19 April 2011

APABILA pertemuan semula terjadi tanpa diduga...



BAB 2

PERLAHAN-LAHAN kelopak matanya dibuka. Sayang seribu kali sayang, semua itu bukan satu mimpi. Betapa dia sedang berdepan dengan sebuah realiti. Wajah itu tetap sama. Dia kelu! Kaku dan kayu! Entah kenapa saat ini tubuhnya rasa tidak berdaya. Lemah seluruh anggota.

Mana sumpah seranah? Kalau tadi sudah terbayang tamparan wanitanya hinggap di pipi Shahir, tapi kini kenapa dia rasa tidak mampu berbuat begitu? Tangannya bagai lumpuh hanya kerana renungan mata sepet itu.

Lelaki itu tersenyum. Manis, kacak, tampan dan menggoda. Memang lima tahun dulu ciri-ciri itu adalah antara penyebab kenapa dia jatuh cinta dengan Shahir sepenuh hati! Separuh mati! Gila bayang setiap hari sampai sanggup dijadikan isterinya walaupun baru enam bulan usia perkenalan mereka.

Matanya yang bersinar galak begitu menawan. Wajahnya sedikit berisi, tapi lebih kemas dengan janggut nipis yang terjaga rapi. Walaupun Brad Pitt pernah menjadi igauannya ketika remaja dulu, tetapi lelaki di depannya kini lebih menambat hati.

Aduh, Reen... jangan kalah kerana rupa. Jangan terliur kerana luarannya sahaja. Jangan lupa kekejaman yang pernah lelaki itu lakukan dulu. Kau dah banyak merana! Dan jangan lupa setiap titis air mata darah diperah daripada kau. Suara hatinya seakan bergema-gema mengingatkan.

“Aireen... dah lama kita tak jumpa,” sapa Shahir lembut dengan wajah ceria yang bukan dibuat-buat.

Aireen berkerut dahi. “Yes... do I know you?” soalnya penuh kepura-puraan. Kalau dengan hanya lakonan dia dapat melepaskan diri, tidak salah jika mencuba. Untung-untung lakonannya menjadi. Boleh menang anugerah tahun depan.

“Ya... kita cukup kenal. Malah, saling mencintai. Abang takkan terpedaya dengan cara begitu. Sorry... it doesn’t work.”

Aireen menggigit bibir bawah. Aduh! Nampaknya, dia bukan primadona yang mampu menyembunyikan identiti dengan bakat lakonan. Dia hilang kata. Suaranya rasa tersekat di kerongkong. Malah, kolam matanya sudah mula panas. Marah atau menangis? Kedua-duanya saling bertindan.

Sunyi. Sepi. Lama mereka diam membisu. Saling memandang antara satu sama lain. Mata bertentang mata. Lidah kelu untuk berbicara. Dan renungannya... bukan setakat mencairkan hati, tapi boleh membakar diri. Rentung nanti! Suara hatinya mengingatkan.

Jangan pandang Aireen... jangan pandang! Lebih baik jangan berani bermain mata kalau tak mampu menepis!

“Abang... abang...” Shahir ingin meluahkan sesuatu. Betapa pertemuan yang tidak diduga ini amat menggembirakan. Namun, mulutnya berasa berat.

Dia mencapai tangan Aireen. Mahu melampiaskan rasa rindu yang ditanggung bertahun lama. Mahu diluahkan semahunya.

“Sudah lima tahun kita tak jumpa... kenapa Aireen sanggup pergi tinggalkan abang?”

Mata Aireen membuntang. “What?” Dia ketap bibir. Merenung geram.

Siapa yang tinggalkan siapa? Sejak bila pulak dia yang tinggalkan Shahir? Bukankah dia yang sebenarnya ditinggalkan. Dan panggilan abang... Huh, memang tak sesuai! Rasa menyampah... nak muntah... uweekkk!

No comments: