04 March 2012

3 X BENCI ~ Part 3

T
ERASA darah merah menyirap ke muka. Sebaik pulang dari kerja dan masuk ke dalam rumah, matanya terasa sakit melihat apa yang tersusun cantik di ruang tamu rumahnya.


“Mak Ton tu tak faham-faham lagi ke?” Qisya sudah bercekak pinggang dengan nafas turun naik. Laju. Dia duduk di sofa sambil urut dada. Meredakan rasa geram dan gusar di hati.

Pening kepala! “Kerja gila apa ni? Menyusahkan betul! Kenapa bebal sangat dia orang ni?” amuknya dalam hati. Bila orang cakap baik-baik tak mahu dengar. Habis tu nak cakap macam mana lagi? Bahasa Jepun? Jerman? Atau Bangla?

Puan Jannah hanya melepas nafas dalam. Sedang termenung panjang. Hatinya cukup walang memikirkan apa yang berlaku. Pinangan yang diterima langsung tidak pernah diduga.

Sungguh dia keliru dan begitu terkejut. Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa keluarga Zaiton hantar pinangan mengejut begini tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepadanya? 

Qisya duduk. Mahu membuang rasa marah yang sudah bergayut di dalam dada. Dia memandang set hantaran berwarna ungu itu dengan bibir diketap kuat. Bencinya kian membuak-buak terhdap lelaki bernama Zarif Arfan. 

Jakun betul! Hantu! Dari dulu sampai sekarang perangai tetap tak berubah. Suka sangat buat kerja gila.

Kalau ikutkan hati yang radang, sudah lama disepahkan semua hantaran tersebut. Mahu sahaja dibaling ke tengah laman. Biar padan muka! Biar semua orang tahu. Mungkin itu sahaja caranya untuk buat Mak Ton sekeluarga faham! 
Tetapi kerana hormatkan ibu, dia cuba bersabar. Bila orang datang beradat, mereka tetap perlu menghormatinya.

“Kita pulangkan semula semua hantaran ni, ibu. Lagi cepat lagi baik” usul Qisya bersungguh-sungguh.

“Tak boleh kak long...” balas Puan Jannah lambat-lambat. Fikirannya terus runsing.

Qisya terkejut. Matanya bulat dengan dahi berlapis. Memandang ke arah ibunya dengan rasa tidak percaya. Begitu juga dengan Afif yang terduduk memandang sejak dari tadi.

“Mak dah terima pinangan Mak Ton?” soal Afif bagaikan tidak percaya. Jawapan ibu mengundang tanda tanya yang cukup dalam.

Dada Qisya mula berdebar kalut. “Ya ampun... janganlah ibu terima.” Hatinya terasa bagai digaru.

“Hantaran ni bukan untuk kak long.”

“Apa?” Afif terkejut besar.

Mata Qisya pula sudah tersembul keluar.

“Memang Mak Ton yang hantar pinangan. Tapi bukan untuk kak long...” ujar Puan Jannah lemah.

Qisya dan Afif saling toleh-menoleh. 

“Siapa lagi yang dipinang dalam rumah ni? Kalau bukan kak long...” Kata-kata Afif terhenti di situ.

“Zaura?!” Soal Zaura dan Afif serentak. Terkejut bukan kepalang. Kemudian mereka terdiam seribu bahasa. Sedang mencerna apa yang berlaku. Masih bingung kenapa pinangan Mat Ton beralih kepada adiknya.

“Tak dapat kakak dapat adik pun jadi,” tingkah Taufik sambil ketawa kecil. Dia keluar dari dapur menatang air panas dan cucur jemput-jemput. Adik bongsunya itu memang rajin di dapur membantu ibu. Berbeza benar dengan sikap anak dara yang sudah dipinang orang.

“Ibu pun terkejut bila nampak orang ramai-ramai depan rumah. Kita tak bersedia. Mak suruh Taufik panggilkan Pak Long Mahat dengan Mak Long Tijah, nasib baik mereka ada.”

“Tapi kenapa Mak Ton pinang Zaura? Dah tak betul ke orang tua tu?” soal Afif ragu-ragu.

“Entah-entah Mak Ton pinang alang untuk Haji Ismail sebab Abang Zarif tu cuma tergila-gilakan kak long.” Taufik sudah tersengih lebar dengan telahannya itu. Kemudian dia tergelak membayangkan kakaknya duduk di atas pelamin bersanding dengan orang tua. Nak sangat yang kaya. Ambik kau!

“Fikkk...” Suara Qisya panjang.

“Orang main-main jer.”

Qisya jeling tajam. Dalam keadaan tertekan begini dia tidak berminat untuk berjenaka.

“Memang betul kak long... kan ke pelik tiba-tiba Zaura yang dipinang untuk Abang Zarif. Entah-entah ada muslihat lain.” Afif meluahkan tanda tanya yang bermain di fikirannya.

Qisya mendesah. Dia pandang wajah Puan Jannah dengan rasa ralat. Musykil dengan pihak lelaki yang menghantar pinangan secara tiba-tiba. “Ibu dah setuju?” soal Qisya.

Nafas Puan Jannah menderu keras. Hatinya galau. Bermacam-macam perkara sedang berlegar di benaknya.

“Alang tu budak lagi, ibu. Baru sembilan belas tahun. Takkan Mak Ton tak tahu?” tambah Afif.

“Habis tu... kalau empunya badan sendiri dah setuju. Ibu nak cakap apa lagi? tak ada alasan nak bagi.”

Mata Qisya dan Afif terbelalak. Berita itu benar-benar membuatkan mereka berdua terkejut. Zaura terima? Bagai tidak tertelan air liur.

“Amboi! Kerja dapur pun tak tahu ada hati nak menikah?! Bertuah punya budak,” bentak Afif geram.

“Alang kan baru masuk matrikulasi, mana boleh kahwin. Lagipun takkan dengan Zarif?”

“Kak long tu dengki!” sergah Zaura tiba-tiba baru keluar dari bilik. Sudah lama dia pasang telinga. Mendengar perbualan ibu dan adik-beradik yang secara terang-terangan tidak setuju.

Qisya pandang adiknya dengan rasa kesal. Tersentap juga bila dituduh iri hati dengan adik kandung sendiri.

“Zaura! Jangan cakap dengan kak long begitu. Kenapa dengan kamu ni? Sejak bila lupa nak hormatkan orang lebih tua.” Suara Puan Jannah cukup tegas. Matanya memandang tajam wajah Zaura.

“Buat apa kak long nak dengki. Alang sendiri tahu kak long dah banyak kali tolak hasrat dia?”

“Ah! Alasan.” Cebik Zaura.

“Jaga sikit mulut tu, alang. Jangan nak kurang ajar dengan kak long. Cuba sedar diri tu sikit.” Afif sudah merenung Zaura dengan pandangan tajam. Silap-silap haribulan mulut Zaura akan kena sental.

Qisya pula yang jadi bimbang. Bukannya dia tak tahu sikap Afif. Cepat melenting dan hilang sabar dengan kerenah Zaura. Perangai Afif saling tak tumpah macam arwah Tok Ali, bapa ibu.

“Yalah! Kak long tak setuju sebab cemburu dengan alang. Tak suka tengok alang hidup senang,” sindir gadis itu lancar.

“Zaura Amani!” Suara Afif sudah tinggi. Siap sebut nama penuh lagi. sudah ada tanda-tanda kesabarannya bakal melayang.

Zaura cuba menentang pandangan keras abangnya walaupun dalam hati sudah terasa kecut.

“Angahhh...” Suara lembut Qisya memadamkan sedikit ketegangan antara adik-adiknya.

“Tapi betul ke Mak Ton pinang alang, ibu? Tak percayalah angah. Selama ni kan dia datang merisik kak long.”

“Kenapa tak boleh pulak?” celah Zaura geram.

“Kau jangan menyampuk boleh tak? Pergi masuk dalam sekarang,” arah Afif dengan pandangan menyinga. “Umur baru sembilan belas tahun dah gatal nak kahwin! Nanti belajar pun entah ke mana. Angah tak percaya Abang Zarif suruh pinang alang. Mustahil!”

“Kalau tak betul takkan lah Mak Ton hantar rombongan?” Zaura masih tidak mengaku kalah.

Afif mendengus kasar. “Habis tu... dah terima?”

Puan Jannah mengangguk lemah. “Zaura sendiri mengaku dengan Mak Ton dia sanggup.”

Pandangan Afif mencerun ke arah adiknya. “Dah gatal sangatlah tu nak berlaki orang kaya.” Kemarahannya semakin menular.

“Alang kalut sangat nak berlaki, kenapa? Sebab nak hidup senang? Kalau macam tu berhenti belajar. Tak adalah susahkan kak long penat-penat cari duit untuk alang,” sindir Taufik pula. Cukup tajam.

“Kalau dah ada harta... ada duit. Buat apa penat-penat belajar lagi. Bodoh betul Taufik ni!” Kata-kata itu hanya bergema di dalam hati. Tidak berani diluahkan. Takut penampar angah melayang ke muka.

“Menyusahkan orang betul. Buat keputusan tak fikir panjang. Bukannya nak berbincang dengan orang tua.” Jari Afif sudah menunjal-nunjal kepala adiknya. Kalau ikutkan hati, pipi Zaura sudah makan penampar.


No comments: