03 July 2011
ADUHAI ISTERI ~ Part 3
“Hai Abang Emir,” sapa gadis itu dengan suara merdu lemak manis sebaik melangkah masuk ke pejabat bakal suaminya. Namun langkah kakinya terhenti seketika apabila melihat papanya juga ada di situ. Wajah Harlyna terus bertukar mendung. Terasa nak angkat kaki langkah seribu. Tapi sayang sudah terlambat.
Mata Tan Sri Kamarul sudah tajam menikam. Pandangannya mencerun tajam. Penampilan Harlyna ketika itu membuatkan dadanya turun naik secara mendadak. Kian berombak.
Emir pula tertunduk. Dia beristighfar di dalam hati. Matanya seakan tidak sanggup memandang pemandangan di depannya ketika itu. Sungguh menjolok mata. Terasa menggigil juga tubuhnya. Jantungnya berlari laju. Namun dia sedar. Semua itu hanya permainan bakal isterianya.
Harlyna melangkah menghampiri dengan langkah gementar. Dalam berani, cuak juga dia. Tambah pula pandangan papanya begitu menggerunkan. Namun, dia kuatkan semangat untuk meneruskan rancangannya. Alang-alang memasang jerat biar sampai dapat habuan. Dia tidak sanggup berputih mata.
“Lynn! Kamu nak ke mana berpakaian begini?” Suara Tan Sri Kamarul kedengaran keras. Tapi wajah anak gadisnya tidak sedikitpun menampakkan rasa bersalah.
Terasa darah panas menyimbah ke muka. Dia cukup malu dengan perangai dan tingkah laku anaknya. Tambah pula datang ke pejabat dengan berpakaian begitu. Tentu sahaja bakal menjadi buah mulut pekerja bawahannya.
Gadis itu hanya mengetap bibir lalu dengan selamba duduk bersebelahan dengan papanya sambil bersilang kaki.
Tan Sri Kamarul menggeleng kesal. Terasa sebak dadanya. Kenapa anak gadis yang dulunya cukup manis dan baik boleh berubah begini sekali? Apa salahku ya ALLAH? Betapa aku telah gagal menjadi bapa yang sempurna padanya. Hati Tan Sri Kamarul merintih sayu.
“Uncle... boleh kita sambung kemudian?” pinta Emir lembut apabila terasa ada aura tegang antara mereka ketika itu.
Tan Sri Kamarul berdiri. Desah nafasnya begitu deras. Matanya melirik ke arah Harlyna lalu melangkah meninggalkan mereka berdua dengan segera. Kalau semakin lama di situ takut kesabarannya melayang.
“Kenapa Lynn nak jumpa abang?” soal Emir sambil melirik pada gadis di depannya sekilas lalu matanya tertunduk semula ke fail di atas meja. Dia berpura-pura sedang meneliti laporan projek sedangkan akalnya tertanya-tanya tentang kehadiran gadis itu.
Kenapa begitu sekali penampilannya? Dengan jeans koyak di peha dan lutut. Menampakkan kulitnya yang putih gebu. Tentu sahaja menjentik hati lelakinya. Puas dia beristighfar.
Kalaulah umi nampak apa yang dipakai Harlyna ketika ini, boleh pengsan agaknya. Lebih teruk lagi, entah-entah umi suruh dia batalkan saja pernikahan mereka. Dengan penampilan Harlyna sekarang, jauh sekali seperti bakal menantu yang umi angankan selama ini.
Entah kenapa akalnya sudah mula membuat perbandingan dengan penampilan Intan. Cukup tertib dan sopan. Tetapi Harlyna juga yang menjadi pilihannya sebagai isteri.
“Saja... Lynn keluar dengan kawan tadi. Kebetulan lalu di sini. Sengaja Lynn singgah untuk jumpa abang,” beritahu gadis itu dengan suara manja sekali dan tubuh meliuk lentok.
Harlyna sendiri terasa geli-gelaman dengan tingkahnya saat itu. Tapi memandangkan hari pernikahan yang akan menjelang tidak sampai lagi dua bulan, dia terpaksa lakukan juga.
Inilah pertama kali Emir melihat Harlyna sedemikian rupa. Selalunya, penampilan gadis itu lebih kasual. Tetapi kali ini agak keterlaluan sekali. Dia tahu Harlyna hanya mahu menguji sejauh mana dia sanggup menerima dirinya. Segala permainan gadis itu sudah ada dalam pengetahuannya.
Harlyna hanya mahu dia membatalkan hasrat untuk menikahinya sebagaimana yang pernah dilakukan pada Hairul. Tapi Harlyna silap. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu helahnya kali ini.
“Lynn dari mana dengan baju begitu?”
“Shopping...”
“Shopping?!” Emir angkat kening. Kemudian menggeleng. “...buat suspens jer. Mati-mati abang ingatkan Lynn eccident tadi. Manalah tahu... jatuh motor ke... sampai koyak rabak seluar,” ujar Emir sambil meraup tangan ke muka.
Mata Harlyna terus melolot mendengar kata-kata Emir. Dia ketap bibir. Hatinya terasa panas. Ini sudah lebih!
“Habis tu... lepas ni Lynn nak ke mana?”
Harlyna jongket bahu. Dia sedang menahan perasaan. Kalau ikutkan hati sudah lama bakal suaminya itu makan penampar. Paling tidak pun kena hentak dengan siku. Terasa pedas kata-katanya tadi. Menyengat sungguh!
Emir letak beberapa keping wang lima puluh depan Harlyna.
“Apa ni, bang? Duit apa ni?” soalnya pelik campur curiga.
“Abang rasa Lynn kena beli jeans barulah. Jeans tu kan dah koyak. Elok kalau Lynn buang terus, kalau sedekah pada fakir miskin pun abang berani jamin, tak ada siapa yang berminat.”
Aduh! Terasa dadanya sedang dipalu dengan gong. Nafas Harlyna turun naik dengan pantas. Matanya mencerlung tajam memandang lelaki di depannya yang bersikap selamba sahaja.
Hish!!! Tak guna betul. Kau mainkan aku Emir. Takkan anak Tan Sri tak ada duit nak beli jeans baru. Bodoh! Rahangnya sudah berlaga. Namun dia tetap bersabar. Cuba memaniskan muka dan menghantar senyuman.
Tapi dia sendiri tahu, tentu sahaja sudah senget-benget bibirnya. Hatinya sakit dengan reaksi Emir. Lain yang diharapankan, lain pula kesudahannya. Namun, dia tak akan mengaku tewas.
Padan muka sendiri. Yang gatal sangat pinjam jeans Tania kenapa? Sudahlah ketat macam sarung nangka. Sekarang, percuma sahaja dipermainkan bakal suami sendiri. Langsung tak berkesan!
“Tak apalah bang, Lynn ada duit sendiri. Abang jangan risau,” ujar Harlyna sambil mengawal nada. Sedangkan di dalam hati berbakul sumpah seranah dihambur geram.
“Ada hal penting Lynn nak jumpa abang?” soal Emir. Wajah gadis itu yang tidak keruan ditatap dengan rasa geli hati. Namun cuba dikawal sebaik mungkin.
“Lynn... Lynn cuma nak pastikan abang betul-betul bersedia terima siapa Lynn yang sebenarnya. Lynn bukan gadis yang sempurna, bang.” Harlyna tongkat dagu sambil terkebil-kebil merenung Emir.
“Abang tak kisah...”
“Tak kisah?” soal Harlyna sambil telan liur.
“Seperti yang abang katakan sebelum ni. Abang sedia terima baik dan buruk Lynn. Dan begitu juga abang harap Lynn terima diri abang. Dan kita akan sentiasa cuba memperbaiki diri untuk jadi lebih baik.”
“Tapi bang...”
“Lynn tak perlu risau...”
“Tapi Lynn tak pandai masak, tak tahu kemas rumah, tak tahu layan suami... senang cakap serba serba serbi tak tahu. Dan Lynn sendiri pun tak yakin mampu pikul tanggung jawab seorang isteri. Lynn kan muda lagi. Tak sempat khatam ilmu rumahtangga.”
Emir tenung wajah bakal isterinya lama. Dalam. Bukan mahu menggoda. Tapi mahu mencari kejujuran.
Naluri Harlyna sudah berkocak dengan pandangan bening itu. Aduh! Tampan juga rupanya Abang Emir. Janggut sejemput terjaga rapi dengan wajah bersih dan licin walaupun kulitnya sedikit gelap. Persis Remy Ishak dalam cerita Nur Kasih.
Tapi, ah! Lynn... jangan terpedaya. Lelaki semuanya sama. Hari ni semuanya okey. Tak ada masalah. Tapi esok bila dah bernikah... mulalah semua tak kena. Itu salah. Ini tak betul.
“Kita belajar sama-sama. Mana yang mampu abang akan bantu. Kalau kita mampu tolong-menolong dan bertolak-ansur, insya-Allah segalanya akan berjalan dengan lancar.
Hati Harlyna semakin sakit. Ishk! Susahnya bercakap dengan lelaki ni. Tenang sungguh! Dia sendiri sudah kehabisan ayat dan modal untuk menghasut. Bibirnya diketap geram.
Sabar Lynn... jangan mengalah. Fikir... fikir... cari idea macam mana nak buat supaya Emir serik untuk memperisterikan dirinya. Tak apa... kalau hari ni tak jadi. Esok cuba lagi!
♥ Ayu Emelda ♥
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Besttttt!! Kak Ayu.. Cepat sambunggg hehehhehe
best sgt!! xsbr nk tggu post bru kak ayu...the best!
best ! ! best ! ! best ! !
sambung lg kak Ayu.... ;)
Post a Comment