06 July 2011
ADUHAI ISTERI ~ Part 4
KAKINYA terjengket-jengket sebaik masuk ke dalam rumah. Jarum jam sudah meniti ke pukul dua. Bukannya takut dengan Emir, cuma dia tidak mahu berdepan dengan lelaki itu. Sememangnya dia cukup lelah untuk menjawab apa-apa soalan ketika ini.
Apalagi mahu dengar Emir berleter berjeda. Kerana apa yang paling diperlukan saat ini cuma bantal dan tilam empuk. Matanya sudah terasa layu dan kuyu. Tunggu detik untuk mendarat dengan selamat di tempat peraduannya.
Berbekalkan cahaya dari lampu ruang tamu yang suram, dia menajamkan penglihatan. Langkah kaki diayun. Tersusun dan berhati-hati. Berdoa agar lelaki itu tidak menyedari kepulangannya.
Kalau pulang pukul dua belas papa sudah mengamuk, inikan pula setelah jarum jam melewati pukul dua pagi. Kepalanya sudah mencongak beberapa kata-kata hikmat yang bakal didendangkan ke telinganya.
“Tak apa... abang tak marah. Lynn boleh balik pukul berapa Lynn suka. Kalau tak balik langsung pun tak apa.”
Harlyna tersenyum sendiri. Kalaulah Emir boleh berkata begitu setiap kali dia pulang lewat malam... alangkah bahagianya hidup!
Tapi mimpi sajalah Lynn! Emir bukan lelaki yang akan mengikut telunjuknya seperti mana Remy dan Kyle. Janji diberi upah pasti mereka sanggup lakukan apa sahaja. Sanggup tutup mulut, mata dan telinga.
Setelah memanjat anak tangga dia melintasi bilik Emir. Tertutup rapat.
“Mesti dah tidur,” bisiknya sambil tersenyum riang.
Telinganya ditekap ke pintu. Sayup-sayup kedengaran alunan merdu suara lelaki itu sedang menusuk ke telinganya. Mengaji. Ya! Dia dapat mendengar suara lembut dan syahdu Emir sedang mengalunkan bacaan suci al-Quran.
Ketika kebanyakan orang lain sedang nyenyak tidur, lelaki itu lebih suka mengabdikan dirinya pada ALLAH. Sedangkan dia lebih gemar menghabiskan masa bersuka-suka di luar bersama dengan teman-teman?
Harlyna tersentap. Entah kenapa dadanya bergetar. Memori silam terus datang menerpa. Saat itu, bagai terdengar-dengar suara mama yang sering membaca al-Quran setiap malam. Cukup mengasyik. Dan dia gemar tidur di riba mamanya mendengar bacaan itu dengan penuh khusyuk. Bacaannya cukup menyentuh hati dan membuai perasaan.
“Membaca al-Quran bukan sahaja berikan mama ketenangan. Tapi banyak fadhilatnya, Lynn.”
Kelembutan kata-kata mama mengasak nalurinnya. Tersentuh hiba. Malah, ada rasa sebu bagai memulas-mulas di perut.
Mungkinkah dia diintai rasa bersalah? Bersalah kerana menolak semua ajaran mama selama ini. Jahatkah dia kerana mengabaikan segala tanggungjawab sebagai hamba-NYA? Kerana desakan perasaan, dia turutkan kata hati. Kejamkah dia sebagai seorang anak kerana memusuhi bapanya sendiri?
Tetapi apa yang dilakukan bersebab. Mahu menghukum kesilapan papa. Benarkah begitu? Suara hatinya saling bertingkah.
“Tapi Lynn tak mampu mama... tak mampu,” gumamnya dengan gigi berlaga. Keadaan yang membuatkan dia begitu. Manusia-manusia di sekelilingnya telah memaksa dia berubah. Air mata sudah mula bergenang.
“Baru balik?”
Harlyna tersentak. Mengurut dada. Nafas dalam disedut dan dihela panjang...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Best3! Kak Ayu x sabar nak baca lagiii!
Post a Comment