaian yang tersarung cantik di tubuh isterinya.

Dengan seluar jeans koyak di paha, blouse sleeveless dan kolar leher bulat yang luas terbuka. Dia telan liur. Terasa ada seketul batu besar yang sedang menghempap kepalanya. Malah, langkah kakinya juga terasa amat berat lagi terseksa. Sudah terbayang azabnya.

Tidak tertanggung rasanya dosa sebagai suami yang membiarkan tubuh isterinya menjadi tontonan umum. Sudah terbayang mata-mata liar yang akan memandang dengan penuh nafsu dan gelora.

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". Surah Al-A'araaf (26)

Suara lembut dan gemersik umi bagai terngiang-ngiang di telinganya. Sehari sebelum pernikahan umi membaca ayat itu berulang kali hingga melekat kukuh di kepalanya.

Dia tahu umi mahu sampaikan sesuatu yang tersirat. Tentang tanggungjawab setelah bergelar suami.

“Lindungilah maruah isteri along nanti kerana itulah juga maruah along dan keluarga kita.” Pesanan umi membuatkan dia seakan-akan tersentak.

“Lynn!” Suara jantan dan kerasnya terus melantun keluar. Bersama dengan status suaminya yang terasa tercalar.

Harlyna berpaling. Memandang dengan wajah kelam.

“Masuk rumah... salin baju sekarang.” Bagai arahan seorang diktator suaranya. Tidak boleh dibangkang.

“What?!” soal gadis itu dengan rasa tidak percaya.

“Change your dress now!” Bertambah keras dan tegas. Bagai satu perintah.
Biarlah gadis itu marah atau mengamuk sekalipun... dia sudah tidak peduli. Tetapi hukum ALLAH dan dosa yang perlu digalas sebagai suami lebih menjerut tangkai hatinya kini. Tidak sanggup rasanya menambah beban kerana mengingkari suruhan-NYA.

Harlyna menghampiri. “What’s wrong with my outfit?” soalnya dengan gigi berlaga.

“So wrong and so unbelievable.”

Uhh! Geram betul. Ada saja yang tak kena. Itu salah... ini tak boleh. Semuanya dia nak control. Bukan setakat sakit hati lagi, tapi seluruh tubuh dan jiwa raganya terasa sedang membara.

Emir pejam mata. Sesaat dua. Kemudian dia mara bertentangan dengan isterinya hingga tubuh mereka hampir berlaga.

Gerun tidak. Gentar pun tidak. Lelaki itu tidak langsung mencabar keberaniannya. “I thought you accept me for who I am,” ujarnya mempertahankan pendirian. Malah, kata-kata itu juga pernah diucapkan lelaki di hadapannya suatu ketika dulu.

“Well... either you want to change to something decent or else we will having our honeymoon in this house instead...” Selamba Emir menuturkan ayat itu.
“How dare you!”

“Or better still, should I say we can have our honeymoon in my room,” tuturnya dengan romantis sambil matanya merayap turun ke kolar baju yang sedang ternganga luas.

Mata Harlyna terjegil. Kemudian mengecil. Sudah marah terlampau. Nama pun lelaki. Ingatkan alim sangat, rupanya alim-alim kucing!

“I like it and love it so much.” Kian seronok Emir bermain kata bersama renungan menggoda. Sengaja dia menggunakan cara psychology.
“Pantang nampak, mesti tak tolak kan!”

“How could I resist the offer...”

“Apa? Bila masa I offer kat you. Jangan perasanlah! Tak pernah terlintas dan tak hingin langsung!”

“Itu cuma di mulut. But your body language is saying something else. And I sincerely believe you’re trying to seduce me.” Senyuman Emir cukup meleret.

“What? Tak malu ke? Perasan!”

“Takkk...” Panjang dan selamba jawapan Emir. Sedangkan di dalam dada sudah diamuk gelora musim tengkujuh.

Kalaulah... hatinya sedang bercanda dengan pelbagai kemungkinan dan bayangan. Tapi semuanya tiba-tiba hancur berderai apabila mendengar hentakan kaki Harlyna yang menonong masuk ke dalam rumah. Tunjuk protes!

♥ Ayu Emelda ♥

17 July 2011

Jom ke Pesta Buku Negeri Sembilan 2011!


Grup Buku Karangkraf di AEON Jusco Negeri Sembilan
Kunjungi Booth Grup Buku Karangkraf dan Dapatkan buku dan Novel Dengan Harga Diskaun 20% pada 19-24 Julai, Jam 10 pagi - 10 malam bertempat di AEON Jusco Negeri Sembilan. Jom sertai aktiviti kami di pentas utama!

♥ Ayu Emelda ♥ 

06 July 2011

ADUHAI ISTERI ~ Part 4


KAKINYA terjengket-jengket sebaik masuk ke dalam rumah. Jarum jam sudah meniti ke pukul dua. Bukannya takut dengan Emir, cuma dia tidak mahu berdepan dengan lelaki itu. Sememangnya dia cukup lelah untuk menjawab apa-apa soalan ketika ini.

Apalagi mahu dengar Emir berleter berjeda. Kerana apa yang paling diperlukan saat ini cuma bantal dan tilam empuk. Matanya sudah terasa layu dan kuyu. Tunggu detik untuk mendarat dengan selamat di tempat peraduannya.

Berbekalkan cahaya dari lampu ruang tamu yang suram, dia menajamkan penglihatan. Langkah kaki diayun. Tersusun dan berhati-hati. Berdoa agar lelaki itu tidak menyedari kepulangannya.

Kalau pulang pukul dua belas papa sudah mengamuk, inikan pula setelah jarum jam melewati pukul dua pagi. Kepalanya sudah mencongak beberapa kata-kata hikmat yang bakal didendangkan ke telinganya.

“Tak apa... abang tak marah. Lynn boleh balik pukul berapa Lynn suka. Kalau tak balik langsung pun tak apa.”

Harlyna tersenyum sendiri. Kalaulah Emir boleh berkata begitu setiap kali dia pulang lewat malam... alangkah bahagianya hidup!

Tapi mimpi sajalah Lynn! Emir bukan lelaki yang akan mengikut telunjuknya seperti mana Remy dan Kyle. Janji diberi upah pasti mereka sanggup lakukan apa sahaja. Sanggup tutup mulut, mata dan telinga.

Setelah memanjat anak tangga dia melintasi bilik Emir. Tertutup rapat.

“Mesti dah tidur,” bisiknya sambil tersenyum riang.

Telinganya ditekap ke pintu. Sayup-sayup kedengaran alunan merdu suara lelaki itu sedang menusuk ke telinganya. Mengaji. Ya! Dia dapat mendengar suara lembut dan syahdu Emir sedang mengalunkan bacaan suci al-Quran.

Ketika kebanyakan orang lain sedang nyenyak tidur, lelaki itu lebih suka mengabdikan dirinya pada ALLAH. Sedangkan dia lebih gemar menghabiskan masa bersuka-suka di luar bersama dengan teman-teman?

Harlyna tersentap. Entah kenapa dadanya bergetar. Memori silam terus datang menerpa. Saat itu, bagai terdengar-dengar suara mama yang sering membaca al-Quran setiap malam. Cukup mengasyik. Dan dia gemar tidur di riba mamanya mendengar bacaan itu dengan penuh khusyuk. Bacaannya cukup menyentuh hati dan membuai perasaan.

“Membaca al-Quran bukan sahaja berikan mama ketenangan. Tapi banyak fadhilatnya, Lynn.”

Kelembutan kata-kata mama mengasak nalurinnya. Tersentuh hiba. Malah, ada rasa sebu bagai memulas-mulas di perut.

Mungkinkah dia diintai rasa bersalah? Bersalah kerana menolak semua ajaran mama selama ini. Jahatkah dia kerana mengabaikan segala tanggungjawab sebagai hamba-NYA? Kerana desakan perasaan, dia turutkan kata hati. Kejamkah dia sebagai seorang anak kerana memusuhi bapanya sendiri?

Tetapi apa yang dilakukan bersebab. Mahu menghukum kesilapan papa. Benarkah begitu? Suara hatinya saling bertingkah.

“Tapi Lynn tak mampu mama... tak mampu,” gumamnya dengan gigi berlaga. Keadaan yang membuatkan dia begitu. Manusia-manusia di sekelilingnya telah memaksa dia berubah. Air mata sudah mula bergenang.

“Baru balik?”

Harlyna tersentak. Mengurut dada. Nafas dalam disedut dan dihela panjang...

03 July 2011

ADUHAI ISTERI ~ Part 3


“Hai Abang Emir,” sapa gadis itu dengan suara merdu lemak manis sebaik melangkah masuk ke pejabat bakal suaminya. Namun langkah kakinya terhenti seketika apabila melihat papanya juga ada di situ. Wajah Harlyna terus bertukar mendung. Terasa nak angkat kaki langkah seribu. Tapi sayang sudah terlambat.

Mata Tan Sri Kamarul sudah tajam menikam. Pandangannya mencerun tajam. Penampilan Harlyna ketika itu membuatkan dadanya turun naik secara mendadak. Kian berombak.

Emir pula tertunduk. Dia beristighfar di dalam hati. Matanya seakan tidak sanggup memandang pemandangan di depannya ketika itu. Sungguh menjolok mata. Terasa menggigil juga tubuhnya. Jantungnya berlari laju. Namun dia sedar. Semua itu hanya permainan bakal isterianya.

Harlyna melangkah menghampiri dengan langkah gementar. Dalam berani, cuak juga dia. Tambah pula pandangan papanya begitu menggerunkan. Namun, dia kuatkan semangat untuk meneruskan rancangannya. Alang-alang memasang jerat biar sampai dapat habuan. Dia tidak sanggup berputih mata.

“Lynn! Kamu nak ke mana berpakaian begini?” Suara Tan Sri Kamarul kedengaran keras. Tapi wajah anak gadisnya tidak sedikitpun menampakkan rasa bersalah.

Terasa darah panas menyimbah ke muka. Dia cukup malu dengan perangai dan tingkah laku anaknya. Tambah pula datang ke pejabat dengan berpakaian begitu. Tentu sahaja bakal menjadi buah mulut pekerja bawahannya.

Gadis itu hanya mengetap bibir lalu dengan selamba duduk bersebelahan dengan papanya sambil bersilang kaki.

Tan Sri Kamarul menggeleng kesal. Terasa sebak dadanya. Kenapa anak gadis yang dulunya cukup manis dan baik boleh berubah begini sekali? Apa salahku ya ALLAH? Betapa aku telah gagal menjadi bapa yang sempurna padanya. Hati Tan Sri Kamarul merintih sayu.

“Uncle... boleh kita sambung kemudian?” pinta Emir lembut apabila terasa ada aura tegang antara mereka ketika itu.

Tan Sri Kamarul berdiri. Desah nafasnya begitu deras. Matanya melirik ke arah Harlyna lalu melangkah meninggalkan mereka berdua dengan segera. Kalau semakin lama di situ takut kesabarannya melayang.

“Kenapa Lynn nak jumpa abang?” soal Emir sambil melirik pada gadis di depannya sekilas lalu matanya tertunduk semula ke fail di atas meja. Dia berpura-pura sedang meneliti laporan projek sedangkan akalnya tertanya-tanya tentang kehadiran gadis itu.

Kenapa begitu sekali penampilannya? Dengan jeans koyak di peha dan lutut. Menampakkan kulitnya yang putih gebu. Tentu sahaja menjentik hati lelakinya. Puas dia beristighfar.

Kalaulah umi nampak apa yang dipakai Harlyna ketika ini, boleh pengsan agaknya. Lebih teruk lagi, entah-entah umi suruh dia batalkan saja pernikahan mereka. Dengan penampilan Harlyna sekarang, jauh sekali seperti bakal menantu yang umi angankan selama ini.

Entah kenapa akalnya sudah mula membuat perbandingan dengan penampilan Intan. Cukup tertib dan sopan. Tetapi Harlyna juga yang menjadi pilihannya sebagai isteri.

“Saja... Lynn keluar dengan kawan tadi. Kebetulan lalu di sini. Sengaja Lynn singgah untuk jumpa abang,” beritahu gadis itu dengan suara manja sekali dan tubuh meliuk lentok.

Harlyna sendiri terasa geli-gelaman dengan tingkahnya saat itu. Tapi memandangkan hari pernikahan yang akan menjelang tidak sampai lagi dua bulan, dia terpaksa lakukan juga.

Inilah pertama kali Emir melihat Harlyna sedemikian rupa. Selalunya, penampilan gadis itu lebih kasual. Tetapi kali ini agak keterlaluan sekali. Dia tahu Harlyna hanya mahu menguji sejauh mana dia sanggup menerima dirinya. Segala permainan gadis itu sudah ada dalam pengetahuannya.

Harlyna hanya mahu dia membatalkan hasrat untuk menikahinya sebagaimana yang pernah dilakukan pada Hairul. Tapi Harlyna silap. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu helahnya kali ini.

“Lynn dari mana dengan baju begitu?”

“Shopping...”

“Shopping?!” Emir angkat kening. Kemudian menggeleng. “...buat suspens jer. Mati-mati abang ingatkan Lynn eccident tadi. Manalah tahu... jatuh motor ke... sampai koyak rabak seluar,” ujar Emir sambil meraup tangan ke muka.

Mata Harlyna terus melolot mendengar kata-kata Emir. Dia ketap bibir. Hatinya terasa panas. Ini sudah lebih!

“Habis tu... lepas ni Lynn nak ke mana?”

Harlyna jongket bahu. Dia sedang menahan perasaan. Kalau ikutkan hati sudah lama bakal suaminya itu makan penampar. Paling tidak pun kena hentak dengan siku. Terasa pedas kata-katanya tadi. Menyengat sungguh!

Emir letak beberapa keping wang lima puluh depan Harlyna.

“Apa ni, bang? Duit apa ni?” soalnya pelik campur curiga.

“Abang rasa Lynn kena beli jeans barulah. Jeans tu kan dah koyak. Elok kalau Lynn buang terus, kalau sedekah pada fakir miskin pun abang berani jamin, tak ada siapa yang berminat.”

Aduh! Terasa dadanya sedang dipalu dengan gong. Nafas Harlyna turun naik dengan pantas. Matanya mencerlung tajam memandang lelaki di depannya yang bersikap selamba sahaja.

Hish!!! Tak guna betul. Kau mainkan aku Emir. Takkan anak Tan Sri tak ada duit nak beli jeans baru. Bodoh! Rahangnya sudah berlaga. Namun dia tetap bersabar. Cuba memaniskan muka dan menghantar senyuman.

Tapi dia sendiri tahu, tentu sahaja sudah senget-benget bibirnya. Hatinya sakit dengan reaksi Emir. Lain yang diharapankan, lain pula kesudahannya. Namun, dia tak akan mengaku tewas.

Padan muka sendiri. Yang gatal sangat pinjam jeans Tania kenapa? Sudahlah ketat macam sarung nangka. Sekarang, percuma sahaja dipermainkan bakal suami sendiri. Langsung tak berkesan!

“Tak apalah bang, Lynn ada duit sendiri. Abang jangan risau,” ujar Harlyna sambil mengawal nada. Sedangkan di dalam hati berbakul sumpah seranah dihambur geram.

“Ada hal penting Lynn nak jumpa abang?” soal Emir. Wajah gadis itu yang tidak keruan ditatap dengan rasa geli hati. Namun cuba dikawal sebaik mungkin.

“Lynn... Lynn cuma nak pastikan abang betul-betul bersedia terima siapa Lynn yang sebenarnya. Lynn bukan gadis yang sempurna, bang.” Harlyna tongkat dagu sambil terkebil-kebil merenung Emir.

“Abang tak kisah...”

“Tak kisah?” soal Harlyna sambil telan liur.

“Seperti yang abang katakan sebelum ni. Abang sedia terima baik dan buruk Lynn. Dan begitu juga abang harap Lynn terima diri abang. Dan kita akan sentiasa cuba memperbaiki diri untuk jadi lebih baik.”

“Tapi bang...”

“Lynn tak perlu risau...”

“Tapi Lynn tak pandai masak, tak tahu kemas rumah, tak tahu layan suami... senang cakap serba serba serbi tak tahu. Dan Lynn sendiri pun tak yakin mampu pikul tanggung jawab seorang isteri. Lynn kan muda lagi. Tak sempat khatam ilmu rumahtangga.”

Emir tenung wajah bakal isterinya lama. Dalam. Bukan mahu menggoda. Tapi mahu mencari kejujuran.

Naluri Harlyna sudah berkocak dengan pandangan bening itu. Aduh! Tampan juga rupanya Abang Emir. Janggut sejemput terjaga rapi dengan wajah bersih dan licin walaupun kulitnya sedikit gelap. Persis Remy Ishak dalam cerita Nur Kasih.

Tapi, ah! Lynn... jangan terpedaya. Lelaki semuanya sama. Hari ni semuanya okey. Tak ada masalah. Tapi esok bila dah bernikah... mulalah semua tak kena. Itu salah. Ini tak betul.

“Kita belajar sama-sama. Mana yang mampu abang akan bantu. Kalau kita mampu tolong-menolong dan bertolak-ansur, insya-Allah segalanya akan berjalan dengan lancar.

Hati Harlyna semakin sakit. Ishk! Susahnya bercakap dengan lelaki ni. Tenang sungguh! Dia sendiri sudah kehabisan ayat dan modal untuk menghasut. Bibirnya diketap geram.

Sabar Lynn... jangan mengalah. Fikir... fikir... cari idea macam mana nak buat supaya Emir serik untuk memperisterikan dirinya. Tak apa... kalau hari ni tak jadi. Esok cuba lagi!

♥ Ayu Emelda ♥

27 June 2011

Jadual Penulis Alaf 21 di Pesta Buku Selangor


Jom meriahkan Pesta Buku Selangor'11. 
Saya akan berada di sana 12.00 - 5.00 ptg @ 3 Julai '11 (Ahad) ... insyaALLAH..

Sabtu 2 Julai: Aleya Aneesa & Meen Zulaikha
Ahad 3 Julai: Ayu Emelda & Anis Ayuni

Datang tau!

♥ Ayu Emelda ♥ 

22 June 2011

Jom ke Pesta Buku Selangor 2011


http://www.pestabukuselangor.my/

Grup Buku Karangkraf akan berada di booth P1 - P14.

Ayu bersama 5 lagi novelis Alaf 21 akan bertugas di meja penulis mulai jam 12.00 tgh:

Sabtu 25 Jun: Durra Fatiha & Haiza Najwa
Ahad 26 Jun: Puteri Andalas & Izza Arippin
Sabtu 2 Julai: Anis Ayuni & Meen Zulaikha
Ahad 3 Julai: Ayu Emelda & Aleya Aneesa

Datang tau!

♥ Ayu Emelda ♥ 

21 June 2011

Aduhai Isteri ~ Part 2


“BETUL abang sudi terima Lynn sebagai isteri?” soal gadis itu di hujung talian dengan suara perlahan dan lembut. Sedangkan bibirnya sedang menguntum senyuman yang penuh seribu makna. Tapi sayangnya lelaki itu tidak dapat melihat.

Emir mendengar suara Harlyna dengan hati cukup senang. Suara lemak merdu itu sudah mula mencuri perhatiannya. Dia sendiri tertanya. Benarkah Harlyna yang sedang berkata begitu? Kenapa sikapnya begitu tenang dan santun?

“Abang terima Lynn seadanya. Tak perlulah Lynn bimbangkan soal tu,” ujar Emir bersahaja.

“Betul? Bukan sebab papa paksa?” soalnya menagih jawapan jujur dan ikhlas. Sebelum hubungan mereka dipatri. Dia perlu tahu kebenaran. Malah, dia sudah mula membuat andaian bahawa lelaki itu sanggup menikahinya kerana desakan papa atau dia sebenarnya mahu membalas budi yang telah papanya tabur selama ini.

“I’m big enough to decide what I want.”

“Are you sure?” Harlyna masih curiga.

“Tak ada istilah paksaan untuk mengikat perhubungan kita. Abang jujur mahu mengambil Lynn sebagai isteri. Tak ada siapa suruh. Malah, abang juga tak mahu Lynn terima abang kerana desakan sesiapa.”

“Maksud abang?”

“Kalau Lynn rasa abang bukan lelaki yang selayaknya untuk bergelar suami Lynn, kita tak perlu teruskan rancangan ini. Kerana untuk memulakan sesuatu hubungan yang suci, ia perlu lahir dari keyakinan.”

Harlyna terus mendengar tanpa mencelah. Suara lelaki itu yang kedengaran begitu yakin membuatkan dia bertambah cuak.

“A relationship based on trust and faith, Lynn. Kalau ada rasa sangsi walaupun sekelumit cuma boleh mengundang masalah di kemudian hari.”

Terdengar keluhan daripada bibir Harlyna. Emir jadi tertanya sendiri. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran gadis itu? Kenapa kedengaran berat benar desahnya. Mungkinkah dia rasa terpaksa?

“Lynn...”

“Errr... ” Gadis itu bagai tersentak.

“Keputusan di tangan Lynn sekarang. Terima atau tidak abang akan terima dengan hati terbuka. Fikirlah semasak-masaknya.”

“Lynn akan fikirkan. Tapi Lynn juga tak mahu abang buat keputusan terburu-buru dalam hal ini. Abang belum kenal siapa Lynn.” Tutur kata Harlyna bagaikan mencabar dan memberi amaran.

“Abang terima Lynn seadanya. Baik dan buruk. Lagipun kita dah lama kenal. Dan abang tahu siapa gadis yang akan abang nikahi nanti.” Emir tidak tergugat. Malah dia cukup bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja helah bakal isterinya.

Sebaik meletak telefon, Harlyna mengigit bibirnya. Dia mendengus geram. Nampaknya laluannya kali ini lebih sukar. Penuh berliku. Tidak seperti Kamal Efendy atau Hairul. Senang saja mereka ditundukkannya. Tapi dengan Emir, hmmm...

“Macam mana Lynn?” soal Tania dengan kening terjongket. Muka kelat temannya sudah memberi petanda kurang baik.

“Uhh! Payah beb! Payah!” jawab Harlyna sambil meramas rambut lurusnya separas bahu hingga kusut masai. Dia mengangkat kaki ke sofa. Memeluk erat kedua lututnya.

“Apa yang payahnya?” soal Jojo pula sambil memandang temannya dengan rasa ingin tahu yang menebal. Perhatiannya ke kaca TV mula beralih pada gadis itu. Dia mengubah posisi duduk bertentangan dengannya.

“Macam kebal jer yang sorang ni...” Meleret suara Harlyna sambil memandang kedua teman baiknya bersilih ganti. Mulutnya yang muncung sudah ke depan dengan mata terkelip-kelip bagai menahan perasaan. Kemudian keluhan berat dan panjang dilepaskan. Hatinya semakin walang.

“Eh! Kau kan banyak idea-idea pelik selama ni. Takkan kali ni dah mengeluh,” tempelak Jojo sambil mengangkat tangan kanannya. Menyindir. Geli hati bila tengok wajah gentar dan kelat gadis itu.

“Masalahnya... dia ni lain sikit. Tak sama...” kata Harlyna sambil menepuk paha kanan.

“Lain yang macam mana? Apa yang tak sama? Kan lelaki jugak. Pilihan papa kau dan bakal suami kau seperti si Kamal dan Hairul.” Tania sudah mula garu kepala. Keliru dengan reaksi Harlyna.

“Tapi dia lainlah Tania, Jojo... kau orang kan tahu kami dah lama kenal. Sejak kecil lagi. Dia dah tahu siapa aku, perangai aku. Baik dan buruk aku memang ada dalam kocek dia. Kiranya aku memang dah kantoi kali ni. Macam mana nak berlakon? Kau orang ingat senang ke?!”

“Habis tu kau dah mengalah. Kau sanggup kahwin dengan si Emir tu?” Mata Jojo sudah bulat. Mulutnya ternganga. Dia saling toleh-menoleh dengan Tania. Kemudian keduanya nganga.

“Parah aku kalau macam ni!” Keluhan Harlyna kian berat. Jarinya mengurut dagu. Saling tak tumpah gaya seorang panglima tentera sedang mengatur strategi mahu bertempur di medan perang.

Tania tersengeh. “Baru mencabar beb! Buku bertemu ruas. Aku pun dah teruja nak dengar muslihat kau kali ni. Hangat ke hangit,” seloroh Tania sambil menepuk paha temannya yang sedang kegelisahan...

20 June 2011

Aduhai Isteri ~ Part 1

“RESTUILAH along untuk berkahwin dengan dia, umi,” pintanya lembut dan perlahan. Penuh mengharap. Sudah dapat diduganya reaksi umi sebentar tadi yang begitu terkejut dengan permintaannya. Dan lebih menekan perasaannya kerana tahu umi pasti terluka dengan keputusan itu.

Emir memandang wajah uminya dengan dada yang penuh bergetar. Mungkinkah dia telah menghancurkan harapan wanita itu? Mungkinkah umi akan berasa hati dengan keputusannya? Ampunkah Emir umi, hatinya merintih.

Hajah Latifah mengeluh lemah. Majalah MIDI yang dibelek sejak tadi sudah tidak menarik perhatian lagi.

Sejak Emir menyuarakan hasrat mahu menyunting Harlyna sebagai isteri, terasa dadanya bagai dipalu. Kenapa? Langsung tidak pernah diduga anak lelakinya akan meminta sesuatu yang cukup berat untuk ditunaikan. Sesuatu yang tidak pernah terfikir selama ini.

Bukankah selama ini Emir begitu bijak untuk menentukan setiap keputusan dalam hidupnya? Kenapa sekarang dia sanggup membuat pilihan sebesar itu? Baginya, menikahi Harlyna adalah sesuatu yang tidak sepatutnya Emir lakukan. Tidak sanggup dibayangkan gadis itu menjadi menantunya kelak.

“Tapi macam mana dengan Intan? Sebelum ni along sendiri sudah setuju untuk jadikan Intan sebagai calon isteri. Kenapa sekarang ubah keputusan? Cuba berterus-terang dengan umi.” Hajah Latifah memandang wajah anaknya dalam. Mahu mencari sebab atas permintaannya.

Kemudian, anak matanya mendarat pula ke arah Haji Lukman. Suaminya sedang tersandar lesu di sofa. Kelihatan sedang termenung jauh. Tetap tenang. Nampak tidak terusik dengan keputusan anak sulong mereka itu.

Kata-kata umi membuatkan Emir tertunduk beberapa saat. Rasa bersalah usah ditanya. Sudah berbongkah-bongkah sedang menghimpit di dalam dada. Tetapi hasratnya untuk menikahi Harlyna begitu kuat.

“Mungkin jodoh Emir bukan dengan Intan,” ucapnya tenang. Sedangkan kerongkongnya terasa begitu perit.

Bukannya Intan tidak cukup baik dirinya. Malah, gadis itu cukup sempurna pada pandangan matanya sebagai seorang lelaki. Cantik, tinggi lampai dan menarik. Bahkan mempunyai pengetahuan yang serba lengkap dalam hal agama. Gadis lulusan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan itu punya pakej lengkap yang seharusnya menjadi ukuran untuk dijadikan calon isteri.

Tetapi bagi Emir, hatinya telah terdorong untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Yang lebih bererti. Sepotong hadis yang dibaca semalam terus berlegar-legar di minda.

“Sesungguhnya dunia itu semuanya adalah kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia ialah memiliki wanita solehah.”

Bait-bait yang dibaca minggu lalu terus mengusik hatinya. Ya! Dia mahu seorang isteri yang solehah. Yang elok dan cantik zahir dan batin pada pandangan matanya. Dan dia yakin mampu menjadi seorang suami yang dapat memberikan sesuatu yang layak untuk seorang isteri miliki.

Halangannya sekarang cuma persetujuan umi. Tetapi dia yakin. Walau kebal dan kental bagaimana sekalipun, hati seorang ibu akan cair dengan keinginan anaknya. Pasti umi akan mengalah jua.

“Umi dah pernah bertanyakan tentang Intan pada Mak Ngah Shimah kamu. Dia pun seperti tiada halangan,” ujar Hajah Latifah bergetar.

Nanti apa pula kata dua pupunya itu? Sedangkan dia awal-awal lagi bagai memberi harapan dan gambaran untuk menyatukan Emir dan Intan walaupun tidak diluahkan secara terbuka.

“Umi dah berjanji dengan mak ngah?”

“Belumlah sampai berjanji. Cuma hati umi sendiri dah terpaut pada Intan. Elok sangat untuk Emir pada pandangan mata umi,” luahnya dengan suara dalam dan serak. Terkilan.

Zety dan Kamelia, dua orang lagi anak Hajah Latifah dan Haji Lukman hanya diam menikus. Mereka sekadar pasang telinga. Tidak betah menyampuk. Namun, hati kedua mereka begitu tertanya-tanya kenapa abang mereka begitu beria-ia memujuk umi menerima Harlyna sebagai menantu.

Zety cuit peha Kamelia. “Kenapa dengan along tu? Tak ada orang lain ke nak buat bini?” soal Zety sambil berbisik dengan bibir muncung dan mata mencerun. Dia memang tidak setuju kalau Harlyna yang bakal menjadi kakak iparnya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibangkang secara terang-terangan macam dalam sidang parlimen.

Apalah yang elok pada Kak Lynn tu? Berbeza betul dengan along. Macam langit dengan bumi. Zety membuat perkiraan sendiri. Kalau Kak Lynn + along = pinang kena gelek lori balak. Memang hancur! Tak ada chemistry langsung. Mana ada persamaan! Kalau bersatu juga memang kecoh rumah tangga mereka nanti. Hati Zety sedang membuat rumusan sendiri.

“Tak sesuai langsung!”

“Syyy...” Kamelia meningkah.

“Tak kuasalah! Mintak-mintak janganlah dia jadi keluarga kita...” komen Zety lagi ke telinga kakaknya.

Segera Kamelia meletakkan jari telunjuknya di bibirnya. Isyarat agar adiknya diam. Khabar yang along bawa memang boleh buat sesiapa sahaja tersentap. Tak ada angin, tak ada ribut... tiba-tiba pokok bergoyang. Siapa yang tak terkejut besar? Namun, dia yakin along ada alasan yang cukup kuat...

♥ Ayu Emelda ♥

11 May 2011

Alangkah bahagianya ...


Alangkah bahagianya kalau memiliki isteri sehebat Saidatina Khadijah atau sebijak Saidatina Siti Aisyah...

NAMUN, sebaik tangan digongcang tok kadi, bahu Emir terasa berat menggalas tanggungjawab. Menikahi Harlyna bukannya seperti jinak2 si burung merpati, tetapi bagaikan jinak2 si kucing siam... makan ditangan-ditangkap-kena cakar...

Doanya... "Jika benar 'dia' dijadikan dari tulang rusuk kiriku... panjangkanlah hubungan kami sehingga ke firdausi..."

♥ Ayu Emelda ♥

10 May 2011

Mini Karnival Karangkraf @ Sungai Petani, Kedah



Khas buat orang2 di utara tanahair :) ...

♥ Ayu Emelda ♥

06 May 2011

Pada Mu Ku Bersujud ...

Aduhai Isteri...


SEDANG pandang2, renung2 n tilik2 manuskrip yg masih tertangguh sjk sekian lama... sudah sampai ke penghujung, tp rasa berat nak serahkan pd editor...

Sekilas pandang tentang 'ADUHAI ISTERI'...

Bila hati seorg lelaki sudah diseru utk beristeri... cabarannya...
"Tak ada ke perempuan lain yg Emir nak kahwin?" ~ tanya emak.
"Tak suka tau ada kakak ipar macam dia!" ~ kata Nella yang x prnah tapis dulu sblm bcakap.
"Jgn pulak Emir terima anak uncle sebab simpati." ~ luahan hati bakal pak mertua.
"Pelik betul... kenapa kau pilih dia!" ~ komen teman baik yg kononnya amat memahami.
...dan Emir terus dilema...

♥ AE ♥

Rajuk Aireen...


Sakit hati dgn rajuk Aireen, simpati pd shahir, suka dgn kerenah Dyra n Fyra & senang dgn perangai Hanis + Faizal... semuanya adalah feedback yg dtrima drp pembaca.

tqsm 4 ur useful ideas, comments, perspectives and critics of my nvl; SAYANGKU MERAJUK... really appreciate that. I have no words to say thank u 4 this amazing support! maaf juga jika ada kelemahan & kekurangan. sesungguhnya insan yg bernama AE masih lagi belajar memperbaiki diri dlm dunia penulisan...

ada juga yg mahu SM disambung... insyaALLAH jika diizinkanNYA...

Salam Sayang,
♥ AE ♥

02 May 2011

Terima kasih buat semua ...


TERIMA KASIH tak terhingga buat semua peminat novel yang berkunjung ke Karangkraf Mall @ Grup Buku Karangkraf di PBAKL, terutamanya pembaca yang sudi mendapatkan 'Sayangku Merajuk'... Insya Allah tahun depan kita berjumpa lagi... thanks again :)

♥ Ayu Emelda ♥

27 April 2011

Kenapa Sayangku Merajuk?


Sayangku Merajuk?
~ sebab tajuk tu catchy, senang nak ingat dan mmg menepati jln cerita...

Sayangku Merajuk?
~ sebab citenya berkisar tentang perasaan seorg isteri yg sdg merajuk...

~ kadang-kala x diluahkan dgn kata2, tapi dgn perlakuan...
  • bila muncung asyik panjang ke depan...
  • bila jelingannya cukup tajam menikam...
  • bila si dia lebih suka guna bhs isyarat ketika berkomunikasi...
  • bila suaranya cukup mahal, sudah jadi spt org bisu... (pasti wanita2 di luar sana lebih arif)

Sayangku Merajuk?
~ kena baca dan dptkan sendiri jawapannya... (^___^)

Salam sayang buat semua,
AE, Shah Alam